Monday, February 7, 2011

BILA AKHIR ZAMAN...MANUSIA TAK PENDULI SUMBER....BAIK HALAL ATAU HARAM ....MEREKA BELASAH SEMACAM....YANG JELAS HARAM PUN...MEREKA TIBAI@AMIK AJE....TAK FIKIR DAGING YANG TUMBUH DARI SUMBER YANG HARAM...MAKA ALLAH HARAMKAN UNTUK MASUK SYURGA....

Hilang sabar dituduh pikat isteri jiran



AMPANG: Tidak tahan dengan kerenah jiran yang suka membuat kacau, seorang lelaki yang selama ini bersabar akhirnya membuat laporan polis apabila dia sekeluarga diugut bunuh oleh jirannya itu.
Kejadian berlaku di rumah mangsa di Taman Dagang, di sini, Jumaat lalu dan mangsa, seorang ahli perniagaan berusia 40-an mendakwa sebelum ini dia sering diganggu jirannya itu dan dia pernah dituduh cuba memikat isteri serta menantu jirannya itu.

Menurut sumber, mangsa bagaimanapun hilang sabar dan akhirnya membuat laporan polis selepas dia sekeluarga diugut bunuh.
“Ketika itu, mangsa berada di rumah kira-kira jam 7 malam sebelum jiran dan anaknya sengaja cuba menyakitkan hati dengan meletakkan kereta di depan rumahnya.

“Mangsa yang ingin menegur perbuatan itu bagaimanapun dimaki hamun selain diugut akan dipukul,” katanya.

Sumber berkata, ketika kekecohan itu ramai jiran lain yang keluar untuk melihat apa yang berlaku dan rakan anak jirannya itu sengaja cuba memalukan mangsa apabila mereka memekik dan menuduh mangsa cuba memikat isterinya.


“Mangsa bagaimanapun tidak pedulikan suspek sebelum jirannya datang meluru dan menendang motosikalnya.

Menurutnya, jirannya itu kemudian bertindak samseng dan meminta anaknya menunggu di depan rumah mangsa bertujuan untuk menakutkannya.
“Mangsa yang bimbang dengan keadaan itu menghubungi polis dan tidak lama kemudian anggota peronda tiba dan cuba menenangkan keadaan sebelum meleraikan pergaduhan itu,” kata sumber.


Berduaan di alam siber sama seperti khalwat



KUALA LUMPUR: Wanita dan lelaki bukan mahrim yang berbual berduaan biarpun di alam siber, melakukan perlakuan sama seperti berkhalwat kerana ia mengundang bisikan syaitan yang akhirnya akan menarik mereka melakukan perbuatan mungkar, termasuk curang pada suami atau isteri.
Sehubungan itu, penceramah dan pakar motivasi, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata mereka yang menggunakan kemudahan Internet perlu meletakkan sempadan syariat dan sempadan hati supaya teknologi itu tidak disalah guna atau menjadi alat perantaraan untuk membuat maksiat.

Beliau berkata, isteri tidak seharusnya membenarkan lelaki bukan mahrim memasuki rumahnya ketika suami tiada di rumah, begitu juga halnya dengan perbuatan isteri berbual dengan lelaki lain menerusi Internet, seumpama membenarkan individu itu memasuki rumahnya, seterusnya merosakkan rumah tangga.
“Membenarkan perkara sebegini memasuki rumah bermakna membenarkan ia memasuki hati dan apabila manusia sudah keluar daripada sempadan, manusia itu akan menjadi rosak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, bisikan syaitan menjadikan seseorang itu merasakan sesuatu perkara itu begitu menyeronokkan hingga sanggup melakukan perkara mungkar termasuk meninggalkan suami, isteri atau anak-anak, sedangkan ia bakal menyesali perbuatannya kerana keseronokan berkenaan hanya bersifat sementara disebabkan ia berada dalam alam fantasi.

Katanya, alam khayalan dan realiti tidak sama dengan di alam nyata, kita semua mempunyai tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul, bukan sekadar untuk berseronok.

“Asasnya adalah apabila hubungan dengan Allah rosak, maka semuanya akan meruntuh. Teknologi itu tidak salah, tetapi orang yang menyalah gunakan teknologi untuk tujuan terpesong,” katanya.

Ajal guna jalan pintas



BERA: Tindakan seorang lelaki warga emas menunggang motosikal menggunakan jalan pintas untuk membuat lencongan membawa padah apabila kenderaan ditungganginya itu dirempuh pacuan empat roda mengakibatkan dia maut berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera yang baru, dekat sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Setapa Jusoh, 84, dari Taman Kerayong Makmur, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Triang, dekat sini, ketika menerima rawatan.

Difahamkan, mangsa yang menunggang seorang diri dalam perjalanan ke Bandar Bera dari rumahnya atas urusan peribadi dipercayai cuba mengubah lorong dan memotong pacuan empat roda itu untuk masuk ke laluan pintasan.
Ketua Polis daerah, Deputi Suprintendan Mohd Zahid Mohd Nor, berkata siasatan awal mendapati, mangsa yang dipercayai tidak memberi lampu isyarat ketika mahu mengubah lorong dirempuh kenderaan terbabit mengakibatkan dia tercampak ke permukaan jalan.

Menurutnya, mangsa yang parah di kepala dibantu orang ramai dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Triang untuk menerima rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya selepas bedah siasat selesai dijalankan dan polis sudah mengambil keterangan pemandu terbabit dan saksi kejadian untuk membantu siasatan.


Mohd Zahid berkata, polis mendapati pengguna jalan raya menggunakan jalan pintas berkenaan untuk ke Bandar Bera kerana tidak mahu membuat pusingan U tanpa memikirkan soal keselamatan ketika berada di jalan raya.

“Polis masih menyiasat kemalangan itu terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Justeru, kami menasihatkan supaya pengguna jalan raya mematuhi arahan dan undang-undang jalan raya bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.




Rasuah lepas tangkap basah



BATU PAHAT: Tindakan seorang lelaki cuba menyuap pegawai penguat kuasa Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat selepas dicekup berkhalwat memakan diri apabila dia ditahan Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel bajet di daerah ini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, lelaki terbabit hanya menepuk dahi apabila individu disangka penguat kuasa agama yang menjalankan pemeriksaan ke bilik dihuninya sebenarnya pegawai SPRM. Lelaki terbabit yang berusia 20-an ditahan untuk membantu siasatan SPRM, manakala pasangannya pula di bawa ke pejabat agama daerah berkenaan.

Sumber penguat kuasa pejabat agama daerah berkenaan berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan 11 pasangan disyaki berkhalwat.
“Mereka yang ditahan termasuk lima warga Bangladesh serta pasangan masing-masing yang juga warga Kemboja, semuanya berusia 20 hingga 40 tahun.

“Selain hotel bajet, kami melakukan pemeriksaan di kawasan gelap di taman rekreasi kerana ia turut dijadikan lokasi pasangan khasnya remaja untuk melakukan perkara negatif,” katanya, semalam.


Perogol jiran dijel 15 tahun



KOTA BHARU: “Tertuduh bukan saja menyebabkan trauma kepada mangsa yang berfikiran seperti usia enam tahun, malah lebih memberi kesan teruk apabila perbuatannya menyebabkan kelahiran seorang anak,” kata Hakim Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Rofiah Mohamad sebelum menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Mokhtar Hassan, 52, yang didapati bersalah merogol seorang remaja lembam, empat tahun lalu.
Bekas pengawal keselamatan itu didapati bersalah merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 18 tahun pada April 2006.

Berdasarkan pertuduhan, mangsa yang juga jiran tertuduh, dirogol pada waktu siang di rumah berhampiran tadika Berdang, Kampung Berdang, Jeli.
Akibat perbuatan sumbangnya, mangsa melahirkan bayi pada 12 Februari 2007.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

Pada prosiding semalam, tertuduh diwakili peguam, Faizal Abdul Rahman manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali.

Terdahulu, Nor Hamizah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan itu serius.

Katanya, tertuduh mengambil kesempatan terhadap jirannya sendiri selain keadaan mangsa yang tidak seperti remaja lain.


‘Usah ikut jalan salah’

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Graduan lepasan universiti harus mengubah mentaliti mereka dengan bersedia memulakan kerjaya daripada peringkat bawahan atau bekerja dalam bidang berbeza untuk berjaya dalam alam pekerjaan.
Perunding motivasi yang juga penceramah bebas, Profesor Madya Md Izuddin Ali, berkata graduan perlu faham pekerjaan tidak akan menanti mereka sebaik menggenggam ijazah, sebaliknya semua kejayaan perlu disertakan dengan usaha gigih dan sanggup menghadapi kesukaran.

Beliau berkata, ramai graduan ketika ini terpengaruh dengan kata-kata sekeliling yang meyakinkan mereka bahawa segulung ijazah menjamin kerja berjawatan tinggi dan kehidupan senang-lenang sebaik keluar universiti.
“Mereka boleh sampai ke tahap tinggi seperti yang mereka inginkan, tetapi ia memerlukan usaha serta kesanggupan untuk bersusah payah pada peringkat awal sebelum dapat mengecapi kejayaan, bukan keluar universiti terus dapat seperti apa yang diinginkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas muka depan Metro Ahad semalam mengenai gadis cantik dan berpelajaran tinggi, tetapi menggunakan kelebihan itu untuk menjual tubuh, menawarkan khidmat urut dan menipu lelaki hidung belang, semata-mata ingin meraih pendapatan lima angka sebulan tanpa perlu bekerja keras.

Gadis berkenaan licik mencari pelanggan dengan menggunakan kepandaian dan kepetahan dimiliki untuk mengikis wang dan menipu lelaki miang yang dahagakan belaian.

Md Izuddin berkata, jika pasaran kerja tidak menawarkan pekerjaan yang diidami seseorang graduan itu, dia boleh ‘mencipta’ pekerjaan sendiri seperti memulakan perniagaan bersama rangkaian rakan-rakan yang sama-sama tidak mendapat pekerjaan.

Namun beliau berkata, persoalannya adalah sama ada graduan itu sanggup bersusah payah di peringkat awal demi meraih kejayaan dalam bidang kerjaya dan kehidupan masing-masing.
“Masalah sekarang ini ada segelintir yang tidak mahu susah. Yang mereka mahu, sebaik keluar universiti dapat pekerjaan dengan gaji dan kedudukan tinggi sedangkan ia tidak semudah yang disangka.

“Apabila tidak mendapat apa yang dimahukan, mereka mengambil jalan mudah membuat duit mengikut cara yang salah tanpa berfikir panjang.

“Jangan guna alasan kesempitan wang hingga sanggup memperlakukan diri sendiri sebegitu kerana kerajaan ada sediakan pelbagai jenis kemudahan serta kursus untuk mereka yang mahu berjaya dalam perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, graduan perlu sedar walaupun kegiatan tidak bermoral yang dilakukan mendapat pulangan lumayan, tetapi ia akan kembali menghantui mereka sebaik mereka mula menyedari kesilapan dan mahu pulang ke pangkal jalan.

Katanya, jika ditangkap pihak berkuasa, graduan tadi akan memiliki rekod buruk yang akan menyukarkan mereka mendapat pekerjaan, atau ia mampu menggugat kebahagiaan apabila mereka ingin berumah tangga.

“Apalagi jika mereka dijangkiti HIV akibat hubungan terlarang,” katanya.

No comments:

Post a Comment