AHLI IBADAT YANG JAHIL DAN ULAMA YANG FASIQ
H.R. IBNU ADY
Daripada Anas ra berkata : Bersabda Rasulullah SAW, "Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq".
Nabi SAW menerangkan di akhir zaman nanti akan ada dua golongan ini. Ada golongan jahil yang rajin beribadat dan ada pula orang alim yang fasiq. Sebenarnya syaitan telah berusaha sedapat mungkin untuk menyesatkan manusia. Oleh kerana itu ia menggunakan beberapa cara yang berlainan kepada orang-orang yang berlainan pula. Bagi si jahil, syaitan selalu menyuruhnya rajin berbuat ibadat, kerana ibadat orang yang jahil itu tidak sah dan tidak diterima di sisi Allah SWT. Syaitan tidak mahu orang jahil itu rajin mengaji kerana bila ia mengaji ia akan memperbaiki ibadatnya, maka ibadat tersebut akan diterima oleh Allah SWT yang bererti kekalahan di pihak syaitan.
Begitu pula halnya dengan si Alim yang banyak ilmunya. Syaitan akan menyuruhnya malas beribadat dengan mengemukakan bermacam-macam alasan, sehingga si Alim itu meninggalkan kefardhuannya. Maka dengan itu ilmu yang ada di dalam dadanya tidak berfaedah, bahkan akan menjadi musuh kepadanya pada hari kiamat nanti. Maka itulah kejayaan syaitan dalam usahanya.
Gejala sebegini rupa dapat di lihat di dalam masyarakat kita, di mana yang rajin beribadat itu adalah orang yang jahil dan yang mengabaikan hal-hal ibadat itu pula adalah terdiri daripada orang yang mempunyai ilmu pengetahuan.
Hadis Kedua Puluh Dua : -
ORANG YANG BERPEGANG DENGAN AGAMANYA
SEPERTI MEMEGANG BARA API
SEPERTI MEMEGANG BARA API
H.R. TIRMIZI
Daripada Anas ra berkata : Rasulullah SAW bersabda : "Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api".
Yang dimaksudkan di sini ialah zaman yang sangat mencabar sehingga sesiapa yang hendak mengamalkan ajaran agamanya ia terpaksa menghadapi kesusahan dan tentangan yang sangat hebat. Kalau ia tidak bersungguh-sungguh, nescaya agamanya terlepas dari genggamannya.
Ini adalah disebabkan suasana di sekelilingnya tidak membantu untuk ia menunaikan kewajiban agamanya. Bahkan apa yang ada di sekelilingnya mendorong untuk membuat kemaksiatan dan perkara-perkara yang dapat meruntuhkan akidah dan keimanan atau paling kurang menyebabkan kefasiqan. Ini juga bermaksud, orang Islam tersepit dalam melaksanakan tuntutan agamanya di samping tidak mendapat kemudahan.
Hadis Kedua Puluh Tiga : -
GOLONGAN RUWAIBIDHAH
H.R. IBNU MAJAH
Daripada Abu Hurairah ra berkata : Rasulullah SAW bersabda :"Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan "Ruwaibidhah". Sahabat bertanya, "Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?". Nabi SAW menjawab, "Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai".
Zaman yang disebutkan tadi adalah zaman ketandusan. Tandus di segi material dan juga tandus di segi pemikiran. Orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat serta fasiq akan di sanjung dan dibesar-besarkan.
Orang yang benar tidak diberikan peluang untuk bercakap. Yang berpeluang bercakap hanyalah peribadi-peribadi yang hina dan sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat.
Hadis Keduapuluh Empat: -
PEPERANGAN DEMI PEPERANGAN
H.R. IBNU MAJAH
Daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak berlaku "al-Harj". Sahabat bertanya, " Apakah al-Harj itu hai Rasulullah?". Nabi Muhammad SAW menjawab : " Peperangan demi peperangan demi peperangan".
Realiti dunia hari ini membuktikan kebenaran sabda junjungan kita Nabi SAW. Harta benda melimpah ruah. Banyak alat-alat moden yang dihasilkan oleh teknologi Barat dan Timur sehingga bertambah banyak alatan dan keperluan hidup. Maka oleh kerana itu ramai orang yang berlumba-lumba untuk mengaut keuntungan dalam membuat dan memperdagangkan alat-alat tersebut.
Dan oleh kerana masing-masing tamak dan rakus maka terjadilah perebutan yang mengakibatkan berlakunya peperangan demi peperangan. Dari masa ke semasa peperangan berkobar dengan tiada henti-hentinya. Padam di suatu tempat dan menyala pula di tempat yang lain. Satu sama lain saling cakar mencakar. Semakin maju teknologi, semakin terseksa manusia kerananya.
Sebenarnya teknologi tidaklah bercanggah dengan Islam, tetapi ia mestilah tunduk di bawah etika kemanusiaan yang didukung oleh Islam itu sendiri. Sedangkan teknologi yang di taja oleh dunia barat hari ini adalah berdasarkan kepada kepentingan peribadi dan mengikut telunjuk hawa nafsu yang rakus sehingga teknologi itu digunakan untuk menghancurkan nilai-nilai kemanusiaan itu sendiri.
Nampaknya, begitulah keadaan yang berlaku dari umur dunia ini, sehinggalah sampai ke titik akhirnya, iaitu kiamat.
Hadis Ke Dua puluh Lima : -
MASA AKAN MENJADI SINGKAT
H.R. TIRMIZI
Daripada Anas bin Malik ra berkata : Rasulullah SAW bersabda; "Tidak akan terjadi kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti petikan api".
Masa akan berlalu begitu cepat. Belum sempat berbuat sesuatu, tiba-tiba masa sudah terlalu larut, sehingga banyak perkara yang belum dapat diselesaikan. Kita seakan-akan sibuk, tetapi kita tidak faham apa yang disibukkan. Kita di buru masa dan ia berlalu dengan tiada ada perkara yang dapat kita selesaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa.
Menurut Imam al-Karmani, yang dimaksudkan dengan singkatnya masa itu ialah dicabut keberkatan daripadanya. Memang benar apa yuang dikatakan oleh Imam al-Karmani itu, dahulunya kita merasakan dalam sehari banyak perkara yang dapat kita laksanakan, tetapi sekarang dalam sehari yang sama hanya sedikit perkara-perkara yang dapat kita laksanakan. Ini adalah satu petanda hampirnya kiamat.....
Hadis ke Dua Puluh Enam : -
MUNCULNYA GALIAN-GALIAN BUMI
H.R. BAIHAQI
Daripada Umar ra berkata : 'pada masa dibawa ke hadapan Rasulullah SAW sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali di kutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaiman dari tempat tambang (galian) mereka. Maka sahabat berkata : "Hai Rasulullah ! Emas ini adalah hasil dari galian kita". Lalu Nabi SAW menjawab ,"Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang jahat".
Tepat sekali apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW sejak limabelas abad yang lalu. Hari ini dunia Islam sangat kaya dengan galian bumi seperti emas, perak, timah, petrol dan lain-lain. Tetapi yang menguruskan dan yang menguasainya adalah orang-orang yang bukan Islam. Ini adalah suatu realiti yang sangat jelas di mata kita dan merupakan salah satu di antara petanda hampirnya hari kiamat.
Hadis Ke Dua Puluh Tujuh : -
TANAH ARAB YANG TANDUS MENJAD LEMBAH YANG SUBUR
H.R. MUSLIM
Abu Hurairah ra berkata : "Bersabda Rasulullah SAW: "Tidak akan terjadi kiamat sehinggalah Tanah Arab (yang tandus itu) menjadi lembah yang subur dan di aliri sungai-sungai".
Sekarang kita telah mula menyaksikan kebenaran sabdaan junjungan kita ini. Kita banyak melihat tanah Arab yang dahulunya tandus dan kering kontang tetapi sekarang telah mulai menghijau dan ditumbuhi rumput-rumput dan pohon-pohon kayu.
Contohnya, Padang Arafah yang ada di Makkah al-Mukarramah yang dahulunya hanya dikenali sebagai padang yang tandus dan tiada pohon kayu. Sekarang ini Padang Arafah dipenuhi pohon-pohon kayu, sehingga kelihatan menghijau dan kita dapat berteduh di bawah naungannya.
Keadaan ini walaupun menyejukkan mata memandang namum ia mengurangkan gambaran suasana padang Mahsyar, tempat berhimpunnya seluruh makhluk pada hari kiamat nanti yang merupakan tujuan utama dan pelajaran penting yang di ambil dari suasana wuquf jamaah Haji di Padang Arafah pada setiap 9 Zulhijjah tahun Hijriyah.
Hadis Ke Dua Puluh Lapan : -
UJIAN DASHYAT TERHADAP IMAN
H.R. MUSLIM
Daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :"Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi, kemudian di waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau (Syak Perawi Hadis) seseorang yang masih beriman di watu petang, kemudian pada esok harinya ia sudah menjadi kafir. Ia telah menjual agamanya dengan sedikit dari mata benda dunia".
Hadis ini menerangkan kepada kita betapa dashyatnya dan hebatnya ujian terhadap iman seseorang di akhir zaman. Seseorang yang beriman di waktu pagi, tiba-tiba dia menjadi kafir di waktu petang. Begitu pula dengan seseorang yang masih beriman di waktu petang, tiba-tiba pada esok harinya telah menjadi kafir. Begitu pantas dan cepat perubahan yang berlaku.
Iman yang begitu mahal boleh gugur di dalam godaan satu malam atau satu hari sahaja, sehingga ramai orang yang menggadaikan imannya kerana hanya hendak mendapatkan sedikit dari harta benda dunia. Dunia lebih dicintai di sisi mereka daripada iman. Dan menurut Ibnu Majah, beliau menambahkan, "kecuali orang yang hatinya dihidupkan Allah SWT dengan ilmu".
Mudah-mudahan Allah SWT menjadikan kita di antara orang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya, sehingga dengan itu Allah SWT akan menyelamatkan iman kita dari ujian yang dashyat ini.
Hadis Ke Dua Puluh Sembilan : -
KELEBIHAN BERIBADAT DI SAAT-SAAT HURU HARA
H.R. MUSLIM
Daripada Ma’qil bin Yasar ra. berkata Rasulullah bersabda:" Beribadat di saat-saat huru hara (dunia kacau bilau) adalah seperti berhijrah kepadaku".
Orang yang mampu beribadat dan menunaikan kewajipan agamanya di saat-saat yang penuh dengan huru hara dan gangguan dari segenap penjuru, dan mampu mengingati Allah SWT di saat-saat orang lain lupa dan di sibukkan dengan perkara-perkara yang melalaikan. Mereka akan diberikan pahala seperti pahala hijrah yang telah dilakukan oleh kaum Muhajirin di zaman Rasulullah saw.
Mudah-mudahan kita termasuk di kalangan mereka yang mampu beribadat walaupun di dalam keadaan dan suasana yang sangat menyibukkan, dan mudah-mudahan kita mendapatkan pahala besar yang telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW tadi
Hadis Ke Tiga Puluh : -
PEPERANGAN DI KAWASAN SUNGAI FURAT (IRAQ)
KERANA MEREBUT KEKAYAAN
KERANA MEREBUT KEKAYAAN
H.R. BUKHARI MUSLIM
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah SAW bersabda; 'Tidak terjadi hari qiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates iaitu sebuah sungai yang ada di lraq) menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang yang berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata, "mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu".
Di dalam riwayat lain ada disebutkan; "Sudah dekat suata masa di mana sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu ternampak perbendaharaan daripada emas, maka barangsiapa yang hadhir di situ janganlah ia mengambil sesuatu pun daripada harta itu".
Hadis ini jelas sekali menerangkan bahawa di kawasan Iraq dan disekitarnya akan berkobar peperangan yang berpunca dari merebutkan kekayaan yang ada di sana dan ramai yang terkorban dan masing-masing pihak bercita-cita seandainya merekalah yang terselamat.
No comments:
Post a Comment