Sunday, February 26, 2012

BILA KERA NAIK TOCANG...TAK KIRA SEMUA IA BELASAH

Bapa dakwa terbeli susu tiruan

MOHD. FAISAL bersama anaknya menunjukkan perbezaan bungkusan susu tepung yang biasa dibelinya (kiri) dan yang didakwa tiruan (kanan) di Bayan Baru, George Town semalam.


GEORGE TOWN - Seorang bapa terkejut apabila mendakwa dua kotak susu tepung yang dibeli untuk anaknya dari sebuah pasar raya besar di Bayan Baru di sini, pada 16 Februari lalu rupa-rupanya bukan susu sebaliknya hanya serbuk putih yang menyerupai susu tepung.
Mohd. Faisal Mohd. Kassim, 30, mendakwa, sebaik sahaja membuka setiap bungkusan susu berjenama terkemuka itu, dia mendapati plastik lutsinar itu mengandungi tepung berwarna putih yang berbeza dengan susu tepung asli yang biasanya dibungkus dengan plastik aluminium dan serbuk susunya berwarna krim.
"Bukan itu sahaja, susu tepung itu tidak mempunyai bau dan rasa seperti yang dibeli pada setiap bulan, sejak anak sulung, Muhammad Afiq Hafizuddin berusia dua bulan.
"Mujur kami berjaya mengesan lebih awal dan tidak sempat memberinya minum lagi," katanya sambil menyatakan susu tepung itu dibeli pada harga diskaun iaitu RM16.99 bagi setiap 700 gram.
Dalam pada itu, Mohd. Faisal turut memaklumkan masalah tersebut kepada pihak pasar raya terbabit pada 18 Februari lalu dan mereka turut mengesan susu tepung lain berjenama sama yang bungkusannya mencurigakan.
"Pihak pasar raya terbabit memberitahu akan mengambil tindakan termasuk menghubungi syarikat pembekal susu itu untuk memaklumkan perkara tersebut.

Tiga terkorbanselepas minum


keadaan Myvi yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Jerteh-Pasir Puteh, Besut semalam.


BESUT - Kegembiraan lima sahabat minum bersama selepas sekian lama tidak berjumpa tidak berkekalan apabila tiga termasuk dua beradik maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 1, Jalan Jerteh-Pasir Puteh di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, Nik Muhammad Firdaus Suhaimi @ Rahmat, 24, adiknya Nik Muhammad Faris, 19, serta rakan mereka Nazir Nazemi, 20, yang juga anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut.
Pemandu kereta Perodua Myvi, Wan Muhamad Shafiq Md. Zin, 20, cedera parah manakala seorang lagi penumpang kereta itu, Mohd. Fakhrulhanif Zainuddin, 26, tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, kejadian berlaku apabila pemandu dipercayai gagal mengawal kereta selepas melepasi lampu isyarat di persimpangan Kampung Seberang Jerteh, menyebabkan kereta terbabas dan melanggar beberapa papan tanda.
"Pelanggaran itu mengakibatkan empat daripada mereka, kecuali Mohd. Fakhrulhanif terpelanting keluar menerusi tingkap kereta terbabit," kata beliau.
Kamaruddin berkata, dua daripada mereka maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala Muhammad Faris meninggal dunia di Hospital Daerah Besut ketika menerima rawatan.

Gadis diganggu kiriman aneh


INILAH tiga ekor ayam yang dimasukkan dalam beg dan digantung di pintu pagar rumah mangsa di Wangsa Maju, Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR - Hidup seorang setiausaha sebuah syarikat Teknologi Maklumat di sini menjadi tidak keruan apabila dalam tempoh dua minggu lalu, gadis itu menerima empat kiriman aneh termasuk sebuah beg berisi tiga ekor ayam hidup yang dihantar ke rumahnya di Jalan Rejang 8, Wangsa Maju dekat sini.
Mangsa berusia 20-an yang enggan dikenali berkata, penerimaan aneh itu bermula dengan kiriman sepucuk surat yang berbentuk hati tertera ayat, 'Diana Danielle - peminat misteri.'
Surat yang diterima pada dua minggu lalu dipercayai dihantar oleh pengirim sendiri kerana tidak ada setem diletakkan pada sampul surat tersebut.
"Saya ketika itu tidak curiga apa-apa kerana memikirkan sama ada surat itu sebagai gurauan pihak tertentu yang mungkin tersalah alamat," kata gadis itu ketika ditemui di Balai Polis Wangsa Maju di sini malam kelmarin.
Namun, cerita mangsa, fikirannya mula terganggu selepas menerima bungkusan kedua yang turut disertakan dengan sehelai seluar dalam dan sepucuk nota bertulis ayat-ayat cinta juga ditujukan kepada Diana pada 21 Februari.
"Saya yang terkejut terus membuang seluar dalam yang dipercayai sudah dipakai tersebut ke dalam longkang tidak jauh dari rumah saya," kata gadis itu yang kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju di sini kelmarin.
Terbaharu pada pukul 11.30 pagi kelmarin, gadis itu yang memeriksa peti surat di rumahnya terus dikejutkan dengan penerimaan satu lagi sampul surat dan sebuah bekas cermin mata dalam peti surat di rumahnya itu.
"Surat itu bertulis 'I Love You' dan ditujukan kepada penyampai berita TV3, Pang Chinn Fei manakala dalam bekas cermin mata itu pula mengandungi sebentuk cincin, gelang dan dua keping gambar dipercayai gambar seorang lelaki Melayu," kata gadis itu yang bertambah terganggu dengan kiriman itu

Kera naik tocang ganggu orang


ORANG ramai termasuk anggota bomba cuba menghalau kera liar (gambar kecil) yang mengganggu penduduk di Teluk Intan kelmarin.


TELUK INTAN - Penduduk Kampung Bahagia di sini tidak lagi sebahagia seperti dahulu.
Puncanya kerana hampir setiap hari mereka kini diancam oleh sekumpulan kera liar yang semakin mengganas sejak beberapa hari lepas.
Malah kelmarin, kera dari kawasan hutan berhampiran didapati bertindak di luar batasan apabila menceroboh masuk ke rumah penduduk dan cuba menggigit seorang bayi berusia 11 bulan di dalam buaian.
Mangsa, Jariah Mohd. Yunus, 53, berkata, pada kejadian pukul 8 pagi itu menyebabkan dia trauma untuk membuka tingkap rumahnya.
"Ketika itu saya sedang sibuk mengemas rumah manakala seorang lagi cucu berusia dua tahun berada di ruang tamu. Namun tanpa disedari muncul empat ekor kera dan seekor daripadanya melompat masuk ke dalam buaian dan cuba gigit kepala cucu saya yang tidur.
"Saya menjerit dan suami cuba menghalaunya tetapi gagal berbuat demikian," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Katanya, dia dan suami, Mohd. Ibrahim Junaidi, 64, kemudiannya nekad menarik cucu mereka keluar dari buaian dan membawa ke pekarangan rumah.
"Kera itu naik angin dan mula menyerang kami bertiga. Akibat marah, dua daripadanya naik atas bumbung rumah dan mula bertindak ganas," katanya.
Pada kejadian berasingan, seorang lagi penduduk, Dayang Abdullah, 53, juga pernah dikejar tiga ekor kera semasa menjemur pakaian.
"Saya ketakutan berlari masuk ke dalam rumah dan menutup semua tingkap. Kera terbabit kemudiannya marah dan mematahkan antena televisyen sebelum melarikan kain saya," katanya.
Pada kejadian kelmarin, penduduk kemudiannya menghubungi bomba namun kehadiran pasukan itu tidak menakutkan kera malah ada di antara mereka dikejar haiwan berkenaan.
Selepas beberapa jam, haiwan terbabit kemudiannya melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.

No comments:

Post a Comment