Dua beranak parah dirempuh Perodua Viva
MELAKA - Orang lain yang cuai, orang lain pula yang terpaksa menerima padah.
Kata-kata itu sesuai untuk menggambarkan mengenai nasib yang menimpa dua beranak apabila mereka nyaris lemas selepas dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva ketika sedang berjalan pulang ke rumah di Semabok di sini semalam.
Kejadian pukul 12.15 tengah hari itu menimpa Nurshamsiah Samawi, 6, dan ibunya, Misliyah Nafhan, 35, apabila mereka tercampak ke dalam longkang sedalam 1.5 meter.
Ekoran itu, Misliyah patah kaki kanan manakala Nurshamsiah pula nyaris lemas sebelum diselamatkan oleh orang ramai yang menghantar mereka ke Hospital Melaka.
Seorang saksi, Sazly Mak Lip, 32, berkata, kejadian berlaku apabila sebuah van yang dipandu laju melanggar belakang Viva sebelum terseret sejauh kira-kira 30 meter ke kiri jalan.
"Pada masa sama, kereta Viva itu telah merempuh dua beranak tersebut mengakibatkan mereka tercampak ke dalam longkang. Kereta Viva dan van itu juga terperosok ke dalam longkang," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
Duda anak satu maut nahas
PASIR PUTEH – Keengganan seorang duda menemani ibunya untuk bersolat Subuh berjemaah di masjid selepas keletihan menunaikan solat Tahajjud dan berzikir di sepertiga malam rupanya menjadi petanda yang dia akan menemui ajalnya semalam.
Mohd. Farid Che Nordin (gambar kecil), 27, meninggal dunia apabila dirempuh sebuah lori ketika dia hendak melintas jalan dalam kejadian pukul 7.30 pagi di Kilometer 3.3, Jalan Sri Aman ke lampu isyarat Kemunting di sini.
Bekas pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat komunikasi di Kuala Lumpur itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut ibunya, Khadijah Abdul Rahman, 58, entah mengapa pagi semalam anaknya enggan menemaninya untuk solat Subuh berjemaah di masjid seperti kebiasaannya.
“Mungkin dia keletihan ketika saya mengejutnya kerana pada awal pagi, saya nampak dia sedang solat Tahajjud dan berzikir sebelum terlelap seketika. Sebelum ini dia tidak begitu,” ceritanya di sini semalam.
Maut dilanggar lori
PASIR PUTEH – Seorang pemuda, Mohd Farid Che Nordin,27, ditemui maut di Kilometer 3.3 Jalan Sri Aman ke lampu isyarat Kemunting, di sini dipercayai dilanggar oleh sebuah lori ketika melintas jalan jam 7.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, ketika kejadian, lori yang dipandu oleh pemuda berumur 30an itu dari arah Jerteh ke Kota Bharu.
“Mengikut pemandu tersebut, ketika itu dia melihat Mohd Farid berdiri di bahu jalan yang lurus itu dan tiba-tiba melintas sehingga berlakunya pelanggaran tersebut,’’ katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, pemandu yang berasal dari Kampung Beris itu datang membuat aduan ke Balai Polis Pasir Puteh selepas sahaja kejadian tersebut berlaku.
Mohd Kamal berkata, manakala Mohd Farid yang berasal dari Kampung Surau meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, kejadian tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Kanun Keseksaan.
“Kepada orang ramai yang ada menyaksikan kejadian itu diharap dapat tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan polis ini,” katanya.
Sementara itu, ibu Mohd Farid, Khadijah Abdul Rahman,58, berkata, kebiasaannya setiap pagi, anak ketiga daripada enam adik beradik itu akan mengikutnya ke masjid untuk menunaikan solat Subuh berjemaah.
“Tetapi hari ini dia tidak ikut serta kerana pagi sebelum kejadian, makcik sempat tengok dia berjaga malam menunaikan solat Tahajud serta berzikir dan terlelap seketika, sebelum makcik kejutkan dia untuk ke masjid.
“Mohd Farid sudah tiga bulan berada di kampung apabila dia berhenti kerja di Kuala Lumpur kerana mengalami masalah rumah tangga,’’ katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Khadijah berkata, anaknya itu mempunyai seorang anak perempuan berusia 10 bulan dan kini berada bersama bekas isterinya di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, berita kematian Mohd Farid diketahuinya sebaik sahaja dihubungi oleh jiran tetangga.
Menurutnya, dia yang ketika itu masih berada di masjid terus bergegas ke tempat kejadian bersama suaminya, Che Nordin Hassan, 58.
No comments:
Post a Comment