Wednesday, February 9, 2011

ADAKAH KITA JUGA TAK KEJAM...KERANA MENAFI SERTA MENGNEPIKAN HUKUM ALLAH SWT....MENAFIKAN SIFAT MAHA ADIL SERTA MAHA BIJAKSANANYA ...

Kejam! Kejam! Kejam!



KUALA LUMPUR: Jika angka dijadikan ukuran nilai kemanusiaan, rakyat negara ini boleh dianggap kejam kerana statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sejumlah 517 bayi dibuang di seluruh negara sejak enam tahun lalu.
Kebanyakan kes buang bayi dilakukan individu terutama gadis yang bimbang maksiat terbongkar selain tiada tempat mengadu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, berdasarkan perangkaan, seramai 203 mangsa dikenal pasti sebagai bayi lelaki manakala 164 bayi perempuan. “Bagaimanapun, 150 kes lagi gagal dikenal pasti jantina berikutan keadaan bayi tidak cukup sifat atau hanya penemuan janin. “Malah, ada juga mayat bayi sudah reput dan bedah siasat tidak dapat dilakukan.
“Daripada jumlah itu juga seramai 230 bayi ditemui masih hidup manakala 287 sudah meninggal dunia. Tahun 2008 mencatatkan jumlah pembuangan bayi teramai membabitkan 102 kes.

“Statistik ini agak menggerunkan apatah lagi gejala buang bayi terus berlaku. Dalam bulan lalu saja, sebanyak 19 kes bayi dilaporkan dan angka ini dijangka meningkat,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Bukit Aman, di sini, semalam.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga seramai 37 suspek ditahan termasuk empat individu sepanjang bulan lalu.

“Hasil kajian mendapati lokasi yang paling digemari untuk membuang bayi di kawasan perumahan, tempat pembuangan sampah, masjid, surau, jalan, sungai, semak dan tandas,” katanya.

Beliau berkata, gejala pembuangan bayi ini banyak dipengaruhi faktor bimbang rahsia terlanjur melakukan hubungan seks diketahui keluarga dan rakan-rakan selain tidak mempunyai tempat untuk mendapatkan khidmat nasihat, jagaan dan sokongan moral daripada masyarakat sekeliling.
“Apa yang jelas kebanyakan remaja yang mengandung anak luar nikah itu tetap melakukan perbuatan kejam berkenaan walaupun menyedari perbuatan membuang bayi yang baru dilahirkan menyalahi undang-undang,” katanya.

Mohd Bakri berkata, dalam menangani masalah sosial itu, PDRM mengambil pendekatan serius dengan menggunakan pendekatan pencegahan dan rawatan serentak.

“Paling penting peranan ibu bapa dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan selain menjadi contoh terbaik kepada anak-anak. Mereka juga perlu mengawal pergaulan anak-anak bagi memastikan anak masing-masing tidak terbabit dengan seks bebas.

“Selain itu penyebaran filem pornografi turut menjadi punca aktiviti seks bebas ini terus menular di dalam masyarakat,” katanya. Pada masa sama beliau turut memberi penerangan berhubungan sistem amaran awal kehilangan kanak-kanak yang dikenali sebagai NUR Alert (National Urgent Response Alert) yang kini diambil alih sepenuhnya oleh pihak PDRM daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Menurutnya, tanggungjawab itu yang mula dijalankan PDRM sejak 27 Januari lalu membolehkan polis melakukan tugas mengesan, menyiasat dan menghebahkan perkara itu kepada media dengan lebih pantas berhubung laporan kes kehilangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Saksi ragut perlu tampil



PETALING JAYA: Polis meminta saksi kejadian mangsa ragut yang maut selepas koma selama tiga hari, Zabedah Abas, 46, di Taman Maju Jaya, di sini, minggu lalu supaya tampil membantu siasatan polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata pihaknya diberitahu kejadian itu disaksikan seorang penduduk yang mengejar suspek, namun gagal.

Menurutnya, sehubungan itu, beliau meminta saksi terbabit tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bagi membantu siasatan.
“Jika bimbang identitinya dikenal pasti, saksi berkenaan boleh menghubungi Rakan Cop atau menghubungi Balai Polis Petaling Jaya supaya penjenayah terbabit diberkas.

“Kami juga meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu membantu menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Hisan berkata, kesedaran penduduk di kawasan itu masih berada di tahap rendah apabila tahun lalu sebanyak 1,378 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan trafik seperti tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

“Bagi Januari lalu saja sebanyak 152 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan sama manakala kes dadah mencatatkan 560 kes tahun lalu,” katanya.



Warga emas tercampak drebar bas cepat tutup pintu



AMPANG: “Saya hanya berserah kepada Tuhan kerana tidak terdaya untuk bangun selepas tercampak keluar dan jatuh terduduk berhampiran tayar belakang bas itu dan ketika bas bergerak ia hampir menggilis kaki saya.
“Dengan beg baju dan tas tangan yang masih tersangkut di pintu bas, pemandu meneruskan perjalanan tanpa menghiraukan saya,” kata warga emas yang mendakwa menjadi mangsa kecuaian pemandu bas henti-henti di Kuala Lumpur.

Khatijah Bee Packeer Mohd, 62, berkata dia bernasib baik apabila sepasang pelancong melihat kejadian itu dan berlari sambil mengetuk pintu bas untuk meminta pemandu memberhentikan kenderaan itu.
Dakwanya, lebih mengecewakan pemandu itu hanya membuka pintu bagi mengeluarkan beg yang tersangkut dan terus memandu tanpa melihat keadaan dirinya yang cedera di beberapa bahagian badan.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam Khamis lalu selepas saya menaiki bas itu dari Hentian Jalan Duta untuk ke Stesen LRT Hang Tuah dengan membawa beg tangan dan dua beg pakaian, namun ketika saya menuruni tangga, pemandu menutup pintu mengakibatkan beg tangan dan satu beg pakaian tersepit.

“Keadaan itu membuatkan saya tercampak keluar dan jatuh berhampiran tayar belakang bas,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, dia sakit di seluruh badan dan bengkak buku lali kaki kanan kerana terjatuh di atas jalan raya. Malah, Khatijah turut sakit di tangan dan bahu kiri akibat beg tangan dan beg baju yang dipegangnya diseret bas terbabit.

Malah, lebih menyedihkan dia mendakwa pemandu terbabit tidak langsung melihat keadaannya apatah lagi untuk memohon maaf.
“Sudah 20 tahun saya berulang alik dari Perak ke sini, namun ini kejadian pertama dan ia membuatkan saya serik menaiki bas henti-henti,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian dia terpaksa menggagahkan diri bangun untuk mengutip beg tangan dan beg pakaiannya yang bertaburan di atas jalan raya tanpa dibantu sesiapa.

“Malah, apabila sampai di rumah saya tidak boleh tidur kerana menahan rasa sakit sehingga badan menggigil. Saya menceritakan perkara itu kepada anak keesokan harinya kerana selepas kejadian saya menjadi trauma dan kelu lidah sebelum membuat laporan polis,” katanya yang sehingga kini masih terpaksa mengambil ubat tahan sakit.

Sementara itu, anak mangsa, Jamilah Mohd Haniff, 36, berkata kecewa dengan tindakan pemandu terbabit, dia membuat aduan kejadian itu kepada pihak pengurusan bas.

“Biarpun e-mel dihantar beberapa kali sejak 5 Februari lalu kepada pihak pengurusan, namun tiada maklum balas daripada mereka. Malah, beberapa panggilan turut dibuat, namun kecewa kerana dimaklumkan pegawai yang mengendali aduan bercuti.

“Bagaimanapun, petang kelmarin saya menerima panggilan daripada mereka memaklumkan siasatan akan dilakukan dan hasilnya diberitahu kelak,” katanya.


Cerai suami kerana hutang



KUALA LUMPUR: “Dia bukan hanya meninggalkan saya dan tiga anak kami tanpa sebarang nafkah, tetapi turut meninggalkan beban hutang menyebabkan kami sekeluarga hidup serba kekurangan dan terpaksa berhutang dengan bank bagi melangsaikan hutangnya,” kata Lau Yiek Kiew, 56, yang dihimpit kesusahan akibat sikap bekas suaminya yang meminjam along.
Yiek Kiew berkata, sehingga kini rumah diduduki terpaksa digadai kepada bank sebanyak RM270,000 pada 2009 yang dibuat atas nama anak sulungnya dengan bayaran bulanan RM1,000 selama 35 tahun.

Menurutnya, rumah itu terpaksa digadai bagi membayar hutang bekas suaminya yang bertimbun dengan along sehingga anaknya berdepan risiko diisytiharkan muflis gara-gara tidak dapat membayar ansuran bulanan itu.
“Saya memberi peluang kepadanya berubah sikap, namun tidak menyangka dia tidak serik, malah membuat hutang baru menyebabkan saya nekad bercerai dengannya.

“Sebelum ini pun saya sudah melangsaikan hutangnya RM80,000 dengan bantuan saudara-mara yang meminjamkan wang,” katanya ketika hadir pada sidang media di Wisma MCA, di sini.

Beliau berkata, duit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik suaminya RM70,000 juga habis digunakan untuk perjudian.

“Pada 27 Januari lalu kira-kira jam 3.45 petang, saya dikejutkan dengan kehadiran beberapa samseng along yang menyimbah cat merah ke dinding rumah saya. Ketika itu saya menyedari bekas suami masih berhutang dengan along,” katanya.



'Joey sendiri mengaku'



KAJANG: Isteri kepada penyanyi dan pelakon Joey atau Zulkifli Daud mendakwa lelaki itu membuat pengakuan sendiri mempunyai hubungan sulit dengan dramatis Norwati Sadali (Watie) sebelum keluar menghilangkan diri beberapa hari dari rumah mereka di Ampang.
Noraini Mohamad Nasir, 44, (plaintif) berkata demikian ketika menjawab soalan peguam syarienya, Amli Embong di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini, semalam.

Menurutnya, pada penghujung Mei 2010, Joey, 37, (defendan) mengaku mempunyai hubungan sulit dan keluar dari rumah mereka sebelum pulang semula pada 4 Jun 2010.
“Sepanjang tempoh kehilangannya, saya ada beberapa kali menghubungi melalui telefon malah ada menghantar SMS bagaimanapun tidak berjawab. Pada 4 Jun 2010, dia ada menghubungi saya dan mahu berjumpa untuk berbincang jadi kami berjumpa di luar rumah. Dia datang bersama seorang temannya yang dikenali sebagai ‘Ah Chong’.

“Dia melafazkan talak bagaimanapun saya tidak mendengarnya sendiri kerana ketika itu saya lari masuk ke dalam rumah. Ah Chong pula ada menghubungi saya dan mengatakan bahawa Joey ada melafazkan talak terhadap saya,” katanya.

Noraini berkata, selepas Ah Chong memaklumkan perkara itu kepadanya, dia terus menghubungi Joey bagi mendapatkan penjelasan, bagaimanapun gagal.

AMLI: Ketika Ah Chong menghubungi puan adakah dia beritahu bagaimana bunyi lafaz talak itu?
NORAINI: Dia cuma cakap talak sudah jatuh.

AMLI: Selepas itu ada kamu hubungi defendan?
NORAINI: Ada tetapi tidak berjawab.
AMLI: Selepas itu ada defendan balik ke rumah?
NORAINI: Ada.

AMLI: Dia balik untuk apa dan bila tarikh dia balik?
NORAINI: Joey balik pada 8 Jun 2010 dan mahu rujuk kembali.

AMLI: Ada defendan lafazkan apa-apa?
NORAINI: Ada, Joey lafazkan “Aku, Zulkifli Daud dengan ini rujuk kembali kepada kamu Noraini Mohd Nasir.

AMLI: Ada saksi?
NORAINI: Tiada.

AMLI: Di mana kejadian ini berlaku?
NORAINI: Di dalam bilik rumah kami. Ketika melafazkan kata-kata rujuk, Joey meletakkan tangan kanan di dahi saya, manakala sebelah tangan lagi diletakkan di atas Al-Quran.

AMLI: Berbalik kepada kejadian melafazkan cerai. Adakah kamu memaksa defendan melafazkan cerai?
NORAINI: Tidak tetapi saya merayu kepadanya supaya jangan ceraikan saya.

AMLI: Bagaimana keadaan defendan ketika itu?
NORAINI: Dia dalam keadaan biasa dan waras.

AMLI: Selepas kejadian rujuk, ada puan maklumkan kepada sesiapa?
NORAINI: Ada iaitu kepada adik tiri saya dan seorang rakan kami, Mathias Ali. Menurut rakan kami itu, Joey ada bertanya kepadanya sama ada rujuk yang dibuat itu sah atau tidak.

AMLI: Jadi apa yang Mathias beritahu mengenai rujuk itu?
NORAINI: Mathias katakan rujuk itu tidak sah kerana tidak ada saksi.

AMLI: Memandangkan lafaz cerai tidak didengari puan sendiri dan lafaz rujuk pula tidak ada saksi, adakah puan berani bersumpah kepada mahkamah bahawa keterangan ini adalah benar?
NORAINI: Berani.

Prosiding di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah bersambung 27 April ini bagi membolehkan peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Joey menyoal balas plaintif.
Pasangan itu bernikah pada 4 Mei 2005 dan tidak dikurniakan cahaya mata dan mempunyai seorang anak angkat berusia empat tahun.

Noraini sebelum ini memfailkan pengesahan lafaz cerai yang didakwa ada dilafazkan Joey pada 4 Jun 2010, mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003, selepas seorang rakan defendan memaklumkan plaintif ada mendengar lelaki itu melafazkan cerai pada Jun lalu.



Gempar murid mati serangan jantung

KULAIJAYA: Sesi pembelajaran di sekolah gempar seketika apabila seorang murid berusia 10 tahun yang beratur memasuki kelas tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri akibat diserang sakit jantung.
Wong Chong Ren yang dikejarkan ke Hospital Kulaijaya (HK) kira-kira tiga kilometer dari sekolahnya oleh pengetua dan guru bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika sampai di unit kecemasan. Dalam kejadian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kulai Besar kira-kira jam 7.30 pagi semalam, murid berkenaan dilihat bermain bersama rakan sebelum waktu persekolahan bermula.

Bagaimanapun, murid tahun empat itu dikatakan tiba-tiba rebah di tangga ketika menuju ke kelasnya di tingkat dua bangunan sekolah menyebabkan keadaan menjadi kecoh. Terdahulu Chong Ren keluar dari rumahnya di Taman Purti Kulai pada jam 6.30 pagi menuju ke sekolah menaiki bas sekolah.
Bapanya, Wong Kok Wan, 37, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anak bongsunya itu selepas menerima panggilan daripada pihak sekolah.

Katanya, dia bergegas ke hospital untuk melihat apa sedang berlaku bagaimanapun dikejutkan dengan berita sedih apabila anaknya disahkan meninggal dunia. “Memang doktor mengesahkan anak saya menghidap jantung berlubang sejak lahir, bagaimanapun selepas rawatan diterima sakitnya berkurangan dan dia boleh menjalani aktiviti harian seperti kanak-kanak normal lain.

“Kami juga tidak menduga kejadian ini boleh berlaku doktor apabila mengesahkan keadaannya sudah stabil sepanjang tiga tahun lalu dia perlu jalani pemeriksaan setahun sekali dan tidak sekerap seperti sebelumnya,” katanya.


Sementara itu ibu Chong Ren, Liong Kiw Lan, 35, berkata, sejak beberapa hari lalu anaknya kelihatan gembira tambahan pula mereka baru saja menyambut Tahun Baru Cina dan anaknya asyik bermain serta tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Semalam (malam kelmarin) Chong Ren, kelihatan ceria dan langsung tidak menunjukkan sebarang tanda dia sedang sakit atau mempunyai sebarang masalah kesihatan.
“Malah ketika kami luangkan masa bersama di ruang tamu dia asyik dengan bermain dan tidak langsung menunjukkan sebarang perubahan tanda akan pergi meninggalkan kami buat selamanya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kematian mangsa.



Isteri hilang selepas 21 hari berkahwin



ALOR GAJAH: “Sejak dia menghilangkan diri, saya sentiasa berfikir dan tertanya-tanya pada diri apakah kesalahan besar dilakukan hingga isteri baru dikahwini tergamak meninggalkan rumah tanpa sebarang pesan ketika inai masih merah di jari.”
Begitu keluhan penternak lembu, Nurshahrul Affandi Hashim, 25, dari Kampung Bangau Tanjung, Temerloh, Pahang, selepas isterinya, Nurhidayah Shamsuddin, 20, dari Taman Seri Jaya, Kluang, Johor, didapati hilang selepas 21 hari mereka bergelar suami isteri.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi pada 28 Januari lalu, Nurhidayah dikatakan keluar dari rumah menuju ke sebuah kedai berhampiran untuk membeli kredit tambah nilai dengan menaiki motosikal jenis Yamaha Ego.

Nurshahrul berkata, ketika kejadian isterinya keluar dengan memakai kemeja T berwarna merah jambu dan berseluar sukan tanpa memakai topi keledar dengan mendakwa mahu keluar sekejap sebelum dipercayai bertemu seorang rakannya.


Menurutnya, dia kemudian menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), kepada isterinya kira-kira jam 1.30 tengah hari pada hari kejadian selepas lama menunggu sebelum dibalas dengan memaklumkan berada di rumah rakannya dan ia adalah SMS terakhir daripada isterinya.

Katanya, pada masa sama, Nurhidayah turut memaklumkan tidak boleh pulang disebabkan hujan begitu lebat menyebabkannya berusaha menghubungi telefon bimbit isterinya, tetapi tidak berjawab sebelum ia terus dimatikan.

“Saya terus menunggu hingga keesokan harinya, tetapi Nurhidayah masih tidak muncul sehingga timbul pelbagai perkara merunsingkan kerana tidak menyangka isteri yang dikenali menerusi laman sembang sosial Facebook kira-kira empat bulan lalu, menghilangkan diri.

“Masalahnya, kami kini sudah bergelar suami isteri dan dia tidak sepatutnya mengambil keputusan melarikan diri dari rumah walaupun mempunyai masalah, sebaliknya masih boleh berbincang untuk kebaikan bersama,” katanya.

Katanya, dia juga sudah membuat laporan di Balai Polis Kluang, tetapi tidak pasti status kehilangan isterinya sama ada mengikut orang atau dihanyutkan air banjir.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali Nurhidayah diharap dapat menghubunginya di talian 017-9653293 atau balai polis berhampiran.



Jodoh warga Pakistan hanya 10 hari



KUALA LUMPUR: Jodoh 10 hari, itu yang berlaku ke atas seorang warga Pakistan berusia 25 tahun selepas dipaksa beberapa lelaki termasuk bapa mentuanya menceraikan isteri yang dikahwini ketika berada di rumahnya di Jinjang, di sini.
Lebih menyedihkan, apabila isterinya berusia 20 tahun itu turut ‘diheret’ pulang ke kampung halaman di Kelantan bersama ahli keluarganya menyebabkan pengajian wanita di sebuah universiti tempatan terjejas.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam Jumaat lalu, mangsa turut ditendang, ditampar dan ditumbuk beberapa lelaki dipercayai bapa saudara kepada isterinya selepas kumpulan berkenaan menerima arahan daripada bapa mentuanya yang berusia awal 40-an.
Bagaimanapun, mangsa hanya membuat laporan di Balai Polis Jinjang, di sini, semalam selepas mendapat nasihat daripada rakan.

Menurut sumber, pasangan berkenaan yang sudah menjalinkan hubungan cinta sejak setahun lalu nekad berkahwin di Pakistan pada 26 Januari lalu selepas kisah percintaan mereka tidak direstui keluarga wanita terbabit.

“Pasangan terbabit yang yakin keluarga wanita berkenaan akan berubah pendirian nekad melangsungkan perkahwinan secara rahsia di Pakistan. “Namun, tindakan itu mengundang padah apabila keluarga sebelah wanita masih tidak merestui hubungan pernikahan itu sebelum berusaha memisahkan mereka,” katanya.

Sumber berkata, mangsa dan isterinya dilaporkan dalam proses mendapatkan pengesahan perkahwinan dengan mendaftarkan pernikahan mereka di negara ini.

“Bagaimanapun, hasrat pasangan itu berkecai apabila ahli keluarga wanita berkenaan bertindak menyerang rumah mereka selepas mengetahui kediaman lelaki terbabit,” katanya.
Sumber berkata, biarpun mangsa cuba menenangkan ahli keluarga sebelah isterinya dengan memberikan penjelasan mengenai pernikahan mereka, bapa mentuanya masih berkeras untuk memisahkan mereka.

“Mangsa yang terlalu menyayangi isterinya berkeras untuk tidak melafazkan cerai biarkan dia dipaksa dan dipukul dengan teruk kumpulan terbabit lebih 20 minit di hadapan isterinya.

“Keengganan mangsa berbuat demikian menyebabkan bapa mentua dan ahli keluarga wanita terbabit terpaksa mengalah,” katanya.

Sumber berkata, kumpulan terbabit diketuai bapa mentua mangsa akhirnya membuat keputusan untuk memaksa wanita terbabit untuk pulang bersama mereka ke kampung.

“Biarpun wanita berkenaan enggan, dia dipaksa untuk mengikuti bapanya itu,” katanya.

Difahamkan, mangsa cedera pada bahagian muka dan badan akibat dipukul kumpulan terbabit namun hanya dirawat sebagai pesakit luar di sebuah klinik swasta berhampiran kediamannya.

Mangsa tampil membuat laporan polis bagi memudahkan siasatan lanjut dilakukan namun difahamkan pihak berkuasa masih menunggu perintah mahkamah bagi melakukan siasatan mengenai dakwaan mangsa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan namun enggan mengulas lanjut.


Tak berani keluar rumah



MELAKA: “Tindakan mereka (perusuh) yang terlalu berani membuatkan kami begitu bimbang hingga terpaksa membentuk beberapa kumpulan kecil demi keselamatan meskipun cuma mahu mendapatkan bekalan makanan.”
Begitu kata seorang pelajar perubatan dari Universiti Iskandariah, Abdul Rahman Abdullah, 21, apabila berdepan detik cemas dan tidak menentu berikutan berlaku rusuhan di Mesir dalam usaha menumbangkan kerajaan pimpinan Presiden Hosni Mobarak.

Abdul Rahman berkata, sepanjang berlaku rusuhan, keadaan berhampiran penempatan mereka begitu kelam-kabut apabila hampir setiap waktu mendengar bunyi kaca pecah, malah bimbang keluar rumah apabila terdengar bunyi letupan. Menurutnya, tempoh perintah berkurung yang dikenakan pada setiap hari berbeza dan tidak mengikut waktu sama menyebabkan mereka hanya mampu memerapkan diri sambil tidak berhenti berdoa keselamatan diri masing-masing.
“Apabila perintah berkurung ditamatkan, kami akan keluar secara berkelompok dan pergi mendapatkan makanan di kedai berhampiran selain turut berkesempatan melihat keadaan kawasan yang sudah musnah dan terbakar termasuk balai polis dan juga jabatan kerajaan.

“Perasaan kami bercampur baur apabila talian perhubungan terputus begitu saja dan hanya mengharapkan bantuan rakan memaklumkan kepada kami berhubung tindakan yang perlu dibuat,” katanya.

“Selepas lima hari dalam keadaan tegang akhirnya kami dipindahkan ke Asrama Mara di Iskandariah dan kami amat bersyukur mendapat tahu ada usaha menyelamat dilakukan dari Malaysia,” katanya.



'Toyol' dijel 11 bulan



KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan terhadap seorang lelaki dikenali sebagai ‘Toyol’ selepas mengaku memecah masuk kediaman seorang guru yang juga jirannya berkeadaan separuh bogel.
Tertuduh, Mohd Suffian Ramli Pandian, 21, dari Kampung Losong Haji Muhammad, di sini, didakwa memecah masuk rumah milik Hanini Hashim, 32, dalam keadaan separuh bogel dan badan berlumuran minyak pada 21 November tahun lalu kira-kira jam 12 tengah malam sebelum disedari mangsa.

Mendengar jeritan mangsa, tertuduh melarikan satu beg tangan mengandungi kamera digital jenis Canon, buku akaun Tabung Haji, kad nikah serta kad pengenalan serta dua cincin emas melalui pintu belakang.
Tertuduh bagaimanapun ditangkap dua hari kemudian di sebuah surau di Kampung Losong Haji Muhammad jam 6.20 pagi ketika tidur sewaktu jemaah menunaikan solat Subuh dan ujian air kencing dijalankan mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Tertuduh yang memakai baju penjara merah diiringi kakitangan penjara dan didakwa dengan dua tuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dustan Muda di depan Majistret Siti Faraziana Zainuddin.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap kedua-dua tuduhan dan Siti Faraziana memerintahkan hukuman penjara 11 bulan bermula tarikh tertuduh ditangkap selepas mendengar pengakuannya yang sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatan itu.

No comments:

Post a Comment