Empat jam tercekik ikan puyu
|
KOTA BHARU – Seorang budak lelaki berusia empat tahun terpaksa mengharungi detik-detik cemas apabila tercekik seekor ikan puyu selebar tiga sentimeter di rumah datuknya di Kampung Pulai Condong, Machang kelmarin.
Muhammad Akhif Danish Shamsuri terpaksa bertahan dalam kesakitan selama empat jam sebelum doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) berjaya mengeluarkan ikan itu yang masih hidup dari dalam mulutnya.
Mangsa dipercayai cuba memegang ikan peliharaannya itu sebelum ia melompat ke dalam mulutnya.
Bapa mangsa, Shamsuri Shafie, 28, berkata, dia mendapat panggilan mengenai kejadian itu daripada adiknya sewaktu dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.
“Ikan puyu itu dikatakan tersangkut di dalam mulut anak saya dan hanya nampak ekor. Adik saya sempat memegang ekornya bagi mengelak ia terus masuk ke dalam kerongkong,” ujarnya ketika ditemui di hospital itu semalam.
Menurut Shamsuri, adiknya bergegas membawa mangsa ke Hospital Machang sebelum dipindahkan ke HRPZ II.
“Ketika itu mulut anak saya sudah berdarah terkena duri ikan itu. Nasib baik masih ada ruang untuk anak saya bernafas,” katanya.
Kata Shamsuri, doktor HRPZ II pada mulanya mahu melakukan pembedahan kecil pada bahagian halkum anaknya untuk mengeluarkan ikan tersebut.
Budak koma ditampar teman lelaki ibu
KUALA TERENGGANU - Seorang kanak-kanak berusia dua tahun, Mohd. Danish Aiman Abdullah koma selepas dipercayai ditampar teman lelaki ibunya di Kampung Tualang, Manir di sini kelmarin.
Suspek berusia 31 tahun itu dikatakan berang dengan kerenah mangsa lalu menamparnya sehingga tidak sedarkan diri dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam ketika mangsa dan ibunya yang merupakan bekas anggota tentera laut berusia 22 tahun berada di dalam bilik di rumah teman lelakinya.
Mereka tinggal di rumah suspek sejak tiga bulan lalu selepas wanita tersebut berselisih faham dengan suaminya dan kini dalam proses perceraian.
Rumah itu turut didiami beberapa ahli keluarga suspek, namun mereka tiada di rumah semasa kejadian.
Seorang ahli keluarga suspek yang enggan dikenali memberitahu, kejadian hanya disedari apabila ibu Mohd. Danish Aiman meminta bantuan adik perempuan suspek menghantar mangsa ke hospital.
Saya masih hidup - Bob Kuman
PETALING JAYA - Berita kematian pelakon dan pelawak, Bob Kuman yang tersiar di laman sosial dan Twitter semalam ternyata khabar angin yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd. Rawi, 41, ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 11, Kota Damansara di sini semalam berasa sedih dan kesal dengan penyebaran berita tersebut.
"Saya sedih kerana perkara sebegini terjadi kepada saya.
"Kepada para peminat, jangan cepat percaya kepada khabar angin dan doakan saya agar cepat sembuh," katanya yang mempunyai berat badan 219 kilogram.
Dia kini masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan kerana paru-parunya berair.
Sementara itu, pembantu perubatannya, Mohd. Farid Hamzah berkata, Bob dijangka pulih dalam tempoh sebulan lagi.
"Buat masa ini, dia tidak boleh mengambil makanan berkanji seperti nasi serta perlu minum banyak air.
Dadah biji gajus diseludup di KLIA
|
|
SEPANG - Taktik licik sindiket antarabangsa yang cuba menyeludup dadah ke negara ini dengan menyembunyikan bahan terlarang itu di dalam biji gajus tiruan berjaya dikesan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Khamis lalu.
Ia terbongkar selepas petugas Kastam yang melakukan imbasan terhadap sebuah bagasi pakaian curiga dengan isi kandungan enam paket plastik berisi biji gajus di dalam bagasi itu.
Pemeriksaan akhirnya mendapati biji gajus tiruan yang diperbuat daripada plastik itu mengandungi ketamin seberat 9.3 kilogram (kg) bernilai RM373,480.
Ketika pemeriksaan pada pukul 8.30 pagi itu, seorang pemuda berusia 23 tahun yang baru tiba dari Chennai, India membawa bagasi tersebut dan ia turut mengandungi bahan makanan lain seperti kacang hijau dan kacang dal.
Timbalan Pengarah Kastam KLIA, Siti Baya Berahan berkata, pemeriksaan mendapati biji gajus tiruan itu dicampur bersama biji gajus asli bagi memperdaya pihak berkuasa.
ESQ tidak tukar perubahan modul Majlis Fatwa
KUALA LUMPUR – Syarikat pengajaran program motivasi Emotional and Spiritual Quotient (ESQ) Leadership Training menafikan pihaknya mengingkari perubahan modul panel Muzakarah Fatwa Kebangsaan.Pengarah ESQ, Mohammed Razib Abu Bakar berkata, kajian tersebut telah dibuat sejak setahun lalu dan mereka yang dilantik merupakan panel penyelidik yang berwibawa dan pihaknya menerima perubahan itu secara sukarela.
“Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah mengeluarkan surat kebenaran mengatakan kebenaran untuk modul ESQ itu boleh diteruskan.
“Bagaimanapun, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan beberapa pihak tertentu mungkin mempunyai pendapat mereka tersendiri yang saya sendiri tidak tahu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Ratusan ribu komputer berisiko hilang akses Internet Julai depan
WASHINGTON, Amerika Syarikat - Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) memberi amaran lebih 570,000 ribu komputer di seluruh dunia akan kehilangan akses Internet pada Julai depan.Menurut satu kenyataan FBI, masalah itu bermula apabila penggodam antarabangsa menjalankan aktiviti penipuan pengiklanan di Internet untuk mengawal komputer yang dijangkiti virus.
Bagi menghalang gangguan Internet berlaku ke atas komputer yang digodam atau sakit, FBI telah mewujudkan satu jaringan keselamatan atas talian beberapa bulan lalu melalui komputer pihak berkuasa AS.
Namun, sistem keselamatan berkenaan akan ditutup tidak lama lagi.
Buat masa ini, pihak FBI menggalakkan pengguna supaya melayari sebuah laman web yang dikendalikan oleh sebuah badan keselamatan AS, www.dcwg.org.
Laman web berkenaan akan memaklumkan sama ada komputer mereka telah dijangkiti virus dan menerangkan cara-cara bagi menyelesaikan masalah itu.
Selepas 9 Julai depan, komputer yang dijangkiti virus tidak dapat digunakan bagi mengakses Internet. - Agensi
Mengasah skil rekaan di butik terbaik
|
SEBAIK saja memasuki ruang butik Old Blossom Store Box, di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, kelihatan Nurul Diyana Zainul Ihsan dan Balqeis Mohd. Radzi sedang asyik mendengar penerangan daripada Jezmine Zaidan, pemilik butik tersebut.
Sesekali mereka berdua melihat pakaian yang membaluti patung model dan menyelak buku rujukan. Sekiranya tidak memahami tentang sesuatu perkara itu, mereka pantas bertanya kepada Jezmine untuk keterangan lanjut.
Kemudian, Jezmine membawa mereka ke sudut jahitan yang terletak di bahagian belakang butik untuk mendedahkan proses jahitan.
"Kami perlu menumpukan perhatian dan mempraktikkan ilmu yang diajar oleh Jezmine. Dalam tempoh dua bulan ini, saya berusaha melakukan yang terbaik dan tak boleh ambil sikap sambil lewa bagi mengelakkan rekod buruk. Lagipun saya wajar menjaga nama baik universiti," jelas Nurul Diyana, yang mesra disapa Diyana kepada Stailo.
Diyana yang merupakan pelajar jurusan fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, sedang menjalani latihan praktikal di butik tersebut.
Sambil menjahit selendang, anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu menyifatkan latihan amali antara platform yang terbaik baginya memperbaiki dan memantapkan kemahiran diri. Di sini, dia diajar selok-belok rekaan dan proses jahitan pakaian yang ideal serta mengikut trend semasa.
"Menariknya, saya turut berpeluang mempelajari pengurusan perniagaan sesebuah butik. Saya kagum melihat kesungguhan Jezmine yang sentiasa memikirkan konsep pakaian terbaharu bagi menarik minat pelanggan.
"Dia selalu memberi nasihat supaya kami menjadi pereka fesyen yang kreatif dan tampil dengan idea-idea baharu. Sebelum membuka butik pastikan kita mencari konsep yang lain daripada lain. Selain itu, kami turut didedahkan cara melayan pelanggan, strategi pemasaran dan tabah berpanas hujan berniaga di bazar sebagai salah satu corak mempromosikan jenama," kata Diyana yang berasal dari Ipoh, Perak.
Meningkatkan kemahiran menjahit
Dalam pada itu, Balqeis 23, memberitahu, pada peringkat awal dia berdebar untuk menjalani latihan praktikal di butik Old Blossom Store Box. Dia bimbang ilmu yang dipelajari di dalam kelas belum mencukupi dan menepati kriteria majikannya, Jezmine.
Namun dengan sokongan keluarga dan pensyarah, Balqeis berazam untuk melakukan yang terbaik sepanjang tempoh latihan praktikal. Akhirnya, anak kelahiran Baling, Kedah itu dapat menarik lepas lega. Kegusaran yang bersarang dalam hatinya beransur sedikit demi sedikit kerana sikap Jezmine yang prihatin dan tidak lokek berkongsi ilmu.
"Saban hari ada saja ilmu baharu daripada Jezmine. Kadangkala teknik jahitan yang sebelum ini dirasakan sukar untuk dilakukan, rupa-rupa ada jalan pintas mempercepatkan proses. Antaranya, proses memotong dan menjahit bahagian lengan, kolar baju dan poket.
"Bayangkan walaupun baru dua minggu menjalani latihan praktikal, saya sudah berasa seronok menjahit dan mereka pakaian. Lagipun majikan saya, turut memberi kebebasan kepada kami berkarya, asalkan bersesuaian dengan koleksi pakaian jenamanya yang berkonsepkan vintaj," jelas Balqies yang meminati bidang fesyen sejak berusia 13 tahun.
Jelas anak kedua daripada enam orang adik-beradik itu, pekerjaan ibunya sebagai tukang jahit di kampung telah mendorongnya untuk mendalami bidang fesyen pada peringkat yang lebih tinggi. Secara tidak langsung, ilmu yang dikutip daripada pensyarah dan beberapa pereka fesyen tempatan dipanjangkan pula kepada ibunya.
"Dahulu, ibu hanya menerima tempahan baju kurung tetapi kini sebaliknya. Saya menggalakkan ibu supaya berani bereksperimen menghasilkan baju kurung moden, lengan tangan gelembung dan kain duyung. Tak sangka konsep sedemikian mendapat sambutan daripada pelanggan tetapnya," luah Balqies yang pertama kali menjahit sepasang baju kurung ketika berusia 17 tahun.
Mesra seperti sahabat
Menurut pemilik butik Old Blossom Store Box, Jezmine Zaidan, 28, setakat ini dia sudah bekerjasama dengan empat orang pelatih praktikal. Tiga daripada mereka merupakan penuntut UiTM manakala seorang lagi dari Universiti Limkokwing, Cyberjaya, Selangor.
"Boleh dikatakan setiap tahun ada saja permohonan penuntut untuk menjalani latihan praktikal di sini. Saya menerima kehadiran mereka kerana ingin berkongsi ilmu yang ada.
"Saya melayan pelatih seperti sahabat bagi mengelakkan rasa kurang selesa sesama kami. Syukur kerana mereka memberi kerjasama yang baik," jelas Jezmine yang pernah menghasilkan busana buat selebriti tempatan seperti Intan Ladyana dan Shila Amzah.
Belajar daripada sifu
Berbicara bersama pereka fesyen yang semakin meningkat naik, Hazree Wahid, 30, dia menyifatkan sesi latihan praktikal amat penting dalam kalangan penuntut rekaan fesyen.
Namun malangnya, tidak semua pelajar menganggap sesi latihan amali itu penting sebaliknya bagaikan terpaksa melakukannya kerana ingin melengkapkan syarat kelulusan pengajian.
"Saya bercakap berdasarkan pengalaman peribadi sewaktu menuntut di International Fashion Training Centre (IFTC), Kuala Lumpur dalam jurusan rekaan fesyen. Didapati segelintir pelajar mengambil sikap sambil lewa ketika melakukan latihan amali.
"Mereka kurang bereksperimen dan tidak mengambil kesempatan menggali lebih banyak ilmu. Situasi ini merugikan pelajar kerana hakikatnya bukan senang untuk mendampingi sifu profesional," jelas Hazree yang bersyukur apabila diterima untuk melakukan praktikal di butik Annie Wong Couture pada tahun 2003.
Annie Wong merupakan pengetua IFTC dan perintis pereka fesyen gaun mewah tempatan sekitar tahun 1970-an. Memiliki bakat dan kreativiti yang menakjubkan dalam bidang fesyen telah mendorong Annie untuk berkongsi ilmu bersama individu yang berminat dalam dunia fesyen.
|
|
Ekoran daripada itu, maka wujudlah IFTC pada tahun 1975 yang berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor sebelum berpindah ke Bangunan Yayasan Selangor, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
"Jika dihitung saya berkhidmat dengan Annie Wong, hampir setahun. Ini disebabkan saya bukan saja menjalani latihan praktikal, malah turut berkerja separuh masa di sana sehingga tamat pengajian di IFTC.
"Majikan menitikberatkan potongan kain dan ukuran badan pelanggan. Dia ingin memastikan pelanggan kelihatan menawan dan selesa ketika menyarungkan busana rekaannya," terang Hazree yang pernah terlibat dalam pertunjukan fesyen di Minggu Fesyen Karachi 2010, India dan Minggu Fesyen Paris 2011.
No comments:
Post a Comment