Thursday, June 9, 2011

APA LAGI ALASAN...,MENOLAK HUKUM HUDUD@HUKUM ALLAH.....BILA DI VIDEOKAN...PENGAKUAN...ATAU MEMANG TAK MAU LAKSANAKAN...APA UNTUNGNYA KITA MENOLAK HUKUM ALLAH...ADAKAH SERONOK DUDUK@MENEMPAH NERAKA ALLAH SWT....

Buta akibat disimbah asid


ZUHAINA yang buta kedua-dua belah mata dan cacat pada muka selepas disimbah asid berehat di rumahnya di Mantin, Seremban semalam.


SEREMBAN – Seorang wanita Orang Asli buta kedua-dua belah mata dan wajahnya hampir cacat selepas disimbah dengan asid oleh dua lelaki tidak dikenali di Mantin dekat sini pada pertengahan Mac lalu.
Lebih malang lagi mangsa, Zuhaina Tengkis, 27, turut menanggung kesakitan apabila sebahagian dadanya melecur teruk akibat disimbah cecair bahaya tersebut.
Zuhaina yang ditemui di Kampung Orang Asli Belihoi, Mantin dekat sini berkata, kejadian itu berlaku ketika dia keluar ke pekan Mantin dengan menunggang motosikal bersama seorang adik saudaranya.
“Kira-kira pukul 9.30 malam ketika kami mahu pulang ke rumah, motosikal yang ditunggangi saya dihampiri dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal.
“Sebaik sampai di satu lokasi di Lapang Sasar Mantin, lelaki berkenaan terus memotong motosikal saya dan terus menyapa saya dengan menyebut ‘hai’.
“Apabila saya menoleh, lelaki itu terus menyimbah sejenis cecair yang mengenai muka dan badan saya,” katanya di sini semalam.

Cerita gadis Vietnam bawa rusuhan


SEBAHAGIAN pekerja Bangladesh yang merusuh di asrama pekerja di Taman Semarak, Nilai malam kelmarin.


NILAI - Seramai 23 pekerja lelaki Vietnam dan Bangladesh cedera dalam satu pergaduhan di asrama pekerja kilang tekstil di Taman Semarak di sini malam kelmarin selepas seorang wanita Vietnam mendakwa dia cuba dipikat oleh seorang lelaki Bangladesh.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abd. Manan Mohd. Hassan berkata, tiga daripada mangsa yang cedera iaitu dua warga Vietnam dan seorang Bangladesh terpaksa dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban manakala yang lain hanya mendapat rawatan pesakit luar.
"Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 9 malam. Pergaduhan itu membabitkan sekurang-kurangnya 400 pekerja dari kedua-dua negara terbabit.
"Semasa kejadian kebanyakan pekerja asing terbabit bersenjatakan kayu, batang besi dan batu," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Abd. Manan, pergaduhan itu berjaya dileraikan dengan campur tangan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan pada pukul 5 pagi semalam.

Datuk setan

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

PEKAN: Rumah kata pergi, kubur kata mari, tetapi ungkapan itu gagal memberi makna buat seorang warga emas berusia 71 tahun yang berpakat dengan seorang remaja berusia 18 tahun dalam misi mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun ketika mangsa mandi di Felda Chini Timur, Khamis lalu.
Nafsu warga emas itu tidak pudar dan dia tergamak melakukan perbuatan terbabit terhadap mangsa walaupun dia mempunyai cucu.

Difahamkan, warga emas itu rakan baik bapa kanak-kanak berkenaan manakala remaja 18 tahun itu pula adalah rakan abang mangsa, tetapi tidak dapat dipastikan tujuan kedua-duanya berada ke rumah mangsa pada hari kejadian.
Sebelum kejadian, warga emas bersama remaja terbabit dipercayai sudah memerhatikan gerak-geri mangsa yang masuk ke dalam bilik air sebelum mengintai dan mencerobohnya.

Mangsa yang terkejut dengan kehadiran dua suspek terbabit dipercayai tidak dapat berbuat apa-apa kerana diarah mendiamkan diri dan tidak menjerit sebelum dua ‘setan’ itu mencabul dengan meraba beberapa bahagian badan mangsa.

Selepas melakukan perbuatan jijik itu, suspek memberi amaran kepada mangsa supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa sebelum beredar.

Bagaimanapun, mangsa yang masih bersekolah di sebuah sekolah rendah, dekat sini, trauma dengan kejadian menimpanya sebelum nekad menceritakan kepada keluarga.

Ibu bapa mangsa yang terkejut membuat laporan kejadian terbabit di Balai Polis Chini, dekat sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman, ketika ditemui di sini semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Menurutnya, susulan laporan mangsa, sepasukan anggota polis membuat serbuan di rumah suspek dan menahannya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Pekan, kira-kira jam 3 petang Jumaat lalu.

Katanya, polis sudah merekodkan keterangan mangsa sebelum menghantar ke Hospital Pekan (HP) untuk pemeriksaan lanjut.

Yahaya berkata, siasatan awal mendapati, mangsa mendakwa beberapa kali dicabul suspek dan kejadian Khamis lalu yang terbaru.

Belasah isteri hamil mengidam

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang hamil empat bulan cedera di kepala dan badan apabila dipukul suaminya selepas dia mengidam buah kelur atau munggai serta lempuk durian dan meminta suaminya mendapatkan dua jenis makanan itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin di sebuah rumah di Bandar Baru Sentul, di sini, wanita terbabit yang berusia 28 tahun dipercayai ditumbuk dan ditendang suaminya yang berusia 30-an.
Sumber berkata, ketika kejadian si suami baru pulang dari kerja sebelum mangsa memintanya keluar dan membeli makanan berkenaan kerana dia mengidamkannya serta memberitahu tidak dapat tidur jika tidak memakannya.

“Lelaki terbabit yang berkemungkinan tertekan dengan tugas di tempat kerja dan belum sempat berehat tiba-tiba berang sebelum memarahi isterinya itu.


“Tindakan lelaki terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran selama lebih 20 minit sebelum si suami gagal mengawal kemarahan dan menendang serta menumbuk isterinya.

“Walaupun isterinya itu berulang kali merayu dikasihani dan mengatakan bimbang kandungannya itu terjejas, ia langsung tidak dipedulikan.

“Selepas melepaskan geramnya, lelaki terbabit keluar dari rumah dengan meninggalkan isterinya sendirian,” katanya.

Difahamkan, mangsa mula meminta pelbagai makanan dan buah-buahan yang sukar diperoleh di ibu kota kepada suaminya itu kerana mengidam selepas doktor mengesahkan dia mengandung sejak dua minggu lalu.

Sebelum kejadian kelmarin, lelaki terbabit cuba memenuhi setiap permintaan isterinya, namun hilang pertimbangan selepas tidak tahan sikap isterinya yang sering meminta makanan yang pelik dan sukar didapati.

Sumber itu berkata, mangsa yang cedera menghubungi rakannya sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, mangsa hanya dirawat sebagai pesakit luar dan tidak menjejaskan bayi dalam kandungannya.

Selepas berbincang dengan ahli keluarga, mangsa yang bimbang perkara sama berulang tampil membuat laporan di balai polis menuntut tindakan diambil terhadap suaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakuka

Tonton video anak diperkosa

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

TEMERLOH: Seorang bapa terkejut sebaik menonton klip video yang memaparkan anak perempuannya diperkosa seorang duda warga emas yang juga jirannya di sebuah rumah di Taman Seri Kuala Krau.
Kejadian dipercayai berlaku pada 2009 apabila duda berusia 66 tahun itu memanggil mangsa berusia 19 tahun setiap kali remaja terbabit mahu ke kedai apabila terpaksa melalui depan rumah suspek sebelum dipujuk masuk ke dalam rumah.

Difahamkan, suspek yang tinggal seorang diri selepas kematian isteri sejak empat tahun lalu dipercayai merogol mangsa yang mengalami masalah mental lebih daripada tiga kali dan dia dikatakan turut merakam aksi berkenaan menggunakan telefon bimbit.

Perbuatan keji itu terbongkar selepas rakaman berkenaan tersebar hingga ke Felda Jenderak Utara dekat sini, sebelum rakan kepada bapa mangsa mengecam wajah remaja terbabit sebagai anak kenalannya.


Berikutan itu, dia memaklumkan mengenai penyebaran klip video itu kepada bapa mangsa yang bekerja sebagai buruh sebelum lelaki berkenaan yang terkejut dengan berita itu bertindak mencari penyebar rakaman terbabit dan menemui seorang lelaki yang masih menyimpan rakaman itu sebelum menyaksikannya sendiri.

Bapa mangsa yang berusia 40-an memberitahu mengenai klip video berkenaan kepada isterinya sebelum mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada 29 Disember lalu.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Md Nor Mansor, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Menurutnya, susulan laporan bapa mangsa, duda terbabit ditahan di rumahnya pada 30 Disember lalu sebelum dibawa ke IPD Temerloh bagi membantu siasatan.

Katanya, pada masa sama, mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik dipercayai mengalami masalah mental dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk pemeriksaan lanjut.

Md Nor berkata, polis turut merampas telefon bimbit yang mempunyai rakaman aksi berkenaan dan dihantar ke bahagian forensik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk pemeriksaan lebih teliti dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.


Serah tubuh kepada ketua

Oleh Idris Musa dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my

TERPESONG...bekas pengikut menceritakan pengalaman selama mengikuti ajaran sebuah kumpulan ajaran songsang kepada wartawan Harian Metro.
TERPESONG...bekas pengikut menceritakan pengalaman selama mengikuti ajaran sebuah kumpulan ajaran songsang kepada wartawan Harian Metro.
KUALA LUMPUR: “Dia banyak melakukan maksiat. Bukan saja menari dengan pengikut wanita penuh keseronokan tapi pernah mencabul serta merogol anak seorang pengikut kanannya.
“Setahu saya, mangsa nafsu serakahnya itu sanggup menyerahkan tubuh mereka dalam upacara dipanggil acara penyerahan.”

Demikian kata wanita dikenali sebagai Liza ketika mendedahkan salah laku dan penyelewengan ketua satu kumpulan ajaran sesat yang diikutinya hampir empat tahun lalu dan masih aktif di beberapa lokasi terutama di Selangor dan Perak.

Wanita berusia 30-an itu berkata, dia meninggalkan kumpulan ajaran sesat berkenaan selepas mendapati terlalu banyak penyelewengan dan amalan bertentangan ajaran Islam diajarkan ketuanya.


Kata Liza, lelaki berusia 50-an itu berselindung di sebalik sifat warak dan mencampuradukkan amalan songsang dalam majlis zikir yang diajar kepada pengikutnya.

“Pada setiap malam Selasa dan Jumaat dikenali sebagai malam tawajjuh (berdepan), kami berzikir dalam gelap dengan mata dipejam rapat.

“Muka ahli perempuan ditutup dengan kain telekung manakala ahli lelaki menutup muka dengan serban sambil berniat kepada syeikh (ketua) ajaran itu,” katanya.

Menurutnya, upacara aneh itu diadakan di markas di pinggir ibu kota secara beramai-ramai dalam keadaan taksub dan separa sedar, disusuli dengan amalan tawajjuh iaitu berdepan dengan syeikh oleh seorang ahli yang ditugaskan dengan cara meletakkan tangannya di kepala ahli lain.

“Amalan itu memang pelik, tetapi pada peringkat awal saya tidak mengesyaki apa-apa, sehinggalah semakin lama saya menyertainya bermacam-macam lagi yang saya tahu, termasuk tidak melakukan solat Jumaat di kalangan lelaki.

“Mereka beri alasan di kawasan markas itu tidak mencukupi 40 orang (jemaah), tidak wajib kepada mereka mengerjakan solat Jumaat.

“Jadi, ketika umat Islam mengerjakan ibadat mingguan itu, mereka tidur. Jika berada di khalayak umum, mereka berlakon mengikuti solat Jumaat, namun sebaik selesai, mereka mendirikan solat lain kerana beranggapan solat Jumaat itu tidak sah,” katanya.

Liza yang juga seorang kakitangan awam berkata, dia tertarik menyertai kumpulan itu bersama suami sebelum ini kerana melihat kepada aspek luaran ahli dan ketua ajaran berkenaan.

“Memang dari luar mereka kelihatan alim, membaca kitab dan berzikir. Sebab itu saya tidak membantah pelawaan suami untuk menyertai kumpulan mereka.

“Saya masih ingat lagi, pada hari pertama ke markas itu iaitu selepas Asar pada pertengahan 2006 saya dikehendaki mandi sunat taubat dan mengerjakan solat sunat taubat. Saya pelik, kenapa ada solat sunat selepas Asar kerana setahu saya tiada solat sunat selepas waktu itu.

“Pada malamnya pula solat Isyak dilewatkan kepada jam 9.30 malam, kemudian saya dibaiah (ikrar) oleh ketua. Saya dikehendaki mengikuti lafaznya supaya sumpah setia kepada ajaran berkenaan.

“Selepas itu semua lampu dipadamkan, mata dipejam dan muka ditutup untuk melafazkan zikir beberapa ratus kali, kemudian datanglah seorang ahli meletakkan tangannya di kepala setiap ahli melakukan tawajjuh.

“Dalam majlis itu dianggarkan 50 ahli, lelaki dan perempuan terdiri pelbagai lapisan usia. Ada antara mereka datang dari jauh,” katanya.

Menurutnya, ahli kumpulan ajaran itu juga diberi minum sejenis air supaya mereka terus taat dan taksub kepada tuan guru.

“Selepas tahu banyak perkara yang tidak betul, saya nekad meninggalkan kumpulan itu, tetapi saya takut kerana ada antara pengikutnya memburu saya supaya kembali kepada mereka,” katanya.

Mengenai salah laku seks ketua ajaran sesat itu dan amalannya menari dengan wanita, Liza berkata dia mendapat maklumat itu daripada orang kanan kumpulan berkenaan, malah mempunyai bukti mengenainya.

“Setahu saya, wanita termasuk anak gadis menjadi mangsa nafsu serakahnya apabila mereka ingin melakukan upacara penyerahan, kerana ada antara mereka menyerah maruah diri, selain barangan yang berharga.

“Ketika inilah ketua mengambil kesempatan. Kemudian, barulah seseorang itu boleh menyempurnakan amalan suluk (menyepikan diri) di bilik kecil yang tersedia di markas itu.

“Saya sudah membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenai semua aktiviti dan amalan dalam kumpulan itu serta menyerahkan bukti yang saya ada, namun sehingga kini belum ada tindakan diambil,” katanya.


Kelebihan kahwin awal

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

“BILA nak berkahwin?”, “sampai bila mahu terus membujang?”, “bila lagi emak nak terima menantu?” dan pelbagai lagi persoalan serta sindiran yang kerap didengar lelaki mahupun wanita yang belum kahwin ketika usia agak lewat.
Selain itu, bujang terlajak, lelaki lanjut usia, anak dara tua atau andartu atau lebih nakal lagi andalusia iaitu singkatan bagi anak dara lanjut usia, antara gelaran yang diberikan.

Mungkin isu ini dianggap lapuk, namun gejala kahwin lewat usia dalam kalangan lelaki dan perempuan ketika ini bukan masalah individu, tetapi ia membabitkan masyarakat.

Tidak hairanlah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Anjil Doshi Gandhi dalam satu program di Sarawak baru-baru ini menyifatkan trend berkahwin lewat terutama dalam kalangan wanita berpendidikan tinggi sebagai isu serius dan boleh membawa implikasi kepada institusi kekeluargaan.


Menurutnya, data terkini menunjukkan 30 peratus wanita antara usia 25 hingga 29 tahun belum mendirikan rumah tangga manakala 25 peratus bagi lelaki antara usia 30 hingga 34 tahun.

“Kami memberi perhatian serius trend kahwin lewat khususnya wanita yang memberi alasan tiada calon sesuai.

“Sementara lelaki pula menyatakan keadaan kewangan yang belum stabil antara faktor mereka yang berusia awal 30-an belum berkahwin,” katanya pada taklimat Dasar Keluarga Negara (DKN) di Kuching, baru-baru ini.

Pelbagai faktor atau persoalan melingkari isu ini sama ada membabitkan lelaki atau wanita itu sendiri.

Di pihak lelaki, pelbagai sebab diberikan sekali gus mempengaruhi diri seseorang itu untuk terus membujang atau lewat berkahwin iaitu terlalu sibuk dengan pekerjaan atau pelajaran, menganggap diri tidak bersedia dari segi mental atau fizikal, takut atau bimbang rumah tangga tidak bahagia dan meragui kemampuan seksual sendiri.

Selain itu, tiada nafsu terhadap wanita, melalui pengalaman pahit ketika bercinta, mahu bebas dan suka hidup sendiri, tidak mahu mengecewakan pasangan serta hantaran kahwin tinggi.

Di pihak perempuan pula, antara faktor berlaku keadaan itu seperti kesukaran mendapat pasangan sepadan atau terlalu memilih, mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, mahu membantu keluarga, berjawatan profesional atau mementingkan kerjaya dan masalah peribadi.

Merujuk Laporan Perangkaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat 2008 serta Kajian Penduduk dan Kekeluargaan 2004 yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2009 mendapati peratusan lelaki bujang pada usia 25 hingga 49 tahun lebih tinggi iaitu 59.6 peratus berbanding wanita 40.4 peratus.

Manakala peratusan penduduk bujang berusia 40 hingga 49 tahun pula menunjukkan jumlah wanita lebih tinggi berbanding lelaki sekali gus menggambarkan wanita berusia sukar mendapat pasangan.

Data Bancian Penduduk dan Perumahan 2000 yang dikeluarkan Jabatan Statistik Negara bagi tempoh 1981 hingga 1990 menunjukkan peratusan lelaki dan wanita belum berkahwin adalah 43.2 peratus dan 60.2 peratus.

Peratusan itu meningkat bagi jangka masa 1990 hingga 2000 iaitu lelaki 48.1 peratus dan wanita 68.5 peratus.

LPPKN yang membuat bancian pada 2002 mendapati perangkaan lelaki dan wanita bujang adalah 3.1 juta dan 2.4 juta sementara pada 2004, peratusan lelaki bujang 59.6 peratus dan wanita bujang 40.4 peratus.

Walau apa pun pandangan mengenai isu kahwin lewat, ia perlu bersandarkan nilai agama dan budaya masyarakat negara ini.

Alasan tiada jodoh tidak boleh dijadikan sebab utama lewat berkahwin kerana sebagai umat Islam, perlu ada usaha untuk mencari pasangan hidup.

Penceramah bebas yang juga Pengetua Program Imam Muda, Datuk Hassan Mahmud Al Hafiz berkata, setiap manusia sudah ditetapkan jodoh dan kita perlu berusaha mencarinya.

Katanya, faktor kesibukan bekerja, sukar mencari pasangan atau berpendidikan tinggi tidak boleh dijadikan alasan.

“Dalam satu hadis ada menyebut, ibu bapa hendaklah mengahwinkan anak mereka apabila sudah layak mendirikan rumah tangga.

“Jadi, dalam hal ini setiap orang perlu berusaha mencari jodoh malah orang yang berkahwin awal boleh diibaratkan seperti menunaikan separuh daripada iman.

“Jika tidak menemui jodoh, pergi berjumpa orang alim seperti tok guru, imam atau ulama untuk meminta panduan dan nasihat,” katanya.

Menurutnya, seseorang itu tidak boleh menunggu atau mencari pasangan mereka di sekeliling saja kerana soal mencari jodoh tidak terhad kepada orang Melayu sebaliknya boleh mencari warga asing asalkan Islam.

Penceramah bebas, Profesor Madya Dr Maznah Daud dalam satu laporan akhbar berkata, mengutamakan hal lain sehingga mengetepikan perkahwinan sangat tidak digalakkan dalam Islam.

Katanya, Nabi Muhammad pernah bersabda: ‘Wahai pemuda, siapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan, hendaklah berkahwin’.

“Itu menunjukkan perkahwinan amat ditekankan Islam malah ada ayat al-Quran meminta wali atau sesiapa yang bertanggungjawab terhadap seseorang wanita mengahwinkan jagaannya,” katanya.

Menurutnya, peranan wali tetap sama meskipun zaman sudah berubah dan mereka tidak boleh lepas tangan apabila anak sudah sesuai untuk mendirikan rumah tangga.

“Islam melihat perkahwinan sebagai keperluan dan ibadat. Ia penting untuk melahirkan generasi baru,” katanya.

Sementara itu, Pakar Motivasi, Profesor Izzudin Ali meminta wanita tidak perlu takut dengan kes yang berlaku di sekeliling mereka seperti perceraian, pergaduhan atau apa saja yang menyebabkan mereka bimbang untuk berkahwin.

Katanya, kaum adam dan hawa yang diciptakan Allah mempunyai sifat tertentu dan saling melengkapi antara satu sama lain.

“Laut mana yang tidak bergelora, namun ia boleh dihadapi jika ada persefahaman. Wanita tidak perlu takut berkahwin begitu juga lelaki kerana mereka saling memerlukan dan melengkapi,” katanya.

Menurutnya, tidak salah sama ada lelaki atau perempuan memberi perhatian kepada pendidikan dan pekerjaan, tetapi pada masa sama perlu memikirkan diri sendiri serta tuntutan agama.

Kenyataan Dr Anjil yang menyifatkan trend kahwin lewat dalam kalangan wanita berpendidikan tinggi ada kebenarannya.

Statistik pada 2009 menunjukkan wanita bujang berpendidikan tinggi lebih ramai iaitu 34.7 peratus berbanding lelaki, 25.7 peratus.

Lihat saja nisbah penuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menyaksikan lebih ramai penuntut perempuan berbanding lelaki dan fenomena sama juga boleh dilihat di tempat kerja.

Peratusan wanita bujang melebihi lelaki dalam kumpulan pekerjaan berkemahiran tinggi seperti profesional dan penggubal undang-undang sebaliknya peratusan lelaki bujang lebih tinggi dalam kumpulan pekerjaan seperti pertanian, perikanan, pertukangan, tentera dan operator mesin serta loji.

Apabila mempunyai latar belakang pendidikan tinggi, ia menyukarkan seseorang wanita untuk menemui calon suami yang setaraf.

Dalam aspek kesihatan, berkahwin lewat mempunyai pelbagai risiko terutama kepada wanita contohnya apabila mengandung pada usia hampir 40 tahun terdedah kepada penyakit darah tinggi, kencing manis serta kelahiran tidak normal.

Selain itu, kadar kesuburan juga antara faktor yang dikaitkan dengan fenomena kahwin lewat ini. Dengan tahap pendidikan tinggi, berkahwin lewat menyumbang kepada kelewatan jangka masa untuk memperoleh zuriat sekali gus menyebabkan penurunan kadar kesuburan.

Kajian LPPKN menunjukkan kadar kesuburan di negara ini menurun daripada 3.4 peratus pada 1994 kepada 2.8 peratus pada 2004.

Jika angka itu terus menurun, krisis kesuburan boleh berlaku sedangkan negara kini menuju negara maju menjelang 2020.

Bagi lelaki pula, ada laporan menyatakan lelaki yang menunggu sehingga usia pertengahan 30-an untuk memulakan keluarga berkemungkinan menyebabkan keguguran kandungan pasangan mereka.

Selain itu, peluang untuk isteri hamil turut menurun seiring peningkatan usia lelaki berkenaan.


  • Penulis Ketua Biro Harian Metro Pulau Pinang

  • No comments:

    Post a Comment