Saturday, March 26, 2011

BILA SEX....MELIBAT DARI ORANG BAWAHAN HINGGA KEATAS...SEBAB TIADA HUKUM ALLAH DIKUATKUASA DI MALAYSIA...CUMA ADA KES SEX@ZINA YG TERLEPAS....SEBAB KUASA YANG ADA....TAPI UNTUK HUKUMAN ALLAH DI AKHIRAT MEREKA INI...MEMANG TAK LEPAS....KAT DUNIA BOLEHLAH EKSYEN@BERLAGAK...

Dicekup bersama bukan mahram



MELAKA: Keseronokan sepasang kekasih berusia 19 dan 22 tahun menjadikan bilik sebuah pangsapuri di Bandar Hilir, dekat sini, sebagai tempat memuaskan nafsu berakhir apabila ia diserbu sepasukan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) kira-kira jam 1.30 tengah malami, semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Rahimin Bani berkata, berdasarkan aduan yang diterima sejak beberapa hari lalu sepasukan anggotanya menyerbu rumah disewa pekerja sebuah syarikat jualan langsung itu kerana dikatakan terdapat sepasang pasangan bukan mahram tinggal bersama di dalam satu bilik.

Katanya, ketika serbuan pihaknya menemui dua lelaki sedang tidur di ruang tamu dan pemeriksaan lanjut di sebuah bilik yang bertutup pintunya mendapati pasangan berkenaan sedang tidur dengan pakaian lengkap.
“Soal siasat dilakukan mendapati pasangan terbabit tidak mempunyai hubungan mahram dan mendapati lelaki berkenaan bukan Muslim dan kedua-duanya adalah rakan sekerja.

“Wanita itu adalah jurujual, manakala lelaki berkenaan pula penyelianya dan mereka mengakui mempunyai hubungan sebagai sepasang kekasih,” katanya, di sini, semalam.

Rahimin berkata, siasatan lanjut mendapati pasangan terbabit mengakui sudah bermalam bersama dalam satu bilik sejak beberapa hari lalu.


Katanya, mereka juga baru berkenalan sejak empat bulan lalu apabila bekerja di tempat sama dan mengakui terlanjur beberapa kali.

“Pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman dengan bukan muhrim.
“Sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tunggu pakar sahkan aktor seks



Pasukan khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman melakukan siasatan berhubung rakaman video seks ekoran Anwar membuat laporan polis menafikan lelaki dalam video itu melibatkan dirinya. Gambar atas Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur yang turut terlibat dalam penyiasatan tersebut.



KUALA LUMPUR - Polis sedang menunggu pemeriksaan pakar bagi mengesahkan lelaki yang melakukan adegan seks dengan seorang pelacur wanita yang didakwa dirakamkan di sebuah apartmen di Ampang dekat sini pada 21 Februari lalu merupakan seorang pemimpin pembangkang.
Sumber polis berkata, daripada aspek undang-undang, polis buat masa ini hanya membuat andaian bahawa lelaki itu merupakan seorang pemimpin pembangkang seperti yang didakwa oleh kumpulan trio Datuk T.
Bagaimanapun, kata sumber itu, perkara itu hanya andaian semata-mata kerana pengesahan siapa sebenarnya pelakon dalam video seks itu memerlukan penyiasatan dan pengesahan daripada pakar.
"Sehingga semalam polis belum mengetahui sama ada imej (aktor) dalam video tersebut sudah diganggu (direka-reka).
"Polis juga tidak boleh sahkan pelakon tersebut adalah si A atau si B. Kita perlu tunggu pakar (untuk pengesahan)," kata sumber itu kepada Kosmo! semalam.
Sehubungan itu, sumber itu berkata, pasukan penyiasat kini dalam pertimbangan untuk meminta khidmat pengarah filem Merong Mahawangsa, Yusry Abdul Halim (Yusri KRU) bagi membantu polis mengesahkan ketulenan rakaman video seks itu terlebih dahulu.
"Rakaman itu sendiri perlu disahkan adalah tulen sebelum polis melakukan langkah kedua untuk mengesahkan pelakon yang dimaksudkan itu," kata sumber itu.
Bagaimanapun, sehingga malam tadi pasukan polis belum memutuskan perkara itu dan ada kemungkinan pakar-pakar lain yang berkemahiran dalam rakaman video turut dipanggil memberi bantuan.


Penganggur 'kaya' tertangkap



MOHAMAD (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada seorang penganggur di Klang semalam.


KLANG – Kegiatan licik seorang lelaki yang disyaki pengedar pelbagai jenis dadah di sekitar daerah Klang berakhir apabila dia ditahan di rumah sewanya di Taman Juara di sini Rabu lalu.
Penganggur berusia 33 tahun itu diberkas pada pukul 6.30 pagi bersama dadah jenis heroin seberat 915 gram, syabu (629 gram), ketamin (249 gram) dan pil eramin sebanyak 1,000 biji.
Kesemua dadah tersebut dianggarkan bernilai RM160,000.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, ketika serbuan dilakukan ke atas rumah teres setingkat itu, suspek yang berada di luar rumah tidak sempat melarikan diri.
Menurut beliau, lelaki terbabit kemudian dibawa masuk ke dalam premis tersebut untuk menunjukkan lokasi dadah yang disorok.
“Pihak kami menemui dadah disorok di dalam sebuah bilik di belakang rumah dan ada beberapa bungkus dadah seberat dua gram setiap satu disimpan dalam kotak biskut bagi mengelakkan daripada dikesan,” katanya di sini semalam.

Tembakan misteri awal pagi



SEORANG anggota polis melihat keadaan sebuah kereta yang terkena tembakan di Tanjung Bungah, George Town semalam.


GEORGE TOWN - Penduduk yang sedang tidur di taman perumahan di Mount Erskine dekat Tanjung Bungah di sini dikejutkan dengan beberapa das tembakan awal pagi semalam.
Tembakan rambang itu dipercayai dilepaskan daripada pistol jenis automatik oleh individu yang tidak dikenali kira-kira pukul 3 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, suspek dipercayai melepaskan tembakan ke arah empat buah rumah teres dua tingkat di kawasan tersebut.
Katanya, empat buah kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan turut terkena tembakan.
"Polis menemui tiga kelongsong peluru pistol jenis automatik dan peluru pistol jenis kaliber 9 milimeter yang bertaburan di hadapan salah sebuah kenderaan itu," katanya di sini semalam.


Perbuatan tidak bermoral

KOTA BHARU - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan perbuatan menayangkan rakaman video seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin pembangkang bersama seorang pelacur warga China di sebuah hotel kepada pihak media sebagai perbuatan tidak bermoral.

Mursyidul Am Pas itu berkata, lebih memalukan apabila perbuatan itu didalangi tiga 'individu bergelar' dan pernah menjadi pemimpin sebuah kerajaan negeri.

Katanya, beliau berasa amat malu untuk membaca berita mengenai pendedahan skandal terbabit ­kerana ia dilaporkan oleh ­semua media massa di negara ini.

“Saya berasa malu, berasa seolah-olah berada di negara lain. Saya tak tahu kenapa pemimpin yang rata-ratanya berbangsa Melayu dan beragama Islam menjadi individu yang tidak bermoral.

“Kita orang Melayu sudahlah duit tak ada, ilmu tak ada, moral pula hancur. Mana lagi bahagian yang bangsa lain boleh tertarik dengan kita?" katanya kepada pemberita selepas ­menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu, di sini, semalam.

Nik Aziz berkata, pemimpin atau tokoh yang mempunyai gelaran sepatutnya menunjukkan tauladan yang baik, bukan mempamerkan keaiban orang lain.

“Mereka ini diberikan gelaran sedemikian rupa dengan harapan boleh membimbing rakyat, tapi apa yang berlaku adalah ­sebaliknya.

“Kalau pemimpin sanggup buat macam ini, rakyat apa lagi. Seks ini benda yang aib tetapi tiba-tiba ia dipertontonkan kepada umum, macam tak ada ­agama,” katanya.

Isnin lalu, rakaman video aksi seks yang dikatakan membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri ­Anwar Ibrahim dipertontonkan kepada editor kanan dan wartawan di Carcosa Seri Negara.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim ­Tamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim (kumpulan Datuk T) mengakui terlibat dalam pendedahan video terbabit.
Dicekup ketika berasmara

SURA HUJUNG – Tin-dakan sepasang kekasih yang menjadikan satu lorong gelap berdekatan semak untuk memadu asmara pada waktu malam membawa padah apabila mereka dicekup penduduk kampung dekat sini, malam kelmarin.

Pasangan remaja terbabit ketika ditahan dipercayai sedang melakukan aksi tidak senonoh dalam sebuah kereta yang diletakkan di satu lorong sunyi, kononnya sebagai helah untuk mengelakkan dihidu orang ramai yang lalu lalang di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, keadaan kereta terbabit yang agak mencurigakan menyebabkan penduduk kampung menghampiri mereka lalu menyoal siasat pasangan berusia 20-an itu sebelum berjaya membongkar aktiviti tidak bermoral pasangan yang berasal dari Selangor itu.

Difahamkan, pasangan lelaki itu kini sedang mengikuti latihan amali, manakala teman wanitanya juga seorang penuntut semester empat dari sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dan kunjungan mereka ke situ hanyalah untuk melepaskan rindu berikutan masing-masing dikatakan jarang dapat bertemu.

Pasangan remaja itu kemudiannya diserahkan kepada penguat kuasa Jabatan Agama untuk diambil keterangan sebelum menyerahkannya semula kepada pegawai disiplin dari bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) kolej untuk tindakan selanjutnya.


Gagal kawal diri kerana putus cinta

SERDANG – Gara-gara bekas teman wanita enggan menerima cintanya kembali, seorang pemuda sanggup terjun dari sebuah pangsapuri setinggi 15 tingkat di Serdang Perdana, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa dikatakan nekad mengambil keputusan terbabit selepas enggan menerima nasihat daripada rakan-rakan yang dikirim melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke telefon bimbit miliknya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, mangsa berusia 27 tahun itu ditemui orang ramai di tingkat bawah pangsapuri berkenaan sebelum kejadian dilaporkan kepada polis.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Bukit Serdang bekerja sebagai pembantu pusat siber di tempat sama bekas teman wanitanya bekerja.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan pernah beberapa kali mengugut untuk membunuh diri dan menyatakan hasrat itu kepada beberapa rakannya. Ia rentetan mangsa dikatakan tidak dapat menerima hakikat putus cinta dengan teman wanitanya yang berusia 19 tahun itu.

“Bimbang sesuatu tidak baik, rakan-rakannya memberikan nasihat dengan menghantar SMS supaya dia tidak bertindak bodoh. Bagaimanapun, mangsa benar-benar melakukan tindakan itu pagi semalam,” katanya.

Abd Razak berkata, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

“Dia dipercayai mati akibat hantukkan kuat selepas terjatuh ke lantai dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya selepas menyerahkan surat penghargaan kepada empat orang awam dan dua wakil akhbar termasuk Sinar Harian sempena sambutan Hari Polis ke-204 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, pagi semalam.

Dalam program sama, 30 anggota polis berkhidmat di bawah IPD Serdang turut diberi surat penghargaan atas kejayaan mereka membanteras jenayah.



Jeritan anak bongkar rahsia

TAMAN CENDANA – Insiden seorang kanak-kanak terkena kejutan elektrik ketika mengambil pakaian daripada mesin basuh membongkar keadaan penduduk rumah pangsa, di sini yang selama ini berdepan dalam bahaya.

Bapa mangsa, Zulkarnain Abd Samad, 36, berkata, semua barangan elektrik di rumahnya seolah-olah mempunyai arus elektrik kerana terasa seperti kejutan elektrik apabila dipegang sejak tiga bulan kebelakangan ini.

Menurutnya, kemuncaknya apabila anak keduanya, Nor Afidah Zulkarnain, 10, menjerit selepas terkena kejutan elektrik ketika ingin mengambil pakaian yang dicuci di dalam mesin basuh.

“Saya terkejut sebaik mendengar anak menjerit dan sebaik menghampiri mesin basuh berkenaan saya turut terkena kejutan elektrik, tetapi alhamdulillah kami selamat.

“Selepas kejadian itu, semua sistem pendawaian rumah saya mengalami masalah apabila tiga per empat tidak berfungsi sehingga saya terpaksa menyambung daripada satu punca menjadi banyak punca,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Halijah Mohd Said, 55, berkata, selama ini penduduk menyangka barangan elektrik di rumah masing-masing yang bermasalah mempunyai arus elektrik.

Menurutnya, peti sejuk, periuk nasi elektrik dan semua barangan elektrik tidak boleh dipegang sembarangan walaupun suis sudah ditutup kerana pasti terkena kejutan elektrik sekiranya dipegang.

“Apabila ada kes budak terkena kejutan elektrik, barulah kami tahu masalah itu bukan berpunca daripada barangan elektrik masing-masing, sebaliknya apabila diperiksa wayar bumi blok kami sudah dicuri.

“Cucu saya sebelum ini pernah terkena kejutan elektrik ketika ingin membuka pintu peti ais sehingga kami sekeluarga seperti fobia ingin menggunakan barangan elektrik di dalam rumah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, aduan yang dikemukakan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyebabkan tindakan segera baik pulih dilakukan.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Penduduknya, Shamsul Bahrin Ibrahim berkata, pihak SUK diminta melakukan siasatan dan pemeriksaan di semua 19 blok terlibat.

Menurutnya, tinjauan rambang yang dibuat menunjukkan majoriti blok kediaman penduduk tidak mempunyai pendawaian bumi selepas dikesan dipercayai dicuri oleh penagih dadah.

“Kita bimbang dengan keselamatan penduduk terutama kanak-kanak berikutan ia boleh mengundang litar pintas dan menjadi punca kebakaran disebabkan ketiadaan pendawaian bumi.

“Kita menyeru penduduk supaya tampil membuat aduan sekiranya berdepan masalah barangan elektrik yang tidak boleh dipegang kerana seperti yang dialami penduduk di blok 42,” katanya.

Katanya, keadaan pendawaian bumi yang dipasang secara terdedah di luar bangunan rumah pangsa berkenaan dikatakan menjadi punca tarikan pencuri.

Menurutnya, SUK sepatutnya lebih peka keselamatan penduduk dengan melakukan pemeriksaan terhadap sistem pendawaian dan penyelenggaraan di rumah pangsa berkenaan yang melebihi 10 tahun didiami penduduk.

“Kita minta SUK membuat penyelenggaraan terhadap sistem pendawaian di rumah penduduk yang bermasalah kerana kebanyakan penghuni di sini terdiri daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya.


Video lucah dan dosa politik
Dalam budaya manusia tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh. Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing.

Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasulNya. Ia haram. Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini.

Samada PAS, UMNO dan PKR; ramai individu dalam parti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka. Bahkan kadang-kala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang ada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar, mamak dan lain-lain. Mereka melanggar pantang larang agama dalam berpolitik.
Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri. Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini. Sedangkan Nabi s.a.w
“Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim).
Aib Peribadi

Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin. Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian.
Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf. Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat orang saksi 80 sebatan. Angka yang hampir bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat orang saksi –sekalipun mungkin benar- adalah berat di sisi agama.
Firman Allah(maksudnya):
“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: ayat 4).
Nabi s.a.w sendiri mengelakkan agar aib itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar. Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:
“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi s.a.w menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah Yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang Yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi s.a.w: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

Bukan Bukti Asas

Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat orang saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan dengan Allah bukan dengan orang lain. Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri.
Kata Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai usaha mencegah kemungkaran:
“Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemunkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….”
Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemunkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemunkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya.
Bahkan hukuman ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadith sahih: (bermaksud):”Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).
Berbeza Dengan Kes Kezaliman
Ia berbeza dengan kes jenayah terhadap lain seperti bunuh, curi, rompak, rogol, diliwat secara paksa, rasuah dan seumpamanya. Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa. Rakaman dalam kes-kes ini perlu diusahakan. Islam mengizinkan, bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang dilakukan yang boleh memudaratkan orang ramai dan rakyat.
Jika ada perasuah, atau perompak, atau perogol maka hendaklah diberi amaran kepada orang yang mungkin menjadi mangsa. Itupun hendaklah atas asas bukti yang kukuh, bukan sekadar andaian. Demikian juga boleh mendedahkan kepada pihak yang berkaitan seperti hakim, pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri atau orang lain.
Firman Allah: (maksudnya)
“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui.Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa”. (Surah al-Nisa: ayat 148-149).
Tidak Perlu Suruhanjaya
Tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-Ma’ruf (menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy ‘An al-Munkar (pencegahan kemunkaran) apabila ia nyata dilakukan.
Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah:
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya.
Allah Ta’ala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur.
Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan).
Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakaiNya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: Allah ta’ala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya.
Allah berfirman: (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya…
Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..”(Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).
Ingatan
Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam kes-kes seperti ini. Ia menjadi pengajaran kepada semua parti politik. Manusia-manusia yang rendah nilai dan maruah sanggup untuk terbabit dalam hal seperti ini sejak lama dahulu. Mereka ini ada dalam UMNO, PKR dan PAS. Sedangkan Allah berfirman (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah al-Hujurat: 12).
Bangkit Generasi Baru!
Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan ‘penonton bodoh’ yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakunkan. Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!


Dipetik daripada blog Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

No comments:

Post a Comment