Thursday, December 29, 2011

BILA PERKARA MUNGKAR@MAKSIAT MUDAH DIKUTI@TIRU SEDANG PERKARA TAKWA@TAAT PAYAH DIIKUTI...SYAITAN ITU BIJAK MENIPU DAN MENYESATKAN MANUSIA

MPAJ tak sedar wujud tarian tiang



KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mendakwa pihaknya tidak tahu-menahu atau menerima aduan berhubung mana-mana pusat hiburan di kawasan Pandan Perdana yang menyediakan penari tiang bagi menarik lebih ramai pelanggan.
Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, laporan muka depan Kosmo! semalam bertajuk Tarian tiang berleluasa adalah kes pertama yang melibatkan aktiviti tidak bermoral berlaku di pusat hiburan di Pandan Perdana yang diterima oleh MPAJ pada tahun ini.
“Daripada pemeriksaan yang dijalankan oleh bahagian penguat kuasa MPAJ sebelum ini, kami tidak pernah menyerbu mana-mana premis pusat hiburan yang menjalankan kegiatan tarian tiang.
“Pihak kami juga tidak pernah menerima sebarang aduan daripada orang ramai berhubung isu terbabit,” katanya.
Oleh itu, menurut Norhayati, pihaknya memberi amaran akan menarik semula lesen mana-mana pusat hiburan yang menyalahgunakan lesen premis bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral.
“Pengusaha premis terbabit berhadapan dengan risiko penarikan lesen dan pembatalan akan dilakukan serta- merta jika ia terbukti membenarkan aktiviti tidak bermoral seperti itu,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Malah tegas beliau, MPAJ juga akan menyita pusat hiburan itu jika premis tersebut beroperasi secara tidak sah.
Norhayati berkata demikian ketika mengulas laporan Kosmo! semalam yang mendedahkan mengenai sebuah kelab malam di Pandan Perdana yang didapati menyediakan khidmat tarian tiang berunsur seks oleh wanita tempatan dan wanita warga asing.
Mengikut laporan itu, dengan hanya mengenakan coli serta seluar dalam, penari-penari tiang itu tanpa segan silu mempamerkan aksi ghairah kepada para pengunjung yang rata-rata adalah lelaki tempatan.

Pegawai PTD dituduh pukul suami dengan fail


KAMALIAH


SEPANG – Seorang pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) berdepan hukuman penjara dan denda selepas dituduh memukul suaminya menggunakan fail pejabat sembilan bulan lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Kamaliah Basir, 35, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mendatangkan kecederaan kepada suaminya, Zaihan Md. Lani, 48, dengan menggunakan fail pejabat pada bahagian badan mangsa.
Kejadian didakwa berlaku di dalam kereta di perhentian simpang tiga lampu isyarat Persiaran Semarak Api dan Persiaran Apec, Cyberjaya, Sepang di sini pada pukul 12.45 tengah hari 3 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dua beradik azab dirantai bapa


DUA kanak-kanak ditinggalkan oleh bapa mereka dalam tandas sebuah rumah kedai di Butterworth semalam.


BUTTERWORTH – Seorang bapa tergamak memperlakukan dua orang anaknya yang berusia dua dan enam tahun seperti anjing apabila bertindak mengikat kaki kiri mereka dengan rantai besi di dalam tandas rumahnya.
Pasangan adik-beradik itu ditinggal seharian oleh bapa mereka ketika dia keluar bekerja dengan alasan anaknya itu nakal dan tiada orang menjaga mereka ketika dia tiada di rumah.
Perbuatan lelaki berusia 40-an yang tidak berperikemanusiaan itu terbongkar apabila kedua-dua beradik tersebut menjerit dan menangis kelaparan pada pukul 6 petang kelmarin kerana mereka tidak diberikan makanan oleh bapa mereka.
Jeritan kedua-dua beradik itu membongkar perbuatan kejam bapa mereka selepas jiran-jiran yang tinggal di kawasan rumah kedai dua tingkat itu memaklumkan perkara tersebut kepada polis.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis menyerbu rumah tersebut di Taman Mawar, Raja Uda dekat sini dan menemui seorang budak perempuan berusia enam tahun bersama adik lelakinya berumur dua tahun dalam keadaan menyayat hati.
Ketika ditemui pada pukul 8.45 malam, kedua-dua beradik itu yang diikat dengan rantai dan dikunci dengan mangga besi hanya memakai baju-T serta seluar dalam di dalam tandas.
Ketika diselamatkan, bapa kanak-kanak tersebut yang bekerja sebagai buruh tiada di rumah kerana keluar bekerja sejak pukul 3 petang kelmarin, manakala ibu mereka yang merupakan warga Thailand pula dikatakan telah meninggalkan tiga beranak itu sejak sebulan lalu.
Difahamkan, kedua-dua beradik itu diperlakukan sedemikian oleh bapanya sejak sebulan lalu setiap kali dia keluar bekerja selepas ibu mereka menghilangkan diri.
Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias berkata, seorang penduduk yang mendengar jeritan dan tangisan kanak-kanak itu cuba membantu mangsa tetapi malangnya pintu rumah tersebut dikunci dari luar.

Ajal dihempap penyangkut besi


Mohd. Abdillah maut dihempap penyangkut besi yang terjatuh dari lif di Jalan Raja Chulan, Kuala Kangsar semalam.


KUALA KANGSAR – Seorang pekerja sebuah kedai perabot maut selepas kepalanya pecah dihempap penyangkut besi lif di sebuah kedai perabot tiga tingkat di Jalan Raja Chulan di sini semalam.
Semasa kejadian pada pukul 10 pagi itu, Mohd. Abdillah Khairudin, 27, sedang melakukan kerja-kerja membawa perabot yang belum dipasang naik ke tingkat tiga dari aras bawah kedai perabot berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Abdul Gaffar Muhammad berkata, semasa mangsa berada di dalam lif berkenaan bersama perabot tersebut, lif itu secara tiba-tiba terjatuh ke bawah.
“Penyangkut besi lif seberat 10 kilogram tersebut juga terjatuh lalu menghempap kepala Mohd. Abdillah hingga menyebabkan kepalanya pecah dan dia mati di tempat kejadian,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut beliau, kejadian itu disedari oleh majikan mangsa sebelum ia kemudian melaporkan kepada polis.

No comments:

Post a Comment