Thursday, March 1, 2012

BIASA ORANG BERNIAGA UNTUNG..INI RUGI BUKAN SIKIT...MENGUNDI WAJIB...ORANG MUSLIM WAJIB MENYOKONG ISLAM....

Tragedi ngeri dua beranak


ANGGOTA bomba mengangkat mayat Che Arminudin dan Marissa Alma yang rentung dalam kemalangan di Kota Bharu kelmarin.


KOTA BHARU - Dua beranak yang bergegas keluar untuk menghantar saudara mereka menaiki pesawat tidak sempat menjamah makan malam apabila mereka ditemui rentung selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh berhampiran Kampung Padang Kala dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 8.40 malam itu mengakibatkan Che Arminudin Abdullah, 42, dan anak sulungnya, Marissa Alma, 4, maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Rush yang mereka naiki hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger lalu terbakar.
Che Arminudin merupakan guru subjek kemahiran di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa dekat sini.
Pemandu dan penumpang Ford Ranger itu, Azaizurie Ahmad, 33, dari Kampung Bukit Kecil, Melor dan Siti Nor Azreen Md. Yani, 24, dari Kampung Gaung, Lati, Pasir Mas pula cedera parah. Mereka kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
Mereka nyaris rentung namun sempat dikeluarkan oleh orang ramai yang datang membantu.
Isteri mangsa, Marzuany Syuhaida Mohamad Sukri, 39, memberitahu, dua beranak itu keluar pada pukul 7.30 malam dan dikatakan akan makan malam selepas pulang menghantar saudaranya berlepas ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

Trauma diculik hampir dua jam


RUMAH Nagaraja di Taman Desa Pelancongan, Lahat, Ipoh yang telah dikosongkan selepas didakwa diintip penjenayah yang menculik bapanya Jumaat lalu.


IPOH – Sebuah keluarga hidup dalam keadaan tidak keruan apabila bukan sahaja bapa mereka trauma selepas diculik hampir dua jam oleh sekumpulan lelaki pada Jumaat lalu, malah mendakwa hidup mereka kini ibarat pelarian kerana terpaksa meninggalkan rumah yang kerap diintip penjenayah.
Wakil keluarga itu, S. Nagaraja, 25, mendakwa, kejadian itu disyaki berkait rapat dengan sebuah firma guaman yang tidak berpuas hati kerana masih belum menerima upah selepas dia berjaya mendapatkan pampasan insurans sebanyak RM300,000 pada Oktober tahun lalu.
Mengimbau semula kejadian itu, pekerja sebuah restoran itu memberitahu, bapanya, A. Subramaniam, 52, telah diculik ketika hendak ke tempat kerjanya di sebuah kilang di kawasan perindustrian Lahat dekat sini pada pukul 3.30 petang.
Katanya, sekumpulan enam lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Perdana hitam kemudian telah membawa bapanya ke sebuah premis berhampiran Pasar Pinji Mewah dekat sini sebelum salah seorang suspek menghubunginya menggunakan telefon bimbit Subramaniam.
“Penculik itu menuntut wang RM210,000 termasuk upah mereka sebanyak RM50,000. Jika tidak mereka ugut mahu bunuh dan bakar bapa saya.
“Cemas dengan ugutan itu, saya kemudian telah membuat laporan di Balai Polis Simpang Pulai dekat sini sebelum bapa dapat dibebaskan selepas diculik hampir dua jam,” ceritanya pada sidang akhbar di Pusat Perkhidmatan dan Biro Pengaduan MCA Perak di sini semalam.

Mengundi itu wajib - Mufti Pahang




KUANTAN - Tanggungjawab untuk mengundi pada pilihan raya umum adalah sesuatu yang wajib, kata Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman (gambar).
Beliau berkata, mereka yang layak mengundi wajib berbuat demikian dalam membentuk sebuah kerajaan yang dapat membela kesucian agama dan keamanan.
"Pada zaman Rasulullah SAW dahulu ketika baginda wafat, pengebumian terpaksa ditangguh sebentar bagi melantik seseorang yang boleh memikul tanggungjawab sebagai khalifah.
"Daripada kisah itu, kita sudah dapat melihat betapa pentingnya pelantikan khalifah itu kepada masyarakat untuk melaksanakan agenda seterusnya ke jalan yang benar," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata, mengundi adalah fardu kifayah dan sekiranya ramai yang tidak melaksanakannya sehingga boleh menjejaskan pembentukan sesebuah kerajaan, maka tanggungjawab itu akan menjadi fardu ain.

MAS catat rugi bersih RM2.52b


AHMAD JAUHARI mengumumkan keputusan kewangan MAS di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Malaysian Airlines System Bhd. (MAS) mencatat kerugian bersih RM2.52 bilion hasil daripada RM13.9 bilion perolehan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya berkata, bagi tempoh suku keempat, syarikat penerbangan negara itu merekodkan RM1.28 bilion kerugian bersih, hasil pusing ganti sebanyak RM3.68 bilion.
Menurutnya, kerugian kumpulan bagi tahun 2011 menunjukkan pentingnya syarikat penerbangan itu segera melaksanakan usaha untuk mengekang kerugian itu.
"Ini termasuk penempatan semula petugas, meningkatkan produktiviti, kecekapan dan kawalan kos serta membuat kajian selanjutnya.
"Kami juga harus melaksanakan strategi pemasaran dan jualan agresif," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Ahmad Jauhari menjelaskan, prestasi setahun penuh kumpulan itu terjejas teruk akibat peningkatan 21 peratus perbelanjaan berjumlah RM16.2 bilion berbanding RM13.41 bilion pada 2010.
Beliau berkata, perbelanjaan tinggi itu disebabkan oleh peningkatan 33 peratus kos bahan api sebanyak RM5.85 bilion dan peningkatan 15 peratus perbelanjaan bukan minyak sebanyak RM10.43 bilion.

Menara komunikasi tertinggi siap dibina


GAMBAR yang dirakamkan kelmarin
menunjukkan menara komunikasi paling tinggi di dunia, Tokyo Sky Tree di timur Tokyo.


TOKYO - Pembinaan menara komunikasi paling tinggi di dunia, Tokyo Sky Tree dengan ketinggian 634 meter di sini siap sepenuhnya semalam.
Pembinaan itu lewat dua bulan ekoran kejadian gempa dan tsunami yang melanda Jepun pada Mac tahun lalu yang menyebabkan kekurangan bahan binaan.
Tokyo Sky Tree turut diiktiraf sebagai bangunan kedua tertinggi dunia selepas Burj Khalifa di Dubai yang setinggi 828 meter.
Ketua-ketua industri pelancongan di negara ini berharap menara setinggi 634 meter itu akan dapat menarik kehadiran ramai pelancong asing.
Bilangan pelancong asing menurun di Jepun selepas bencana tsunami dan krisis nuklear yang berlaku pada tahun lalu.
Pembinaan menara di timur Tokyo itu bermula pada Julai 2008 dan mengikut jadual asal ia sepatutnya siap dibina pada Disember tahun lalu.
Tokyo Sky Tree turut mengatasi Menara Canton di Guangzhou, China yang setinggi 600 meter dan Menara CN setinggi 553 meter di pusat bandar Toronto, Kanada.
Seramai 580,000 pekerja terlibat dalam pembinaan menara itu yang menelan belanja AS$806 juta (RM2.4 bilion). - AFP

No comments:

Post a Comment