Sunday, April 22, 2012

IKUT SUAMI WAJIB...BUKAN HARUS...PETUA ZINA LAKSANAKAN HUKUM HUDUD...

Pelajar Upsi maut jatuh bangunan cedera parah
ROSDALILAH ZAHARI
22 April 2012
upsi
IPOH - Penuntut semester empat jurusan pendidikan awal kanak-kanak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), yang maut akibat terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan pusat pengajian tinggi itu petang semalam, mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan, kata polis.
Mangsa, Fatimah Mina Md Juferi, 22, dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian dalam insiden tersebut.
Jenazah mangsa telah dibawa pulang ke rumahnya di Muar, Johor, awal pagi tadi untuk dikebumikan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, siasatan awal dibuat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di Bangunan E-Learning kampus universiti itu.
Menurutnya, mangsa dipercayai meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan apabila terjatuh dari tempat tinggi.
"Antara kecederaan yang ditemui pada tubuh mangsa termasuklah patah di beberapa bahagian badan iaitu rusuk kiri dan kanan, kaki kanan serta bahu kiri dan kanan.
"Manakala, hidung mangsa turut patah selain dagu berlekuk kesan daripada impak jatuhan yang kuat menyebabkan berlaku kecederaan serius sehingga menyebabkan mangsa meninggal di tempat kejadian.
"Kes disiasat mengikut Laporan Kematian Mengejut (SDR)," katanya.

Tak boleh tahan hidup sendirian



KUALA LUMPUR: “Mana boleh tahan hidup macam tu... kalau setahun dua mungkin tak apa, tapi ini hampir lima tahun,” kata Shima, 29, yang mendakwa terseksa zahir dan batin kerana hanya bertemu suaminya sekali seminggu.
Bukan kerana suami mempunyai isteri atau kekasih lain, tetapi disebabkan terlalu sibuk dengan tugasnya sebagai jurutera yang memerlukannya sering ke luar daerah dan hanya pulang seminggu atau dua minggu sekali.
“Saya bagaikan isteri hujung minggu. Ada suami tapi hanya seminggu atau dua minggu sekali bertemu. Sehari selepas itu, saya ditinggalkan lagi. Begitulah rutin rumah tangga kami. Lama-kelamaan saya menjadi jemu dengan kehidupan sebegitu,” katanya kepada Metro Ahad.

Walaupun hidupnya dilimpahi kemewahan kerana pendapatan suaminya lumayan, ia tidak memadai buat Shima yang terperuk di rumah sendirian.


Selepas hampir lima tahun mendirikan rumah tangga, dia yang sering kesunyian disebabkan kesibukan suami dengan tugas, mula mencari keseronokan di luar.

Tersepit bawah treler

Laporan dan foto ZUL IKHWAN MUHAMMAD
am@hmetro.com.my

CEMAS... anggota Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan awal pagi semalam.
CEMAS... anggota Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan awal pagi semalam.
ENDAU: Seorang pemuda hampir maut apabila Proton Saga dipandunya terperosok di bawah treler dalam kemalangan di Kilometer 1 Jalan Tanjung Gemuk, Endau–Rompin, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3 pagi, Abu Neklah, 32, dikatakan keluar dari Simpang Kampung Pianggu sebelum merempuh treler berkenaan yang gerak dari arah Endau.

Akibatnya, kenderaan berkenaan diseret 50 meter dan dia cedera di badan manakala pemandu treler, Ridzuan Adnan, 24, bersama kelindan, Zulkarnain Arnain, 21, tidak cedera.
Menurut Ridzuan, mereka dalam perjalanan dari Kemaman, Terengganu, dan hanya menyedari kemalangan selepas terdengar dentuman kuat selain terasa treler mengheret sesuatu.

“Sebaik mendengar bunyi dentuman, saya menurunkan tingkap untuk melihat cermin pandang sisi dan terkejut apabila mendapati ada kereta di bawah treler.

“Kami kemudian turun dan cuba membantu mangsa tetapi gagal kerana dia tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.

Berikutan itu, katanya, mereka menghubungi pihak berkuasa sebelum sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Endau dan Rompin tiba 20 minit kemudian.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Mersing untuk menerima rawatan,” katanya.

Saya masih hidup

Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB
yusliza@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya kesal ada pihak sanggup menyebarkan berita mengenai kematian saya, tapi biarlah... saya tak kisah orang nak buat apa,” kata pelakon dan pelawak, Husin Mohd Rawi, 40, atau lebih dikenali sebagai Bob Kuman.
Beliau berkata demikian selepas berita palsu mengenai kematiannya tersebar luas di Internet, termasuk di laman sosial seperti Twitter dan Facebook yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab, semalam.


  Foto
Bob ketika dihubungi Metro Ahad semalam bagaimanapun enggan mengulas lanjut berikutan pernafasannya yang tersekat-sekat akibat penyakit dihidapinya.

Sehubungan itu, dia menyerahkan telefon kepada seorang wanita yang mengakui isterinya, namun enggan memperkenalkan diri ketika ditanya nama dan menjelaskan keadaan kesihatan suaminya beransur pulih berbanding sebelum ini dan masih meneruskan rawatan.


“Saya terkejut selepas mendengar berita itu dan terkilan kenapa ada orang tergamak menyebarkan kenyataan seperti itu. Sepatutnya pihak terbabit perlu merujuk kepada sumber atau mereka yang terdekat untuk mengesahkan keadaan sebenar.

Isteri cari lelaki muda selepas suami muflis



DISEBABKAN tuntutan tugas, Amran terpaksa hidup bersendirian di Johor Bahru dan berjauhan dengan isteri, Ena yang bertugas sebagai pegawai perhubungan awam sebuah syarikat di ibu kota.
Begitupun, Amran (bukan nama sebenar) tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga yang dibina sejak 18 tahun lalu. Setiap Sabtu dan Ahad, dia cuba pulang ke ibu kota untuk bertemu Ena (bukan nama sebenar).

Bagaimanapun, bergelar suami hujung minggu dan perpisahan sementara itu menjadi punca keruntuhan rumah tangganya yang kini retak menunggu belah.
Amran tidak menafikan sebelum itu hubungan dengan isteri bermasalah gara-gara dia diisytiharkan muflis apabila syarikat miliknya terpaksa menghentikan operasi dan menanggung hutang bank.

Ini berikutan perniagaan dijalankan bersama abang kandung dan menggunakan namanya sebagai peminjam tidak mampu menanggung beban hutang lebih RM600,000.

Sebaik diisytiharkan muflis, dia terpaksa memulakan hidup baru dengan serba kepayahan. Ini kerana undang-undang memperuntukkan orang yang diisytihar muflis hanya layak ‘memegang wang RM10’ sehari, tidak boleh memiliki kad bank dan banyak halangan lain.

Buat permulaan, dia cuba mencari kerja lain tetapi banyak syarikat tidak mahu menerimanya dengan memberi pelbagai alasan.

Sebenarnya, Amran memiliki ijazah dalam bidang perniagaan dari universiti luar negara, namun ketika memohon pekerjaan, dia hanya menggunakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya senang ditawarkan kerja.
Akhirnya permohonan menjadi pemandu peribadi kepada seorang usahawan diterima. Amran menunjukkan dedikasinya yang tidak berbelah bahagi.

Walaupun terpaksa berpisah dengan keluarga beberapa hari dan minggu kerana mengikut majikan yang sering memantau kilang di Johor Bahru, Amran menghubungi isteri dan anak hampir setiap hari.

Pada mulanya Ena tidak merungut, tetapi lama-kelamaan dia seolah-olah tidak suka kerjaya Amran dengan alasan penat menguruskan tiga anak sendirian kerana suami tiada di sisi.

Amran tetap meminta isteri memahami keadaan dirinya kerana bukan senang orang yang diisytiharkan muflis mendapatkan pekerjaan, sedangkan dulu dia memiliki segala-galanya — harta, banglo dan kereta mewah.

Semakin lama dia merasakan ada sesuatu disembunyikan isteri, apatah lagi Ena yang bekerja di syarikat konglomerat terkenal dinaikkan pangkat selepas hanya enam bulan bekerja.

“Seorang teman rapat kemudian memberitahu, dia kerap nampak isteri saya keluar dengan lelaki lain. Saya menyangkal tuduhannya kerana tidak mungkin isteri bersikap begitu.

“Mungkin rakan saya sengaja mereka-reka cerita kerana cemburu dengan kebahagiaan kami, tetapi dakwaannya mula mengganggu fikiran.

“Ini membuatkan saya tertekan kerana jauh di sudut hati, saya mula terfikir yang bukan-bukan. Tambahan pula, layanan isteri terhadap saya makin hambar,” katanya.

Ini menyebabkan dia mengambil keputusan menyiasat kelakuan isterinya kerana enggan mendengar cerita tanpa usul periksa.

Amran berkata, dia membuat perancangan sendiri apabila memberitahu mahu pulang ke Johor Bahru tetapi sebenarnya mengambil cuti kerana hendak mengintip perbuatan isteri.

Dia juga mengupah seorang pengawal di tempat kerja Ena untuk mengintip kegiatan hariannya.

“Saya tahu tugas isteri sebagai pegawai perhubungan awam sering menemukannya dengan pelanggan daripada pelbagai syarikat dan individu, namun daripada cerita didengar, dia menjalin hubungan dengan rakan sekerja, menyebabkan rasa ingin tahu saya memuncak,” katanya.

Amran mengaku pernah ternampak kelibat isterinya dengan lelaki yang jauh lebih muda bergandingan ke restoran mewah dalam keadaan sungguh mesra dan sering berdua-duaan di hotel.

Semua cerita itu menghantui dirinya hinggalah satu hari dia nekad menceroboh dan memasuki pejabat isteri yang kebetulan ketika itu berbual mesra dengan seorang lelaki.

Ketika itu berlaku pertengkaran hebat membabitkan mereka bertiga hingga isterinya secara terang-terangan mengakui rasa cinta terhadap Amran sudah lama pudar lalu meminta cerai sambil disaksikan rakan sekerja.

“Isteri juga mengaku hubungannya dengan lelaki bujang itu sudah intim dan meminta dilepaskan kerana tidak mahu lagi hidup bersama saya. Saat itu, hati saya hancur luluh dan sungguh tertekan serta terbayang anak kami.” “Walaupun berkali-kali memujuk hinggakan saya sanggup memaafkan kesilapannya, isteri tetap berkeras mahu bercerai.” “Sikap lelaki itu yang langsung tidak mengakui kesalahannya membuatkan saya naik angin lalu bertanya apakah dia benar-benar mencintai isteri saya. Dia dengan selamba mengakui mencintai Ena.

“Bayangkan betapa hinanya saya saat itu. Saya kemudian ke pejabat agama untuk mendapatkan kaunseling sebelum memfailkan perceraian sesudah berfikir panjang, tak guna terus menyayangi orang yang tidak menyintai kita lagi.

“Hampir setahun berulang-alik ke mahkamah syariah, akhirnya kami disahkan bercerai dan bekas isteri kemudian berkahwin dengan lelaki itu dan anak diletakkan di bawah jagaannya.

“Tak tahan dengan pengalaman pahit itu, saya membawa diri ke luar negara mengikut bapa saudara saya menetap di sana selama lima tahun,” katanya.

Kini Amran kembali ke tanah air dan membuka perniagaan kecil, tetapi tidak mungkin berkahwin lagi kerana serik dengan apa yang pernah dilaluinya.

Budak cedera diketuk kekasih ibu

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun cedera di kepala dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, selepas dipercayai dipukul teman lelaki ibunya di sebuah kampung di Manir, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9 malam, mangsa dipercayai dipukul suspek berusia 26 tahun ketika bersama ibunya berusia 22 tahun di kediaman lelaki terbabit.

“Suspek yang panas baran dipercayai memukul mangsa selepas berang dengan kanak-kanak terbabit yang dikatakan aktif.
“Mangsa yang cedera di kepala kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut dan kini ditempatkan di wad kanak-kanak. Laporan kejadian dibuat di pondok polis HSNZ,” kata sumber kepada Metro Ahad.

30 tahun berjauhan



KUALA LUMPUR: Sepanjang lebih 30 tahun berumah tangga, Shamsuddin Sulaiman, 56, tidak pernah tinggal sebumbung bersama isteri sebagaimana pasangan lain.
Selayaknya dia digelar ‘suami hujung minggu’ kerana hanya bertemu isteri tercinta, Sakinah Mat Ali, 54, pada hujung minggu sama ada seminggu atau sebulan sekali.

Itupun selepas menempuh perjalanan hampir 500 kilometer kerana Shamsudin bertugas di ibu kota, manakala pasangannya bekerja di Kota Bharu.
Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Penguat kuasa) di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu berkata, sehingga kini, beliau terpaksa berulang-alik ke Kota Bharu menggunakan bas.

“Saya pernah ditukarkan ke JPJ Kota Bharu selama enam tahun dan berharap dapatlah bersama keluarga tapi ditakdirkan, isteri pula dihantar berkursus tiga tahun di Pulau Pinang.

“Selama isteri menjalani kursus jururawat, saya menjadi ‘Mr Mama’ dan menjaga dua anak yang masih bersekolah ketika itu, iaitu si abang dalam tahun enam manakala adiknya di tahun satu.

“Bayangkan, sebelum Subuh saya bangun untuk menjerang air bagi memandikan anak sebelum menyediakan sarapan dan pakaian mereka ke sekolah.

“Kalau tak sempat masak, kami hanya makan di kedai kerana perjalanan pergi balik ke tempat kerja sejauh 40 kilometer setiap hari memaksa saya bijak mengurus masa.
“Pengalaman menjaga anak bersendirian sebenarnya bukan mudah kerana saya terpaksa menjadi ‘suri rumah’ bagi memastikan mereka terurus, biarpun ada kalanya terasa seolah-olah ‘patah’ sebelah kaki,” katanya.

Kesibukan dengan tugas dan terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk menemui keluarga setiap minggu tidak menghalang Shamsuddin meneruskan cita-citanya bergelar siswazah dengan mengikuti kursus Sains Kemasyarakatan dengan pengkhususan dalam Sains Politik melalui Program Jarak Jauh di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Walaupun kursus pengajiannya secara jarak jauh selama enam tahun, dia juga perlu menjalani program sepenuh masa di kampus selama setahun.

Sebaik isterinya menghabiskan kursus, beliau pula terpaksa ke kampus USM di Minden, Pulau Pinang bagi memenuhi tuntutan pengajian akhirnya demi menggenggam Ijazah Sarjana Muda yang diidam.

Sepanjang perkhidmatan, Shamsuddin ditukar ke pelbagai destinasi termasuk Muar, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuantan, Temerloh, Kota Bharu dan terkini di Setapak, Kuala Lumpur.

Sepanjang tempoh perkahwinannya, beliau tidak pernah ditukarkan di lokasi sama dengan isteri. Bagi lelaki berasal dari Rantau Panjang, Kelantan ini, komitmen terhadap kerjaya adalah segala-galanya.

Walaupun tinggal berjauhan, beliau tidak pernah cemburu atau menaruh syak wasangka terhadap isteri kerana kejujuran menjadi asas dalam perkahwinan mereka.

Begitu juga si isteri yang tidak pernah curiga kerana setiap hari mereka saling berhubung menerusi telefon atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk bertanya khabar anak, selain menyatakan kasih sayang yang mendalam antara satu sama lain.

Tegasnya, walaupun tinggal berjauhan dan bergantung harap kepada isteri untuk mendidik anak, beliau bersyukur kerana kedua-dua cahaya mata mereka berjaya ke menara gading.

Anak sulung, Shamsa Syazwan, 28, graduan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dalam Kejuruteraan Bioteknologi, manakala si bongsu, Shamsa Syuhada, 24, memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Teknologi dari Universiti Tun Hussein Onn.

Ditanya pengalaman pahit sepanjang menjalankan tugas, Shamsuddin tidak menafikan pernah dimaki dan diugut pengusaha bas kerana menyaman dan mendenda mereka yang tiada permit di Muar, Johor pada awal 1990-an.

“Selain mengugut, lelaki itu juga berdoa supaya saya ditimpa bala. Saya yang berpegang kepada prinsip tidak pernah gentar dengan apa saja cabaran kerana sebagai penjawat awam, apa dilakukan itu mengikut undang-undang,” katanya.

“Pada saya, kita hidup bukan kerana doa dan mati bukan kerana sumpah orang,” katanya.

Uji keteguhan cinta pasangan



JOHOR BAHRU: Orang lain mungkin tidak mampu menyelami apa dirasai Hasnita, 48. Ketika hidup berjauhan dengan suami selama 17 tahun kerana bertugas di daerah berbeza walaupun tinggal di negeri sama, keperitan ditanggung benar-benar menguji keutuhan cinta pasangan yang berkahwin 27 tahun ini.
Bertugas sebagai guru di Batu Pahat, Hasnita tidak menafikan banyak cabaran menguji kesabarannya dan rasa cemas sentiasa mengintai dirinya, lantaran suami bertugas di Johor Bahru.

“Pada mulanya saya panik dan tak kuat semangat kerana mempunyai tiga anak yang masih kecil untuk diurus. Rutin harian saya, pagi hantar anak ke tadika manakala tiga lagi ke sekolah rendah.
“Perbezaan kelas seperti seorang di sebelah pagi dan seorang lagi sebelah petang membuatkan saya perlu bijak mengurus masa.

“Saya bernasib baik kerana sepanjang tempoh itu, emak tinggal bersama selepas kematian ayah. Sedikit sebanyak beban menjadi ringan kerana ibu banyak membantu dan memantau cucunya pulang ke rumah ketika saya bertugas.

“Namun, tugas menghantar dan mengambil anak tetap saya jalankan walaupun dalam serba kepayahan kerana hanya mempunyai sebuah skuter.

“Seawal jam 4 pagi, saya bangun dan memasak untuk sarapan sebelum mengejutkan anak untuk ke tadika. Kemudian menghantar seorang demi seorang anak ke sekolah rendah atau agama.

“Disebabkan skuter itu kecil, saya terpaksa berulang-alik sebelum ke sekolah dan mengajar. Begitulah rutin harian yang terpaksa saya dilalui.
“Dugaan pertama sebaik berjauhan dengan suami ialah skuter saya dilanggar kereta, menyebabkan saya tergolek ke longkang.

“Walaupun tak parah, sakitnya tetap terasa, namun saya gagahkan juga pulang ke rumah kerana memikirkan ibu dan anak. Bayangkan, saya terpaksa menggagahkan diri dan berpura-pura tidak sakit dan terus menunggang skuter pulang ke rumah kerana bimbang keluarga menunggu lama,” katanya.

Hasnita berkata, sepanjang menunggang skuter ke rumah, dia menangis kerana terkenangkan suami yang jauh, lantas terdetik di hati betapa sukarnya hidup berjauhan tanpa suami di sisi.

Menurutnya, ketika itu suaminya baru dinaikkan pangkat dan bertugas dengan syarikat perbankan di Johor Bahru. Dia meminta suami tidak pulang kerana baru beberapa hari meninggalkan dia dan anak, namun atas nasihat majikan, suami pulang juga.

Berkat kesabarannya, Hasnita berjaya menempuh semua cabaran walaupun tidak menafikan ada suara sumbang membisikkan sesuatu yang kurang enak didengar kononnya suami bermain kayu tiga.

Tambahan pula, suaminya mengambil keputusan berhenti kerja dengan mencuba nasib menjadi usahawan dan terus menetap di Johor Bahru.

Memikirkan peluang perniagaan lebih banyak jika diteruskan di Johor Bahru, dia reda dengan ketentuan itu walaupun ada kalanya terselit rasa cemas di hatinya.

Saat perniagaan meningkat, suaminya menghadiahkan kereta buat isteri tercinta. Ini membuatkan keadaannya sedikit selesa dan yakin suami insan bertanggungjawab dan setia.

Sebaik anak sulung menamatkan pengajian di menara gading dan mengambil keputusan bekerja dengan bapa, kebimbangan hati Hasnita makin terubat.

Namun, katanya, sekali lagi dia diuji dengan khabar duka apabila ibu tersayang mengalami masalah penglihatan dan hampir tidak mampu melihat, menyebabkannya dimasukkan ke hospital.

Sepanjang menguruskan ibu yang sakit, dia cemas kerana tidak ada ‘lelaki’ tinggal bersama memandangkan anak sulungnya membantu perniagaan suami dan tinggal bersama bapanya, menyebabkan dia dan tiga anak lain bergilir-gilir mengurus ibunya di hospital.

Katanya, ketika itu dia hanya bersandarkan kepada Allah kerana bukan mudah mengurus ibu yang sakit, menyebabkan emosinya cepat tersentuh.

Selepas ibunya meninggal dunia, dia menjalani sesi kaunseling bagi mengukuhkan semangatnya yang hilang.

“Antara pesanan kaunselor yang menjadi pegangan saya ialah setiap ujian itu ada hikmah. Yang penting, jangan mudah berprasangka buruk terhadap suami, sebaliknya sentiasa berdoa supaya dia terus setia.

“Kalau berpegang kepada nilai positif, pengakhirannya akan dapat positif juga. Kata-kata itu saya pegang dan sehingga kini satu-persatu terasa hikmahnya,” katanya.

Tanda lelaki mula curang

KUALA LUMPUR: “Jika suami tiba-tiba mendapat panggilan telefon dan dia mula menjarakkan diri serta berbual secara sembunyi-sembunyi, isteri perlu curiga. Mungkin itu tanda dia mula curang,” kata pakar motivasi dan kaunseling, Klinik Hushim Motivation and Counselling Consultancy, Hushim Salleh ketika mengulas isu ‘suami hujung minggu’.
Katanya, berdasarkan kajian sepanjang menjalankan kaunseling terhadap beberapa pasangan, beliau mendapati ada suami yang dinaikkan pangkat atau ditukarkan ke kawasan lain dan tinggal berjauhan daripada isteri mula terdorong menjalin hubungan sulit dengan wanita lain kerana kesunyian.

Namun, katanya, semua masalah itu dapat diatasi jika pasangan terbabit bijak mengendalikan masalah dengan menolak perasaan curiga, syak wasangka atau cemburu buta. Ini kerana cabaran pasangan yang tinggal berjauhan lebih hebat berbanding tinggal serumah.
Hushim mengakui ramai pasangan kini terpaksa tinggal berjauhan disebabkan tuntutan tugas yang memaksa mereka berpindah ke kawasan lain.

Katanya, kebanyakan pasangan itu membabitkan kakitangan kerajaan, perbankan atau yang bertugas dengan syarikat cari gali minyak.

“Kalau pada era 1980-an guru paling ramai terbabit dengan pertukaran dan terpisah jauh dengan keluarga, kini ia turut membabitkan kerjaya lain.

“Jika isteri atau suami terpaksa ditinggalkan kerana tuntutan tugas, jangan cepat memikirkan perkara bukan-bukan, dikhuatiri menimbulkan bibit negatif kerana ia boleh merenggangkan hubungan.

“Saya lebih selesa memberi istilah suami hujung minggu ini kepada frasa ‘perkahwinan jarak jauh’ (PJJ) dan pernah mengendalikan kes sedemikian.
“Ada segelintir pasangan boleh bertolak ansur apabila seorang daripada mereka terpaksa meninggalkan keluarga kerana tuntutan tugas.

“Kejujuran kunci penting dalam hubungan kerana ia menjadi teras dalam perkahwinan. “Kajian mendapati sembilan daripada 10 pasangan berpotensi untuk curang berikutan ada ruang dan peluang melakukannya kerana tidak dapat dilihat pasangan.

“Jika suami tinggal sendirian atau berkongsi rumah dengan rakan bujang, dibimbangi dia terdorong membawa pulang teman wanita kerana tiada siapa menghalangnya. Jika ini tidak dibendung, akan berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau tidak menafikan perpisahan sementara itu mengundang rasa sunyi dan untuk mengatasinya, pasangan sewajarnya saling berkomunikasi.

Untuk itu, katanya, peralatan komunikasi seperti telefon dan Internet dapat membantu mereka berinteraksi setiap hari.

Hushim turut menyarankan pasangan terbabit kerap berjumpa, terutama jika seorang daripada mereka mempunyai lebih banyak masa.

“Ramai pasangan yang menjalani kaunseling menyatakan tidak sanggup berpisah dengan suami atau isteri, tapi jika enggan mengikut arahan pertukaran, sukar mendapat peluang naik pangkat.

“Ini menyebabkan ada yang rela menolak kenaikan pangkat kerana tidak sanggup berjauhan dengan keluarga,” katanya.

Menurutnya, masalah sedemikian banyak menimpa mereka yang lama mendirikan rumah tangga iaitu antara 10 hingga 20 tahun sehingga ada yang sanggup menghantar notis berhenti kerja bagi mengelak risiko itu.

Selalu pulang bawa hadiah

KUALA LUMPUR: Menjadi kemestian kepada pelakon dan dramatis, Wan Hanafi Su, 61, menghubungi isterinya, Sunarti Sunarto, 31, sekurang-kurangnya dua kali setiap sehari untuk bertanya khabar.
Bahkan, isterinya yang menetap di Alor Lintang, Besut, Terengganu sering ditinggalkan apabila dia terikat dengan jadual penggambaran filem atau drama.

Katanya, sesi penggambaran yang mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu menyebabkan dia terpaksa ke luar daerah, namun sebaik berpeluang berjumpa anak dan isteri, dia akan tergesa-gesa pulang bagi menyatakan kerinduan buat insan tersayang.
Sejak bergelar pelakon pada awal 1970-an, Wan Hanafi berkata, bergelar suami hujung minggu adalah perkara biasa baginya yang terpaksa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Terengganu atau dari mana-mana lokasi penggambaran.

Dia yang pernah meraih Anugerah Seri Angkasa sebagai Pelakon Pembantu Terbaik Lelaki (1995-1996) dan Pelakon Terbaik Lelaki (2005-2006) berkata, masanya sering terisi dengan pelbagai program sehingga tiada waktu untuk melakukan perkara kurang bermanfaat.

“Jadual harian saya sentiasa padat dengan lakonan atau dengan jadual atau kontrak tertentu sehingga tidak berpeluang melepak bersama rakan atau berbual kosong.

“Bila ada peluang berehat atau bercuti, saya segera pulang ke kampung kerana memikirkan isteri dan anak sudah lama saya tinggalkan dan mahu sentiasa bersama mereka.

“Saya jarang pulang dengan tangan kosong dan sentiasa belikan hadiah buat mereka sebagai pernyataan kasih sayang kerana pengorbanan keluarga sungguh besar maknanya,” katanya.

Petua elak zina

KUALA LUMPUR: Kegagalan memenuhi keinginan batin kerana suami dan isteri jarang bertemu atau tinggal berjauhan boleh mendatangkan tekanan, sekali gus mendorong kepada penurunan prestasi kerja dan kualiti hidup.
Bagaimanapun, ia boleh diatasi dengan beberapa alternatif dalam usaha membantu memberi kelegaan kepada pasangan terbabit.

Pakar sakit tuan, Dr Ismail Thamby berkata, antara alternatif dicadangkan ialah melakukan masturbasi atau onani iaitu satu cara seseorang lelaki atau perempuan mendapat kenikmatan seksual jika tidak dapat melakukan hubungan seks.
“Daripada segi pandangan perubatan moden, onani selamat dan tidak membahayakan. Seseorang sepatutnya tidak perlu berasa bersalah atau tertekan selepas onani.

“Malah, kajian menunjukkan 40 hingga 95 peratus mengamalkan masturbasi tanpa mengira jantina dan status perkahwinan,” katanya ketika dihubungi.

Dr Ismail berkata, bagi pasangan berkahwin, amalan itu sekurang-kurangnya dapat mengelakkan zina dan cara paling selamat kerana tidak membawa risiko mengandung atau jangkitan penyakit transmisi seks seperti HIV.

Katanya, pasangan terbabit juga perlu bijak menguruskan masa supaya masa untuk bersama ketika bertemu seminggu sekali digunakan sebaik-baiknya. Paling penting, ambil tahu bila isteri datang haid supaya anda tidak kecewa ketika pulang.

“Bagi lelaki yang mengalami masalah hiper seksualiti atau ‘nafsu kuda’ iaitu keinginan membuak-buak untuk melakukan hubungan seks tanpa mengira waktu, anda tidak digalakkan tinggal berjauhan dengan isteri.
“Walaupun dalam keadaan keletihan, mereka masih mahu melakukan hubungan seks. Malah, ada yang melakukannya sehingga tiga kali sehari! Ini sejenis penyakit mental dan memerlukan rawatan doktor,” katanya.

Dr Ismail berkata, pasangan normal akan melakukan hubungan seks dua hingga tiga kali seminggu dan bergantung kepada selera dan keinginan masing-masing.

 

Isteri harus ikut suami



KUALA LUMPUR: “Jangan dera diri sendiri (secara batin), dalam Islam tuntutan berkahwin adalah untuk hidup bersama, bukan tinggal berjauhan,” kata pendakwah bebas, Datuk Daud Che Ngah mengulas fenomena suami atau isteri hujung minggu.
Sehubungan itu, katanya, jika suami terpaksa bekerja atau ditukarkan bekerja di tempat yang jauh daripada kediaman sedia ada, isteri harus mengikut dan kalau terpaksa, perlu berhenti kerja untuk bersama pasangannya.

“Suami boleh beri nafkah secara zahir, itu mungkin tiada masalah, tapi jangan dera batin suami. Jangan juga mendera batin isteri, itu tidak boleh.
“Bukan soal (batin) itu saja, bagaimana kalau isteri sakit, anak sakit dan terjadi apa-apa yang tidak diingini? Fahami tujuan perkahwinan, ia sudah ditetapkan dan dinyatakan dalam al-Quran,” katanya ketika dihubungi.

Beliau dengan tegas berkata, tiada sebab pasangan berkahwin, terutama isteri, memberi alasan kerjaya dan faktor kewangan untuk tinggal berjauhan dengan suami kerana dalam Islam isteri tidak wajib bekerja.

“Kalau hendak sangat bantu suami, bekerjalah di tempat atau daerah sama dengan suami, bukan di negeri berlainan sehingga tidak boleh duduk sebumbung.

“Suami pun harus tahu tanggungjawab, berdosa meninggalkan isteri terlalu lama dan kerap semata-mata untuk mencari rezeki kerana isteri perlu dilayan (zahir dan batin) sewajarnya,” katanya. Sementara itu, pendakwah muda, Fathul Bari Mat Jahya berkata, tidak timbul masalah suami atau isteri menjadi ‘gersang’ akibat sukar memperoleh tuntutan nafkah batin jika pasangannya reda dan memahami karier masing-masing.

Katanya, sekalipun suami dan isteri masing-masing sibuk dengan kerjaya, ia tidak akan menjadi masalah jika mereka boleh bertolak ansur terhadap masalah berkenaan.
“Begitupun, ia tidak boleh dibiarkan berlanjutan, lebih afdal suami dan isteri terus bersama.

“Bimbang akan timbul masalah lain seperti hubungan menjadi renggang dan paling penting pandangan masyarakat sendiri, takut timbul fitnah,” katanya.

Cekup khalwat

GEORGETOWN: Seorang lelaki enggan memberi kerjasama bertindak agresif serta cuba melarikan diri daripada ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah rumah di Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU), di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, lelaki berusia 22 tahun itu berjaya ditahan walaupun anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) terpaksa bergelut dengannya jam 9.40 pagi.

Pemeriksaan terhadap rumah itu dilakukan selepas JHEAIPP menerima aduan kegiatan maksiat di kediaman terbabit.

Kelar leher

JOHOR BAHRU: Seorang kerani kilang simen ditemui mati mengerikan dengan kesan kelar di leher selain tikaman di dada di depan pintu rumahnya di tingkat tiga Flat Permas Jaya, Bandar Baru Permas Jaya, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi, penduduk menemui Kum Huey Lan, 46, dalam keadaan berlumuran darah dan menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, siasatan awal mendapati mangsa bertugas di Pasir Gudang.

No comments:

Post a Comment