Tuesday, May 24, 2011

HIDUP DIDUNIA ALLAH UJI DENGAN PELBAGAI UJIAN...KENA SABAR DISAMPING REDA YANG TINGGI...HIKMAH SEBALIK TAKDIR.... ALLAH SAJA YANG LEBIH MENGETAHUINYA...BERTAKWALAH...

Balik usung jenazah anak

Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

SEBAK...Radziah menunjukkan baju kurung yang sempat dipakai arwah anaknya pagi kelmarin.
SEBAK...Radziah menunjukkan baju kurung yang sempat dipakai arwah anaknya pagi kelmarin.
MACHANG: Tidak sampai sejam selepas mengusung jenazah sepupu, seorang pengawal keselamatan terpaksa pula memikul jenazah anak perempuan yang berusia tiga tahun apabila kanak-kanak itu lemas akibat ‘tertinggal’ sejam dalam Perodua Kancil miliknya di Kampung Morak, Palekbang, Tumpat, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu disedari penduduk kampung selepas anak bongsu daripada enam beradik itu, Nor Izzyan Natasya Ishak, dilihat dalam keadaan tidak bermaya dan kepanasan di tempat duduk belakang kereta bapanya yang berkunci.

Pada masa sama, Ishak Salleh, 50, yang tergerak hati melihat kemungkinan anaknya tertinggal dalam kereta, memberi kunci kenderaan kepada seorang sepupunya supaya meninjau sebelum kakaknya, Che Mas Salleh, 55, memberitahu anaknya tidak bermaya.
Penduduk kampung cuba memberi bantuan pernafasan melalui mulut ke mulut berikutan keadaannya terlalu lemah dan mangsa menunjukkan reaksi apabila muntah, namun apabila tiba di Klinik Kesihatan Wakaf Bharu, Tumpat, doktor mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia pada jam 12.05 tengah hari kelmarin.

Ishak berkata, dia turun dari kereta mengusung jenazah sepupunya yang dibawa ke tanah perkuburan sehingga terlupa membawa anaknya keluar bersama.

“Memang saya tidak menyangka kejadian itu. Saya sangka anak saya mengikut ibu dan bapa saudaranya naik ke rumah sepupu kami, tetapi tidak menyangka berlaku sebaliknya apabila dia (arwah) ‘tertinggal’ dalam kereta yang terkunci.

“Ketika pulang daripada urusan pengebumian jenazah, barulah saya teringat anak dan mungkin berlaku kejadian tidak diingini kerana keadaan di luar begitu panas menyebabkan saya mendapatkan bantuan sepupu untuk melihatnya di kereta,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Ulu Sat, Machang, semalam.

Ishak yang juga ketua pengawal keselamatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kota di Kota Bharu berkata, tidak sampai beberapa minit, dia dihubungi kakaknya yang memaklumkan mengenai keadaan anak yang tidak bermaya.
“Hati saya begitu sebak dengan kejadian yang tidak sepatutnya berlaku. Kakak memberitahu keadaan anak saya begitu lemah selepas ditemui di tempat duduk belakang kereta dalam keadaan muka disandarkan di belakang tempat duduk hadapan kereta saya sebelum diberikan bantuan pernafasan penduduk kampung.

“Dia memberikan reaksi dengan muntah sebelum kakak mengusung dan membawanya ke klinik berdekatan untuk rawatan, tetapi Allah lebih menyayanginya dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya.

Ibu mangsa, Radziah Ismail, 42, berkata, dia dapat lihat perubahan sikap anaknya yang begitu teruja mengikut ayahnya, selain sempat menggayakan sepasang daripada 10 pasang baju kurung yang disiapkan sempena Aidilfitri tahun ini.

“Tahun ini kami mahu sedondon memakai baju berwarna hijau sempena Aidilfitri. Kebetulan, saya menyiapkan baju itu cuma dia (anak) sempat bertanya mengenai mengapa dipakaikan baju raya pagi kelmarin dan saya memberitahu, adik pakai baju ke tempat orang mati,” katanya.

“Paling saya terkilan, kami tidak sempat menyambut hari jadinya di restoran makanan segera pada 4 Jun ini bersama seorang abangnya, tetapi semuanya sudah suratan takdir,” katanya.

Jenazah kanak-kanak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu Sat, kira-kira jam 11 malam semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kematian itu tidak mempunyai unsur jenayah.


Hikmah sebalik musibah

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
am@hmetro.com.my

SEBAK...Nur Suzana (kiri) dan Nor Aida melihat tangan Mohd Aizad  di Hospital Ampang.
SEBAK...Nur Suzana (kiri) dan Nor Aida melihat tangan Mohd Aizad di Hospital Ampang.
AMPANG: “Impian selama 11 tahun untuk berjumpa ibu kandung termakbul apabila ibu datang ke hospital menziarahi saya dan rakan walaupun dalam suasana sedih selepas kehilangan ramai saudara dalam kejadian tanah runtuh,” kata Muhd Aizad Qushyariry Abd Karim, 13, mangsa kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-Anak Yatim Al-Taqwa, Hulu Langat dekat sini.
Muhd Aizad yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil, Hulu Langat dan tinggal di rumah anak yatim itu sejak empat tahun lalu berkata, setiap masa dia tidak pernah lupa berdoa agar dipertemukan dengan ibu kandungnya, Nur Suzana Abdullah, 37, dan adik perempuan, Aerryssa Fadiana Abd Karim, 11, selepas berpisah ketika masih kecil.

Katanya, dia masih terkejut tetapi gembira apabila ibunya datang melawat selepas sekian lama tidak berjumpa dan hanya doa menjadi penghubung antara mereka.
“Hanya rasa syukur dapat diluahkan apabila ibu datang memeluk dan mencium saya untuk pertama kali selepas 11 tahun tidak bersua.

“Saya berjanji akan menjadi anak yang patuh dan mahu tinggal bersamanya selain tidak melupakan ibu angkat, (Nor Aida Yaacob, 31,) yang bersusah payah membesarkan saya dan memberi pelajaran secukupnya,” katanya ketika ditemui di Hospital Ampang di sini, semalam.

Muhd Aizad yang patah tangan kiri dan cedera di badan berkata, kejadian malang itu tidak boleh dilupakan seumur hidup apabila separuh badannya hingga tengkuk tertimbus dengan tanah selama dua jam sebelum diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.

“Pada masa itu, saya hanya mampu berdoa sambil menyebut nama ibu dan berharap dapat berjumpa dengan mereka dan memeluk kedua-duanya.

“Saya bersyukur kejadian ini mempunyai hikmah kerana dapat merasai kasih sayang dua ibu selain ayah kandung, (Abd Karim Yaacob, 40,) yang banyak berdoa dan berjasa kepada saya,” katanya yang kini semakin pulih dan ceria walaupun masih trauma.
Menurutnya, dia akan tinggal bersama ibu kandungnya selepas ini dan bergilir-gilir ke rumah ibu angkatnya yang juga ibu saudaranya.

Bagi Nur Suzana pula, dia hanya mengetahui kejadian menimpa anaknya itu melalui siaran berita di televisyen, kelmarin.

Katanya, dia yang terlihat nama anaknya yang dicari sejak 11 tahun lalu hanya mampu menangis kerana doanya selama ini dimakbulkan.

“Sekian lama saya mencarinya hanya kini baru berjumpa dan bersyukur kerana Muhd Aizad selamat dalam kejadian itu,” katanya.

“Tidak tergambar dengan kata-kata apabila dapat berjumpa anak kesayangan dan memeluk kembali tubuh kecil selepas sekian lama terpisah,” katanya.

Menurutnya, selepas berpisah dengan suami, dia membawa diri ke Hulu Klang dan tinggal di sana dengan meninggalkan Muhd Aizad dan anak sulungnya, Mohd Alif Zafran Abd Rahim, 15, bersama suami.


‘Main sendirian atas titi sungai’

Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Mohamad Hairi Azmi Tham
am@hmetro.com.my

USUNG...pasukan penyelamat mengusung mayat mangsa, semalam. Gambar kecil, Zubir.
USUNG...pasukan penyelamat mengusung mayat mangsa, semalam. Gambar kecil, Zubir.
KUALA KANGSAR: “Arwah memang pendiam malah sering bermain bersendirian di atas titi anak sungai itu. Namun dia tiba-tiba ghaib petang semalam (kelmarin) dan tidak pulang ke rumah,” kata Zubir Abdul Rahman, 68, datuk kepada Mohamad Haikal Wazir, 6, yang ditemui lemas dalam sungai di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, kanak-kanak malang itu ditemui lemas di Sungai Papan, Kampung Padang Asam, Padang Rengas, dekat sini, oleh sepasukan bomba dan penyelamat kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

Sehari sebelum kejadian, mangsa dilaporkan hilang oleh datuknya kira-kira jam 7.15 malam kelmarin selepas kanak-kanak itu tidak pulang ke rumah seperti biasa sebelum satu gerakan mencari dilakukan.
Bagaimanapun, usaha mencari dan menyelamat dilakukan beberapa agensi termasuk sepasukan bomba dan penyelamat Kuala Kangsar, anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) cawangan Padang Rengas dan bantuan beberapa penduduk kampung gagal menemui kelibat mangsa malam kelmarin.

Difahamkan, mangsa bermain bersendirian di sebuah titi berhampiran kedai runcit datuknya yang terletak kira-kira 10 meter dari anak sungai itu.

Mangsa dikatakan tergelincir ke dalam anak sungai deras itu yang paras airnya meningkat secara mendadak disebabkan hujan di hulu sungai berhampiran Gunung Pondok, Padang Rengas.

Zubir yang ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Kuala Kangsar semalam berkata, arwah tinggal bersamanya sejak kecil selepas kedua ibu dan bapanya bercerai.

Dia berkata, arwah sering mengikutnya ke kedai dan sering bermain bersendirian di sekitar kedai termasuk di tepi anak sungai itu.
“Ketika kejadian, saya sedang berurusan dengan pelanggan di kedai sementara arwah pula dilihat bermain di hadapan kedai. Kira-kira jam 7 malam saya pulang ke rumah seperti biasa namun, terkejut selepas dimaklumkan isteri, cucu saya tiada di rumah.

“Saya bergegas mencarinya di sekitar kedai namun gagal menemui kelibatnya sebelum meminta bantuan daripada penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Muhammad ketika ditemui semalam berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa yang dibuat datuknya kira-kira jam 7.15 malam kelmarin sebelum menggerakkan operasi mencari dan menyelamat.

Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, datuk mangsa mendakwa cucunya keluar bermain di sekitar kedai runcit tempatnya berniaga sebelum disahkan hilang.

“Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat dilakukan beberapa agensi termasuk pasukan bomba dan penyelamat serta anggota Rela malam tadi (kelmarin) gagal menemui sebarang jejak mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat dimulakan kira-kira jam 12 malam membabitkan skop pencarian di sekitar anak sungai berkenaan sehinggalah mangsa ditemui pagi tadi (semalam),” katanya.

No comments:

Post a Comment