Friday, January 7, 2011

SYUKUR TELAH PULIH....TAPI HUKUM ALLAH WAJIB DIJAGA...JANGAN LUPA ALAM AKHIRAT...SETELAH CANTIK DAN MANIS DIPANDANG.....

RENCANA UTAMA


Aktifkan diri untuk hidup normal





LANTAI tari pertandingan Showdown 2010 membuktikan kehebatan Nadiah Farehan Ahmad Zikri, 21. Gerakan kaki dan liuk-lentok tubuhnya mengikut ritma lagu memukau pandangan penonton. Setiap kali beraksi di atas pentas persembahan Nadiah Farehan atau manja disapa Nadiah, bersama kumpulannya, Floor Fever tidak pernah menghampakan.
Malah, panel tetap Showdown 2010, iaitu pertandingan pencarian kru tarian jalanan, Maple menyifatkan Nadiah dan rakan-rakan Floor Fever merupakan antara grup yang paling konsisten.
Barangkali pengalaman mengiringi persembahan artis-artis popular tanah air sebelum ini seperti Datuk Siti Nurhaliza Taruddin secara tidak langsung mendorong mereka memberikan yang terbaik.
"Meskipun tidak diumumkan sebagai juara tetapi kami bersyukur kerana Floor Fever berjaya mengekalkan kedudukan ke peringkat akhir.
"Sebagai salah seorang penari dalam grup Floor Fever saya berbangga kerana dapat menyumbang tenaga dan idea sekali gus memperkenalkan nama kumpulan ini dalam kalangan kelompok peminat tarian jalanan," jelas Nadiah yang mula aktif menari ketika berusia lapan tahun di Sekolah Rendah Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.
Sambil membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) yang bertalu-talu diterima pada telefon pintar BlackBerry miliknya, gadis berkulit cerah itu meluahkan isi hati. Bicara Nadiah yang dilahirkan di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, dia bagaikan tidak percaya insan kekurangan sepertinya mampu membuktikan sesuatu buat diri sendiri, teman dan keluarga.
Tarian lupakan klef Nadiah
Biarpun dilahirkan sebagai wanita berbibir sumbing (klef), namun Nadiah gembira kerana masih berpeluang mengutip kejayaan dalam karier sebagai penari dan juga dalam akademik. Jika sebelum ini dia asyik mengimpikan bibir yang sempurna tetapi kini Nadiah memujuk diri daripada terus didesak dengan perasaan tersebut.
"Tidak perlu dikejar perkara yang mustahil apatah lagi untuk mendapatkan bibir yang sempurna memerlukan kos yang tinggi. Lagipun saya bersyukur kerana sejak dilahirkan sehingga dua tahun lepas saya sudah menjalani beberapa pembedahan penting bagi membantu mengatasi masalah sumbing. Ibu sentiasa mengikut arahan doktor dan kerap membawa saya menjalani rawatan susulan.

KLEF tidak pernah menghalang Salman bukan sahaja untuk berjaya dalam akademik tetapi juga melakukan perkara yang diminatinya.



"Sebab itu masih ramai yang tidak tahu saya mengalami klef kerana ia sudah dibaiki sedikit demi sedikit. Mereka juga tidak menyangka wanita yang lincah beraksi, menari atau berdrama di atas itu mengalami masalah klef. Mengapa saya perlu rasa rendah diri hanya kerana klef? Ibu selalu berpesan supaya saya menjadi individu yang berani," tutur Nadiah yang kini menuntut Diploma Rekaan Fesyen dan Teknologi, di Kolej Seni Reka Petaling Jaya (PJCAD), Petaling Jaya, Selangor.
Secara amnya, sumbing atau disebut juga sebagai klef, adalah masalah yang berlaku pada awal kelahiran. Ketika peringkat awal kehamilan, bahagian muka terjadi di tempat yang berasingan, kemudian akan bercantum menjadi muka. Jika pencantuman ini gagal, klef akan terjadi. Klef bibir dan lelangit boleh terjadi berasingan atau keduanya sekali.
Akui Nadiah, sewaktu kecil dia kurang selesa mendengar kawan-kawan memanggilnya sumbing dan sengau. Kadangkala dia enggan menjejakkan kaki ke sekolah gara-gara bimbang menjadi bahan usikan dan ejekan.
Luah anak bongsu daripada empat orang adik-beradik ini lagi, bukan itu saja malah ada pelajar perempuan dan lelaki sanggup mengugut supaya memberikan mereka wang RM1, jikalau tidak ingin diejek.
Pada mulanya, Nadiah turutkan saja kemahuan tersebut tetapi lama-kelamaan, dia menyedari dirinya menjadi mangsa buli. Selepas itu Nadiah langsung tidak mempedulikan kanak-kanak nakal tersebut.
"Nasib baik para guru banyak membantu dan memberi nasihat. Cikgu selalu berpesan jika ingin mengelakkan diri berterusan diejek, saya perlu lakukan sesuatu. Lantas, saya aktifkan diri dalam kelab kebudayaan. Setiap kali sekolah menganjurkan majlis atau karnival saya pelajar pertama yang menawarkan diri membuat persembahan.

NADIAH (depan dua dari kiri) meningkatkan keyakinan diri dengan menyertai kumpulan pasukan sorak di sekolah.



"Dari situ bermulanya keyakinan diri sehingga saya terus terlupa mengenai rekaan pada bibir dan lelangit. Aktif saya pada tarian semakin menjadi-jadi apabila memasuki sekolah menengah. Tanpa segan silu saya menyertai kumpulan pasukan sorak sehingga berjaya mewakili sekolah," jelas Nadiah yang pernah dipilih pihak Sekolah Menengah Sri Aman, Petaling Jaya menyertai pertukaran pelajar ke Sepanyol selama dua bulan.
Klef si pemain api
Salman Said Zainal Azhar, 19, turut berkongsi cerita sebagai individu yang mengalami klef bibir dari sudut positif. Selain sibuk dengan pengajian di Universiti Kolej Taylor Sunway, Petaling Jaya, Selangor, dia juga bergiat aktif sebagai pemain api.
Anak muda itu menjelaskan matlamat utamanya memilih tarian api kerana ingin membuktikan sesuatu kepada masyarakat sekeliling, sekali gus meningkatkan keyakinan diri. Ia bertujuan agar individu klef sepertinya tidak diperlekehkan sewenang-wenangnya.
Sambil melayari Internet menerusi komputer riba miliknya, Salman menjelaskan meskipun menyedari bakal tercedera atau melecur gara-gara terkena api tetapi ia sedikitpun tidak mematahkan semangat juangnya.
Lebih membanggakan selain beraksi di Pusat Seni Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) Sentul, Kuala Lumpur, Salman juga pernah diundang menjayakan persembahan tarian api pada malam final tayangan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010, gedung 1Utama, Petaling Jaya, Selangor.
"Saya dan rakan-rakan sentiasa memberikan yang terbaik kepada penonton. Kenangan paling manis apabila segelintir penonton sudi mengucapkan tahniah dan mereka sama sekali tidak percaya bahawa pemain api yang beraksi di depan mereka sebentar tadi mengalami klef," ungkap Salman yang sudah menjalani beberapa pembedahan dan pernah menghadiri kelas pertuturan.
Aiman tolak surgeri
Sementara itu, pereka web di Open Universiti, Kuala Lumpur, Mohd. Aiman Junoh, juga merupakan salah seorang individu yang mengalami masalah klef sejak lahir.
Meskipun sudah terdedah pada kisah-kisah kejayaan pakar perubatan yang berjaya melakukan pembedahan kepada individu klef, tetapi anak kelahiran Kelantan itu masih belum terfikir melakukan sebarang perubahan pada bahagian bibirnya.
Selama 27 tahun, dia mengakui sudah terbiasa keadaan fizikal sebegini. Kadangkala Aiman hampir terlupa yang dia kurang sempurna. Mana tidaknya, pemikiran dan kudratnya melakukan bermacam-macam kerja sama seperti mereka yang sempurna.

ATAS: Siapa sangka kanak-kanak yang pernah diejek dan dibuli kerana masalah klef yang dialaminya, kini menjadi wanita cantik yang mampu menarik hati ramai jejaka.


Akui Aiman, sebaik saja melangkah ke sekolah menengah, dia berazam untuk berubah dan meningkatkan keyakinan diri. Dia sama sekali tidak membiarkan masalah klef tersebut membataskan impiannya untuk berjaya dalam hidup.
Sebab itu, Aiman yang pernah dilantik sebagai pengawas sekolah menengah bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti menyertai kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). Pada masa yang sama dia turut terharu kerana berpeluang membaca doa pada perhimpunan sekolah.
"Saya tidak malu lagi. Saya hanya mengalami rekahan di bibir, bukannya kudung di kedua-dua belah tangan, bisu atau tidak boleh mendengar. Walaupun sumbing saya bersyukur kerana mempunyai kerja tetap.
"Namun tidak dinafikan sewaktu belajar di tadika dan sekolah rendah saya pernah berasa rendah diri. Saya kerap bertanya kepada ibu, mengapa bibir saya tidak sempurna seperti rakan yang lain?" ujar Aiman yang pernah berkecil hati apabila rakan-rakan turut memanggilnya si sengau.
Masalah sumbing yang dialami secara tidak langsung menjejaskan kualiti pertuturan dan suara sehingga menyebabkan penggemar aktiviti memancing itu terpaksa mengulanginya beberapa kali tutur katanya supaya orang lain memahami apa yang hendak disampaikan.
"Saya gembira dibesarkan dalam sebuah keluarga yang penyayang dan rakan-rakan yang memahami. Saya juga tidak menyangka bertemu jodoh dengan Arziana Mohmad Azaman, 26, yang sempurna fizikal dan mental," tutur Aiman penuntut diploma dan ijazah dari Fakulti Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Dia juga bersyukur isterinya tidak malu dengan kekurangan dirinya itu.

No comments:

Post a Comment