Tangkal Geng Buyong tak menjadi
|
KUALA LUMPUR – Dua lagi anggota Geng Buyong yang menjadi buruan kerana bermaharajalela melakukan jenayah di Kelantan ditembak mati di hadapan sebuah bank di Taman Datuk Ahmad Razali di Ampang malam kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, dua suspek yang terbunuh ialah Mohd. Hazwan Mat Buni dan Mohd. Nasrul Fadil Mat Nasir, kedua-duanya berusia lingkungan 20-an.
Semasa pemeriksaan dibuat ke atas mayat Nasrul, suspek didapati memakai beberapa tangkal di leher dan jari dipercayai bagi mengelak dicekup atau ditembak mati.
Dengan kematian dua penjenayah itu, seramai empat penjenayah Geng Buyong daripada 10 anggotanya telah ditembak mati. Sebelum ini, polis menembak mati dua anggota penjenayah itu di hotel bajet Kencana Lodge di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu, Kelantan pada 18 April lalu.
Dua suspek itu ialah Elezulhelmie Ilias, 24, yang dikenali sebagai Emi Lias dan rakannya, Ahmad Izzudin Che Deraman, 24, yang dipanggil Din Billion.
Berikutan kejayaan menumpaskan Mohd. Hazwan dan Mohd. Nasrul itu, polis memburu enam lagi anggota Geng Buyong termasuk ketuanya yang dikenali sebagai Buyong atau nama sebenarnya Nor Tarmimi Md. Salleh, 29.
Terkejut air telaga bertukar merah
PASIR PUTEH – Sebuah telaga berusia lebih 10 tahun di Kampung Pintu Gerbang, Dalam Ru dekat sini kini menjadi tumpuan orang ramai apabila airnya yang jernih bertukar kepada warna merah seperti sirap.
Pemilik perigi berkenaan, Ramli Mohd. Nor, 47, berkata, air telaga sedalam 3.65 meter itu yang selama ini digunakannya untuk menghasilkan keropok secara kecil-kecilan mengalami perubahan tersebut sejak dua minggu lalu.
Lebih menakjubkannya, walaupun berubah warna sehingga dianggap aneh, air tersebut tidak berbau manakala rasanya tawar seperti air biasa.
“Sudah lama saya gunakan air perigi ini yang sememangnya jernih dan sebab itu saya terkejut apabila warnanya tiba-tiba berubah.
“Saya cuba menyedut telaga ini dengan pam untuk membuang air yang berwarna merah tetapi keadaan tetap tidak berubah,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Berikutan kejadian itu, dia menggali telaga itu sedalam semeter lagi dengan harapan airnya akan kembali jernih tetapi ia tidak berlaku.
Menurutnya, kerja-kerja menggali dan mengepam air perigi itu yang dilakukan sejak tiga hari lepas dengan bantuan penduduk kampung terpaksa dihentikan semalam kerana tiada perubahan.
Jangan terpedaya janji kosong pembangkang
KABONG (Sarawak) - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat tidak dapat hidup dengan harmoni jika terus terpedaya dengan pembangkang yang hanya pandai menabur janji bagi meraih sokongan undi setiap kali menjelang pilihan raya.
Perdana Menteri berkata, pembangkang hanya mampu memperdagangkan janji kosong dan selepas mendapat apa yang dihajati, mereka tidak mampu menunaikan janji kepada rakyat.
"Pembangkang mungkin boleh menjanjikan kita bermacam-macam. Pada pilihan raya umum 2008, mereka buat banyak janji di Selangor tetapi hari ini kebanyakan janji itu tidak ditunaikan," katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat yang dihadiri oleh 5,000 penduduk pekan Kabong di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Najib berkata, sikap pemimpin pembangkang itu berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mana pemimpinnya sentiasa memastikan rakyat tidak kira di bandar mahupun luar bandar mendapat nikmat pembangunan secara adil dan saksama.
Jangan berarak, berhimpun di Dataran Merdeka
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi amaran keras kepada penganjur perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka hari ini agar tidak berarak dan berhimpun di jalan raya sekitar kawasan tersebut kerana ia mengganggu perjalanan trafik.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail menegaskan, pihaknya tetap berpendirian tidak meluluskan perhimpunan tersebut di Dataran Merdeka setelah rundingan bersama pihak penganjur menemui jalan buntu.
"Kita sudah menawarkan Stadium Merdeka yang cuma mengambil masa 30 minit jika berjalan kaki dari Dataran Merdeka untuk himpunan Bersih 3.0 tetapi mereka masih berdegil mahu membuat demonstrasi jalanan.
"Alternatif lain yang dicadangkan adalah mengadakan sidang media bersama penganjur bagi menyuarakan kehendak mereka tetapi turut ditolak," katanya pada sidang akhbar di Menara DBKL di sini semalam.
Niat sebenar penganjur menjadi tanda tanya apabila penganjuran Bersih kali ini menolak tawaran berhimpun di Stadium Merdeka walaupun mereka beriya-iya mahu menggunakan stadium tersebut pada Bersih 2.0 lalu.
Jelas Ahmad Fuad, DBKL menyerahkan kepada pihak polis untuk mengawal keadaan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang membuat provokasi.
Pelajar Eropah diculik depan sekolah
KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri warga Belanda tidak keruan apabila anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun hilang dilarikan dua lelaki di depan Mont Kiara International School di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi, Nayati Shamelin Moodliar (gambar kecil), 12, anak sulung daripada dua beradik, berjalan kaki seorang diri dari rumahnya yang terletak kira-kira 300 meter dari sekolah.
Belum sempat mangsa melangkah masuk ke dalam kawasan sekolah, seorang saksi melihat mangsa ditarik oleh dua lelaki berketurunan India masuk ke dalam kereta Proton Gen2 warna hitam bernombor pendaftaran WNH 1356.
Saksi itu mendakwa, kereta itu menunggu mangsa di satu selekoh yang jaraknya hanya 50 meter dari pintu pagar sekolah.
Bagi menyelamatkan diri, Nayati yang merupakan pelajar pintar melemparkan beberapa keping kertas bagi menarik perhatian orang awam.
Penyamun maut ditembak Datuk
KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk bertindak berani apabila menembak mati seorang lelaki warga asing yang cuba menyamun dengan memecah masuk banglo miliknya di Taman Bukit Ledang, Jalan Duta di sini semalam.
Lelaki warga Indonesia berusia 37 tahun itu mati di tempat kejadian manakala tiga lagi rakannya dapat melarikan diri.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, empat lelaki terbabit dipercayai baru sahaja memasuki kediaman ahli perniagaan itu, namun, ia disedari oleh mangsa yang ketika itu masih belum tidur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, ahli perniagaan berusia 60-an itu kemudian mengambil pistol miliknya lalu menembak ke arah kumpulan lelaki berkenaan dan mengenai salah seorang daripada mereka.
KFC diarah bayar RM25j kepada gadis lumpuh
|
SYDNEY, Australia - Rangkaian makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) diperintah oleh sebuah mahkamah Australia supaya membayar ganti rugi sebanyak AS$8.3 juta (RM25.26 juta) kepada keluarga seorang gadis yang lumpuh kerana kerosakan otak selepas dia memakan hidangan KFC yang tercemar.
Ketika kejadian itu berlaku pada tahun 2005, gadis tersebut, Monika Samaan berusia tujuh tahun.
Samaan, ibu bapa dan saudara lelakinya terpaksa dirawat di sebuah hospital kerana keracunan bakteria salmonella selepas mereka memakan hidangan Twister ayam di sebuah restoran KFC dekat sini.
KFC yang dimiliki oleh Yum! Brands dalam satu kenyataan menyifatkan kes itu sebagai tragis tetapi ia kecewa dan terkejut dengan keputusan itu.
Kenyataan yang sama menyatakan KFC akan membuat rayuan berhubung keputusan berkenaan.
Pada minggu lalu, seorang hakim Mahkamah Agung New South Wales memihak kepada keluarga Samaan dengan menyatakan, KFC telah melanggar tanggungjawab untuk menyediakan penjagaan kepadanya.
Hakim itu kemudian mengumumkan RM25.26 juta sebagai bayaran ganti rugi dan kos perbicaraan tersebut.
Media Australia memetik peguam gadis tersebut, George Vlahakis sebagai berkata, kos rawatan Samaan yang tinggi menyebabkan keluarganya ditimpa masalah kewangan.
"Pampasan itu amat di perlukan oleh mereka," kata Vlahakis. - Reuters
No comments:
Post a Comment