Sunday, March 20, 2011

MUNGKIN BAGUS DAPAT MENAMBAH ILMU...PENGALAMAN...MENGETAHAUI AZAB BILA ALLAH TIMPAKAN GEMPA...SANGGUP MERASA KESUSAHAN...MUNGKIN INSAF...BALIK BOLEH BERTAMBAH KUAT IBADAH DAN TAAT PADA ALLAH...ATAU SANGGUP BERSUSAH PAYAH MENCARI ILMU ISLAM SEBELUM MATI...TAPI ORANG SANGGUP BERSUSAH PAYAH MENCARI BERITA DAN ILMU...TAPI PENGAJIAN2 DISURAU2 DAN MASJID2 YG BERDEKAT PAYAH SAMPAI ATAU DIKUNJUNGI...MANUSIA LAH NI LEBIH KENAL DUNIA DARI AKHIRAT....KITA TAK PANDAI MENILAI MANA YANG KEKAL...MANA YG SEMENTARA...

Dari Pulau Honshu: Nasi bola menu wajib



HANYA nasi bola atau dalam bahasa Jepun, onigiri dan sup sayur menjadi hidangan wajib buat penulis sepanjang berada di kawasan paling terjejas akibat gempa bumi dan tsunami di Wilayah Iwate dan Miyagi.
Walaupun ada hidangan lain seperti mi daging, ia diragui kerana mungkin tidak halal.

Ketika tiba di Tokyo dua hari selepas bencana itu, penulis berpeluang menikmati nasi beryani kambing tetapi selepas ke kawasan bencana yang terletak lebih 1,000 kilometer di utara dan timur laut Jepun, hanya dua makanan ruji masyarakat situ yang menjadi santapan untuk mengalas perut. Malah, makanan itu yang menjadi sarapan, makan tengah hari dan malam.
Buat pertama kali merasai nasi bola itu sambil menghirup sup, agak sedap juga tetapi kalau sudah hari-hari, berasa boring dan jemu pula.

Syukur juga ada membawa mi segera, boleh juga dimakan ketika terdesak. Malah, makanan sama dihidangkan di kebanyakan pusat penempatan mangsa bencana.

Selain itu, apa yang diperhatikan, sejak berada di kawasan bencana, penulis tidak menemui seorang pun wartawan asing. Jika ada pun, kru atau wartawan media tempatan.

Berdasarkan perbualan dengan polis tempatan, tidak semua wartawan dibenarkan menghampiri kawasan bencana tanpa surat kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa di Tokyo.

Untuk mendapat kebenaran itu juga bukan mudah. Penulis dan rakan media dari Media Prima bernasib baik kerana mendapat kerjasama baik daripada Kedutaan Besar Malaysia. Jika tidak, mungkin penulis juga tidak dibenarkan pergi ke kawasan bencana.
Apabila mendapat kebenaran, perlu pula kenderaan. Sejak bencana berlaku, tiada kenderaan mahu ke kawasan itu kerana jauh selain bimbang dengan kebocoran beberapa loji nuklear di Fukushima.

Jadi mahu tidak mahu, harga tinggi perlu dibayar untuk memujuk mereka ke kawasan berisiko itu.

Walaupun perlu mengeluarkan belanja besar untuk kenderaan, ia berbaloi dengan pengalaman yang dikutip ketika membuat liputan.


Kertas cari tersayang



MIYAGI: “Ada nampak anak saya? Jika ada, hubung saya segera.” Itu perkataan yang tertera pada puluhan helaian kertas yang dilekatkan pada pintu masuk sebuah pusat penempatan mangsa gempa bumi dan tsunami, 11 Mac lalu.
Hanya sekeping kertas itu kini dijadikan harapan buat ahli keluarga mengesan insan tersayang yang mungkin masih hidup atau terselamat.

Cara itu dilihat paling berkesan kerana setiap mangsa bencana akan ditempatkan di pusat penempatan di kawasan tumpuan ramai seperti stadium, sekolah dan dewan orang ramai di serata tempat.
Jadi tidak hairan, akan kelihatan banyak helaian kertas dilekatkan di pintu atau dinding yang tertera nama mangsa yang hilang selain nombor telefon yang boleh dihubungi jika tahu di mana mangsa berada.

Malah, ada pusat menyediakan papan kenyataan khas bagi memudahkan helaian kertas itu ditampal dengan lebih tersusun supaya mudah dilihat serta dibaca.

Tinjauan Metro Ahad ke beberapa pusat penempatan mangsa bencana di sekitar Natori, di sini, dan Iwate mendapati banyak helaian kertas di dinding dan pintu bertujuan mengesan ahli keluarga masing-masing yang masih hilang.

Bagi Kikoshi, 65, dia mencari anak perempuannya, Yuki Aizawa, 23, yang hilang sejak gempa bumi dan tsunami melanda.

Katanya, sudah puas dia mencari anak tunggalnya di setiap pusat pemindahan tetapi hingga kini masih gagal.
“Saya dan isteri risau kerana anak saya masih gagal ditemui. Ketika kejadian, anak saya keluar bekerja di bandar yang terletak kira-kira 30 kilometer dari rumah,” katanya semalam.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Rendah Tatekoshi, Natori yang menjadi satu daripada pusat pemindahan, Morio Takashashi berkata, masih ramai mangsa di situ yang hilang dan gagal ditemui hingga kini.

Katanya, setiap hari pasti akan ada mangsa dari kawasan lain datang ke sekolah ini untuk mencari kalau-kalau ada ahli keluarga mereka ditempatkan.

“Mereka akan membawa beberapa helaian kertas tertera nama ahli keluarga dan nombor telefon yang boleh dihubungi untuk diletakkan di dinding di sekolah saya,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini tiada seorang pun ahli keluarga yang menampalkan helaian kertas itu menemui keluarga masing-masing.


Serik ke Fukushima

KUALA LUMPUR: “Kalau diberi pilihan, saya serik ke Fukushima lagi selepas melalui pengalaman ngeri berada di bilik bergoncang. Sebelum ini banyak gegaran tetapi tidak sebesar ini dan ia tidak akan dilupakan sepanjang hidup saya,” kata Khairun Khadijah Isa, 23, pelajar Malaysia yang terselamat dalam kejadian gempa bumi yang mencetuskan tsunami, 11 Mac lalu.
Kejadian itu juga menyebabkan dia tidak pasti sama ada berpeluang bergelar graduan kerana segala persiapan musnah biarpun berjaya menamatkan pengajian beberapa hari sebelum malapetaka itu berlaku.

Menceritakan semula detik kejadian itu, Khairun berkata, dia ketika itu mengemas barang kerana mahu berpindah dari asramanya selepas tamat pengajian baru-baru ini, namun tidak menyangka terpaksa ‘menangguhkan’ hasrat itu buat sementara selepas kawasan itu digegarkan dengan gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter.
Lulusan diploma kejuruteraan elektrik Kolej Teknologi Fukushima itu berkata, pada awalnya dia dan rakan hanya mendengar amaran gempa dikeluarkan pihak berkuasa, namun tidak menyangka beberapa minit kemudian seluruh bilik asramanya bergegar dengan kuat.

“Saya sempat berlari ke pintu bilik untuk mencari tempat selamat. Ketika itu seluruh bilik bergegar dengan kuat menyebabkan semua barang di atas rak jatuh.

“Dalam fikiran saya waktu itu hanya menyelamatkan diri, mujur ada rakan di bilik sebelah, jadi kurang sedikit rasa takut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Khairun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi kelmarin mendakwa terpaksa merasai keperitan hidup tanpa bekalan asas seperti air dan makanan selepas dua hari berlaku gempa serta mengetahui keadaan di sana hanya menerusi televisyen.

“Sehari selepas dilanda bencana itu, keadaan menjadi kelam kabut dengan tiada bekalan air di asrama. Kami terpaksa mengangkut air dari sekolah berhampiran untuk kegunaan harian.
“Hampir seminggu kami tidak mandi kerana bekalan terhad,” katanya.

Menurutnya, dia akan pergi semula ke negara berkenaan pada 29 Mac ini untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Toyohashi di Nagoya.

“Saya bercadang menyambung pengajian di sana (Jepun), namun terpulang juga pada keadaan disebabkan ancaman radioaktif Fukushima Daiici,” katanya.


Ditumbuk, rompak, culik

Oleh MARY VICTORIA DASS
maryvictoria@hmetro.com.my

LEBAM...Yuen menunjukkan kesan lebam di wajahnya gara-gara ditumbuk  sekumpulan penjenayah.
LEBAM...Yuen menunjukkan kesan lebam di wajahnya gara-gara ditumbuk sekumpulan penjenayah.
JOHOR BAHRU: “Saya hanya ingat mati apabila diculik. Penculik itu bukan saja menutup mata saya tetapi turut mencekik leher, menumbuk muka bertubi-tubi dan mengikat tangan selepas saya dihumban ke tempat duduk belakang kereta keluarga,” kata mangsa culik, Yuen Mei Kien, 49, semalam.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu terpaksa menempuhi detik mencemaskan apabila diculik kumpulan penjenayah hampir dua hari, termasuk dirompak dan dikurung di sebuah rumah, sebelum dibebaskan awal pagi semalam.

Yuen berkata, kejadian berlaku jam 6 pagi Khamis lalu ketika dia meletakkan kereta berhampiran sebuah restoran makanan segera di Taman Bukit Indah, di sini, kerana mahu menaiki kenderaan rakan untuk menuju ke tempat kerja di Singapura.
Yuen yang bekerja sebagai ketua pentadbir di sebuah syarikat swasta di negara republik itu berkata, ketika turun dari kereta, tiba-tiba dua lelaki menghampirinya dan merampas kunci kereta sebelum dia dihumban ke kereta milik keluarganya.

“Lebih kuat saya meronta, kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an bertindak lebih ganas dan mencekik saya hingga saya terpaksa akur dengan arahan mereka demi menyelamatkan nyawa.

“Setiap kali bertanya termasuk nombor pin kad mesin juruwang automatik (ATM), mereka menumbuk muka saya, mengakibatkan hampir keseluruhan wajah menjadi lebam, terutama di mata.

“Kemudian mereka mengurung saya di dalam kereta hampir 10 jam sementara mengeluarkan wang saya bernilai RM10,000 daripada ATM,” katanya.

Yuen berkata, sepanjang perjalanan dalam kereta, dia mendengar kumpulan penjenayah berkomunikasi dalam Bahasa Tamil sebelum dia dikurung di bilik gelap di sebuah rumah bagi mengelakkannya melarikan diri.
Bagaimanapun kira-kira jam 2.30 pagi semalam, penjenayah menghantarnya ke Jalan 1/3, Taman Bukit Indah, di sini, menggunakan kereta sebelum menghilangkan diri.

“Keadaan saya lebih buruk daripada banduan penjara. Saya bukan saja kelaparan kerana tidak diberikan makan minum hampir dua hari, malah cedera hampir seluruh badan.

“Melihat keadaan saya yang tidak bermaya, mereka mengambil keputusan meninggalkan saya di tepi jalan biar pun pada awalnya mengugut menghumban saya ke dalam longkang,” katanya yang kemudian dibantu beberapa pengguna jalan raya.

Yuen yang masih trauma dengan kejadian itu meminta bantuan orang ramai yang ada maklumat berkaitan kereta keluarga Toyota Vios dengan nombor pendaftaran JMA 8711 yang dilarikan penjenayah itu supaya menghubungi polis secepat mungkin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superitendan Abdul Aziz Ahmad mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, dalam kejadian itu mangsa turut kehilangan wang tunai RM500, S1,000 (mata wang Singapura), telefon bimbit dan kereta jenis Toyota Vios.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan dan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik.

“Polis akan mengambil keterangan daripada mangsa secepat mungkin selain menjalankan usaha bagi menangkap penjenayah terbabit,” katanya ketika dihubungi semalam.

No comments:

Post a Comment