Monday, February 27, 2012

KISAH2 PELIK MENGHENDAKI KITA BERFIKIR...TIADA UNDANG2 YANG DIPATUHI LAGI...WALAUPUN CIPTAAN MANUSIA...TIDAK DIGERUNI LAGI...UNDANG2 ALLAH DAH LAMA DISINGKIRKAN DENGAN BERBAGAI2 ALASAN DAN SEBAB...SEDANG ALLAH MENGHIDUPKAN DAN MEMATIKAN MEREKA...DAN MEMBERI REZEKI...MEMANG KITA MAKHLUK TAK RETI MENGENANG BUDI SERTA BERTERIMA KASIH..MEMANG LAYAKLAH SEBAGAI PENGHUNI NERAKA ALLAH SWT

Rahsia peminat misteri terbongkar



LELAKI yang menjadi peminat misteri dengan mengirim barang-barang aneh kepada seorang gadis ditahan di Balai Polis Wangsa Maju, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Teka-teki siapa peminat misteri yang menghantar kiriman aneh berupa seluar dalam lelaki dan tiga ekor ayam kepada seorang gadis di Wangsa Maju di sini baru-baru ini terjawab apabila polis menahan seorang lelaki semalam.
Suspek berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Sri Rampai, Wangsa Maju di sini pada pukul 1.30 petang.
Lelaki yang telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak rupa-rupanya jiran mangsa yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat Teknologi Maklumat di ibu negara. Malah mangsa turut mengenali peminat misteri itu.
Suspek yang berasal dari Perak itu dipercayai bertindak demikian kerana menyangkakan mangsa yang berusia 20-an itu ialah pelakon terkenal, Diana Danielle Beeson atau lebih dikenali sebagai Diana Danielle, 20.
Suspek mendakwa dia tidak pernah bersemuka dengan pelakon kacukan terbabit tetapi kerap berhubung dengan pelakon itu di laman sosial Twitter sejak beberapa tahun lalu iaitu sebelum wanita itu menceburi bidang seni.
Suspek juga mendakwa sepanjang berkomunikasi di Twitter, Diana Danielle sering membalas komennya menyebabkan dia teruja untuk mengenali wanita itu dengan lebih rapat.
Jelas suspek itu lagi, dia amat meminati pelakon itu kerana bukan sahaja memiliki wajah yang cantik malah menyifatkan Diana Danielle sebagai seorang wanita bijak.
Suspek itu memberitahu, dia mengirim bungkusan berisi gambar, nota cinta dan tiga ekor ayam yang dipelihara sendiri kepada mangsa sebagai tanda persahabatan kepada wanita itu atau hadiah daripada peminat tanpa muslihat lain.
Selain Diana Danielle, suspek turut menyertakan nota cinta kepada penyampai berita TV3, Pang Chinn Fei yang turut dikirimkan di rumah mangsa. Chinn Fei juga merupakan seorang wanita diminati suspek.

Badrulamin, wanita beri keterangan



KERATAN Kosmo! semalam.


KUANTAN – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron memberi keterangan mengenai dakwaan kes khalwatnya dengan seorang wanita berstatus isteri orang selama dua jam setengah di Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sini semalam.
Beliau dilihat tiba di pekarangan bangunan JAIP dengan menaiki kereta jenis Toyota Camry berwarna hitam pada pukul 2.40 petang dengan ditemani isteri pertamanya, Zumrah Husni serta tiga peguam iaitu Mohamad Sazali Abdul Aziz, Muhamad Irfan Abdullah dan Ahmad Nizam Abd. Hamid.
Soal siasat dikatakan bermula pada pukul 2.50 petang dan berakhir pada pukul 5.25 petang.
Dr. Badrulamin yang berbaju-T putih, memakai jaket hitam serta kopiah dilihat tenang dan sempat melambai tangan kepada para pemberita yang menunggu kehadiran beliau sejak pukul 8 pagi di pekarangan bangunan JAIP.
Turut hadir ialah wanita berumur 28 tahun yang didakwa berkhalwat dengan Dr. Badrulamin.
Wanita yang merupakan isteri orang itu tiba pada pukul 3.05 petang dan selesai memberi keterangan pada pukul 6.20 petang.
Kedua-dua mereka memberi keterangan secara berasingan bagi membantu siasatan selepas didakwa berkhalwat di sebuah hotel di Balok di sini dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi Sabtu lalu.
Ketua peguam yang mewakili Dr. Badrulamin dan wanita itu, Mohamad Sazali berkata, pihaknya berpuas hati dengan proses siasatan tersebut.
“Kita sudah beri kerjasama penuh dan yakin sejak dua tiga hari lalu, isu ini digembar-gembur oleh media adalah lebih kepada fitnah dan spekulasi.

Kena bakar selepas dibelasah

HULU SELANGOR – Seorang remaja kritikal selepas dia disyaki dibakar hidup-hidup oleh tiga lelaki yang dikenali menyebabkan kulitnya melecur 80 peratus di Gedangsa dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 6.30 pagi itu menimpa Muhammad Syahirudin Mohd. Shauki, 19, apabila dia dikatakan dibawa menaiki sebuah kereta oleh tiga lelaki tersebut dari rumahnya di Kota Damansara, Petaling Jaya ke Gedangsa. Jarak antara dua tempat itu kira-kira 89 kilometer.
Bagaimanapun, polis sedang menyiasat motif mangsa dibakar memandangkan polis masih belum mengambil keterangan Muhammad Syahirudin yang kini dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) dekat sini.
Difahamkan, selepas dibakar, mangsa sempat melompat ke dalam longkang bagi memadam api dan berlari sejauh 400 meter untuk meminta bantuan seorang penduduk di Kampung Sepakat.
Mangsa kemudian telah diberi tiga tin air soya, air mineral dan roti oleh penduduk tersebut selepas kasihan melihat keadaannya yang lapar dan dahaga. Ketika ditemui dia hanya memakai seluar pendek.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Affandi Yahya berkata, siasatan mendapati mangsa telah dipukul dan dibawa dari Kota Damansara pada awal pagi sebelum dia dibakar.
“Berdasarkan maklumat awal, kita percaya mangsa dibakar di dalam ladang sawit Sungai Tengi, Gedangsa. Dia kemudian dapat melarikan diri sebelum meminta bantuan seorang penduduk di Kampung Sepakat,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, siasatan lanjut menemui baju mangsa di pembahagi jalan kira-kira lapan kilometer menghala ke tol Bukit Tagar. Bagaimanapun seluar panjang mangsa tidak ditemui.
Menurut Norel Azmi, laporan doktor mengatakan mangsa disimbah petrol sebelum dibakar dan kes cuba bunuh itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Shauki Dahlan, 50-an, berkata, anaknya sempat menghubunginya sejam selepas kejadian mengatakan dia telah dibakar.

25 lokasi panas seludup dikesan

TUMPAT - Kementerian Dalam Negeri mengenal pasti 25 kawasan di sekitar sempadan Kelantan-Thailand sebagai lokasi panas yang dijadikan tempat menjalankan aktiviti penyeludupan dadah, senjata api dan barang kawalan.
Timbalan Menterinya, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, lokasi terbabit merupakan laluan penyeludup yang meliputi daerah Tumpat dan Pasir Mas yang terletak berhampiran sempadan.
"Antara yang kerap diseludup adalah barangan berjenama tiruan selain minyak masak, minyak petrol dan diesel, dadah dan senjata api," katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Pengkalan Kubor dan Markas Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarah UPP, Datuk Ab. Rahim Ismail, Pegawai Pemerintah PGM Pengkalan Kubor, Deputi Superitenden Tan Cheng San dan Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitenden Khalid Munap.
Menurut Abu Seman, ketika ini, usaha membanteras jenayah penyeludupan lebih memfokuskan kepada penyeludupan dadah dan manusia kerana ia memberi kesan yang buruk kepada keselamatan negara.
"Bagaimanapun, tiada kes pemerdagangan orang dikesan di Kelantan dan hanya lima pendatang asing tanpa izin ditangkap oleh UPP Kelantan pada Januari lalu," katanya.
Jelasnya, penyeludupan barang kawalan seperti minyak masak, minyak petrol dan diesel begitu aktif memandangkan harga barangan terbabit yang mahal di negara jiran.
"Banyak minyak masak, diesel dan petrol diseludup ke negara jiran kerana harga di sana jauh lebih mahal tetapi aktiviti penyeludupan ini merugikan negara kerana barang kawalan ini ada subsidi," katanya.

Orang mati masih terima bantuan

IPOH - Sikap terlepas pandang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak yang masih menyalurkan bantuan kebajikan kepada individu yang sudah lama meninggal dunia mendapat teguran Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) negeri.
Pengerusi PAC Perak, Datuk Seri Raja Ahmad Raja Omar (gambar) berkata, Jabatan Audit negeri mendedahkan bantuan kebajikan berkenaan yang sepatutnya dihentikan itu selepas penerima meninggal dunia tetap disalurkan selama beberapa tahun.
"Ada kes yang waris tetap mendapat bantuan kebajikan bulanan walaupun penerima sudah meninggal dunia sejak 2009 lagi. Sebanyak sembilan kes dikesan di Ipoh, Taiping dan Manjung melibatkan peruntukan hampir RM9,000.
"Walaupun tidak melibatkan peruntukan besar tetapi ia tetap perlu diberi perhatian serius. Sehubungan itu, saya telah memanggil Pengarah JKM Perak untuk memberi penjelasan mengenai isu berkenaan hari ini (semalam)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PAC Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.
Turut hadir ialah Pengarah Audit Perak, Datuk Seri Shamsiah Daud.
Raja Ahmad memberitahu, perjumpaan selama hampir dua jam itu mengenal pasti antara punca masalah itu berlaku kerana sikap tidak prihatin segelintir pegawai JKM peringkat daerah yang tidak mengemas kini data penerima.
Selain itu, pembayaran secara tunai kepada waris yang merahsiakan kematian penerima selama bertahun-tahun antara faktor ketirisan tersebut.
"Sehubungan itu, PAC Perak mencadangkan pembayaran secara tunai kepada waris dihentikan sebaliknya diganti dengan pembayaran melalui bank sepenuhnya.
"JKM negeri juga disaran lebih menjalin kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung bagi memudahkan data penerima bantuan kebajikan dikemas kini," ujar beliau.
Dalam perkembangan sama, Raja Ahmad memberitahu, JKM juga memberi jaminan akan mengambil tindakan disiplin kepada kakitangannya yang terbukti lalai sehingga berlakunya kesilapan tersebut.

Rumah jadi zoo mini kena serbu



KAKITANGAN Perhilitan Pulau Pinang menunjukkan beberapa ekor haiwan yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Bidor, Tasek Gelugor Sabtu lalu.



GEORGE TOWN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyerbu sebuah rumah di Kampung Tok Bidor, Tasek Gelugor dekat sini kerana pemiliknya didapati mengusahakan zoo mini secara haram termasuk disyaki menjual haiwan tanpa permit.
Serbuan yang diketuai Pegawai Pelesenan Perhilitan, Rofley Ambuka kira-kira pukul 1.30 petang Sabtu lalu itu berjaya merampas seekor kucing batu, dua ekor ayam hutan, seekor burung murai batu dan seekor burung merbah luris leher yang dipelihara dalam sangkar berasingan.
Difahamkan, kegiatan lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an itu bermula sejak tiga tahun lalu dan kesemua haiwan terbabit dijual kepada pelanggan tempatan.
Pengarah Perhilitan, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, serbuan dilakukan atas maklumat orang awam dan risikan pihaknya sejak dua bulan lalu.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua haiwan liar itu dibela tanpa kebenaran pihak Perhilitan.

Abu Bakar Bashir dipenjara 15 tahun





JAKARTA - Mahkamah Agung Indonesia semalam mengesahkan hukuman penjara selama 15 tahun dikenakan terhadap seorang guru agama, Abu Bakar Bashir (gambar) kerana melakukan keganasan.
Dia dianggap sebagai pemimpin kerohanian militan Islam di Indonesia dan penyokong jihad kumpulan Al-Qaeda.
Bagaimanapun, Abu Bakar yang berusia 73 tahun menafikan dia merupakan seorang pengganas.
Pada Jun tahun lalu, sebuah mahkamah yang lebih rendah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadapnya.
Namun, disebabkan rayuan, Mahkamah Tinggi mengurangkan hukuman kepada sembilan tahun penjara dengan menyebut kekurangan bukti dan umur sebagai faktor keputusan itu dibuat.
Hukuman itu kemudian kembali kepada asal apabila Mahkamah Agung menyatakan dalam keputusannya semalam bahawa Abu Bakar terbukti bersalah melakukan perbuatan pengganas.
Abu Bakar Bashir yang merupakan pengasas kumpulan Jemaah Islamiah (JI) bertanggungjawab berhubung satu siri serangan termasuk kejadian letupan bom di Bali pada 2001 yang menyebabkan 202 orang terbunuh kebanyakannya warga asing. - AFP

No comments:

Post a Comment