Wednesday, June 29, 2011

MASALAH YANG MUNGKIN KITA HADAPI

Suami Isteri
Soalan-soalan
  1. Lari Dari Rumah
  2. Membenarkan Isteri Keluar
  3. Bukan Muhrim Tinggal Serumah
  4. Rujuk Kepada Isteri Yang Diceraikan
  5. Menuntut Harta Setelah Cerai
  6. Persetubuhan Melalui Dubur
  7. Mengambil Wuduk sebelum dan Sesudah Jimak
  8. Adab Berjimak
  9. Cara Mandi Junub
  10. Isteri Minta Cerai
  11. Minta Cerai Kerana Suami Berzina
  12. Berjimak Sebelum Mandi Wajib
  13. Berniat Zihar
  14. Isteri Memukul Suami
  15. Isteri yang Taat
  16. Hukum Mencium Alat Kelamin
  17. Hukum Membesarkan Alat Kelamin
  18. Isteri Menghisap Kemaluan Suami
  19. Mengelakkan Persetubuhan kerana Keletihan Bekerja
  20. Memasukkan Jari Ke Dubur
  21. Persetubuhan Malam Pertama
  22. Kaedah Menakluki Hati Suami
  23. Hukum Menyesali Perkahwinan
  24. Suami Mempermainkan Perkataan Talak
  25. Mandi Berbogel Bersama Isteri
  26. Terlintas Hati Menceraikan Isteri
  27. Menjaga Perhubungan Suami Isteri
  28. Pemberian Nafkah Seorang Suami
  29. Isteri Mengandung Diperiksa oleh Doktor Lelaki (Yang Bukan Muhrim)
  30. Persefahaman Suami Isteri
  31. Mencerai Isteri Ketika Haid
  32. Suami Minum Susu Isteri
  33. Menyamakan Sifat Isteri dengan Ibu
  34. Jujur Terhadap Pasangan
  35. Mani Lelaki dan Mani Wanita
  36. Hukum Membohongi Suami
  37. Berpura-pura di Depan Suami
  38. Suami Menghina Isteri
  39. Tanggungjawab Suami Dalam Memenuhi Nafkah
  40. Keluarga dalam Dilema
  41. Isteri Membuka Aib Keluarga Sendiri
  42. Suami Menyeksa Isteri
  43. Mengelak Kehamilan Setelah Berjimak
  44. Menonton Blue Film Bersama Suami
  45. Petua Berjimak Mengikut Syarak
  46. Onani dengan Tangan Isteri
  47. Menasihati Suami Suka Meninggalkan Solat Fardhu
  48. Memenuhi Nafsu Syahwat yang Tinggi
  49. Mencegah Kehamilan
  50. Jimak 4 x dan Mandi Wajib 1 x
  51. Suami yang Tidak Memuaskan Nafsu Isterinya Ketika Berjimak
  52. Minum Air Susu Isteri Hingga Kenyang
  53. Memiliki Suami Mengabaikan Tanggungjawab
  54. Lama Masa Untuk Berjimak
  55. Tidak Mampu Memberi Nafkah (Poligami)
  56. Mengharap Dikurniakan Anak Perempuan
  57. Menuntut Hak Terhadap Bekas Suami
  58. Mengucapkan kata 'Cerai' Tanpa Niat
  59. Ungkapan Kata Kesat Terhadap Isteri
  60. Mematuhi Suami yang Tidak Menjalankan Perintah Agama
  61. Menghadapi Iseri yang Ego
  62. Mencerai Isteri Dengan Talak Tiga
  63. Melakukan Azal
  64. Mengatasi Keinginan Nafsu yang Kuat






1. Lari Dari Rumah
Soalan:
Apakah hukumnya seorang isteri lari meningalkan rumah kerana tidak tahan dengan sikap suami yang sering memukulnya?
Isteri Malang, KL
Jawapan:
Tidak salah isteri meninggalkan rumah (jika ke rumah ibu bapa) kerana hendak menyelamatkan diri daripada suami yang zalim dan mengelakkan diri dari kemudaratan. Namun kalau isteri boleh bersabar, tidak melawan dan terus tunggu di rumah pastilah pahala untuknya amatlah besar.
Kalau suami zalim dan selalu memukul serta menyakiti hati, maka isteri berhak mencari perlindungan di mana-mana yang difikirkan selamat. Sebaiknya adukan kepada pejabat Kadi dan di sana diboleh menuntut fasakh.
Undang-undang Islam membela kaum wanita/isteri. Jadi, mereka hendaklah pandai mengambil kesempatan dari pembelaan itu.
Kembali ke atas ↑


2. Membenarkan Isteri Keluar
Soalan:
Saya sering dilanda dilema apabila Isteri saya telefon saya di tempat kerja untuk meminta kebenaran pergi ke majlis perkahwinan bersama ibunya. Apakah yang patut saya berikan jawapan kepadanya?
. Zulkifli
Jawapan:
Seorang isteri berada dalam tanggungjawab dan jagaan suami sepenuhnya. Jika ia minta izin untuk menemui undangan atau sesuatu majlis disertai dengan muhrimnya sedangkan majlis itu dipastikan tidak mengandungi unsur maksiat seperti ada minuman yang memabukkan dan sebagainya, maka suami boleh izinkan. Namun jika suami khuatir akan menimbulkan fitnah atau perkara yang tidak baik maka ia boleh menghalang isterinya.
Dalam hadith diterangkan, "Dari Ibnu Abas ra. sesungguhnya seorang wanita dari suku Khat'am datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya: Wahai Rasulullah, sampaikanlah kepadaku keterangan apa hak suami terhadap isteri. Baginda bersabda: Sesungguhnya hak suami terhadap isteri iaitu jika suami menghendaki dirinya sekalipun ia berada di atas kenderaan ia tidak menolak dirinya untuk memenuhinya, dan hak suami atas isterinya iaitu isteri tidak boleh puasa sunat tanpa izin suaminya, jika ia terus melakukannya itu hanya akan mendapatkan lapar dan dahaga dan tidak diterima puasanya itu, dan tidak boleh keluar rumah tanpa izin suaminya, jika ia tetap keluar maka malaikat langit dan malaikat rahmat serta malaikat azab akan mengutuknya sampai ia pulang." (Riwayat Thabrani)
Kembali ke atas ↑


3. Bukan Muhrim Tinggal Serumah
Soalan:
Saya sekarang tinggal bersama ibu mertua saya di Kuantan. Isteri saya sekarang baru saja melahirkan anak kedua kami.Yang menjadi masalah bagi saya ialah sepupunya (lelaki) datang untuk tinggal selama 2 bulan di sini. Kerana praktikal di bandar Kuantan. Jadi apakah yang patut saya lakukan?
. Zulkifli
Jawapan:
Kehidupan rumahtangga adalah jalinan perasaan antara suami dan isteri yang tidak harus terselip rasa kebimbangan dan kecurigaan. Jika perasaan ini muncul disebabkan oleh faktor luaran, maka suami harus menyelesaikannya secara bijaksana. Di dalam Islam seorang isteri dilarang menerima tetamu lelaki jika tidak ada suaminya di rumah, kerana ianya boleh menimbulkan fitnah. Apatah lagi jika suami ataupun isteri mengajak orang lain untuk tinggal serumah dengan mereka ini bererti suami telah mengabaikan keselamatan diri isterinya.
Carilah jalan penyelesaian yang terbaik agar sepupu tadi boleh menyewa rumah di tempat lain, jika terpaksa, jagalah kehormatan dan pergaulan di dalam rumah tersebut mudah-mudahan di ampuni Allah. Yang jelas pada dasarnya suami tidak boleh menempatkan isterinya dengan orang yang bukan muhrimnya.
Rasulullah SAW bersabda: Dari Uqbah Bin Amir, katanya; Rasulullah SAW sesungguhnya telah bersabda: Jauhilah olehmu sekalian masuk ke tempat para wanita:. Lalu seorang sahabat Ansar bertanya: "Bagaimana pendapat baginda tentang ipar?".Sabda baginda: "Ipar itu maut". (Riwayat Nasa'i)

Jadi jelaslah jika ipar sahaja disamakan dengan maut (perkara yang merbahaya) apatah lagi jika orang lain. Semoga Allah meringankan kita dalam segala urusan, insya Allah.
Kembali ke atas ↑


4. Rujuk Kepada Isteri Yang Diceraikan
Soalan:
Seorang isteri telah diceraikan olah suaminya dengan talak satu, tidak sampai 24 jam suami itu telah melafazkan rujuk kembali. Apakah isteri itu telah dikirakan sebagai isteri yang sah atau suami isteri itu hendaklah merujuk kepada kadi untuk rujuk kembali.
Lutfi, KL
Jawapan:
Thalak raj'i tidak melarang bekas suami berkumpul dengan bekas isterinya, sebab aqad perkahwinannya tidak hilang dan tidak mempengaruhi hubungan yang halal.kecuali persetubuhan. Jika sudah rujuk maka mereka boleh bersatu kembali. Rujuk adalah salah satu hak lelaki selama masa iddah. Hak ini ditetapkan agama kepadanya, kerana itu ia tidak berhak membatalkannya sekalipun seandainya suami berkata "Tidak ada rujuk bagimu", namun sebenarnya ia tetap mempunyai rujuk. Hak rujuk bagi suami berdasarkan firman Allah maksudnya: "Dan bekas suami-suami mereka lebih berhak rujuk kepada mereka selama masa iddah itu". (Al Baqarah 229) Jika rujuk sudah menjadi hak suami maka untuk merujuk tidak perlu syarat kerelaan, pengetahuan bekas isteri dan wali. Hak rujuk ada di tangan lelaki (sebagaimana firman Allah di atas). Rujuk juga tidak perlu saksi sekalipun menghadirkan saksi di sini hukumnya adalah sunnah, kerana khuatir agar nantinya isteri tidak menyangkal rujuknya suami.
Rujuk boleh dengan ucapan seperti: "saya rujuk kamu" dan dengan perbuatan seperti menjimaknya, merangsang nafsunya dan sebagainya. Imam Syafei berpendapat bahawa rujuk hanya boleh dengan ucapan yang terang dan jelas dimengerti. Tidak boleh dengan bersetubuh dan rangsangan, kerana Imam Syafie beralasan talak memutuskan perkahwinan. Demikianlah diantara pendekatan syariat dalam perkara rujuk.
Namun dalam hidup bernegara kita memiliki undang-undang yang mengatur sistem kekeluargaan Islam. Jika bercerai hendaklah melaporkan kepada pejabat kadi agar perceraian itu dapat direkodkan. Oleh itu kita dapat mengetahui bahawa kita telah menyimpan satu atau dua talak, sehingga kita berhati-hati dalam menjatuhkan talak dan tidak hidup dalam kemaksiatan. Begitu juga ketika rujuk hendaklah memberitahukan kepada pejabat kadi sebagai bukti bahawa perceraian itu telah dirujuk kembali.
Kembali ke atas ↑


5. Menuntut Harta Setelah Cerai
Soalan:
a) Apakah hak isteri yang telah diceraikan yang mana sebelum ini telah tinggal bersama selama 34 tahun? Adakah isteri itu boleh menuntut harta sepencarian dan nafkah kerana isteri ini tidak mempunyai pekerjaan?
b) Bagaimana isteri itu hendak mendapat haknya dan kemana perlu dia membuat laporan serta tututan?
Lutfi N., KL
Jawapan:
a) Para ahli fiqah sepakat bahawa perempuan yang ditalak raj'i masih berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal selama masa iddah. Tentang perempuan yang ditalak, tiga ahli fiqah berselisih pendapat. Menurut Imam Hanafi perempuan yang ditalak tiga masih berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal daripada bekas suaminya selama masa iddah. Menurut Imam Ahmad, isteri tidak berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal.
Sedangkan menurut Imam Syafie dan Imam Malik bagi perempuan talak tiga, ia mendapat hak tempat tinggal tetapi tidak mendapat hak nafkah kecuali kalau hamil. Hanya sebatas ini saja tanggungjawab bekas suami memberi nafkah terhadap bekas isterinya. Jika memang harta yang terkumpul dalam rumahtangga merupakan harta hasil usaha suami, maka isteri tidak berhak untuk menuntutnya. Terpulanglah budi bicara suami untuk memberi sebagai sedekah atau semisalnya. Namun jika dalam harta tersebut ada harta isteri di dalamnya yang diperolehi dengan usahanya sendiri atau harta waris dari ibu bapanya, maka suami perlu memberikan hak isteri tersebut.
b) Untuk mengetahui keterangan lebih tepat tentang masalah ini anda bolehlah merujuk kepada pejabat kadi setempat.
Kembali ke atas ↑


6. Persetubuhan Melalui Dubur
Soalan:

Hadis/kitab mengatakan persetubuhan melalui belakang (dubur) adalah HARAM. Bagaimana pula kalau dilakukan di belakang tetapi melalui faraj ?
Musykil, Sg Besi
Jawapan:
Islam melarang dan mengharamkan bagi suami yang menjimak isterinya melalui lubang duburnya. Bila terjadi isteri harus berusaha menolaknya sekalipun dia diancam oleh suami dengan berbagai seksaan. Kerana perbuatan yang demikian adalah perbuatan yang sangat terkutuk di sisi Allah. Orang yang berbuat demikian adalah orang yang buruk moralnya dan merendahkan darjat kemanusiaan. Termasuk golongan orang yang zalim serta bersifat seperti binatang. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Terkutuk, terlaknatlah siapa yang mendatangi isterinya dari lubang duburnya" (HR. Ibnu Adi, Abu Dawud dan Ahmad)
Mengenai cara berjimak terpulanglah kepada kita masing-masing untuk melakukannya asalkan perlu di jaga adab-adab berjimak seperti tidak melalui dubur serta menutup tubuh dengan selimut serta menjaga adab-adab yang lain agar hubungan suami isteri lebih harmoni. Melalui depan atau belakang tidak ada masalah bahkan dalam ayat Al Quran secara jelas menerangkan: "Isteri-isterimu adalah seperti kebun tempat kamu bercucuk tanam, maka datangilah kebun tempat kamu bercucuk tanam itu bagaimana saja yang kamu kehendaki" (Surah Al Baqarah ayat 223)
Kembali ke atas ↑


7. Mengambil Wuduk sebelum dan Sesudah Jimak
Soalan:
Wajib atau sunat membasuh kemaluan dan mengambil wudhuk, apabila hendak meneruskan persetubuhan
kali kedua ?
Musykil, Sg Besi
Jawapan:
Hukum mengambil wuduk sebelum melakukan jimak adalah sunat. Begitu juga setelah berjimak mengambil wuduk ketika itu juga sunat hukumnya, namun Rasulullah SAW selalu mengamalkanya jika baginda ingin melanjutkan jimaknya, tujuannya agar badan terasa lebih segar sehingga untuk meneruskan jimak berikutnya ghairah syahwat lebih tinggi dan dapat menimbulkan kepuasan antara kedua-dua belah pihak antara suami dan isteri.
Kembali ke atas ↑


8. Adab Berjimak
Soalan:
1) Apakah adab-adab untuk berjimak?
2) Bagaimana kalau si isteri termakan sperma suaminya dan apakah hukumnya?
3) Apakah hukumnya seseorang lelaki itu melancap?
Iswadi, KL
Jawapan:
1) Diantara adab berjimak iaitu:
i. Dalam melakukan persetubuhan dengan isteri bukanlah semata-mata hanya memenuhi keinginan nafsu berahi belaka. Niat dalam hati adalah untuk memenuhi kewajipan dari Allah dan sunnah Rasulullah.
ii. Sebelum bersetubuh hendaklah membaca doa.
iii. Waktu melakukan persetubuhan dengan isteri dilakukan dengan hati yang gembira serta menjauhkan perasaan susah. Tidak dalam keadaan terlalu lapar atau terlalu kenyang sebab akan mengurangi kenikmatan.
iv. Dianjurkan kepada suami dan isteri memakai pakian yang bersih dan memakai harum-haruman.
v. Suami tetap berusaha agar kedua belah pihak mencapai kepuasan secara bersama.
vi. Islam juga menganjurkan agar berwuduk sebelum melakukan jimak serta mengulangi wuduk kembali jika ingin melakukan persetubuhan yang kedua. Dengan berwuduk kesegaran badan kembali pulih.
vii. Setelah bersetubuh suami dan isteri hendaklah mencuci kemaluannya atau berwuduk sebelum tidur.
viii. Ketika bersetubuh tutuplah dengan selimut agar tidak menyerupai perangai binatang dan menjaga aib keluarga. Demikianlah di antara ada berjimak, masih banyak lagi ketentuan dan sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang dapat kita baca melalui buku-buku atau kitab-kitab.

2) Setengah ulama mengatakan hukum termakan sperma itu makruh, kerana sperma bukan najis.
Kembali ke atas ↑


9. Cara Mandi Junub
Soalan:
Bagaimana cara melaksanakan mandi junub seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan terperinci
dan syarat-syarat sah serta wajibnya?
Sabri, KL
Jawapan:
Mandi junub adalah mandi hadas besar hukumnya adalah wajib. Apabila sebab-sebab mewajibkan mandi itu berlaku di atas diri seseorang, maka wajiblah ia mandi. Perkara yang mewajibkan mandi seperti keluar mani, berjimak, keluar haid dan nifas, serta wiladah.
Rukun mandi junub itu ada dua. Pertama, Niat disertakan dengan permulaan yang dibasuh daripada anggota badan. Lafaz niatnya "Sahaja aku mandi daripada hadas  besar dari sekalian tubuhku fardhu kerana Allah Ta'ala. Kedua, meratakan air kepada seluruh badan. Sekiranya air itu tidak meratai ke seluruh badan disebabkan ada yang menghalangi sampai air kepadanya, seperti lilin atau minyak atau lainnya maka perlu membasuhnya kembali. Banyak perkara-perkara sunat yang dilakukan Rasulullah dalam mengerjakan mandi junub ini namun segala garis besar dapat dilakukan menurut rukun mandi junub seperti yang di jelaskan di atas.


10. Isteri Minta Cerai
Soalan:
Apa pandangan Islam terhadap seorang isteri (pertama)yang sanggup mengugut dengan kata-kata serta perbuatan yg boleh ditakrifkan sebagai "menderhaka" kepada suaminya supaya menceraikan isteri kedua semata-mata kerana ia tidak boleh menerima hakikat yang suaminya telah berpoligami?
Hamba Allah, KL
Jawapan:
Jika seorang isteri minta cerai daripada suaminya lantaran suami berkahwin lagi maka isteri telah melawan hakikat hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Jika permintaan itu tanpa alasan yang jelas dan tidak sesuai dengan tuntutan syarak maka hukumnya berdosa. Apatah lagi permintaan cerai itu atas dasar cemburu atau marah kerana di madu. Dalam hal ini Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya: "Dari Abu Hurairah, sesungguhnya telah sampai kepadanya bahawa Nabi SAW bersabda: "Seorang wanita tidak boleh meminta suaminya menceraikan isterinya (yang lain) supaya berkecukupan tempat makannya atau nafkahnya" (HR Tirmizi) Jadi jelaslah usaha isteri pertama agar suaminya menceraikan isteri yang lain itu berdosa dan dilarang dalam Islam. Allah SWT memberikan hak kepada pihak lelaki untuk memiliki isteri seramai empat orang. Masing-masing isteri tersebut mempunyai hak terhadap suaminya sama seperti hak dirinya terhadap suaminya. Oleh kerana itu tidak ada hak bagi dirinya menyuruh suami agar menceraikan atau mengurangi hak-hak madunya. Sebab jika perkara ini dilakukan bererti ia telah merampas hak madunya dan sekaligus derhaka kepada suami yang memiliki hak untuk berpoligami. Kederhakaan atas hak suami ini bererti derhaka terhadap hukum yang telah ditetapkan Allah SWT.
Kembali ke atas ↑


11. Minta Cerai Kerana Suami Berzina
Soalan:
Terima kasih atas jawapan yang diberikan mengenai masalah komunikasi dengan suami.
Malangnya, si suami telah terlanjur dengan melakukan zina pula kali ini. Alasan yang diberikan adalah kerana membalas dendam dengan sikap isteri yang suka merungut tentang ibunya. Apakah nasihat ustaz kepada si isteri dalam menangani masalah ini? Adakah dibolehkan si isteri meminta cerai ?
Fatimah, KL
Jawapan:
Isteri boleh meminta cerai kepada suaminya (khuluk) jika benar-benar telah melalui beberapa pertimbangan menurut syariat Islam. Harus hukumnya sekiranya terdapat keperluan ke arah itu, seperti isteri membenci suaminya kerana perwatakan luarannya, kerana akhlaknya yang tercela, kerana agamanya ertinya mengabaikan perintah Allah atau melakukan dosa-dosa besar seperti berzina dan lain-lain, terlalu tua atau lemah syahwat. Kemudian isteri pula khuatir kalau-kalau tidak dapat melaksanakan hak-hak Allah SWT dalam mentaati suaminya.
Jika suami mengatakan bahawa dia telah melakukan zina dan sifat terus terangnya itu kerana menginginkan agar isteri meminta cerai, maka perbuatan suami semacam ini haram hukumnya dan berdosa besar. Seandainya telah sampai ke tahap demikian berpisah atau cerai adalah lebih baik demi kemaslahatan isteri dan menjaga agama isteri.
Sebagaimana Islam memberikan hak kepada suami tentang talak maka Islam juga memberi hak kepada isteri untuk meminta khuluk atau cerai. Untuk lebih memuaskan lagi hati puan merujuklah kepada pihak qadi yang berdekatan agar masalah ini dapat diselesaikan dengan cara yang bijaksana dan mengikut undang-undang syariat di negara kita.
Kembali ke atas ↑


12. Berjimak Sebelum Mandi Wajib
Soalan:
Saya sudah bersih daripada didatangi haid. Apakah boleh sekiranya saya membenarkan suami saya menyetubuhi saya sedangkan saya belum lagi mandi wajib dan apakah hukumnya. Adakah saya berdosa terhadap suami saya sekiranya suami saya tidak mengetahuinya?
Rozila, JB
Jawapan:
Syekh Mahmud Khitab As Subki mengatakan, bahawa menurut kebanyakan para ulama Jumhur persetubuhan yang dilakukan sehabis berhentinya darah haid sebelum mandi adalah haram, sekalipun berhentinya itu pada akhir masa haid yang terpanjang. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 222 yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu tentang haid, katakanlah; "Ianya kotor (mudarat), oleh itu hendaklah kamu menghindarkan diri dari isterimu (jangan menyetubuhinya) dan jangan kamu hampirinya sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci (mandi), datangilah mereka sebagaimana yang telah diperintahkan Allah ke atas kamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan yang membersihkan diri".
Jika anda telah terlanjur melakukan sesuatu perkara yang dilarang dalam agama, sedangkan anda tidak mengetahui kedudukan hukum yang sebenarnya, maka segeralah bertaubat kepada Allah, dan berhati-hatilah dalam mengerjakan syariat yang telah ditentukan Allah SWT. Hanya kepada Allah kita semua berserah diri dan hanya Allah Yang Maha Pengampun. Wallahu A'lam. 
Kembali ke atas ↑


13. Berniat Zihar
Soalan:
Apakah hukumnya jika si suami menyamakan sebarang anggota badan isterinya tetapi tidak melafazkan (hanya dalam hati sahaja) ?
Alwi ,KL
Jawapan:
Zihar berasal dari kata "Ash Zhahr" ertinya punggung iaitu ucapan seorang suami kepada isterinya "Engkau seperti punggung ibuku". Seluruh ulama mengatakan bahawa zihar ini haram. Jadi jelaslah bahawa zihar itu perlu dilafazkan agar ia jelas maksud dan tujuannya.
Jumhur ulama berpendapat bahawa zihar itu hanya khusus dengan ibu sahaja. Kerana itu apabila seorang suami berkata kepada isterinya "Engkau seperti punggung ibuku" maka terjadilah zihar. Apabila suami berkata kepada isterinya : "Engkau bagiku seperti punggung saudara perempuanku" atau seperti "ibu saudaraku" ucapan semacam ini bukan zihar.
Jika terjadi zihar, maka suami haram mencampuri isterinya sehinggalah ia membayar kifarat: 1. Memerdekan hamba, jika tidak mampu atau tidak ada
2. Berpuasa dua bulan berturut-turut, jika tidak kuat,
3. Memberi makan 60 orang fakir miskin.
Kembali ke atas ↑


14. Isteri Memukul Suami
Soalan:

Apakah hukum seorang isteri yang memukul suami yang tidak melakukan apa-apa kesalahan. Dan apakah tindakan yang wajar yang harus diambil oleh suami yang dipukul?
Tiesya ,KL
Jawapan:
Isteri yang solehah adalah mematuhi segala perintah suami dengan penuh taat, selagi suami tidak mengajak isteri kepada perbuatan maksiat atau mempersekutukan Allah. Diantara ciri-ciri isteri yang solehah iaitu memiliki budi pekerti yang murni, mempunyai sifat persefahaman, pengorbanan, ketabahan dan penuh pengertian. Kemudian ditambah dengan sifat patuh dan taat kepada suami, mengurus rumahtangga dengan baik, berhias untuk suami, melayani suami, berpakaian menurut ajaran Islam dan memberi motivasi terhadap cita-cita suami.
Jika seorang isteri telah berani memukul suami apakah suami bersalah ataupun tidak itu merupakan sifak kederhakaan yang dikutuk oleh Allah. Sebab keredhaan Allah terhadap seorang isteri itu tergantung kepada keredhaan suaminya. Seandainya suaminya tidak redha maka isteri akan menerima seksaan Allah yang berat di akhirat nanti. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


15. Isteri yang Taat
Soalan:
Sejauh manakah sewajibnya taat isteri terhadap suaminya?
Nik Farhan, Sg. Buloh
Jawapan:
Isteri solehah iaitu isteri yang taat dan patuh terhadap suaminya, kepatuhannya itu bukanlah di dalam kemaksiatan. Taatnya isteri terhadap suami mencakupi memenuhi segala keperluan suaminya seperti menghiasi diri demi suaminya, menjaga dirinya daripada perbuatan curang, senantiasa menjaga rahsia keluarga serta menjaga harta benda suami dengan baik. Ia selalu merasa ikhlas dan puas dengan bahagian yang diterimanya daripada suaminya. Sebaliknya ia tidak pernah menuntut sesuatu yang diluar batas kemampuan suami untuk mengadakannya.
Sebagai seorang isteri harus bertanggungjawab dalam pengurusan rumahtangga, baik dalam membina dirinya sendiri mahupun untuk membina anak-anaknya ke arah kemajuan ummah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Isteri adalah pemimpin di rumah suaminya  dan bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya'.
(Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi)
Buku-buku kategori: Perkahwinan
Kembali ke atas ↑


16. Hukum Mencium Alat Kelamin
Soalan:
Apa hukumnya suami mencium faraj isteri dan isteri mencium zakar suami?
Hamba Allah, B Caves
Jawapan:
Setelah melangsungkan perkahwinan seorang suami halal berseronok-seronok dengan isterinya sebagaimana halal kepada seorang isteri berseronok-seronok dengan suaminya. Perkahwinan adalah satu saluran terbaik kepada seorang suami dan isteri melepaskan runtunan nafsu semulajadinya dan cara ini dihalalkan oleh syarak dan diiktiraf oleh masyarakat. Selain itu Islam juga menekan soal adab sopan dalam menjalani rumah tangga. Melihat kepada nas Al-Quran secara umumnya ia menjelaskan keharusan mendatangi isteri mengikut yang disukai oleh suaminya.
Bagaimanapun suami melihat dan mencium alat kelamin isteri dan isteri melihat alat kelamin dan mencium alat kelamin suami ketika melakukan persetubuhan menjadi satu perkara yang diperselisihkan di kalangan ulamak. Sesetengahnya berpendapat makruh berbuat demikian kerana ia boleh mewarisi penyakit buta dan ia juga melambangkan kurang kesopanan antara suami dan isteri.
Sesetengahnya pula berpendapat perbuatan tersebut dibenarkan oleh syarak berdasarkan umumnya ayat di atas. Pendapat ini dinukilkan dari imam An-Nawawi dan juga imam Al-Qurtubi. Pengarang kitab Ahkam Al-Awrat dan An-Nazar berpendapat dibenarkan berbuat apa sahaja kepada suami isteri yang sudah sah perkahwinannya.
Kesimpulannya para ulamak masih berselisih pendapat tentang hukum di atas di antara yang mengharuskannya dengan yang memakruhkannya. Apa yang jelas ialah Nabi SAW ketika bersama dengan Aisyah RA tidak pernah melihat alat kelaminnya sebagaimana Aisyah juga tidak pernah melihat alat kelamin nabi SAW. Inilah adab sopan yang sewajarnya diikuti.
Kembali ke atas ↑


17. Hukum Membesarkan Alat Kelamin
Soalan:
Apakah hukum berusaha membesarkan alat kelamin kita dengan tujuan untuk lebih memuaskan isteri, mungkin melalui urutan tradisional, makan ubatan ataupun dengan cara pembedahan?
BN, USA
Jawapan:
Dalam surah An-Nissa' ayat 18 menjelaskan suami dikehendaki menggauli isteri dengan baik. Ini termasuklah dalam soal persetubuhan. Mengikut sunnah Rasulullah SAW seseorang suami yang telahpun melepaskan hajatnya dalam persetubuhan dikehendaki melayan hajat isterinya sehingga ia merasa puas. Dengan cara ini tidak akan timbul ketidakseimbangan dalam persetubuhan antara suami isteri yang boleh membawa kepada keretakan rumahtangga dan sebagainya.
Perbuatan membesarkan kemaluan dengan tujuan untuk memberi kepuasan seks kepada isteri ketika melakukan persetubuhan, tidaklah menjadi kesalahan, selagi mana perbuatan itu tidak memudaratkan si suami itu sendiri. Jika perbuatan itu memudaratkan isteri, maka hukumnya adalah haram, kerana Islam melarang seseorang mencampakkan dirinya ke lembah kebinasaan. Ini tanpa mengambil kira apa jenis alat yang digunakan untuk membesarkan kemaluan itu.
Bagaimanapun ulamak mazhab Syafii menggariskan seorang isteri yang merasa tersiksa bila bersetubuh dengan suaminya kerana alat kelamin suaminya itu terlampau besar dan membuatkan ia menderita, diharuskan menuntut fasakh. Suka dinasihatkan kepuasan rumahtangga bukanlah bergantung kepada kepuasan persetubuhan semata-mata, sebaliknya merangkumi faktor lain seperti saling faham-memahami jiwa pasangan masing-masing, sama-sama menegakkan sunnah Rasulullah SAW dan lain-lain.
Kembali ke atas ↑


18. Isteri Menghisap Kemaluan Suami
Soalan:
Apa hukumnya kita mengarahkan isteri menghisap kemaluan kita ataupun kita sendiri me..... kemaluan isteri kita dan apakah pula hukum kita melihat kemaluan pasangan masing-masing?
AS, Selangor
Jawapan:
Hukum suami menghisap kemaluan isteri dan isteri menghisap kemaluan suami telahpun dijelaskan sebelum ini ketika menjawab soalan yang diajukan pada soalan 17.
Kembali ke atas ↑


19. Mengelakkan Persetubuhan kerana Keletihan Bekerja
Soalan:
Saya baru berumahtangga empat bulan. Saya seorang isteri yang bekerja. Haruskah saya melayani suami saya  bila-bila sahaja dia perlukan senggama walaupun saya penat. Akan kecewakah dia jika saya selalu tidak mahu? Saya rela dia bersatu bila saya tak kerja sahaja. Saya tidak mahu dia akan terasa kecewa atau bosan.
Nor, Singapura
Jawapan:
Seorang suami dikehendaki menanggung segala nafkah isteri dengan sempurna. Jika ia merasakan keperluan rumahtangganya masih belum cukup, ia boleh memberi kebenaran kepada isterinya berkerja dengan kerja-kerja yang sesuai dengan sifat fitrah semulajadi seorang wanita. Kerja itu pula tidak melibatkan percampuran bebas antara kaum lelaki dan perempuan dan dalam batas-batas menutup aurat.Memanglah seorang isteri akan mengalami kepenatan apabila berkerja disiang hari dan kepenatan ini kadang-kadang sudah cukup baginya untuk tidak dapat melayan kehendak suaminya.
Bagaimanapun seorang isterinya yang diajak oleh suaminya untuk melakukan persetubuhan tidak boleh menolak ajakan ini. Jika ia menolak bererti ia telah menderhaka kepada suaminya atau nusyuz kecuali jika ia sendiri uzur syar'i.. Berdasarkan hadis riwayat At-Tabrani isteri yang nusyuz tidak akan diterima solatnya oleh Allah SWT. Dalam hadis riwayat Abu Dawud pula menjelaskan isteri yang nusyuz akan dilaknat oleh para malaikat. Al-Imam Az-Zahabi menjelaskan sebuah hadis dalam kitabnya Al-Kabair apabila seorang suami mengajak isterinya supaya melakukan persetubuhan tetapi ia enggan berbuat demikian, ia akan dilaknat oleh malaikat sampai ke pagi.
Beliau juga mengemukakan sebuah hadis yang menjelaskan apabila seorang suami mengajak isterinya melakukan persetubuhan, hendaklah segera dipenuhi ajakan suaminya walaupun ia sedang memasak di dapur, malah jika suami mahukan isteri bersetubuh di atas belakang unta sekalipun isteri hendaklah taat. Jika tidak taat sudah pasti suami akan kecewa. Kekecewaan ini kadang-kadang membuatkan suami merasa tawar hati kepada isteri dan akhirnya mewujudkan hubungan yang renggang dalam keluarga.
Walau bagaimanapun ulama berpendapat adalah sesuatu kurang adab dan kurang wajar jika sesuatu persetubuah itu dilakukan dalam keadaan salah satu pasangan itu kepenatan berkerja dan lain-lain. Tunggulah sehingga kepenatan ini hilang dahulu.
 DN 037 Rumah Idaman Syurga Impian - ISTERI TELADAN
DN 148 ♀ Bunga Idaman Mutiara Syurga WANITA SOLEHAH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
Kembali ke atas ↑


20. Memasukkan Jari Ke Dubur
Soalan:
Bolehkah si suami memasukkan jarinya ke lubang dubur isterinya semasa melakukan persetubuhan?
Hamba Allah, Singapore
Jawapan:
Dalam sebuah hadis yang dinukilkan oleh Imam Az-Zahabi dalam kitabnya Al-Kabair menjelaskan Allah SWT melaknat suami yang mensetubuhi isteri masing-masing di duburnya tidak diqubulnya. Jika memasukkan alat kelamin dilaknat oleh Allah dan berdosa, maka memasukkan jari ke dalam dubur adalah sesuatu yang haram dan tidak wajar juga.
Tambahan pula dubur bukanlah kawasan istimta' yang diharuskan oleh syarak kerana ia adalah kawasan tempat keluar najis. Islam mengutamakan kebersihan. Kerana itu dalam adab sopan melakukan persetubuhan tempat seperti ini hendaklah dijauhi, kerana ia boleh mendatangkan mudarat. Dalam kaedah fikah ada menjelaskan setiap kemudaratan itu hendaklah dihilangkan.Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


21. Persetubuhan Malam Pertama
Soalan:
Soalan saya, apabila malam pertama pengantin bolehkah ia bersetubuh dengan isterinya, kata orang malam pertama haram, dan boleh dilakukan pada malam ketiga sahaja, betulkah ustaz?
Ruz, Sabah
Jawapan:
Dalam Islam apabila sudah sah akad nikah dijalankan, maka halallah perhubungan antara suami isteri. Tidak terdapat sebarang nas baik dari Al-Quran mahupun dari hadis yang melarang seorang suami menyetubuhi isterinya pada malam pertama, bahkan sesetengah pihak menganggap malam pertama itu sebenarnya adalah malam bersejarah dalam hidup seorang anak gadis.
Kerana pada malam itu ia mula mengorak langkah ke arah menjadi seorang ibu dalam ertikata yang sebenarnya, kecualilah jika isteri didatangi haid pada malam pertama, maka haram kepada suami menyetubuhinya melainkan setelah isterinya itu mandi junub. Berdasarkan nas Al-Quran menjimak isteri ketika haid adalah haram.
Kembali ke atas ↑


22. Kaedah Menakluki Hati Suami
Soalan:
Ustaz, berjumpa dengan bomoh untuk mencari ubat pengasih atau menuntut rasa cinta dari suami selain dari memohon doa dari Allah adalh salah satu dari dosa-dosa besar. Jadi, boleh ustaz terangkan cara dan amalan yang sepatutnya isteri lakukan untuk menakluk hati suami (supaya suami sentiasa merasa cinta dan kasih kepada si isteri sepanjang masa), selain dari tugas-tugas yang lain.
Ini kerana dikhuatiri suami akan berlaku kasar dan kejam terhadap si isteri. Boleh ustaz berikan doa atau panduan kepada saya agar menjadi panduan hidup ke arah kesejahteraan dan kebahagian dengan mengikuti ajaran Islam yang sebenarnya dan menjadi rujukan yang halal?
Julia, KL
Jawapan:
Dalam Islam suami isteri masing-masing mempunyai kewajipan yang wajib dilaksanakan terhadap rumahtangga. Kewajipan isteri terhadap suami antara lain ialah mentaatinya dan mengakui kepimpinanya dalam rumahtangga. Dalam usaha untuk menimbulkan rasa cinta suami kepada isterinya, isteri boleh mengambil berbagai pendekatan.
Antaranya pendekatan fizikal berbentuk memakai perhiasan yang boleh menarik hati suami ketika suami berada di rumah dan melakukan ke semua perkara yang diperintahkan oleh suaminya yang tidak berbentuk maksiat. Selain itu pendekatan lain boleh dilakukan dengan meminta suami menjadi imam solat berjemaah bersama dengan anak-anak dan isteri. Isteri juga boleh mengajak suaminya ke surau atau masjid bersama-sama bagi menunaikan solat berjemaah di sana dan mengambil berkat dari majlis ilmu yang diadakan di situ.
Sama-samalah bangun malam bagi menunaikan solat hajat dan tahajud. Di samping itu isteri juga boleh menunaikan solat hajat memohon kepada Allah supaya rumahtangganya rukun damai dan suaminya sentiasa kasih kepadanya. Doanya boleh dibaca dalam bahasa Melayu kalau tidak dapat membacanya dalam bahasa Arab. Untuk mendapatkan doa-doa yang berkaitan sila rujuk buku HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 001 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal ), HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 002 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal ) dan DN 145 Doa Pelindung & Penawar Angin Ahmar "Stroke"  keluaran Darul Nu'man. Harus diingat setiap rumahtangga itu ada ujian-ujiannya. Dalam menghadapi ujian ini isteri hendaklah tahan sabar. Berkat dari kesabaran ini akan menghasilkan kesentosaan kepada rumahtangga. Insya Allah.
Kembali ke atas ↑


23. Hukum Menyesali Perkahwinan
Soalan:
Apakah hukumnya jika dalam satu-satu masa kita menyesali akan perkahwinan kita dengan suami yang sentiasa leka dengan hal dunia; jarang-jarang sembahyang dan berpuasa.  Perasaan itu datang kerana kita mengharapkan dia boleh membimbing kita dan anak-anak kearah dunia dan akhirat? Apakah ayat yang sesuai diamalkan supaya suami sentiasa mengingati Allah?
Hamba Allah, KL
Jawapan:
Tidak wajar kepada seseorang itu menyesali perkahwinannya dengan seseorang khasnya apabila suami yang diharapkan dapat membimbing isteri tidak melaksanakan tugasnya dengan baik. Ini kerana perkahwinan tidak bersalah. Yang bersalah ialah suami yang tidak melaksanakan tanggungjawab.
Kerana itu apabila suami tidak berbuat demikian, tidak wajar isteri melahirkan penyesalannya kerana berkahwin dengan beliau, sebaliknya hendaklah diusahakan cara yang boleh menyedarkan suami beliau itu seperti dengan bersolat hajat, meminta nasihat dari orang alim, membuat aduan kepada Qadi dan lain-lain. Kegagalan suami melaksanakan tanggungjawabnya itu adalah sebahagian dari kerosakan rumahtangga yang harus dibaiki dengan segera. Inilah rahsianya kenapa Islam menyuruh seseorang itu memilih suami yang ada agama, bukan yang hensem sahaja.
Untuk mendapatkan ayat dan kaedah yang sesuai yang boleh digunakan bagi mendorong suami terlibat supaya sentiasa mengingati Allah.
Kembali ke atas ↑


24. Suami Mempermainkan Perkataan Talak
Soalan:

Tabiat suami yang suka mempermainkan perkataan cerai setiap kali berlaku perselisihan faham, tetapi ucapannya bukan cerai, tetapi  rasa macam nak bercerai. Saya ingin tahu adakah jatuh cerai jika selalu dia mengucapkan rasa macam nak cerai. Harap dapat penjelasan yang lebih terperinci dari pihak tuan?
Has, W Persekutuan
Jawapan:
Islam mengganggap haram mana-mana suami yang mempermainkan perkataan talak terhadap isteri. Lafaz talak tidak boleh dijadikan bahan permainan sama sekali, kerana hukumnya akan menyebabkan jatuhnya talak tersebut. Jika seseorang suami melafazkan perkataan yang pada pandangan isterinya rasa macam nak bercerai, maka lafaz ini tidaklah menjatuhkan talak. Lafaz ini dinamakan sebagai lafaz kinayah dan memerlukan kepada niat orang yang melafazkannya. Jika ia bermaksud menceraikan isterinya, maka hukumnya jatuh talak mengikut bilangan yang diniatkan itu.

Kembali ke atas ↑


25. Mandi Berbogel Bersama Isteri
Soalan:
Berdosakah saya dan isteri saya jika kami mandi berbogel bersama-sama dalam bilik yang tertutup?
Abdullah, Johor
Jawapan:
Mandi berbogel antara suami dengan isteri dalam sebuah bilik air tidaklah haram, sebaliknya hukumnya adalah makruh dan menyalahi adab-adab Islam ketika mandi junub.
Kembali ke atas ↑


26. Terlintas Hati Menceraikan Isteri
Soalan:
Sekiranya kita terlintas di dalam hati/perasaan untuk menceraikan isteri kita tetapi tidak dilafazkan adakah gugur talak?
Jika gugur talak, bagaimana caranya untuk merujuk balik?
Mohamed, K Terengganu
Jawapan:
Semata-mata terlintas di dalam hati untuk menceraikan isteri, hukumnya tidaklah jatuh talak. Talak yang disepakati di kalangan ulamak jatuh dan berkuatkuasa ialah talak dengan lafaz yang sarih iaitu satu lafaz yang terang menunjukkan makksud talak dan tidak ada bukti menunjukkan ia bermaksud lain daripada itu.
Oleh kerana talak tidak gugur, maka tidak timbul soal rujuk kembali. Sebagai seorang suami hendaklah dielakkan dari berkeinginan demikian kerana ia merupakan satu perasaan yang dibenci oleh rasulullah SAW. Kalau hendak marah kepada isteri sekalipun, janganlah gunakan lintasan ingin mentalakkannya, sebaliknya perbanyakkanlah istighfar.
Rumahtangga dalam Islam memerlukan banyak kesabaran. Susah payah dan sakit demam ketika mengharunginya adalah ragam hidup orang yang berumahtangga. Orang yang paling baik di kalangan umat Islam ialah yang paling lembut terhadap keluarga sendiri.
Kembali ke atas ↑


27. Menjaga Perhubungan Suami Isteri
Soalan:

Apakah ayat yang sesuai untuk saya amalkan bagi membuatkan suami menyayangi kita?
Apakah hukumnya jika dalam satu-satu masa kita menyesali akan perkahwinan kita dengan suami yang sentiasa leka dengan hal dunia, jarang-jarang sembahyang dan berpuasa.  Perasaan itu datang kerana kita mengharapkan dia boleh membimbing kita dan anak-anak kearah dunia dan akhirat.
Hamba Allah, KL
Jawapan:
Pokok pangkal kebahagiaan dalam perhubungan suami-isteri adalah layanan yang baik disamping kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Dalam hal ini Rasullullah SAW tidak pernah mengajar doa-doa tertentu untuk diamalkan bagi mengekal kebahagiaan rumahtangga sepengetahuan saya. Namun sebahagian ulamak ada mengesyorkan agar dibaca ayat-ayat tertentu di dalam Al-Quran agar kasih sayang suami isteri dapat dikekalkan. Untuk mendapatkan doa-doa tersebut puan bolehlah merujuk kepada buku-buku berkaitan. Di samping itu puan boleh mengerjakan solat tahajjud dan solat hajat agar dikurniakan kebahagiaan dalam keluarga puan.
DN 036 Rumah Idaman Syurga Impian - SUAMI TELADAN
DN 037 Rumah Idaman Syurga Impian - ISTERI TELADAN
DN 105 ♂ Permata Idaman Mutiara Syurga LELAKI SOLEH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
DN 148 ♀ Bunga Idaman Mutiara Syurga WANITA SOLEHAH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
Kembali ke atas ↑


28. Pemberian Nafkah Seorang Suami
Soalan:
Saya mempunyai seorang adik perempuan yang sudah bersuami dan mempunyai anak seramai enam orang yang sedang meningkat remaja.  Masalahnya sekarang ialah adik saya bekerja sementara suaminya tidak bekerja.  Untuk makluman ustaz suami adik saya ini seorang pengikut Tabligh yang kadang-kadang meninggalkan keluarga sehingga seminggu atau pun lebih. Menuntut ilmu agama sememangnya dituntut tetapi masalahnya sepeninggalannya suami tidak meninggalkan nafkah makan minum isteri dan anak.  Baginya isteri bekerja, jadi suami tidak ambil endah langsung.  Kemungkinan si suami berfikir ibubapanya ada yang masih boleh melihat anak isterinya samada makan atau pun tidak, tak kan datuk nak biarkan anak cucunya kebuluran.... Si isteri kadang-kadang tidak tahan lalu mengadu dengan kakak dan abang... Di sini saya ingin mendapat pandangan ustaz mengenai perkara ini.  Terima kasih.
Yati, Ipoh
Jawapan:
Menurut institusi kekeluargaan dalam Islam menjadi tanggungjawab seorang suami memenuhi keperluan kehidupan keluarganya baik dari segi nafkah lahir mahupun batin.Suami juga berkewajipan menggauli isteri dengan baik, suami juga harus menyediakan makanan yang baik, pakaian dan juga pendidikan agama yang sempurna untuk keluarganya. Begitu juga sebaliknya isteri berkewajipan melaksanakan tanggungjawabnya dalam keluarga, seperti mengakui kepimpinan suami, taat kepada suaminya, keluar rumah dengan izin suami, melahirkan rasa kegembiraan di hadapan suami, dilarang menunjukkan sikap sombong, ego dan sebagainya. Jika tanggungjawab masing-masing suami isteri tidak dijalankan dengan baik, maka itu merupakan pertanda penyimpangan dalam menjalankan institusi rumahtangga.
Jika terjadi kecuaian suami atau isteri atau kedua-duanya dalam menjalankan tanggungjawab ini, perlu diberitahukan kepadanya akan kelalaiannya itu baik secara langsung mahupun menggunakan orang ketiga. Seandainya cara ini tidak berhasil kerana kecuaiannya ataupun ketidakmampuannya, maka isteri dituntut agar redha dengan keadaan tersebut. Dalam perkara ini kita boleh merujuk kepada kehidupan Rasulullah dengan Siti Khadijah. Dari segi kekayaan, Khadijah merupakan seorang jutawan pada zamannya, namun beliau redha seluruh harta kekayaan itu digunakan oleh suaminya dalam menegakkan Islam, akhirnya kehidupan keluarga baginda sangat sederhana bahkan miskin dari harta dan benda.
Seandainya isteri tabah dan redha menghadapi cubaan dan cabaran hidup ini maka sangat besar pahala baginya. Sedangkan suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya hanya Allah akan membalas kelalaiannya itu. Dengan ketabahan seorang isteri memberi nafkah anak-anaknya dan dirinya sendiri, insya Allah akan dimudahkan Allah perjalanan hidup dan rezekinya. Dengan cara ini juga, insya Allah hati suaminya akan kembali menjalankan tanggungjawabnya.
Kembali ke atas ↑


29. Isteri Mengandung Diperiksa oleh Doktor Lelaki (Yang Bukan Muhrim)
Soalan:
Ada suatu perkara yang selama ini mengganggu fikiran saya, dan bagi saya ia telah menjadi perkara yang SERIUS. Saya telah mempunyai empat orang anak, keempat-empat anak saya tersebut lahir melalui perawatan doktor lelaki. Semenjak dari pemeriksaan hinggalah sampai mereka lahir, doktor lelaki itulah yang melaksanakannya. Yang menjadi kemusykilan saya apakah pemeriksaan bulanan ketika mengandung yang dilakukan oleh doktor lelaki tersebut dengan memegang bahagian-bahagian aurat seperti perut dan sebagainya dikira sebagai darurat. Sedangkan ketika itu isteri saya bukan dalam keadaan sakit tapi dalam keadaan normal. Apakah hukumnya jika kita membiarkan perkara itu terjadi di depan kita sedangkan mungkin kita boleh mencari alternatif lain seperti mencari doktor pakar wanita ataupun bidan?
Keluarga Muslim, KL
Jawapan:
Pada diri wanita ada ciri-ciri atau kriteria yang spesifik dan itu tidak dimiliki oleh lelaki, begitu pula sebaliknya. Apabila salah satu pihak meninggalkan kriteria yang telah ditetapkan Allah bererti ia telah meninggalkan fitrah dan merosak kudrat insaniah. Ada beberapa ketentuan dalam syariat Allah sehubungan kriteria yang dimiliki oleh wanita, oleh sebab itu berpegang teguhlah dengan syariat tersebut dan jangan perkenankan lelaki campur tangan dalam urusan dalaman jika tidak ingin dirugikan ataupun kehidupan fizikal dan kejiwaan wanita akan rosak.
Secara syariat, wanita muslimah hendaklah menjaga dirinya dan auratnya dari dilihat orang lain, kerana jika perkara ini terjadi pasti akan menimbulkan fitnah. Secara fitrah baik lelaki ataupun wanita yang bukan muhrim bersentuhan pasti akan menimbulkan berahi dan getaran jiwa yang akan mendatangkan tekanan syahwat baik banyak mahupun sedikit. Inilah namanya nafsu yang pasti ada pada diri seorang lelaki ataupun wanita yang normal.
Wanita mengandung ketika mengadakan pemeriksaan bulanan dengan doktor lelaki bukanlah tergolong dalam keadaan darurat, kerana ketika itu wanita tersebut bukan dalam keadaan sakit. Jika ia bukan dalam keadaan darurat sudah tentu hukumnya berdosa ketika seorang doktor lelaki menyentuh bahagian-bahagian tertentu tubuh wanita tersebut. Kedudukan darurat dalam Islam adalah jika sesuatu keadaan itu tidak ada pilihan lain, maka secara terpaksa atau harus kita melaksanakan sesuatu yang pada dasarnya bertentangan dengan ketetapan Allah. Umpamanya, memakan daging khinzir hukumnya haram, namun ketika dalam keadaan tidak ada sedikitpun makanan melainkan daging itu sahaja, sedangkan kita dalam keadaan kelaparan yang boleh membawa maut, maka hukumnya menjadi harus memakan daging tersebut sekadar mengelakkan dari mati.
Begitu juga halnya dalam masalah pemeriksaan bulanan, ia bukanlah dalam keadaan darurat, sebab masih ada cara lain atau alternatif lain untuk mencari doktor wanita ataupun bidan yang beragama Islam. Apatah lagi di negara kita sekarang ini mudah didapati doktor wanita, bahkan di hospital dan klinik kerajaan pun kebanyakan yang memeriksa wanita hamil terdiri dari doktor atau bidan wanita. Mengapa kita mesti mencari doktor lelaki jika hanya sekadar menginginkan kepakaran mereka disaat mengadakan pemeriksaan bulanan. Bahkan doktor wanita yang pakar sakit puan pun telah ramai di negara ini. Maka tidak timbullah istilah 'darurat' ketika mengadakan pemeriksaan bulanan dengan doktor lelaki bagi wanita hamil. Kecualilah ketika akan melahirkan, di mana wanita yang akan melahirkan tersebut memerlukan pembedahan dan perhatian yang serius dari ramai pihak. Maka ketika ini barulah boleh dipakai istilah darurat tersebut, kerana wanita yang ingin melahirkan itu tidak terfikir masalah lain, melainkan ingin selamat melahirkan anaknya.
Ditinjau dari aspek psikologi pun proses pemeriksaan bulanan yang dilakukan wanita hamil dengan doktor lelaki ini akan menimbulkan kesan yang jauh dan negatif dalam hubungan kekeluargaan. Bayangkan saja bagi seorang wanita yang selama ini hanya disentuh oleh suaminya, tentu akan merasa suatu getaran ketika lelaki lain menyentuhi tubuhnya. Rasa kelainan dan getaran inilah yang membenihkan suatu keinginan tertentu kepada yang lain selain suaminya, lebih-lebih lagi ketika mereka menghadapi masalah atau krisis rumahtangga. Perkara ini sepintas lalu nampaknya macam perkara biasa dan sederhana, namun dalam jangka masa panjang, kesannya sangat membahayakan minda dan jiwa isteri tadi serta suaminya juga. Dalam hal ini bagi doktor lelaki mungkin tidak merasakan apa-apa perasaan terhadap pesakitnya, disebabkan terlalu ramai pesakit yang dirawatnya setiap hari dan ini menjadikannya lali dengan keadaan tersebut. Namun bagi seorang wanita yang normal dan sihat, getaran di jantungnya pasti akan terasa dan getaran inilah yang dinamakan syahwat.
Jika perkara ini terjadi bukanlah bererti setiap wanita yang hamil itu tidak baik atau wanita yang rendah moralnya, malah perkara ini membuktikan kenormalan wanita tersebut. Dalam hal ini kebijaksanaan suami sangat dituntut untuk melaksanakan tuntutan Islam agar isterinya mengadakan pemeriksaan bulanan dengan doktor wanita Islam sahaja.
Saya ingin membawa contoh yang sama dalam diri seorang lelaki. Bagaimanakah rasanya perasaan seorang lelaki jika bahagian tertentu tubuhnya disentuh oleh doktor wanita dengan nada bahasa yang lemah-lembut dan baik. Sebagai seorang lelaki yang normal, pasti dia akan merasakan getaran di jantungnya, kecualilah jika ketika itu ia betul-betul sakit (dalam keadaan darurat), sehingga tidak ada yang lain difikirkannya melainkan kesembuhan dari sakitnya itu. Begitu juga halnya dengan doktor wanita yang menyentuh pesakit lelaki mungkin merasa lali dengan situasi tersebut disebabkan profesi dan tanggungjawabnya sebagai seorang doktor.
Fahamilah tentang kaedah batas-batas aurat bagi seorang wanita atau lelaki yang bukan muhrim. Jika perkara ini tidak diberi perhatian secara serius, lama kelamaan akan runtuhlah sendi institusi rumahtangga keluarga muslim. Seandainya seluruh umat Islam tidak mengambil berat tentang perkara ini, bukan saja institusi rumahtangga malah negara pun akan runtuh kerana kejatuhan nilai moral dan agama dalam kehidupan bangsa. Peliharalah diri dan keluarga kita agar kehidupan bahagia di dunia dan di akhirat serta terhindar dari seksa api neraka. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


30. Persefahaman Suami Isteri
Soalan:

Pada setiap tahun menjelangnya Aidilfitri, suami saya akan menyambutnya di kampung beliau. Saya pernah menyuarakan untuk membuat giliran cadangan untuk membuat giliran dalam hal ini. Sehingga kini suami saya tidak pernah mengalah untuk beraya di pihak saya. Saya sungguh sedih kerana sudah hampir 7 tahun saya tidak pernah pulang ke kampung, menjenguk nenek dan saudara mara. Apakah yang harus saya lakukan?
Juriah, KL
Jawapan:
Hubungan antara suami isteri yang harmoni lahir daripada kesefahaman dan saling menghargai antara keduanya. Dari sudut hukum syarak, memanglah seorang isteri harus mematuhi perintah suami selagi perintah tersebut bukan kepada perbuatan maksiat dan menyekutukan Allah. Namun dari sudut psikologi dan hubungan kekeluargaan pihak isteri dibolehkan menyuarakan pandangan dan pendapatnya termasuk menyatakan perasaannya kepada suaminya dengan baik. Usahakanlah menyampaikan keinginan itu dengan cara yang baik agar suami dapat menerima cadangan itu dengan hati yang terbuka, dan banyaklah berdoa kepada Allah agar hati suami menjadi lembut dan dapat memahami perasaan orang lain terutamanya perasaan isteri.
Walaupun menjalinkan hubungan silaturrahim dengan nenek dan saudara mara itu dianjurkan dalam Islam, namun ada perkara yang lebih wajib untuk dipatuhi oleh pihak isteri iaitu mematuhi perintah suaminya. Janganlah menjadikan perkara yang sunat atau dianjurkan itu mengatasi perkara wajib, sehingga merosakkan keharmonian rumahtangga. Selesaikanlah dengan cara mesyuarat atau berbincang dari hati ke hati agar segalanya dapat diatasi dengan cara yang baik.
Kembali ke atas ↑


31. Mencerai Isteri Ketika Haid
Soalan:
Kenapakah lelaki tidak boleh meceraikan isterinya ketika dalam keadaan datang bulan. Ini kerana seorang kawan saya telah diceraikan oleh suaminya ketika dalam haid. Bolehkah ustaz huraikannya sebabnya?
Ina, Selangor
Jawapan:
Talaq Bid'i bermaksud suami menceraikan isterinya dalam keadaan haid atau nifas atau dalam keadaan baru selesai berjimak. Ini berdasarkan peryataan Ibnu Umar ra. sewaktu ia menceraikan isterinya yang sedang haid, kemudian Rasulullah SAW menyuruhnya agar merujuk kembali kemudian menunggu sehingga suci, kemudian didatangi haid sekali lagi kemudian disertai dengan sucinya selepas itu. Setelah itu terserahlah kepadanya untuk menentukan sama ada mengekalkan terus isterinya atau menceraikannya sebelum menyetubuhinya. Sabda Rasulullah SAW maksudnya: "Maka itulah iddah yang telah diperintahkan oleh Allah supaya isteri itu diceraikan mengikut iddahnya".     Rasulullah SAW marah ketika diberitahu tentang perceraian Ibnu Umar, padahal Baginda tidak pernah marah terhadap barang yang halal. Jelaslah bahawa talak ketika isteri sedang haid ini adalah bertentangan dengan yang disyariatkan Allah SWT dan Rasul-Nya dan tidak dapat diterima. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa yang beramal tidak menuruti sunnahku adalah tertolak".
Kembali ke atas ↑


32. Menyamakan Sifat Isteri dengan Ibu
Soalan:
Apakah hukumnya seorang suami yang menyamakan perbuatan isterinya dengan perbuatan ibu atau adik-beradiknya (muhrim kepada suami) seperti ciuman, masakan dan sebagainya?
Ezarrin, KL
Jawapan:
Jika seorang suami menyamakan sifat perbuatan tertentu isterinya dengan ibunya tidaklah berdosa kerana ia bukan tergolong ke dalamZihar. Yang dimaksudkan dengan Zihar adalah ucapan seorang suami kepada isterinya, contohnya: "Punggung engkau seperti punggung ibuku". Penyerupaan bahagian-bahagian yang dimaksudkan itu hendaklah daripada anggota badan yang zahir dan khusus bagi ibu sahaja.
Zihar pula tidak dianggap talaq namun hukumnya adalah haram dan suami haram menggauli atau menyetubuhi isterinya sebelum dia membayar kifarah. Iaitu:
1. memerdekakan seorang hamba, kalau tidak punya,
2. berpuasa dua bulan berturut-turut, kalau tidak mampu,
3. memberi makanan kepada 60 orang fakir miskin.
Kifarat zihar ini sangat dituntut untuk menjaga ikatan perkahwinan dan untuk mencegah timbulnya kezaliman terhadap diri perempuan, kerana bila seorang suami merasakan beratnya denda untuk menebus ucapannya maka ikatan perkahwinannya akan terjaga dan isteri akan terlindung dari penganiayaan suaminya.
Kembali ke atas ↑


33. Suami Minum Susu Isteri
Soalan:

Apakah hukum suami minum susu isterinya dengan sengaja?
Aidil,Lahad Datu
Jawapan:
Dalam melakukan jimak antara suami dan isteri, Allah memberikan kebebasan bagi keduanya untuk menikmatinya sesuai dengan kaedah dan cara yang dianggap sesuai menurut selera masing-masing. Di dalam Al Quran pun ada disebutkan bahawa isteri-isteri kamu bagaikan kebun-kebun atau ladang bagimu, terserahlah kepadamu untuk bercucuk tanam diatas ladang tersebut. Namun begitu di dalam Al Quran juga menggariskan batas-batas jimak tersebut, seperti dilarang menjimak isteri ketika sedang haid atau nifas, dilarang menjimak dubur isteri dan lain-lain.
Mengenai perkara meminum susu isteri dengan sengaja merupakan perbuatan yang menyalahi tabi'i atau fitrah seorang suami. Sesungguhnya yang layak meminum susu seorang wanita itu adalah anak-anaknya, namun jika peranan anak telah diambil oleh ayah ini merupakan penyelewengan dan tergolong dalam aniaya.
Kembali ke atas ↑


34. Jujur Terhadap Pasangan
Soalan:
Perkahwinan merupakan satu perkongsian suami isteri atas segala yang ditentukan. Kejujuran merupakan asas utama dalam melayari bahtera tersebut. Perlukah seorang wanita atau lelaki memberitahu bakal pasangannya jika dia mengidap penyakit yang boleh memudaratkan atau menjejaskan tumpuannya pada pasangannya kelak? Adakah wajar pasangannya meminta cerai atau memutuskan ikatan pertunangan mereka?
Annim, KL
Jawapan:
Di dalam Islam jika seorang lelaki ingin berkahwin biasanya diadakan pinangan terlebih dahulu. Ketika itu wakil dari pihak lelaki melihat wanita tersebut, apakah dia memiliki ciri-ciri wanita sihat atau subur, menjalankan agama dengan baik serta syarat yang lain menurut Islam. Disini membuktikan pentingnya mengetahui keadaan wanita tersebut jika seorang lelaki ingin meminang ataupun mengahwininya.
Di dalam hadith juga ada disebutkan jika seseorang lelaki ingin meminang wanita hendaklah memperhatikan empat perkara; hartanya, kecantikannya, keturunannya dan agamanya. Namun yang paling penting pilihlah wanita yang memiliki agama yang kukuh. Jadi jika demikian syaratnya, maka tidak baik bagi seorang wanita menyembunyikan kekurangannya yang dikhuatirkan akan menjejaskan hubungan suami isteri setelah berkahwin. Bereterus teranglah tentang kekurangan yang kita miliki mungkin dengan cara demikian pihak lelaki ataupun tunang kita boleh menerima kekurangan itu sebagai suatu kenyataan yang tidak perlu disesali. Tapi jika tidak bereterus terang dari awal dikhuatirkan akan meruntuhkan rumahtangga, maka ini lebih memilukan hati dan perasaan kedua-dua belah pihak.
Jika setelah berterus terang pihak lelaki tidak mahu menerima kenyataan tersebut, mungkin itulah yang terbaik yang Allah tentukan untuk anda. Perkara ini akan lebih mudah anda terima sebagai suatu kenyataan dibanding dengan menerima kemungkinan yang pahit setelah menikah nanti. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


35. Mani Lelaki dan Mani Wanita
Soalan:

Tuan, saya ingin dapatkan kepastian tentang mani perempuan. Sepertimana yang diketahui, apabila keluar mani lelaki atau perempuan mereka wajib mandi hadas biarpun tanpa persetubuhan. Walau bagaimanapun sepanjang perhubungan saya suami isteri, kami belum dapat kenalpasti bagaimanakah rupa mani perempuan. Oleh itu sukar untuk ditentukan sama ada isteri saya wajib mandi atau tidak apabila ia telah mendapat kepuasan melalui istimta' tanpa bersetubuh tetapi keadaannya umpama orang kepuasan setelah
disetubuhi.
(1) Adakah mani perempuan sama seperti mani lelaki dan apakah tanda-tanda seseorang perempuan itu telah keluar mani?

(2) Adakah wajib mandi apabila seseorang perempuan itu telah kepuasan sek melalui hubungan istimta' sahaja tanpa disetubuhi dan tiada tanda-tanda ia telah keluar mani?
Harap tuan dapat jelaskan dengan terperinci. Terima kasih.
Aidil,L Datu
Jawapan:
Keluar mani dengan apa cara sekalipun sedikit atau banyak, warna biasa atau warna darah dalam keadaan jaga atau tidur, dengan syahwat atau tidak kecuali mani jimak yang keluar semula dari faraj wanita selepas mandi junub, ia tidak wajib mengulangi mandi lagi jika keluarnya tidak dengan syahwat. Mani ini dapat diketahui dengan memancut keluar atau dengan merasa lazat, atau berbau tepung ketika ia masih basah atau berbau putih telur ketika keringnya sekalipun keluarnya tiada memancut. Mani wanita sama juga, kadang-kadang tiada dapat diketahui melainkan dengan merasa lazat sahaja ketika keluarnya.
Imam Ahmad dan Nasa'i meriwayatkan: "Khaulah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang wanita yang bermimpi seperti yang dialami oleh lelaki. Nabi menjawab: 'Dia tidak wajib mandi sehinggi ia keluar mani seperti juga lelaki juga tidak wajib mandi apabila ia tidak keluar mani '. ".
Oleh kerana biasanya keluar mani wanita sukar untuk dikesan, maka memadailah dengan merasakan lazat dan kenikmatan atau kepuasan itu membuktikan bahawa wanitanya telah keluar mani. Jika demikian maka perlulah ia mengerjakan mandi wajib.Dengan demikian lebih selamat dan terhindar dari was-was. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


36. Hukum Membohongi Suami
Soalan:
Apakah berdosa membohongi suami untuk mengelakkan perkara-perkara yang boleh membawa pertengkaran kerana suami agak cemburu walaupun nak berjumpa doktor contohnya?
Ezarrin, KL
Jawapan:
Isteri yang solehah itu disamping patuh kepada perintah Allah dan RasulullahNya, ia juga patuh terhadap suami dan tidak membohonginya. Daripada Imam Ahmad dan Imam Muslim, daripada Ibnu Umar ra. Rasulullah SAW bersabda: "Bermula dunia ini ialah kesukaan dan keseronokan, dan sebaik-baik kesukaan itu adalah perempuan yang solehah".
Dalam Hadith yang lain Rasulullah SAW bersabda: " 'Mahukah kamu, aku beritahukan dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seseorang lelaki?' Iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira, jika suami menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara akan kehormatan dirinya". (Riwayat Ibnu Majah)
Berbohong kepada suami adalah berdosa apatah lagi berbohong kepada suami kerana ingin berjumpa doktor yang seandainya lelaki hukumnya jelas haram dan dosa besar. Jika suami tidak redha dengan sikap pembohongan itu maka akan berkekalan dosa seorang isteri terhadap suaminya. Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: "Aku melihat dalam neraka tiba-tiba ramai diantara ahlinya adalah wanita. Maka seorang wanita bertanya: "Mengapa ya Rasulullah ?". Rasulullah SAW menjawab: "Mereka banyak bersumpah dan tidak berterima kasih kepada suaminya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadith yang lain diterangkan, "Dari Ibnu Abas ra. sesungguhnya seorang wanita dari suku Khat'am datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya: Wahai Rasulullah, sampaikanlah kepadaku keterangan apa hak suami terhadap isteri. Baginda bersabda: Sesungguhnya hak suami terhadap isteri iaitu jika suami menghendaki dirinya sekalipun ia berada di atas kenderaan ia tidak menolak dirinya untuk memenuhinya, dan hak suami atas isterinya iaitu isteri tidak boleh puasa sunat tanpa izin suaminya, jika ia terus melakukannya itu hanya akan mendapatkan lapar dan dahaga dan tidak diterima puasanya itu, dan tidak boleh keluar rumah tanpa izin suaminya, jika ia tetap keluar maka malaikat langit dan malaikat rahmat serta malaikat azab akan mengutuknya sampai ia pulang."
(Riwayat Thabrani)
Kecemburuan seorang suami terhadap isteri merupakan fitrah yang dituntut oleh agama, kerana jika suami tidak cemburu dengan kemungkaran dan kesalahan yang dilakukan oleh isteri maka suami akan tergolong dayus ( golongan yang dilaknat Allah dan diharamkan syurga keatas mereka ). Ada juga sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Kecemburuan itu termasuk sebahagian dari iman, midzak ( membenarkan lelaki lain ke dalam rumah [ juga rumahtangga ] kemudian dibiarkan bersama isterinya ) itu termasuk sifat munafiq." (Riwayat Bazar dan Baihaqi)
Jika ini yang terjadi maka kesannya adalah sangat jauh sehingga boleh meruntuhkan institusi rumahtangga yang anda bina. Pembohongan seperti di atas merupakan benih-benih kehancuran rumahtangga yang anda ciptakan sendiri, itulah sebabnya dizaman moden ini banyak rumahtangga yang musnah lantaran isteri ataupun suami tidak memahami akan peranannya masing-masing terutama ditinjau dari sudut agama.
Segeralah bertaubat dengan cara memohon maaf kepada suami dengan kesalahan dan pembohongan yang pernah dilakukan selama ini. Hanya dengan cara demikian, insya Allah institusi rumahtangga anda akan selamat. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


37. Berpura-pura di Depan Suami
Soalan:
Apakah hukumnya berpura-pura suka melakukan sesuatu perkara itu dihadapan suami sedangkan kita tidak menyukainya untuk menjaga/menyenangkan hati suami sahaja sedangkan dibelakangnya kita tidak melakukan perkara tersebut (perkara tersebut bukanlah sesuatu yang buruk)?
Ezarrin, KL
Jawapan:
Rumahtangga bahagia sebenarnya terletak pada isteri yang solehah. Isteri jika melakukan pekerjaan untuk suaminya dengan rasa ikhlas memperoleh ganjaran yang besar daripada Allah SWT. Firman Allah SWT maksudnya: "Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka... "
(An Nisaa' ayat 34 )
Jika kepura-puraan itu bukan perkara yang buruk, tidak bertentangan dengan syariat demi menyenangkan hati suami, maka hukumnya harus atau boleh. Umpamanya dalam menikmati suatu makanan yang disenangi oleh suami sedangkan isteri tidak suka dengan makanan tersebut, maka untuk menyenangkan hati suami, si isteri menunjukkan sikap bahawa ia juga suka pada makanan tersebut walaupun pada hakikatnya ia tidak menyukainya. Sikap seperti ini dipuji kerana bertujuan membahagiakan hati suaminya. Namun dari segi psikologi kita perlu juga berterus terang kepada suami tentang perkara yang tidak kita sukai agar suami dapat memahami tentang diri isteri secara lebih mendalam.
Dalam perkara yang bersifat asas seperti keperluan suami terhadap layanan, baik dalam kasih sayang mahupun hubungan jimak, maka isteri wajib memenuhinya dengan rasa ikhlas dan senang hati bukan dengan sifat berpura-pura. Jika siafat berpura-pura ini terjadi maka isteri telah berdosa terhadap suaminya. Isteri harus patuh dan setia terhadap suami yang soleh dan bersedia mengikuti segala perintahnya. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Jika diizinkan seorang manusia sujud kepada manusia, tentu aku suruh wanita-wanita sujud kepada suaminya, lantaran begitu besar Allah jadikan hak lelaki atas wanita". (Riwayat Abu Daud)
Jadi hindarilah sifat suka berpura-pura di depan suami jika ingin memperoleh pahala daripada Allah SWT. Jika perkara yang disukai suami itu tidak bertentangan dengan agama, mengapa pula si isteri harus berpura-pura suka melakukannya di depan suami kemudian meninggalkannya jika suami tidak ada. Sifat seperti ini menunjukkan benih kebohongan yang boleh melukakan hati suami dan dapat meruntuhkan kebahagiaan rumahtangga.  
Kembali ke atas ↑


38. Suami Menghina Isteri
Soalan:
Saya selalu menunjukkan muka masam pada suami saya. Ini disebabkan oleh sikap suami saya yang selalu memenangkan apa saja kata-kata mahupun perbuatan kawan-kawan pejabatnya sama ada lelaki mahupun perempuan. Bila saya menegurnya, kerana perbuatannya dengan kawan perempuannya itu boleh menjatuhkan maruah saya sebagai isterinya, dia kata saya ni terlalu emosional dan selalu berfikiran negatif. Katanya kawan-kawan di pejabatnya itu dah macam adik-beradik.
Suami saya suka menghina saya, dengan kata-kata seperti bodoh, buta, pekak, tak berguna, kurang ajar, hati busuk, jahat. Disebabkan perkara kecil saja, dia akan marah saya dengan kata-kata tersebut. Kadang-kadang saya cuba mencari kesilapan apa yang saya telah buat sehingga membuatkan dia sanggup mengatakan saya tak berguna. Sehingga sekarang saya rasakan tak boleh berkata apa-apa walaupun dia telah melakukan kesilapan, kerana takut perkara-perkara yang tersebut diatas akan terkeluar dari mulutnya, tetapi hati saya ini semakin lama semakin sakit, sehinggakan kadang-kadang saya merasakan memang saya ni tak berguna pada nya dan rasa mahu pergi jauh darinya.?
Hamba Allah, KL
Jawapan:
Suatu perkara yang tidak harmoni dalam rumahtangga jika seorang suami menghina dan mencaci maki isteri yang mendampinginya selama ini. Bukan sekadar itu sahaja bahkan segala layanan dan keperluan batiniah juga dinikmati secara bersama, namun terjadi juga dalam masa yang sama penghinaan dan cacian terhadap isterinya. Untuk menghadapi suami yang seperti ini, seorang isteri harus melihat latarbelakang kehidupan suami, baik dalam keluarganya mahupun keadaan di tempat kerja. Dua faktor ini sangat besar pengaruhnya dalam membentuk keperibadian dan watak seseorang, terutama suami anda.
Di dalam berbicara dan menyampaikan sesuatu nasihat terhadap seseorang pun mempunyai seni dan caranya tersendiri. Setiap orang di dunia ini mempunyai reaksi yang berbeda ketika mendengar teguran dan nasihat daripada orang lain. Setengahnya ada yang dengan senang hati mahu menerima segala teguran dari kesilapan yang dilakukannya, tidak kiralah yang menegurnya itu orang yang lebih kecil daripadanya. Namun ada juga orang yang paling tidak suka jika orang lain cuba memberikan nasihat kepadanya, ini mungkin disebabkan kerana ia terlalu sayang terhadap dirinya sendiri sehingga merasakan bahawa teguran dan nasihat orang lain itu seakan-akan menggores ego dan sifat keakuannya.
Jika anda memiliki suami yang mempunyai sifat yang kedua ini, berusahalah mencari ruang dan saat yang sesuai untuk memberikan sumbangan fikiran atau yang serupa dengan itu. Jangan menegur secara langsung atas kesilapan yang ia lakukan, kerana teguran secara langsung itu menyebabkan ia merasa bahawa harga dirinya telah dipijak-pijak oleh isterinya. Kerana lelaki yang ego ini biasanya tidak mudah menerima teguran daripada orang lain apatah lagi teguran itu datang daripada isterinya sendiri.
Disamping itu berdoalah kepada Allah SWT setiap kali selesai  mengerjakan solat fardhu agar sikap anda dan suami anda berubah dalam menerima kenyataan kehidupan berumahtangga. Percayalah bahawa setiap diri seseorang itu memiliki madu dan racunnya. Ertinya seseorang itu memiliki kelebihan dan kekurangannya. Mungkin anda juga memiliki kekurangan disamping banyak kelebihan-kelebihan yang lain, begitu juga suami anda memiliki kekurangan dan kelebihannya. Oleh sebab itu terimalah madu dan racun atau kekurangan dan kelebihan yang ada pada pasangan anda agar anda dapat memahami makna kehidupan berkeluarga. Jika kita dapat memahami perkara asas ini, insya Allah segala bencana dalam rumahtangga dapat kita hindarkan. Wallahu a'lam.
Kembali ke atas ↑


39. Tanggungjawab Suami Dalam Memenuhi Nafkah
Soalan:
Suami saya tidak pernah memberi nafkah zahir pada saya selama hampir lima tahun perkahwinan kami ini. Apabila saya minta, dia kata dia dah bagi saya makan tu dah cukup. Saya katakan itu memang dah menjadi tanggungjawabnya lagi pun kami makan bersama pada hari minggu sahaja. Dia akan berkata, habis tu duit gaji awak nak simpan, habiskan duit abang. Disebabkan tak mahu bergaduh saya pun redakan saja, tetapi bila hati saya sakit atas apa-apa perbuatannya, saya akan mengungkit balik tentang nafkah itu.
Isteri, KL
Jawapan:
Memang menjadi tanggungjawab seorang suami memenuhi nafkah isterinya, tidak kiralah apakah isteri mempunyai sumber pendapatan yang lain sebagai tambahan. Namun begitu ajaran Islam menuntut agar suami isteri bekerjasama dan saling memahami akan keadaan rumahtangga yang mereka bina sendiri. Kalau kita lihat bagaimana keadaan Siti Khadijah ketika menikah dengan baginda Rasulullah SAW, beliau merupakan orang yang paling terkaya di kota Makkah ketika itu, tapi kenyataannya segala harta bendanya yang melimpah ruah itu Siti Khadijah pergunakan untuk Islam. Ia redha suaminya Rasulullah SAW menggunakan segala hartanya tanpa menyebut-nyebutnya.
Alangkah baiknya seorang isteri merasa redha dengan pengorbanan yang diberikan terhadap suami dan keluarganya, kerana dengan perasaaan redha dan ikhlas itu akan menenangkan hati dan perasaan sendiri. Janganlah meminta sesuatu diluar kemampuan suami, barangkali banyak perkara yang difikirkan demi kepentingan keluarga anda sendiri untuk masa akan datang. Begitu besar pahala yang Allah balaskan terhadap isteri yang ikhlas membantu suami, sekaligus memberikan kedamaian dalam hati dan jiwa isteri itu sendiri.
Jika kita tidak redha dan ikhlas segala sumbangan dan bantuan yang kita ulurkan dalam keluarga sendiri disamping tidak memperoleh pahala di sisi Allah juga akan menimbulkan kekacauan dalam rumahtangga. Oleh sebab itu binalah sikap persefahaman yang jitu serta hargai pengorbanan seorang suami disamping berusaha memberikan motivasi dan mengingatnya jika terlanjur melakukan kesilapan.
Kembali ke atas ↑


40. Keluarga dalam Dilema
Soalan:
Saya ada kemusykilan yang agak memeningkan kepala saya dan juga berat rasanya apa yang saya tanggung ini. Saya telah pun mendirikan rumahtangga selama dua tahun. Sejak lima bulan kebelakangan ini rumahtangga saya mengalami masalah kewangan yang agak teruk, masalah seksual yg kurang memuaskan dan juga mertua saya yang agak kurang saya minati perangai mereka. Dalam masa yang sama juga saya telah berkenalan dengan seorang pemuda yang agak muda dari saya. Kami berkenalan melalui internet.
Sejak berkenalan kami cuma berhubung melalui talipon saja sehinggalah setelah dua bulan berkenalan saya bercadang hendak berjumpa dengannya. Lama kelamaan, saya terpaksa memberitahunya bahawa saya ni sudah berkahwin dan mempunyai anak satu. Saya ingat perhubungan ini akan putus, walau pun hati saya sudah terpaut padanya. Saya pun tidak sangka yang pemuda tersebut semakin suka akan saya dan memahami akan kedudukan saya dan juga masalah saya.
Dia seorang pelajar di salah satu universiti di utara. Demi tuhan saya tidak pernah menduga akan begini jadinya kehidupan saya. Suami saya memang marah sangat dengan saya sehinggakan boleh dikatakan kami selalu bergaduh. Kami bertengkar bukan perkara ini sahaja malahan saya selalu tidak berpuas hati dengan sikap suami yang terlalu bergantung hidup dengan ibubapanya apabila kami kekurangan wang. Gaji saya pun boleh dikatakan tiga suku habis untuk membayar segala keperluan dan juga benda-benda yang lain. Dia hanya membayar rumah sewa dan juga kereta. Itupun setengah harga kereta saya bayar.
Tentang duit ni saya rasa berat sangat sebab tiap-tiap bulan asyik benda yang sama. Nak buat simpan pun susah. Bila saya suruh dia cari kerja part-time buat indah tak indah saja. Bila saya naik angin barulah nak cari surat khabar. Tentang pemuda tadi, perhubungan kami semakin erat. Dia bukan ingin megambil saya sebagai isteri kerana saya ada masalah, tapi kerana dia menyayangi saya dan begitu juga saya.
Sehinggakan pada satu hari saya bertengkar dengan suami, dia telah menampar saya di khalayak ramai dan mengatakan saya ni sundal. Oleh sebab itu saya menjadi begitu sedih, dan memgambil keputusan untuk balik kerumah ibu saya. Saya memberitahu kepadanya yang saya ingin balik ke rumah ibu saya, dia membenarkannya walau pun dia sendiri tidak ikhlas melepaskan saya. Sepanjang saya duduk di rumah ibu saya, bermacam-macam perkara yang telah dilakukan suami saya saya termasuk ke Jawi, memaki hamun pemuda tersebut dan juga mengganggu keluarga pemuda tersebut. Pemuda tersebut ingin menikahi saya sebaik saja dia habiskan pengajiannya di universiti.
Ibubapa pemuda tersebut melarang akan perhubungan kami. Kerana ternyata saya masih isteri orang. Saya ingin bercerai dengan suami saya, kerana tidak ingin berterusan menderhaka dan juga berdosa sepanjang hari begini, tetapi suami saya enggan melepaskan saya. Saya tak tau apa harus saya lakukan. Sedangkan hati saya tidak ada lagi padanya. Kadang-kadang terasa juga kasihan padanya dan keliru dengan perangainya yang kadang-kadang marah kadangkala ok. Tapi terlalu banyak perkara yang telah saya lakukan di belakangnya membuatkan saya tidak sanggup untuk berpatah balik melainkan meneruskan hidup saya sekarang. Saya betul-betul sayangkan pemuda ini dan sanggup untuk menunggunya.
Apakah tindakan yang harus saya lakukan? Dan sampai bila suami saya ingin menyimpan sayasedangkan kami duduk berjauhan begini? Saya benar-benar ingin kan pertolongan dalam hal ini. Wajar ke saya meminta cerai kepadasuami saya. Kalau hendak di cerita kan benda yang lain-lain memang banyak tapi cukuplah dengan perkara yang penting ni saja. Saya tidak mengatakan suami saya tidak baik cuma saya sudah rasa tawar hati akan segala perkara yangterjadi.?
Hamba Allah, KL
Jawapan:
Isteri yang solehah adalah isteri yang tunduk dan patuh kepada Allah dan kepada suaminya. Bahkan dalam sebuah hadis ada disebutkan begitu besar tanggungjawab isteri terhadap suami, Rasulullah pernah bersabda jika Allah mengizinkan seseorang menyembah orang lain, maka akan saya suruh seorang isteri menyembah suaminya. Dalam hadis yang lain juga disebutkan seorang isteri tidak akan dapat mencium bau syurga jika ia meminta cerai kepada suaminya tanpa alasan yang jelas mengikut syarak.
Jika permohonan cerai itu lantaran perkara yang bukan asas (seperti persoalan harta dan perkara duniawi) yang boleh diselesaikan dengan perbincangan dan keredhaan hati maka permohonan isteri semacam ini mendapat kutukan daripada Allah. Apatah lagi permintaan cerai itu lantaran telah menemui lelaki lain sebagai idaman hati, sudah jelas isteri seperti ini tergolong isteri yang curang dan akan mendapat kutukan daripada Allah, dan menjadi lebih sengsara di akhirat nanti jika suaminya tidak memaafkan atas kesalahan yang dilakukannya itu.
Bayangkan saja betapa banyak harta Siti Khadijah isteri Rasulullah SAW digunakan baginda untuk perjuangan dalam Islam, namun walaupun harta jutawan Makkah ini habis digunakan, ia tetap redha dengan usaha suaminya itu. Mengapa hanya perkara kecil yang memang pasti dihadapi oleh setiap keluarga, tidak mampu dihadapi malah dipertikaikan? Mengapa terlalu rapuh institusi rumahtangga umat Islam ketika ini?.
Jika persoalan atau krisis rumahtangga yang sedikit dan sederhana ini tidak dapat diselesaikan dengan hati yang terbuka, maka perkara yang sama akan mudah terjadi dan menimpa anda walaupun setelah mendirikan dan membina perkahwinan yang baru, kecualilah jika seseorang itu benar-benar bertaubat dari kesilapan masa silamnya, maka insya Allah, akan diberikan jalan kemudahan terhadapnya oleh Allah SWT.
Permohonan cerai seorang isteri terhadap suaminya tanpa alasan yang benar menurut syarak maka ia tergolong dalam kategori isteri yang berdosa dan bahkan dijelaskan oleh Rasulullah SAW sebagai seorang isteri yang tidak dapat mencium bau syurga (tidak dapat masuk syurga). Mengenai perkara yang sedang puan hadapi, fikirkanlah secara matang dan waras, pertimbangkan segala sesuatu itu menurut ukuran Islam dan jangan menurut perasaan dan hawa nafsu semata, kerana keputusan yang keliru dilakukan ketika ini akan membinasakan kita, keluarga kita dan anak kita yang masih kecil, dikemudian hari nanti.  Berdoalah serta lakukanlah solat istikharah agar ketika membuat keputusan bukan didorong oleh perasaan semata tapi ditentukan oleh Allah SWT. Wallahu a'lam.
Kembali ke atas ↑


41. Isteri Membuka Aib Keluarga Sendiri
Soalan:
Di sini saya ada persoalan, mengenai abang saya yang telah berkahwin dan mempunyai anak seorang. Masalahnya ialah mengenai isterinya yang suka bercerita mengenai rumahtangganya (tentang hutang piutang kesusahan suaminya sebelum berkahwin dengannya dan sebagainya kepada orang luar (jiran) dan sesiapa yang bercakap dengannya.

Ini saya perhatikan apabila emak (mak mentua kakak ipar) mengadakan kenduri sesiapa saja dia akan bercerita mengenai rumahtangganya. Adakah berdosa perkara itu yang mana ianya boleh mendatangkan malu pada suaminya (abang saya). Adakah ayat-ayat yang boleh abang saya baca untuk isterinya, (walaupun telah banyak kali abang dan mak menasihatinya)?
Sue, Mersing
Jawapan:
Isteri yang solehah adalah isteri yang tunduk dan patuh dengan perintah Allah SWT kemudian melaksanakan segala perintah suami selagi perintah tersebut tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Seorang isteri yang baik tidak memburuk-burukkan suaminya hanya dikeranakan keadaan ekonomi suaminya tidak memenuhi hawa nafsunya. Sebaiknya jika isteri mempunyai kelebihan dalam hal harta benda hendaklah si isteri membantu beban suaminya, agar Allah SWT memudahkan kehidupannya di dunia dan di akhirat. Jika isteri membesar-besarkan hal ehwal keluarganya kepada orang lain, maka isteri telah melakukan perbuatan dosa terhadap suami dan terhadap perintah Allah SWT.
Keperibadian seorang isteri solehah diantaranya memiliki budi pekerti yang murni, membina sifat persefahaman, memiliki jiwa pengorbanan, tabah dalam menghadapi cabaran dan memiliki sifat penuh pengertian. Begitu besar ketabahan yang ditunjukkan oleh Siti Rahmah isteri Nabi Ayyub as. Walaupun harus menjaga suami dalam menghadapi penyakit yang paling dahsyatpun Siti Rahmah tetap tabah dalam menjaga suaminya. Begitu juga betapa besar pengorbanan Siti Hajar dalam menjaga anaknya di lembah Makkah yang tandus, demi memenuhi perintah Allah dan suaminya Nabi Ibrahim. Semuanya merupakan suri teladan yang ditunjukkan kepada umat manusia di zaman sekarang.
Jika sekadar kesusahan di bidang ekonomi menjadi ukuran kepada isteri untuk mengungkit-ungkit atau menyebut-nyebutnya kepada orang lain, maka isteri telah menabur benih fitnah dalam rumahtangganya sendiri. Dalam menghadapi perkara ini seorang suami hendaklah berusaha menasihatinya dengan cara yang baik atau hikmah, jika isteri tidak mahu menjalankan nasihat tersebut carilah pihak ketiga yang boleh memberi nasihat dan merubah hati isteri seperti orang tua, ulama dan sebagainya. Suami hendaklah membekalkan dirinya dengan ilmu agama agar segala sesuatu nasihat yang ia ungkapkan memiliki dasar yang kukuh dan dapat difahami oleh pihak isteri.
Suami berusaha mengajak isteri untuk melaksanakan perintah agama umpamanya melaksanakan solat berjemaah, mendengar ceramah agama, membaca buku-buku agama berkaitan dengan tanggungjawab seorang suami dan isteri. Berdoalah bersama-sama agar segala perangai atau keperibadian yang buruk terhindar dari diri isteri mahupun suami. Sesetengah buku ada menjelaskan tentang amalan Asma'ul Husna dengan menyebut nama Allah Al Wadud (Maha Pencipta) sebanyak seribu kali setiap hari dan niatkanlah agar isteri tersimpan di sanubarinya rasa kasih dan sayang kepada suaminya.
Perkara yang paling asas adalah ibadah suami setiap hari agar melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Bermunajatlah kepada-Nya dan isilah jiwa dengan mengingat Allah secara ikhlas, insya Allah, rumahtangga akan menjadi aman dan damai.
Kembali ke atas ↑


42. Suami Menyeksa Isteri
Soalan:

Masalah ini merupakan masalah adik saya (wanita). Apakah kedudukan perkahwinan sebuah keluarga itu jika si Suami sering mengeluarkan kata-kata yang bermaksud untuk menceraikan isterinya. Pernah si Suami meminta si Isteri menandatangani surat untuk bercerai (jika si Isteri menandatangani surat itu seolah-olah si Isteri yang menuntut cerai).
Pernah juga si Suami semasa perbincangan dengan Isterinya menyarankan supaya mereka berpisah sahaja, tetapi tidak secara terang melafazkan perkataan cerai. Si Suami tidak mahu melafazkan perkataan cerai secara terang kerana ia mahu isterinya sendiri yang menuntut cerai. Si Suami tahu jika si Isteri yang menuntut cerai, si Isteri tidak mempunyai hak untuk menuntut sebarang tuntutan samada harta atau pun hak penjagaan anak (lelaki berusia 6 tahun).
Si Suami juga pernah memukul isterinya di kaki dan mengacukan penumbuk ke muka isterinya. Si Suami juga telah mebuat tuduhan-tuduhan yang melulu seperti isterinya mempunyai teman lelaki dan pelacur. Kesemua ini adalah untuk medera mental isterinya dengan harapan ia menuntut cerai. Apa yang perlu dilakukan oleh si Isteri dalam keadaan ini?
Hamba Allah, KK
Jawapan:
Perkahwinan pada asasnya ingin menyatukan dua insan ke dalam satu institusi rumahtangga agar menjadi harmoni dan diredhai Ilahi. Cita-cita yang murni ini merupakan impian setiap insan yang ingin membina keluarga bahagia, namun tidak semua perkahwinan dapat menikmati hakikat kedamaian berkeluarga, kadangkala suami dan isteri menghadapi berbagai cubaan dan rintangan. Seandainya menghadapi masalah berusahalah untuk menyelesaikannya dengan cara berbincang atau bermusyuarat, jika cara ini tidak berhasil gunakan pihak ketiga yang bertanggungjawab untuk menyatukan keretakan yang timbul, jika inipun tidak berhasil maka tentukanlah menurut pertimbangan yang dibolehkan oleh syarak.
Jika seorang suami tidak menjalankan kewajipannya sesuai dengan tuntutan syarak bahkan menuntut agar isteri menurunkan tanda tangan untuk mengelabui bahawa perceraian tersebut bukan dari kehendak suami tetapi dengan memaksa isteri melapazkannya, ini telah membuktikan bahawa suami tersebut bersifat dayus dan tidak bertanggungjawab. Usaha suami agar isteri meminta cerai ini menggambarkan sifat suami yang lebih mementingkan harta kebendaan daripada keharmonian rumahtangga, jika ini benar-benar wujud dalam sesebuah rumahtangga maka adalah lebih baik isteri meminta cerai.
Menjadi perkara yang sangat aib dan sukar untuk membina rumahtangga yang harmoni jika suami telah menuduh isterinya membuat curang (pelacur) bahkan di dalam Islam jika suami tidak dapat membuktikan empat orang saksi adil, maka suami yang menuduh tadi berhak menerima hukuman (dera 80 kali). Jika memang benar-benar terjadi penganiayaan seperti yang diungkapkan maka lebih baik isteri merujuk kepada pihak yang bertanggungjawab masalah nikah dan cerai seperti jabatan agama ataupun kadi.
Jelaskan kepada pihak jabatan agama Islam atau kadi akan tindakan suami yang menginginkan perceraian itu dengan cara memaksa isteri melapaskannya dengan tujuan ingin mengambil hak penjagaan anak dan harta. Keterangan dan penjelasan ini tentu akan diambil kira jika pihak isteri terpaksa menuntut perceraian kerana dipaksa atau dianiaya kelak. Sesungguhnya isteri berhak meminta cerai bahkan dianggap lebih baik jika suami melakukan kezaliman atau tidak bertanggungawab menurut syarak.
Kembali ke atas ↑


43. Mengelak Kehamilan Setelah Berjimak
Soalan:
Saya telah ditanyai dengan persoalan apakah hukumnya seorang wanita yang meminum minuman bergas yang dicampur dengan panadol untuk mengelakkan kehamilan setelah melakukan perhubungan dengan suaminya?
'Izzah, Gombak
Jawapan:
Berbagai kaedah telah ditemui oleh para ahli tentang cara menjarak kehamilan, atau mengatur kehamilan. Bahkan para ulama juga telah menyetujui diantara kaedah-kaedah dan penemuan moden tentang pengaturan jarak kehamilan tersebut. Jika usaha menghindarkan kehamilan yang puan lakukan kerana demi menjaga kemaslahatan kesihatan anda ataupun untuk menjaga kesihatan bayi yang masih kecil, maka usaha tersebut tidaklah berdosa. Tapi jika menghindarkan kehamilan lantaran takut miskin dan ingin sentiasa nampak cantik dan ramping maka pekerjaan ini tidak termasuk sunnah Rasulullah SAW.
Setelah melakukan jimak kedudukan sperma dalam rahim belum berbentuk apa-apa, ertinya bulum terjadi pembentukan organ janin, jadi jika kita meminum ramuan tersebut menyebabkan sperma itu tidak berfungsi tidaklah bererti kita telah membunuh janin, kerana ketika itu ia belum terbentuk kehidupan.
Kembali ke atas ↑


44. Menonton Blue Film Bersama Suami
Soalan:
Saya mempunyai seorang sahabat karib yang telah berkahwin selama 5 tahun. Sayangnya beliau masih belum mempunya anak. Beliau dan suaminya gemar menonton 'Blue film'.
Masalah yang dihadapi oleh sahabat saya ialah :
1) Beliau suka memuaskan diri sendiri sambil menonton tayangan tersebut tetapi tidak menggunakan apa-apa alatan.
2) Beliau merasa apabila berdoa, doanya seakan tidak dimakbulkan tuhan.
3) Beliau cuba untuk tidak melakukan perbuatan tersebut tetapi tidak dapat melawan nafsu.
4) Hukum menonton "blue film" bersama suaminya.
Diharap Ustaz dapat membantu sahabat saya didalam masalahnya.
Rohaida, Kuantan
Jawapan:
Menonton blue film hukumnya haram, kerana kita melihat secara jelas bentuk tubuh orang lain bahkan melihat mereka sedang melakukan jimak. Melihat aurat orang lain dapat menumpulkan fikiran dan mengeraskan hati. Jika perbuatan ini sering dilakukan maka dikhuatirkan mempercepat seseorang itu menjadi nyanyok atau pikun. Pernah suatu ketika Imam Syafie membaca ayat Quran namun sampai pada suatu ayat ia terlupa akan sambungannya. Beliaupun memperbanyak istighfar. Melihat keadaan beliau yang demikian sahabatnya pun bertanya.
Maka Imam Syafie pun menerangkan bahawa ingantan atau hafalannya terganggu lantaran ia terlihat tumit wanita yang kebetulan terkoyak sarung kakinya sebesar ibu jari. Jika melihat aurat wanita sebesar ibu jari dapat melemahkan daya ingatan dan daya hafalan, tentu akan lebih besar kesannya jika dengan sengaja melihat aurat orang lain secara telanjang bulat seperti dalam blue film.
Jika anda suami isteri terus melakukan pekerjaan yang buruk ini, maka pertama sekali nikmat yang akan hilang daripada kehidupan anda adalah hilangnya kenikmatan hubungan jimak dan kemesraan antara suami isteri. Sebab anda lebih senang bermain dengan khayalan seperti yang anda lihat dalam blue film. Untuk jangka panjang boleh menghilang ghairah seks bagi wanita dan melemahkan kemampuan syahwat bagi lelaki. Sebelum perkara buruk ini menghantui minda anda suami isteri dan menjadi penyebab malapetaka yangpaling besar dalam kehidupan berumahtangga, maka hindarkanlah pekerjaan yang dilarang oleh agama ini.
Langkah untuk menghindari perbuatan buruk ini, buanglah vcd blue film yang anda miliki. Kekanglah nafsu anda daripada memiliki vcd blue film tersebut jika anda benar-benar ingin berubah dari melakukan pekerjaan yang sia-sia ini. Percayalah jika kita sentiasa melakukan perbuatan yang tercela ini, maka Allah akan menutup pintu hati kita dan akhirnya doa kitapun tidak akan bererti apa-apa dan tidak diperkenankan oleh Allah SWT.
Kembali ke atas ↑


45. Petua Berjimak Mengikut Syarak
Soalan:
Saya baru berkahwin 1 bulan yang lepas. Saya ingin tahu apakah cara-cara yang yang terbaik, perkara yang dituntut dan perkara yang dilarang dalam melakukan persetubuhan dengan isteri?
Azri, Klang
Jawapan:
Walaupun  wanita itu halal bagi lelaki dengan melalui pernikahan akan tetapi bukanlah bererti suami boleh berbuat sekehendak hatinya terhadap isterinya. Kesopanan, kehalusan budi dan menjalankan kewajipan-kewajipan sangatlah dituntut. Di dalam berjimak ada beberapa larangan yang telah ditentukan oleh syarak dan mendapat hukuman tercela bagi yang melakukannya.
1. Islam melarang bagi pasangan suami isteri membuka rahsia atau menceritakan hubungan seks mereka kepada orang lain. Dalam sebuah hadith diterangkan bagi lelaki yang menceritakan adegan jimak mereka kepada orang lain tergolong seburuk-buruk manusia di sisi Allah.
2. Islam melarang dan mengharamkan bagi suami yang menjimak isterinya melalui lubang duburnya. Dalam sebuah hadith diterangkan "terkutuk dan terlaknat siapa yang mendatangi isterinya dari lubang duburnya".
3. Islam melarang bersetubuh dengan isteri yang dalam keadaan haid dan nifas.
Diantara ada-adab jimak yang dianjurkan antara lain:
1. Dalam melakukan jimak niatkan dalam hati untuk memenuhi kewajipan daripada Allah serta mengikuti sunnah Rasulullah SAW bukan semata-mata memuaskan hawa nafsu.
2. Sebelum bersetubuh membaca doa.
3. Waktu bersetubuh dilakukan dengan hati yang gembira, tidak dalam keadaan terlalu lapar atau terlalu kenyang sebab akan mengurangi nikmat persetubuhan.
4. Memakai haruman-haruman dan pakaian yang bersih.
5. Suami tetap berusaha untuk mencapai kepuasan secara bersama jangan hanya mementingkan diri sendiri. sebaiknya tunggu isteri mencapai klimaks terlebih dahulu.
6. Dianjurkan berwuduk sebelum berjimak.
7. Dianjurkan juga setelah bersetubuh, suami mahupun isteri mencuci kemaluannya dengan bersih.
8. dan sebagainya.
Kembali ke atas ↑


46,. Onani dengan Tangan Isteri
Soalan:
Apakah hukumnya suami mengeluarkan air mani suami dengan menggunakan tangan isteri?
Azman, Kulim
Jawapan:
Isteri kamu bagaikan kebun dan ladang milikmu yang boleh digunakan menurut kehendakmu sendiri asalkan tidak menyalahi hukum syarak seperti mengadakan hubungan melalui dubur (liwat). Jika isteri dalam keadaan tidak boleh dijimak seperti dalam keadaan haid atau nifas maka suami bolehlah melepaskan berahi seks dengan memohon bantuan isteri seperti menggunakan tangan dan sebagainya demi terhindarnya fitnah dan perkara yang lebih buruk seperti berbuat zina dan sebagainya.
Kembali ke atas ↑


47. Menasihati Suami Suka Meninggalkan Solat Fardhu
Soalan:
Bagaimanakah cara menasihati suami yang sukar(meringankan) mengerjakan ibadah sembahyang fardhu?
Fatimah, Seri Iskandar
Jawapan:
Suami isteri yang diredhai adalah yang sentiasa saling mengingat antara satu dengan yang lainnya. Seharusnya suamilah yang bertanggungjawab menjaga akhlak dan agama isteri. Namun jika suami yang mengabaikan solat fardhu maka sangat besarlah dosa yang mesti ditanggungnya kerana ia tidak mampu membina dirinya sendiri dalam mematuhi perintah Allah SWT. Jika demikian maka sangat sukarlah baginya untuk membina keluarganya menuju kebahagiaan hidup berumahtangga.
Seandainya isteri memiliki keimanan yang kuat sehingga tidak terpengaruh dengan kelalaian suaminya dalam melaksanakan ibadah solat, maka isteri memiliki akhlak yang terpuji. Berusahalah menasihat suami dengan secara tidak langsung, umpamanya isteri terus mengerjakan solat walaupun suami tidak mahu mengerjakannya, semoga dengan fenomena itu dapat merubah mindanya dan merasa malu, akhirnya ia akan mengerjakan solat. Disamping itu mintalah pihak ketiga untuk menasihati suami, terutamanya ahli keluarganya sendiri ataupun ibu bapanya dan orang lain yang berpengaruh terhadap suami anda. Terakhir, berdoalah kepada Allah agar suami anda mendapat hidayah dalam mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.
Kembali ke atas ↑


48. Memenuhi Nafsu Syahwat yang Tinggi
Soalan:
1.Ustaz saya sudah berkahwin...tapi keinginan sex saya amat tinggi sehinggakan jika saya melihat wanita cantik akan naiklah syahwat saya,dan untuk itu saya mengambil keputusan untuk kahwin seorang lagi. Bagaimana saya boleh membendung nafsu saya? Dan apakah keputusan untuk kahwin lagi itu baik untuk saya?
Insan, Penang
Jawapan:
Di dalam Islam membolehkan seseorang lelaki berkahwin hingga empat orang (poligami) jika seseorang itu berkemampuan dari segi jasmani mahupun rohani. Adalah lebih baik seseorang itu kahwin lagi jika gejolak nafsu syahwatnya terlalu tinggi sehingga tidak memadai dengan seorang isteri asalkan tujuan perkahwinannya itu bukan sekadar untuk memenuhi nafsu syahwat semata sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami. Jika ia mengabaikan tanggungjawabnya maka hukumnya berdosa dan lebih baik baginya memperbanyak puasa.
Kembali ke atas ↑


49. Mencegah Kehamilan
Soalan:

Apakah hukum seseorang wanita menggunakan 'IUCD' (sejenis alat yang dimasukkan ke dalam sistem peranakan wanita bagi mencegah kehamilan) diatas sebab-sebab kesihatan yang memerlukan jarak kehamilan dilakukan dan apabila wanita itu meninggal dunia. Adakah alat tersebut wajib dikeluarkan dari tubuh badan beliau?
Aniza, Bukit Kayu Hitam
Jawapan:
Pemandulan ialah satu cara untuk mencegah kehamilan kepada perempuan selama-lamanya atau sementara waktu. Jika untuk selama-lamanya tidak ada perselisihan di kalangan ulamak dari segi pengharmannya, kerana ia menghapuskan keturunan yang diperintahkan oleh syarak menjaganya ataupun memperbanyakkannya. Menurut Ibnu Hajar, "haram menggunakan sesuatu yang boleh menghapuskan kandungan selama-lamanya sebagaimana yang ditegaskan oleh kebanyakan ulamak, inilah yang zahirnya".
Pemandulan selama-lamanya berlaku dengan cara memotong saluran mani dan mengikatnya bagi lelaki dan dengan cara membuang saluran telur dan rahim atau memotong dua saluran falopian dan mengikatnya bagi perempuan. Sedangkan pemandulan sementara pula hukumnya adalah harus atau boleh kerana dikiaskan dengan 'azal (maksudnya suami memancarkan maninya di luar rahim isterinya untuk mengelakkan dari mengandung).
Al Bujairimi menjelaskan "Adapun melambatkan atau menjarakkan kehamilan buat sementara waktu dengan tidak menghentikannya sama sekali maka hukumnya tidaklah haram, menurut pendapat yang zahir, malah jika dengan sebab sesuatu keuzuran seperti faktor kesihata, untuk mendidik anak tidaklah makruh hukumnya melewatkan masa mengandung. Jika tidak ada alasan yang kuat maka hukumnya makruh".
Jadi jika usaha yang anda lakukan untuk menjarakkan kelahiran anak hanya bersifat sementara waktu dan dilakukan dengan sebab-sebab keuzuran atau faktir kesihatan dan lain-lain yang dapat dierima dari segi syarak, maka dibolehkan menjarakkan kehamilan. Seandainya dalam masa memakai alat menjarangkan kehamilan itu wanita tersebut meninggal dunia, maka tidak perlulah menyakiti si mayat dengan bersusah payah mengeluarkan sesuatu yang hukumnya harus atau boleh. Dengan memegang syarat bahawa tujuan pemasangan alat tersebut hanya bersifat sementara bukan sebaliknya dengan tujuan untuk selama-lamanya yang menyebabkan pemakaian alat tersebut menjadi haram.
Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


50. Jimak 4 x dan Mandi Wajib 1 x
Soalan:
Adakah setiap kali keluar mani kita wajib mandi? Misalnya 4 kali keluar air mani, adakah wajib 4 kali mandi wajib? Jika saya hanya melakukan sekali sahaja adakah saya masih didalam hadas besar?
Sebelum ini saya tidak tahu yang ianya wajib, adakah saya berdosa besar?
Azwan, Klang
Jawapan:
Bagi suami isteri yang telah melakukan jimak maka hendaklah ia melakukan mandi wajib. Jika dalam melaksanakan jimak tersebut keluar mani beberapa kali, maka cukuplah mandi wajib itu sekali saja setelah proses keseluruhan jimak itu berakhir. Namun setelah berjimak kemudian mandi wajib setelah itu melakukan jimak (atau keluar mani lagi) maka hendaklah mengulangi mandi wajib.
Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa Abdullah bin Qais bertanya kepada Aisyah ra. "Bagaimana perbuatan Rasulullah SAW dalam mandi janabah, apakah baginda mandi sebelum tidur atau tidur sebelum mandi ?" Aisyah segera menjawab: "Semua cara itu pernah dikerjakan oleh baginda. Adakalanya baginda mandi sebelum tidur dan seringkali juga berwuduhuk sebelum tidur". Kemudian Abdullah bin Qais berkata: "Alhamdulillah semua perkara ada kelonggarannya".
Walaupun anda melakukan sekali jimak samada keluar mani ataupun tidak maka anda wajib mandi. Jika selama ini anda tidak tahu tentang ketentuan agama ini lantaran kejahilan anda, maka bertaubatlah dan belajarlah ilmu agama secara lebih mendalam agar tidak terjerumus ke dalam dosa dan maksiat. Untuk lebih jelas belilah buku yang berkaitan tentang mandi wajib ini, kerana ini merupakan perkara asas yang wajib diketahui oleh setiap umat Islam.
Kembali ke atas ↑


51. Suami yang Tidak Memuaskan Nafsu Isterinya Ketika Berjimak
Soalan:
Apakah hukumnya pula suami yang tidak dapat melayan atau memuaskan nafsu isteri ketika bersetubuh dan mengelak jika isteri mahukannya?
Ain, Temerloh
Jawapan:
Dalam perkahwinan antara suami isteri terdapat unsur seksual yang menjadi landasan rumahtangga. Ertinya suatu perkahwinan akan menjadi bermakna apabila kehidupan seksual suami isteri berjalan dengan baik. Meskipun ada unsur-unsur lain yang mendorong tercipatanya rumahtangga yang harmoni seperti ekonomi, namun faktor seksual adalah yang paling menonjol. Kegagalan suami ataupu isteri di dalam menjalankan tugas seksual mengakibatkan retaknya hubungan antara keduanya dan berakhir dengan tekanan dan stres.
Di dalam melakukan jimak suami hendaklah mengikut tuntunan sunnah sebagaimana yang telah diajarkan Rasulullah SAW. Jika para suami mengikutinya maka tidak akan timbul isteri tidak puas dalam menikmati hubungan jimak, seandainya suami mengabaikan kehendak dan kepuasan isteri maka suamipun tergolong berdosa sebab tidak memenuhi fitrah keisanan isteri dengan sempurna. Itulah sebabnya Rasulullah SAW menganjurkan kepada para suami sebelum mengadakan jimak agar berwuduk terlebih dahulu agar tubuh merasa segar dan cergas. Kemudian baginda menyuruh memakai wangi-wangian agar keghairahan dan semangat berjimak sentiasa membara.
Setelah itu Rasulullah SAW menganjurkan kepada suami sebelum berjimak hendaklah melakukan cumbu rayu terlebih dahulu, setelah kepuasan cumbu raya mencapai puncaknya barulah dilakukan jimak. Kemudian Rasulullah mengajarkan kepada para suami, jika terlebih dahulu mencapai hajatnya sedangkan isterinya belum, maka isteri dapat menyuruh suaminya agar jangan mencabutnya terlebih dahulu. Dalam keadaan demikian isteri boleh aktif dan suami boleh membantu isterinya untuk mencapai tahap orgasma.
Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang di antara kamu menggauli isterinya hendaklah ia mengerjakannya dengan bersungguh-sungguh. Maka apabila ia selesai janganlah ia cepat-cepat meninggalkan isterinya sehingga isterinya menyelesaikan hajatnya juga".
Diantara panduan lain agar suami dapat menikmati orgasma secara bersama adalah, bagi suami yang menyedari bahawa dirinya cepat keluar mani, hendaklah ia berusaha melambatkan keluar mani dengan cara mengalihkan perhatian kepada perkara-perkara lain. Sedangkan di pihak isteri harus berusaha dengan sungguh-sungguh agar cepat sampai ke tahap orgasma. Apabila diketahui isteri sudah mencapai orgasma (kepuasan) barulah suami memusatkan perhatian dengan sepenuhnya. Dengan cara demikian insya Allah isteri tidak akan sentiasa kecewa.
Jika suami termasuk jenis orang yang terburu-buru, maka isteri hendaklah memberitahukan kepadanya agar tidak terburu-buru memasukkan zakarnya sampai isteri betul-betul memuncak nafsu berahinya. Isteri hendaklah menyuruh suaminya mencumbu dan menciumnya dengan masa yang lama dengan cara itu dapat menolong  mempercepat isteri mencapai orgasma. Kemudian isteri harus mengerti keadaan suami yang tidak tahan lama dan cepat selesai itu. Dengan demikian isteri hendaklah berusaha agar dirinya cepat mencapai kepuasan, dan berusaha untuk serentak dengan suami agar kenikmatan sentiasa dinikmati bersama.
Sebetulnya antara suami dan isteri hendaklah memahami sunnah yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW di dalam melakukan hubungan antara suami dan isteri dengan demikian insya Allah kenikmatan berjimak akan dirasakan secara bersama. Yang paling penting kerjasama dan saling pengertian antara suami isteri perlu diwujudkan barulah kebahagian dapat nikmati.
Kembali ke atas ↑


52. Minum Air Susu Isteri Hingga Kenyang
Soalan:
Seorang suami meminum susu badan isteri sehingga kenyang. Dari segi Islam, apakah hukumnya. Dan apakah ia ada kena mengena dengan ikatan suami isteri tersebut. Apakah dengan sendirinya, bercerai suami isteri tersebut. Di harapkan penjelasan dapat diberikan?
Norizan Aziz, KL
Jawapan:
Air susu ibu, Allah SWT anugerahkan kepada kaum wanita sebagai  rahmat untuk bayi atau anak yang dalam jagaannya. Secara fitah air susu ibu mengandungi rahmat yang paling besar untuk pertumbuhan dan perkembangan minda bayi. Dalam Al Quran surah Al Baqarah ayat 233 menjelaskan "bahawa para ibu menyusu anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakan penyusuan". Ini membuktikan bahawa hak air susu ibu itu hanya untuk bayi bukan selain daripada itu.
Dalam rukun penyusuan ada tiga, iaitu ibu yang menyusu, susu dan bayi yang menyusu. Jika rukun ini lengkap maka jatuhlah hukum susuan terhadap bayi tersebut. Bahkan setengah ulama menambahkan lagi tentang kadar banyaknya air susu yang diminum, jika melebihi lima kali maka jatuh hukum susuan dan setengahnya pula berpendapat hingga kenyang walaupun hanya satu kali menyusu. Jika melihat pada ketetapan ini maka bagi lelaki dewasa yang meminum susu wanita hingga kenyang tidak mengakibatkan timbulnya hukuman susuan terhadap mereka, kerana timbulnya hukum susuan ini berlaku pada bayi.
Jika dalam mengadakan hubungan jimak dan asmara antara suami isteri, kemudian suami terminum air susu isterinya, maka perkara ini tidak berdosa. Namun jika suami dengan sengaja meminum air susu isteri, ini menunjukkan bahawa seorang suami telah melanggar fitrah insaniahnya, bahkan dengan sengaja mengambil hak anaknya. Jika seseorang dengan sengaja melanggr fitrah insaniah bererti tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya dan tergolong orang yang lalai bahkan lemah akal dan fikirannya. Orang Islam yang tidak menggunakan akal fikirannya dengan baik adalah orang Islam yang rugi bahkan lebih rendah daripada haiwan. Wallahu a'lam.
Kembali ke atas ↑


53. Memiliki Suami Mengabaikan Tanggungjawab
Soalan:
Saya telah berkahwin selama 4 tahun dan mempunyai seorang anak berusia 2 tahun. Suami saya seorang guru bahasa inggeris tetapi dia mempunyai pekerjaan sambilan sebagai pemain muzik bebas. Baru-baru ini saya mendapat tahu dia mempunyai perasaan terhadap seorang perempuan yang mempunyai kedudukan yang tinggi. Suami saya berkeras tidak mahu meninggalkan perempuan itu walaupun perempuan itu mengaku bahawa dia tidak mempunyai perasaan terhadap suami saya. Sejak itu suami saya selalu berang, marah-marah, dan kadang-kadang memukul saya. Suami saya bukanlah seorang yang bertanggung jawab. Saya selalu yang mengeluarkan belanja rumah, bayar bil-bil dan menanggung kesemua perbelanjaan anak saya.
Saya tak tahu bagaimana hendak buat agar suami saya berubah menjadi seorang yang bertanggung jawab terhadap keluarga.. Untuk pengetahuan...suami saya tidak pernah membimbing saya ke jalan agama. Saya jadi keliru dan kadang-kadang saya jadi sangsi untuk sembahyang kerana saya tidak yakin dengan bacaan saya. Saya ingin mendalami agama tetapi saya tidak tahu dimana hendak belajar. Hidup saya selalu didalam tertekan tetapi suami saya sering tidak menghiraukan saya walaupun dia mengatakan dia sayangkan saya. Saya sayangkan suami saya dan saya mahu dia kembali menjadi suami yang bertanggung jawab tetapi bagaimanakah caranya supaya saya dapat membimbing dia supaya boleh berubah ? Saya tidak mahu menjadi seorang isteri yang derhaka?
Suhela, Seremban
Jawapan:
Setiap sesuatu usaha hendaklah kita mulai dari diri sendiri dan barulah keluarga kita dan seterusnya orang lain. Sebagai seorang isteri sudah pasti mendambakan kedamaian dalam berumahtangga dan merupakan matlamat asasnya untuk menikmati keluarga bahagia terutama disamping suami dan anak-anak. Dalam kehidupan ini tidak semua hasrat kita akan tercapai sesuai dengan keinginan dan harapan, kadang kala terlalu banyak halangan dan rintangannya, bahkan tidak kurang juga menemui kegagalan.
Orang Islam yang beriman tidak menganggap kegagalan itu sebagai suatu bala bencana, namun menjadikan dia sebagai suatu cubaan dalam kehidupan. Mereka menerimanya dengan rasa tabah dan hanya menyerahkan segalanya kepada Allah. dan memang itulah kemampuan yang ada pada manusia. Jika puan inginkan keluarga bahagia, bermulalah dari diri sendiri dengan cara memperbaiki keperibadian dan tanggungjawab. Jika tanggungjawab kita terhadap diri sendiri dan tanggungjawab terhadap Allah tidak dapat dipenuhi dengan baik, maka suatu yang mustahil kedamaian dalam jiwa dan kebahagian dalam rumahtangga dapat diwujudkan.
Solat merupakan perkara fardhu dan jangan sampai timbul kesangsian dalam mengerjakannya. Belajarlah untuk mengerjakan solat dengan benar dan betul, kerana di dalam solat anda akan menemukan kedamaian yang melebihi kedamaian yang anda inginkan terhadap suami anda. Baiki budi pekerti, sempurnakan solat, didik anak-anak dengan ilmu agama, jika ini mampu dilakukan, yakin dan percayalah suami anda akan menemukan dirinya kembali pada suatu saat nanti. Ketika ini mungkin suami anda dalam keresahan lantaran masalah peribadi ataupun tidak melaksanakan perintah Allah dengan sempurna. Namun jika anda mampu mencipta rumahtangga yang harmoni dan tidak terlalu banyak menuntut, kemungkinan suami anda akan menunjukkan perubahannya pada saat nanti. Banyakkanlah berdoa dan bermohonlah kepada Allah, kerana jika kita masih mengingat-Nya, insya Allah akan ada jalan keluar yang terbaik untuk kita.
Jangan terlalu banyak menyalahkan orang lain tetapi lebih banyak menilai diri sendiri. Berbuat baiklah dengan orang lain apatah lagi antara suami isteri, kerana di dalam Al Quran ada disebutkan " tidaklah kebaikan itu melainkan dibalas dengan kebaikan pula". Dengan sentiasa berbuat baik dan tidak terlalu banyak menuntut sesuatu di luar kemampuan pasangan kita akan menyumbang terciptanya keluarga yang harmoni. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


54. Lama Masa Untuk Berjimak
Soalan:
Berapa lamakah masa yang selalu diambil oleh seseorang lelaki ketika melakukan jimak, iaitu sebelum keluarnya air mani?
Rafiezul, Klang
Jawapan:
Dalam melakukan jimak, yang dituntut oleh sunnah adalah puncak kepuasan berjimak itu sendiri. Itulah sebabnya Rasulullah SAW memerintahkan agar suami melakukan cumbu rayu sebelum melakukan jimak. Cumbu rayu ini bertujuan agar kepuasan berjimak itu dapat dinikmati bersama dan tidak hanya sebelah pihak sahaja. Lama masa bukanlah menjadi ukuran, tetapi yang menjadi perkara asas adalah kepuasan. Walaupun satu minit jika kepuasan dapat dinikmati, maka tujuan jimak telah tercapai. Tetapi jika masa digunakan panjang sedangkan faktor kepuasan dan kenikmatan bersama diabaikan maka tujuan jimak tadi tidak mengikut sunnah. Jika ini yang terjadi maka suami mengabaikan hak isteri dan jika disengajakan maka hukumnya berdosa. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


55. Tidak Mampu Memberi Nafkah (Poligami)
Soalan:

Saya mempunyai dua orang isteri, kedua-duanya tidak mempunyai anak . Saya ingin mencerai salah seorang kerana tidak mampu untuk menampung (tidak berkemampuan). Masalahnya, tiada sebab saya menceraikannya kerana alasan ekonomi. saya minta penjelasan mengenai masalah ini?
Malai Osman, KK
Jawapan:
Di dalam Islam menganjurkan kita berkahwin hingga empat orang jika tidak mampu memadailah dengan seorang isteri. Jika anda telah berkahwin dua bererti anda telah menyiapkan diri untuk mengikuti sunnah yang diredhai. Janganlah mencari alasan kerana ingin melepaskan tanggungjawab dan menyenangkan diri sendiri. Setelah berpoligami jalankanlah dengan baik, kemungkinan kesukaran yang anda hadapi sekarang ini merupakan dugaan saja yang mengandungi banyak hikmah dan rahmat. Bersabarlah dalam menjalankan sunnah, dan bekerjalah dengan lebih tekun demi memenuhi tanggungjawab sebagai seorang suami kerana perkara inilah yang lebih dituntut dan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah SWT. Wallahu A'lam.
DN 105 ♂ Permata Idaman Mutiara Syurga LELAKI SOLEH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
DN 036 Rumah Idaman Syurga Impian - SUAMI TELADAN
Kembali ke atas ↑


56. Mengharap Dikurniakan Anak Perempuan
Soalan:
Bagaimanakah cara untuk mendapatkan anak perempuan mengikut cara Islam?
Hamidah, Kajang
Jawapan:
Berdoalah selepas mengerjakan solat lima waktu agar Allah memperkenankan hajat yang diinginkan. Setelah itu berserah dirilah kepada-Nya, kerana kebaikan terhadap zuriat yang Allah anugerahkan kepada kita itu hanya Allah saja yang mengetahuinya. Walaupun begitu hasil kajian para pakar bahawa sel telur yang menghamilkan kerana masuknya ke dalam rahim dengan sperma lelaki begerak dan berpindah-pindah. Kadang kala letaknya sebelah kanan rahim dan kadang kala disebelah kiri rahim. Bila sel telur terletak pada lambung kanan maka akan melahirkan bayi laki-laki dan bila letaknya pada sebelah kiri rahim maka akan melahirkan bayi wanita.
Menurut keterangan Dr. Muhammad Abdul Hamid (Mesir) tentang pendapat ini telah diadakan percubaan-percubaan oleh doktor-doktor bangsa Arab dan demikian juga oleh ahli bangsa Inggeris. dan berhasil 97 peratus dari percubaan-percubaan tersebut dan hanya gagal 3 peratus. Itupun disebabkan kerana pihak ibu tidak mengetahui secara teliti tentang masa subur.
Teori untuk membentuk anak atau anak wanita itu sebagai berikut. Pertama sekali lakukanlah jimak ketika masa subur agar sperma lelaki berfungsi sebagai janin ketika di dalam rahim. Kemudian lakukanlah persetubuhan itu dengan sebaik-baiknya dan sempurna. Setelah selesai jimak, isteri hendaklah tidur miring sampai bangun di waktu pagi. Janganlah tidur terlentang supaya air mani di dalam rahim jatuh miring. Akhir sekali lakukanlah, jika ingin memperolehi bayi lelaki tidurlah miring sebelah kanan dan jika ingin memperolehi anak perempuan miringlah sebelah kiri.
Teori ini hanya merupakan usaha dalam mencari sesuatu yang kita inginkan, namun hasilnya diluar batas kemampuan manusia. Semuanya ditentukan oleh Allah SWT namun disebalik itu kita hanya dianjurkan untuk berusaha dan berikhtiar.
Kembali ke atas ↑


57. Menuntut Hak Terhadap Bekas Suami
Soalan:

Saya telah berkahwin tetapi malangnya suami saya tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami. Beliau meminta saya untuk mencari dahan lain yang lebih baik. Saya tidak dapat menerima hakikat ini dan meminta untuk bersabar dan sanggup untuk menunggu untuk satu jangka waktu. Akhirnya suami saya berhasrat untuk meninggalkan saya dan lafaz cerai telahpun berlaku di hadapan yang arif hakim. Masalahnya ialah...saya ada membuat tuntutan...suami saya tidak ingin membayar tuntutan itu. Apakah hukumnya walaupun suatu ketika dulu beliau mengatakan akan memenuhi kehendak saya? Sejak ditinggalkan keadaan saya sememangnya tidak memuaskan dan sentiasa tidak sihat.
Zainab, Alor Setar
Jawapan:
Jika suami anda pernah berjanji untuk memberikan sesuatu kepada anda jika ia menceraikan anda, maka ia wajib menunaikan janjinya itu, seandainya ia memungkirinya maka bekas suami anda menanggung dosa lantaran tidak menepati janji. Namun jika anda yakin bahawa dia tidak mampu untuk memenuhi janjinya lantaran sesuatu perkara yang boleh dimaafkan maka adalah lebih baik berlapang dada memaafkannya demi memudahkannya dan sekaligus menenangkan hati dan perasaan anda sendiri. Dengan demikian anda terbebas dari sifat sakit hati, dendam, perasaan tertekan dan sebagainya. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


58. Mengucapkan kata 'Cerai' Tanpa Niat
Soalan:

Saya ingin membuat pertanyaan, jatuhkah talak jika seorang suami menyebut 'AKU CERAIKAN KAU' sebanyak dua kali (dalam keadaan marah) Selepas kejadian itu, suami saya meminta maaf sebab dia tidak punya niat untuk menceraikan saya. Tapi saya masih was-was.
Aida, Ampang
Jawapan:
Para ulamak melarang suami melafazkan kata talaq itu lebih dari sekali dalam satu-satu masa. Jadi jika dua kali dan beberapakali dikumpulkan dalam satu kali saja, bererti melanggar hukum Allah dan ketentuan Al Quran. Menurut Jumhur ulama sah talaq yang diucapkan mengikut jumlah ucapannya. Jadi jika suami anda telah mengucapkan lafaz talaq sebanyak dua kali maka telah jatuh talaq dua dan hanya tinggal baki satu talaq lagi yang membolehkan anda untuk rujuk. Walaupun lafaz talaq tersebut telah dilaksanakan maka suami anda boleh merujuk kembali dan hidup seperti biasa dengan syarat hendaklah ingat tentang baki talaq yang tertinggal.
Mengenai talaq dalam keadaan marah, jika marah tersebut ke paras menghilangkan kewarasan akal sehingga ia langsung tidak menyedari apa yang dia ucapkan, maka marah tahap ini tidak menggugrkan talaq. Namun jika marahnya sederhana yang mana penuturnya masih mampu menggambarkan apa yang diucaapkannya maka marah seperti ini jatuh talaqnya. Menurut Jumur ulamak, marah yang bersangatanpun namun tidak menghilangkan akal keseluruhannya hanya mengganggu kosentrasi maka kemarahan di tahap ini tetap membuatkan jatuhnya talaq.
Kembali ke atas ↑


59. Ungkapan Kata Kesat Terhadap Isteri
Soalan:

Jika kita berselisih dengan faham dengan isteri dan keadaan marah kita melepaskan kata kesat. Kemarahan suami adalah disebabkan sikap isteri terhadap keluarga suami di mana layanan yang diberi tidak sepatutnya. Apakah tindakan yang perlu diambil dan wajarkah kita berkata demikian untuk menyedarkan sikap siisteri tadi?
Zahir, Semenyih
Jawapan:
Suami menjadi pemimpin dalam rumahtangga harus berusaha membangun rumahtangga atas dasar ketaqwaan dan keredhaan Allah SWT. Berpedoman kepada Al Quran dan sunnah dalam menjalani aktiviti kehidupan berumahtangga. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Takutlah kepada Allah di dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang ada disampingmu, barangsiapa tidak memerintahkan agar isterinya mengerjakan solat dan mengerjakan agama, maka dia telah berkhianat kepada Allah dan Rasul-Nya".
Jadi menjadi tanggungjawab suami untuk mendidik pengetahuan agama terhadap isterinya sehingga akhlah dan keperibadian isteri menggambarkan sebagai wanita solehah. Jika asas agama ini telah diberikan oleh suami, maka tidak akan timbul isteri tidak melayani ayah atau ibu mertuanya dengan layanan yang tidak sepatutnya.
Di dalam memberikan bimbingan terhadap isteri gunakanlah pendekatan agama dan psikologi, berikan pengertian kepadanya bahawa keluarga suami juga termasuk keluarga isteri yang perlu dihargai dan dilayan secara lebih baik. Sebaliknya suami janganlah menggunakan kata-kata yang kesat terhadap isteri, kemungkinan apa yang ia lakukan tersebut tidak sengaja ataupun ia tidak faham bagaimana sebetulnya yang anda inginkan. Sesungguhnya isteri kita adalah teman hidup kita yang memiliki kekurangan dan kelebihan. Selayaknyalah suami menasihati dengan baik jika isteri memiliki sifat kekurangan yang perlu dibetulkan. Hindarilah dari mencaci ataupun menggunakan kata-kata yang kesat, agar tidak mengeruhkan lagi hubungan yang sedia ada. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


60. Mematuhi Suami yang Tidak Menjalankan Perintah Agama
Soalan:
Apakah seorang isteri wajib mematuhi suaminya yang bukan sahaja tidak sembahyang malah minum arak dan suka berfoya-foya dengan wanita lain? Contohnya, keluarga wanita tersebut membuat perjumpaan keluarga (family day) tetapi suaminya tidak membenarkan. Bolehkah wanita ini mengingkari perintah suaminya itu? Dalam perkara yang berkaitan, bolehkah wanita ini menuntut cerai? Kalau boleh, apakah cara yang terbaik?
Siti Farhanah, KL
Jawapan:
Seorang isteri hendaklah mematuhi perintah suaminya walaupun ia tidak mengizinkan untuk menziarahi terhadap kedua ibu bapanya. Kerana setelah berkahwin isteri tertakluk kepada tanggungjawab suaminya. Namun jika suami tergolong orang yang fasik meninggalkan segala perintah agama dan banyak berbuat dosa sedangkan isteri merasa khuatir dirinya dan anak-anaknya cenderung mengikuti jejak langkah suami yang fasik tersebut, maka isteri dibolehkan meminta cerai demi menjaga agamanya.
Sebelum sampai ke tahap memohon perceraian terhadap suami adalah lebih baik isteri berusaha sedaya upaya untuk menasihati suaminya apakah dilakukan sendiri mahupun dengan meminta pertolongan orang lain seperti ibu bapanya, sahabatnya dan sebagainya. Jika langkah menasihatinya tidak berhasil, maka isteri berhak meminta cerai. Bidang kuasa untuk memutuskan hubungan perkahwinan dimana isteri meminta diceraikan hendaklah dilakukan oleh qadi atau mahkamah syariah melalui perceraian khuluk.
Kembali ke atas ↑


61. Menghadapi Iseri yang Ego
Soalan:
Isteri saya menuntut cerai kerana dia enggan mendengar nasihat saya bagi perkara2 tertentu. Dia masih merasa sangat marah sehingga perasaan benci dan dendam sudah mula timbul. Dia tidak lagi menganggapkan dirinya itu sebagai isteri saya. Dia sudah beberapa bulan tidak memberi nafkah batin, mengusir saya keluar dari rumah dan keluar rumah tanpa kebenaran saya. Ibunya pula menyokong pendiriannya juga. Dia tidak mahu bercakap dengan saya juga kerana tersinggung dengan percakapan saya. Saya masih bersabar. Saya mengerti akan tikah lakunya kerana isteri saya itu mengikut perasaan. Lagipun fahaman agamanya pun kurang. Walaupun demikian, saya belum lagi menjatuhkan talak. Saya masih mengasihi isteri saya dan saya ingin membimbingnya kembali kepangkuan jalan. Apakah saranan yang terbaik bagi saya. Saya masih bersabar, saya tidak mahu bercerai berai.
M. Tariq, Singapura
Jawapan:
Berdosa besar bagi seorang isteri yang tidak melayan kehendak suaminya. Seandainya suami menginginkan agar pada malam tersebut isterinya melayannya sedangkan si isterinya menolak permintaan suami itu, maka semalaman malaikat mengutuk perbuatan isteri tersebut. Bayangkan saja jika sudah berbulan-bulan isteri tidak mahu melayan kehendak suami tentu semakin besar dosa yang ditanggungnya.
Dalam Islam seorang isteri hendaklah mendengar dan menjalankan segala perintah yang disuruh oleh suami selagi perintah tersebut tidak menjurus kepada mensyirikkan Tuhan atau sesuatu perkara yang bertentangan dengan syarak. Jika isteri ingkar maka isteri tersebut tergolong isteri yang derhaka, jika ia mati dalam keadaan tidak mendapat keredhaan suaminya maka ia mati dalam keadaan membawa dosa yang besar. Menghadapi isteri yang ego seperti ini, suami hendaklah bersabar kerana wanita tercipta dari tulang rusuk yang bengkok, jika kita paksakan untuk meluruskannya maka ia akan patah dan jika kita biarkan dia dalam keadaan yang keliru itu maka selamanyalah ia akan menjadi bengkok.
Berusahalah menasihatinya dengan cara yang baik dan sesuai dengan cara yang disyariatkan Islam. Carilah sebab mengapa dia bertindak demikian setelah itu pujuklah dengan menggunakan pendekatan psikologi dan agama. Jika dengan berbagai cara tidak dapat melembutkan hatinya, maka lakukanlah solat istikharah, bermohonlah kepada Allah agar diberikan jalan yang terbaik dalam menyelesaikan masalah keluarga anda tersebut. Jika perceraian merupakan jalan yang terbaik ada baiknya anda ceraikan, kerana talak merupakan perkara yang halal sebagai suatu jalan menyelesaikan masalah dalam perkahwinan. Seandainya kita telah meminta keputusan melalui solat istikharah maka , insya Allah, Allah SWT akan memberikan jalan yang terbaik buat kita. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


62. Mencerai Isteri Dengan Talak Tiga
Soalan:
Saya bertengkar keras dengan isteri saya. Pada waktu marah dan tida berfikir dan tidak inginkan, I sebutkan 'Saya ceraikan engkau dengan tiga talak'. Sekarang, saya sangat menyesal dan mahu tahu apakah saya perlu buat untuk dapatkan isteri saya dan anak kesayangan saya. Bolehkah saya diampuni tuhan kalau saya betul betul menyesal and waktu saya memperkatan, saya tidak anda intention langsung.
Isa Khader, Singapura
Jawapan:
Menurut Imam Syafei tidaklah diharamkan mengumpulkan talak tiga sekaligus. Apabila ini berlaku berkuatkuasalah talak tersebut. Begitu juga Jumhur Ulama berpendapat talak tiga sekaligus jatuh tiga talak. Ertinya apa yang anda lafazkan terhadap isteri anda tersebut menyebabkan jatuhnya talak tiga dan anda tidak boleh rujuk kembali terhadap isteri anda itu, sehinggalah ia dikahwini oleh orang lain dan orang tersebut mencerainya pula. Pada ketika itu barulah anda boleh menikahinya kembali.
Penyesalan anda dari perbuatan yang terburu-buru nafsu itu hanya sesuatu yang terlambat. Padahal dalam Islam telah ditunjuk kaedah dan cara yang terbaik ketika ingin menceraikan isteri. Allah berikan tiga talak tersebut dengan tujuan agar manusia dapat menggunakannya satu persatu dan ada ruang untuk mereka rujuk kembali. Maka dari semenjak anda menceraikan isteri anda tersebut, anda tidak boleh menggaulinya lagi dan jika anda melakukannya anda telah berbuat zina. Oleh sebab itu terimalah ketetapan ini dengan hati yang terbuka,meskipun penyesalan telah menyelimuti ruang minda.
Kembali ke atas ↑


63. Melakukan Azal
Soalan:
Saya ingin bertanya adakah berdosa sekiranya setiap kali melakukan persetubuhan dengan suami saya, saya meminta agar dia mengeluarkan air maninya di luar rahim. Suami saya tidak marah atau berkecil hati. Untuk pengetahuan ustaz, kami baru saja melangsungkan perkahwinan pada 28/2/99 yang lepas dan kami tinggal berasingan. Saya di KL dan suami saya di Melaka. Tujuan saya berbuat begitu ialah kerana saya merasakan susah sekiranya saya mengandung di sini bersendirian tanpa suami. Saya tidak boleh berpindah ke Melaka manakala suami pula terpaksa tunggu sekurang-kurangnya 2 tahun lagi untuk berpindah ke KL. Kami sememangnya bercadang mempunyai anak tetapi memandangkan banyak masalah yang timbul jika saya mengandung jadi saya bercadang melakukan sedemikian?
Suzeela, KL
Jawapan:
Islam menganjurkan umatnya ramai anak atau keturunan kerana itu sebagai tanda kuatnya umat Islam dari bangsa lain. Sebagaimana dikatakan bahawa kebesaran adalah terletak pada keturunan yang banyak, kerana itulah Islam mensyariatkan kahwin. Rasulullah SAW bersabda: "Kahwinlah perempuan yang subur lagi penyayang. Kerana sesungguhnya aku akan membanggakan banyaknya jumlah kamu pada umat-umat lain pada hari kiamat nanti".
Walaupun begitu dalam keadaan tertentu Islam tidak menghalangi membatasi kelahiran dengan cara pencegahan kehamilan ataupun cara-cara yang lain. Pembatasan kelahiran dibolehkan bagi lelaki yang sudah banyak anaknya yang tidak sanggup lagi memikul beban pendidikan anaknya dengan cara yang lebih baik. Begitu juga bagi isteri yang keadaan fizikalnya lemah lantaran banyak hamil ataupun suami dalam keadaaan miskin. Dalam keadaan seperti diatas dibolehkan untuk merancang keluarga.
Melakukan azal atau memancutkan air mani keluar ketika berjimak dibolehkan. Ini sesuai dengan hadis yang diriwayatkan Muslim dari Jabir, ia berkata: "Kami dahulu di zaman Rasulullah SAW melakukan Azal. Hal ini sampai pada Rasulullah tetapi baginda tidak melarang kami".
Kemudian imam Syafei berkata, kami meriwayatkan dari beberapa orang sahabat Nabi SAW bahawa mereka membolehkan azal ini dan tidak menganggap berdosa.
Kembali ke atas ↑


64. Mengatasi Keinginan Nafsu yang Kuat
Soalan:
Saya ingin menanyakan bagaimana mengatasi keinginan nafsu yang kuat? Masalahnya suami saya juga tidak dapat memenuhi keinginan saya ini?
Zie, KL
Jawapan:
Salah satu penyebab keresahan umat zaman moden ini adalah tidak dapat terpenuhi dorongan nafsu berahi secara sempurna. Padahal jika mengikut sunnah Rasulullah SAW suami dan isteri jika mengadakan hubungan jimak hendaklah melakukan dengan cara yang baik dan sempurna. Itulah sebabnya baginda menyuruh agar suami sebelum melakukan jimak hendaklah  melakukan cumbu rayu terlebih dahulu, setelah isteri benar-benar merasa puas barulah mereka melakukan jimak dengan cara yang dituntut.
Rasulullah juga berpesan kepada para suami, jika mereka telah sampai kepada titik kepuasan, sedangkan isteri belum sampai kepada kemuncaknya, maka suami jangan membiarkan isteri dalam keadaan tergapai-gapai, sebaliknya bantulah isteri untuk menyudahkan kepuasannya pula. Jika perkara ini dilakukan oleh suami dan isteri, maka mereka telah melakukan sunnah yang dituntut oleh Rasulullah SAW.
Jika suami kurang peka dalam persoalan kepuasan hubungan jimak suami isteri ini, maka isteri hendaklah lebih banyak memainkan peranannya. Isteri boleh membantu suami dalam memulai cumbu rayu supaya lebih hangat, dan jangan hanya sekedar menuggu reaksi suami sedangkan isteri tidak aktif. Jika ini terjadi maka yang akan menanggung penderitaan adalah isteri. Sebab didalam hubungan jimak jika tidak sampai kepada kenikmatan yang sempurna, maka boleh mengganggu kosentrasi dan minda seseorang. Oleh sebeba itu kerjasama kedua-dua belah pihak sangat diperlukan demi mencapai kenikmatan dalam berumahtangga. Jangan saling menyalahkan antara satu dengan yang lainnya, tetapi carilah formula yang sesuai agar segala masalah dapat diatasi secara bersama.
Kembali ke atas ↑

No comments:

Post a Comment