Wednesday, January 5, 2011

TAK SETIMPAL HUKUM ....DI DUNIA ...HUKUM AKHIRAT MENUNGGU DAN TAK KAN LEPAS..

Polis palsu tumpas

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

RAMPAS...Amiruddin menunjukkan alat renjatan elektrik dan kad polis yang digunakan suspek.
RAMPAS...Amiruddin menunjukkan alat renjatan elektrik dan kad polis yang digunakan suspek.
AMPANG: Dua sahabat karib yang giat menjalankan kegiatan samun dengan menyamar polis tumpas selepas seorang daripada mereka ditahan awal pagi akhir bulan lalu.
Difahamkan, kedua-dua lelaki terbabit yang berusia 30-an aktif menyamar polis sejak lebih setahun lalu dengan memakai jaket polis dan menunggang sebuah motosikal bagi mencari sasaran mereka.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata seorang daripada suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan paling dikehendaki polis berhubung kegiatan penyamaran itu. Katanya, pada 30 Disember lalu kira-kira jam 3.30 pagi, suspek berkeliaran di Pandan Perdana, Ampang, di sini, sebelum cuba memperdaya seorang pelajar yang melalui kawasan itu.
“Suspek menahan kereta mangsa yang berusia 21 tahun itu dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan mahu menjalankan pemeriksaan.

“Ketika pemeriksaan, suspek mengarahkan mangsa menyerahkan dua telefon bimbit dan wang RM20,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, sebuah kereta peronda polis yang melalui kawasan itu melihat gelagat suspek mencurigakan.

Suspek yang terkejut sejurus melihat kehadiran kereta peronda berkenaan melarikan diri, namun seorang daripada mereka diberkas dan seorang lagi meloloskan diri.

“Pemeriksaan polis menemui alat renjatan elektrik, sebilah pisau lipat dan sekeping kad tertera logo polis dipercayai digunakan mereka untuk menyamun.
“Selain itu, kami (polis) turut merampas sebuah motosikal yang digunakan mereka. Malah, siasatan lanjut mendapati motosikal itu motosikal curi yang dilaporkan hilang di Salak Selatan,” katanya.

Amiruddin berkata, suspek yang paling dikehendaki itu berkaitan kes penyamaran polis di Cheras, di sini, direman sehingga 10 Januari ini bagi membantu siasatan.

Katanya, polis kini giat mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas dan percaya suspek akan ditahan dalam tempoh terdekat.

“Kami percaya dengan penahanan suspek itu, kami menyelesaikan lebih tujuh kes samun membabitkan penyamaran polis sepanjang tahun lalu,” katanya.


Cekup 12 GRO asing dalam restoran



PETALING JAYA: Lagi pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan, kali ini 12 wanita diberkas dalam serbuan di sebuah restoran di premis dua tingkat di Taman Bukit Mayang Emas, di sini, petang semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu, sepasukan pegawai termasuk anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menyerbu premis terbabit yang dikenal pasti hanya dikunjungi pelanggan tetap.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed yang turut serta serbuan itu berkata, polis melakukan risikan sejurus menerima maklumat awam.
“Premis itu terkunci dan hasil pemantauan dan risikan, kami (polis) menyerbu masuk selepas pemilik terbabit leka dengan kunjungan ‘pelanggan’ tanpa menyedari pergerakan mereka diperhatikan,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan dalam premis itu gelap dan hanya disinari kerlipan lampu neon sebelum menemui GRO terbabit.

Arjunaidi berkata, polis mendapati premis itu tidak mempunyai sebarang permit hiburan yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tidak menolak kemungkinan turut menawarkan kegiatan maksiat selepas beberapa tilam dan ruangan khas turut ditemui.

Harian Metro difahamkan pusat hiburan yang terletak di bahagian atas premis bangunan kedai dua tingkat itu dilengkapi sofa dan ruang minum bagi pelanggan dan GRO terbabit




Sindiket tipu pinjam wang

KUALA LUMPUR: Satu sindiket dikesan aktif menipu syarikat pemberi pinjaman wang berlesen dengan menyamar peminjam sebelum menghilangkan diri.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata sindiket itu bukan saja aktif di Lembah Klang, malah di seluruh negara dengan mengemukakan dokumen palsu ketika membuat permohonan pinjaman.

“Terbaru, sebuah syarikat pemberi pinjam wang berlesen di Ampang Jaya hampir ditipu sindiket terbabit yang mahu meminjam RM500,000.
“Bagaimanapun, selepas pemeriksaan, pihaknya mendapati kenyataan bank yang diberikan ahli sindiket itu palsu,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Penasihat kewangan syarikat itu yang mahu dikenali sebagai Wong berkata, lelaki terbabit yang memperkenalkan diri sebagai Chin Soon berusia 41 tahun datang ke pejabatnya Khamis lalu untuk meminjam wang.

“Saya memintanya menyerahkan salinan kenyataan bank, kad pengenalan dan pendaftaran syarikat. Sebaik menerima kenyataan bank itu, saya terkejut kerana jumlah simpanannya RM613,789.40.

“Selepas itu, saya bertanya kenapa dia masih mahu membuat pinjaman dan lelaki terbabit mendakwa mahu membeli sebidang tanah di Puchong yang berharga RM1 juta,” katanya.

Namun, selepas pemeriksaan, pihaknya mendapati kenyataan bank itu palsu dan jumlah sebenar wang di dalam akaun berkenaan hanya RM5 bukan seperti kenyataan diberikan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, akaun lelaki itu baru saja dibuka pada 15 Disember lalu. Kenyataan bank yang diberikan kepada saya bertarikh 15 September,” katanya.



Wanita India tawar polis seks didenda RM2,000



KUALA LUMPUR: Akibat menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang pegawai polis, seorang ibu tunggal warga India didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan yang dilakukannya itu pada November tahun lalu.
Majistret Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhi hukuman itu terhadap N Vasathi, 34, selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil. Tertuduh turut berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda seperti yang diperintahkan mahkamah. Mengikut pertuduhan, wanita dua anak itu didakwa menawarkan khidmat seks bernilai RM40 kepada Aran Eh Chin di hadapan pasar raya Mydin, Jalan Masjid India, dekat sini, jam 2.10 petang, pada 30 November lalu. Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Dr Ghanti Nathan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Terdahulu, dalam rayuan mengurangkan hukuman, tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana dia menyara dua anak berikutan suaminya sudah mati.




Janin di tempat pembuangan sampah



KOTA KINABALU: Pihak yang membuang janin berbungkus sehelai kain batik di dalam sebuah beg plastik bersama sebilah pisau pemotong daging di tempat pembuangan sampah Pusat Komersial Salut di sini, semalam, dipercayai cuba menghapuskan janin berkenaan agar wanita yang melahirkannya tidak dapat dikesan.
Jika lambat ditemui, beg plastik mengandungi janin berkenaan akan diangkut lori pengangkut sampah sedang memungut sampah di kawasan berkenaan.

Polis percaya janin berkenaan dipercayai dibuang ke dalam sebuah tong sampah berhampiran jalan masuk sebuah politeknik berdekatan pusat perniagaan berkenaan.
Seorang tukang cuci menemui janin berkenaan secara tidak sengaja ketika hendak membuang sampah di situ kira-kira jam 9.30 pagi, semalam.

Wanita berkenaan, Agustena Tating, 50, tertarik dengan sebilah pisau pemotong daging dalam sebuah beg plastik selepas membuang sampah di situ.

Katanya, oleh kerana mendapati pisau itu masih baru, dia tanpa sebarang curiga, membelek beg plastik berkenaan sebelum menarik pisau itu keluar.

“Bagaimanapun, saya pelik apabila mendapati beg plastik itu turut mengandungi objek dibalut dengan sehelai kain batik.

“Berasa pelik dan curiga, saya menyelak kain batik itu dan terkejut apabila mendapati ia mengandungi objek seperti janin bayi cukup sifat,” katanya ketika ditemui.
Menurut Agustena, dia tidak berpuas hati dengan penemuan itu lalu memanggil beberapa rakannya bagi mengesahkan bahawa objek berbalut kain batik itu adalah janin bayi.

“Mereka juga terkejut dan mengesahkan objek itu adalah janin bayi dan kami membuat keputusan mengalihkan beg itu kerana pekerja serta lori sampah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu sedang mengutip sampah di situ sebelum menghubungi polis.

“Ini kali pertama saya menjumpai janin bayi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata janin berkenaan dipercayai dibuang ke dalam sebuah tong sampah berhampiran jalan masuk ke sebuah politeknik berdekatan pusat perniagaan berkenaan.

Katanya, sepasukan anggota polis dihantar ke lokasi penemuan janin berkenaan sebaik pihaknya menerima panggilan orang awam.

“Setiba di lokasi, anggota polsi mendapati janin berkenaan diletak di tepi pondok sampah oleh mereka yang menemuinya bagi mengelak diangkut lori sampah,” katanya.

Menurut Sofi, janin dipercayai berusia enam bulan itu dibawa ke Hospital Queen Elizabath (HQE) untuk dibedah siasat dan pihaknya sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

“Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta memberi kerjasama bagi mengesan suspek atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu 088-242111,” katanya
 
 
 

2 didakwa rompak



SHAH ALAM: Dua sekawan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap tiga gadis sehinggakan mangsa kerugian hampir RM4,000, dalam satu kejadian, di sini, akhir tahun lalu.
Peniaga pasar malam, V Ravindran, 32, dan pemandu lori, S Sujendran, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan di rumah bernombor 3C-02-04 Apartmen Jaya TTDI, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi, 22 Disember lalu. Mereka didakwa mengambil dua komputer riba jenama Acer, tiga broadband, beg
tangan, lesen memandu, kad pengenalan, buku simpanan Amanah Saham Bumiputera, pemain MP3, kamera dan telefon bimbit.




Kena kafan buang saka



PEKAN: Niatnya mahu membuang saka yang dipercayai berada dalam badan ibu, namun cara rawatan dikendalikan seorang pengamal perubatan tradisional tidak memuaskan hati keluarga itu apabila bertindak mengkafankan wanita warga emas itu seperti jenazah.
Dalam kejadian di Kampung Nenasi, dekat sini, Sabtu lalu, seorang ahli keluarga itu datang bersama pengamal perubatan terbabit yang dibawa dari Kuantan dengan tujuan membuang saka pada badan ibunya yang berusia 60 tahun.

Ketika proses rawatan, anak perempuan warga emas itu yang menyaksikannya terkedu apabila melihat ibunya dikafankan seperti jenazah menyebabkan wanita warga emas itu hampir lemas.
Melihat keadaan ibunya diperlakukan sedemikian, wanita terbabit kemudian mengarahkan pengamal perubatan tradisional itu berhenti melakukan upacara berkenaan kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

Difahamkan, pengamal perubatan tradisional berusia lingkungan 50-an itu terpaksa akur dengan permintaan anak perempuan mangsa yang meminta menghentikan upacara berkenaan.

Bagaimanapun, anak perempuan mangsa dan pengamal perubatan itu masing-masing membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Nenasi, dekat sini, kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Yahaya Othman (gambar), ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

“Kedua-dua pihak terbabit membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana bimbang berlaku sesuatu perkara selepas upacara membuang saka pada badan wanita warga emas itu dihentikan.
“Bagaimanapun, polis tidak membuka kertas siasatan dan kes berkenaan dianggap selesai,” katanya.



Ugut sebar gambar bogel



KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kafe ditahan selepas cuba menyebarkan gambar bogel teman wanitanya yang masih menuntut di tingkatan tiga di Internet hanya kerana temannya itu mahu memutuskan hubungan mereka, petang kelmarin.
Mangsa yang berusia 15 tahun dikatakan pernah menjalin hubungan seks dengan lelaki itu sepanjang perkenalan mereka dua bulan lalu.

Mereka berkenalan menerusi ruangan mencari jodoh.
Difahamkan, suspek yang berusia 37 tahun menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada mangsa sama ada menyerahkan wang tunai RM1,000 seperti diminta atau gambar bogelnya akan disiarkan dalam laman sosial. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, sejak perkenalan itu, mereka dikatakan kerap berjumpa untuk keluar makan sebelum suspek mengajak mangsa ke hotel di sekitar ibu negara.

“Selepas berhubung melalui telefon kira-kira seminggu, suspek kemudian mengajak mangsa berjumpa sebelum melakukan hubungan seks.

“Hubungan seks antara suspek dan mangsa mungkin berlaku atas dasar suka sama suka, namun perbuatan suspek yang meminta wang RM1,000 atau mengugut mahu menyebarkan gambar bogelnya menyebabkan mangsa ketakutan,” katanya yang ditemui selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL)di sini, semalam.

Katanya, suspek dikatakan merakam aksi mereka mengadakan hubungan seks setiap kali bertemu dengan mangsa di bilik hotel. Menurutnya, mangsa yang gagal menyerahkan wang diminta suspek kemudian membuat laporan polis, pagi kelmarin. “Berikutan laporan itu, suspek ditahan di Jalan Imbi, di sini kira-kira jam 3 petang,” katanya.

Malah, siasatan turut mendapati mangsa pernah menghantar beberapa gambar bogelnya melalui sistem pesanan bergambar (MMS) atas permintaan suspek.
Beliau berkata, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.



Keluarga dakwa hukuman tak setimpal



JOHOR BAHRU: “Bagi kami sekeluarga, hukuman diterima tertuduh tidak setimpal dengan perbuatan ganasnya terhadap Ain, sepatutnya hukuman penjaranya secara berasingan, bukan serentak,” kata Marlina Jemedi, 31, mengulas hukuman dijatuhkan mahkamah terhadap Habin Sulaiman, 42, yang mengaku bersalah cuba membunuh Nur Ain Ashikin, 18.
Marlina berkata, hukuman dikenakan terhadap tertuduh dianggap tidak setimpal dengan kecederaan dialami Ain hingga kini masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

“Tindakan ganas dan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan Ain mengalami kecederaan teruk jika dia sembuh.
“Ain juga akan menderita berikutan hampir 70 peratus muka dan badannya terbakar akibat disimbah asid oleh tertuduh dalam kejadian itu,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan terkini Ain, Marlina berkata, perkembangan adiknya agak membimbangkan berikutan tahap kesihatan semakin merosot.

Katanya, akibat kecederaan, Ain mengalami jangkitan kuman yang menjejaskan fungsi organ penting seperti buah pinggang, hati dan paru-paru.

“Lebih merisaukan kadar degupan jantung Ain juga semakin perlahan dan suhu badannya juga turun bagaimanapun perkembangan negatif itu sentiasa dipantau kakitangan bertugas merawatnya.

“Selepas menjalani pembedahan minggu lalu, doktor terpaksa merehatkan Ain dengan memberi ubat tidur dia kini terpaksa menggunakan mesin bantuan pernafasan.
“Mengikut perancangan, Ain sepatutnya menjalani satu lagi pembedahan susulan hari ini (semalam) bagaimanapun ditangguh berikutan keadaannya yang tidak stabil,” katanya.

Dalam perkembangan lain, dia dan keluarga kini dengan bantuan pihak hospital sedang berusaha mendapatkan kulit gantian dari luar negara bagi menggantikan bahagian tubuh yang terjejas.

“Bukan hanya usaha mendapatkan kulit gantian dari luar negara, kami juga risau sekiranya Ain kehilangan penglihatannya seperti dimaklumkan doktor sebelum ini.

“Kami terpaksa menunggu lebih lama untuk mengetahui keputusannya berikutan ujian lanjut hanya boleh dilakukan pakar mata selepas Ain pulih,” katanya.

Kelmarin, Hakim Salawati Jambari menjatuhkan hukuman 17 tahun penjara di atas kesalahan cuba membunuh mangsa menggunakan pisau.

Tertuduh juga dihukum penjara 17 tahun dan lima sebatan bagi pertuduhan kedua iaitu cuba membunuh Nur Ain menggunakan asid cuka getah.

Salawati yang mengambil kira kes itu mempunyai kepentingan awam, mengarahkan supaya hukuman itu dijalankan serentak daripada tarikh tertuduh ditahan.

No comments:

Post a Comment