Ajaran 'Kerajaan Langit' Ayah Pin diwarta sesat
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu menyenaraikan empat ajaran sesat termasuk ajaran 'Kerajaan Langit' Ayah Pin bertentangan dengan ajaran Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat berkata, tiga ajaran lain ialah Aurad Muhammadiah pegangan Darul Arqam yang dibawa Ashaari Muhammad, ajaran Azhar Abdul Wahab dan Syarikat Rufaqa' Corporation dan rangkaian syarikat-syarikat gabungannya yang masih membawa Aurad Muhammadiah.
"Sehingga kini, Jabatan Agama Islam negeri telah mendakwa seramai 52 orang yang terlibat dengan ajaran sesat Ayah Pin termasuk pengasasnya, Ariffin Mohammed.
"Bagi tiga lagi ajaran sesat itu, belum ada pendakwaan dibuat," kata Khazan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam.
Jawatan mufti dinaik taraf
BANGI - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jawatan mufti akan dinaik taraf setara dengan Exco kerajaan negeri dan akan menerima faedah yang serupa diperoleh Exco.Beliau berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) di Putrajaya semalam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan turut dihadiri menteri-menteri besar, Exco agama dan Majlis Agama Islam negeri-negeri seluruh negara.
"Setaraf ini misalnya daripada segi taraf, protokol, penggajian, elaun serta kemudahan yang diguna pakai oleh Exco.
"Kita mengangkat taraf mereka ini agar pengurusan pentadbiran agama dilihat dengan baik dan mempunyai penghormatan yang tinggi," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Wanita kudung jual bayi didakwa
|
KLANG – Seorang wanita warga Singapura yang kudung kaki kirinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memperdagangkan seorang bayi berusia 22 hari bagi tujuan eksploitasi pada awal bulan ini.
Lee Hwee Bin, 36, didakwa memperdagangkan bayi bagi maksud eksploitasi iaitu menjual bayi lelaki itu di luar Starbucks Coffee, Jusco Bukit Tinggi, Klang pukul 11.30 pagi, 6 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Tertuduh, Hwee Bin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut.
Dia yang kudung kaki kirinya terpaksa disorong dengan kerusi roda untuk memasuki mahkamah.
Semasa ditahan, tertuduh dalam proses menjual seorang bayi yang berketurunan Cina dan India itu kepada sepasang suami isteri.
Sementara itu, peguam yang mewakili tertuduh, K. Muthiah berkata, Hwee Bin mempunyai masalah kehilangan pasport miliknya dan perkara itu sudah dilaporkan kepada polis.
Cari ayam jumpa rangka
GUA MUSANG – Misteri kehilangan seorang remaja tomboi sejak 21 hari lalu terungkai apabila rangka gadis itu ditemui di ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh di sini kelmarin bersama motosikal miliknya yang hangus.
Rangka Nor Ain Shafnie Mohd. Azizi, 16, yang hilang sejak 3 April lalu ditemui seorang pemandu lori membawa kelapa sawit pada pukul 6 petang beserta dompet, kad pengenalan dan sebuah motosikal.
Polis mengesyaki Nor Ain turut dibakar bersama motosikal miliknya.
Ekoran penemuan itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, enam lelaki dan dua wanita berusia 17 hingga 30 tahun ditahan semalam bagi membantu siasatan.
“Enam yang ditahan merupakan individu yang mengenali mangsa dan bersama mangsa sebelum mangsa hilang. Lima daripada mereka termasuk seorang suspek wanita positif dadah,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut beliau, Nor Ain dilaporkan tidak pulang ke rumah di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh di sini selepas keluar pada pukul 9 pagi, 3 April lalu dengan menunggang motosikal Kriss bernombor pendaftaran AEK 4943.
Ekoran itu, keluarganya membuat laporan polis mengenai kehilangan Nor Ain yang merupakan anak bongsu daripada sepuluh adik-beradik.
Tina dirayu pulang ke pangkuan keluarga
KOTA BHARU - Seorang ibu merayu anaknya, Norzaidatina Yunus, 18, pulang semula ke pangkuan keluarga selepas dipercayai meninggalkan rumah mereka di Kampung Sungai Keladi, Chetok, Pasir Mas dekat sini sejak 16 April lalu.
Azizah Abdul Samad, 42, yang bekerja mengambil upah menoreh getah berkata, dia menyedari kehilangan anaknya yang dipanggil Tina kira-kira pukul 6.30 pagi apabila hendak mengejutkan anaknya itu menunaikan solat Subuh.
Menurut Azizah, dia mengesyaki anaknya itu meninggalkan rumahnya pada awal pagi dan dia tidak pulang sehingga ke hari ini.
"Saya dan saudara-mara lain sudah puas mencari Tina di sekitar kampung berdekatan tetapi gagal ditemui.
"Saya membuat laporan kehilangannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas kira-kira pukul 4 petang dan berharap Tina segera pulang," katanya di sini semalam.
No comments:
Post a Comment