Wednesday, September 7, 2011

KEGANASAN BERLAKU DIMANA2...MACAM TIADA KEAMANAN..SUDAH TENTU BERLAKU DENGAN IZIN ALLAH...NI DISEBABKAN UNDANG2 YANG MANUSIA GUBAL....TIDAK DAPAT MENGAWALNYA...MEMANG WAJIB KITA KEMBALI...KEPADA ALLAH...DENGAN MELAKSANA UNDANG2 ISLAM..YANG DICATAT DALAM ALQURAN....

Berang duit raya RM1

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my

ROSAK...Noleha menunjukkan pagar rumahnya yang dirosakkan abangnya kerana tidak berpuas hati cucunya kerana memperoleh duit raya RM1.
ROSAK...Noleha menunjukkan pagar rumahnya yang dirosakkan abangnya kerana tidak berpuas hati cucunya kerana memperoleh duit raya RM1.
KUALA TERENGGANU: Gara-gara tidak berpuas hati enam cucunya hanya mendapat duit raya RM1 daripada ibunya, seorang warga emas berusia 60 tahun gagal mengawal diri apabila menyerang dua adik perempuannya dengan merosakkan harta benda serta menghamburkan kata-kata kesat berbaur ugutan dalam kejadian Jumaat lalu.
Difahamkan kejadian berlaku selepas lelaki terbabit yang berlainan bapa dengan mangsa naik berang apabila enam cucunya hanya memperoleh duit raya RM1 daripada ibunya berusia 84 tahun sebelum menuduh kononnya dua adiknya itu mengawal duit ibunya yang sudah uzur.
Kejadian berlaku pada jam 10.30 malam di rumah seorang adik berkenaan, Noleha Sulong, 42, di Kampung Pengadang Baru, di sini, menyebabkan dia dan dan adiknya, Rokiah, 37, trauma serta hidup dalam ketakutan.

Noleha berkata, dia tidak sangka abangnya itu tergamak menyerang dia dan adiknya semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan jumlah duit raya diberikan ibu mereka.


“Hairan juga saya dengan sikap abang yang tidak pernah berpuas hati dan berprasangka buruk terhadap kami adik-beradik, padahal bukan cucunya saja mendapat RM1, tetapi anak bongsu saya dan semua cucu lain turut mendapat jumlah yang sama.

Tiga ‘polis’ culik 9 jam

Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

KAJANG: Seorang lelaki bukan saja diculik dan dikurung lebih sembilan jam sebaliknya turut dibelasah sekumpulan tiga lelaki yang menyamar anggota polis dalam kejadian di rumahnya di Cheras Perdana, di sini, 29 Ogos lalu.
Lebih malang, mangsa yang berusia 26 tahun itu patah rusuk kiri akibat dipukul dan lebam seluruh badan ditinggalkan separuh bogel di dalam longkang di kawasan berhampiran rumahnya selepas gagal membayar wang tebusan RM2,000. Mangsa yang ditemui orang ramai dihantar ke Hospital Kajang (HK) sebelum tidak sedarkan diri selama empat hari.

Kejadian itu bermula kira-kira jam 4 petang, apabila mangsa yang berseorangan di rumah sewanya dikejutkan dengan ketukan kuat tiga lelaki yang memperkenalkan diri anggota polis berpakaian biasa dan ingin membuat pemeriksaan.
Menurut sumber, mangsa pada mulanya tidak mengesyaki niat serong kumpulan terbabit membenarkan mereka masuk.

“Mangsa meminta kumpulan terbabit menunjukkan kad kuasa, namun tindakannya menyebabkan suspek berang sebelum mereka memukul mangsa.

“Mangsa yang terkejut dengan tindakan kumpulan terbabit menjerit meminta tolong apabila mereka menendang dan menumbuknya,” katanya.

Sumber berkata, kumpulan terbabit kemudian mengheret mangsa masuk ke dalam kereta mereka yang ditinggalkan di kawasan berkenaan sebelum membawanya ke sebuah rumah di kawasan Pandan Indah dan mengurungnya.

Di rumah itu, seorang daripada suspek menghubungi rakan mangsa bagi meminta wang tebusan untuk melepaskan mangsa yang kononnya ditahan di sebuah balai polis atas kesalahan tidak dinyatakan. Pada mulanya, suspek meminta rakan mangsa RM5,000 dan selepas berbincang dan proses tawar menawar, jumlah berkenaan dikurangkan kepada RM2,000.
“Bagaimanapun, rakan mangsa tidak dapat memenuhi permintaan suspek kerana berada di kampung halaman menyambut Aidilfitri.

“Kegagalan rakan mangsa memenuhi permintaan itu walaupun sudah berunding menyebabkan suspek berang dan memukul mangsa hingga mangsa tidak bermaya,” katanya.

Katanya, sebaik mangsa dibelasah, suspek yang masih tidak berpuas hati meninggalkan mangsa separuh bogel di dalam longkang berdekatan rumahnya kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Orang ramai yang lalu berhampiran kawasan itu menemui mangsa tidak bermaya sebelum menghantarnya ke HK untuk rawatan lanjut.

“Mangsa dalam keadaan lemah dihantar ke HK dan ditahan selama empat hari kerana tidak sedarkan diri.

“Mangsa dibenarkan keluar dari hospital pada 4 September lalu selepas doktor berpuas hati dengan tahap kesihatannya,” katanya.

Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Hussien Onn kerana bimbang kumpulan terbabit kembali mengganggunya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan mangsa.


Rugi RM80,000 angkara tak tukar nama



KUALA LUMPUR: Seorang wakil insurans terkejut apabila pihak bank menyamannya bagi mendapatkan semula wang pinjaman kereta BMW yang pernah dibuatnya sedangkan kereta berkenaan sudah dijual kepada sebuah syarikat kereta terpakai empat tahun lalu.
Difahamkan, syarikat beroperasi di Kota Damansara itu tidak menyelesaikan proses pertukaran hak milik kereta mangsa, Ho Pui Tiong, 41, hingga menyebabkan beliau kerugian hampir RM80,000 apabila disaman pihak bank, awal bulan lalu.

Menurutnya, dia menjual kereta BMW miliknya dan membeli kereta baru daripada syarikat terbabit dengan bayaran tambahan RM10,000 secara tunai.
“Namun, lebih memeranjatkan, penama hak milik kereta BMW terbabit tidak ditukar hingga hari ini walaupun segala bayaran sudah saya jelaskan kepada syarikat itu.

“Lebih menghairankan, saya mendapati kereta berkenaan tidak dijual kepada pemilik baru, tetapi digunakan seorang ahli keluarga pemilik syarikat terbabit untuk kegunaan peribadi sejak tiga tahun lalu.

“Saya cuba menghubungi syarikat itu sebelum dimaklumkan syarikat terbabit tidak beroperasi sejak beberapa bulan lalu,” katanya ketika membuat aduan di Balai Berita, di sini, semalam.

Pui Tiong berkata, dia dimaklumkan kereta itu sudah dijual kepada pembeli baru dari Melaka, namun proses pertukaran hak milik dan penama kenderaan berkenaan masih tidak selesai.

“Saya mengetahui kejadian itu selepas menerima surat saman daripada bank awal bulan lalu berjumlah hampir RM80,000.
“Bagi menyelesaikan bayaran saman itu, saya kini terpaksa menjual sebuah rumah milik keluarga di Puchong,” katanya.

Sehubungan itu, Pui Tiong membuat laporan di Balai Polis Jinjang bagi menuntut syarikat terbabit bertanggungjawab atas kerugiannya.

Polis belum kenal pasti mayat remaja



AMPANG: Polis sehingga kini masih belum dapat mengenal pasti identiti mayat remaja perempuan yang ditemui berhampiran loji kumbahan Lembah Jaya, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati mangsa berumur antara 17 dan 18 tahun.

“Mangsa mempunyai ketinggian 162 sentimeter (sm) dan berambut panjang paras bahu dan berdasarkan penemuan cebisan kain dipercayai memakai baju kurung corak bunga hijau dan hitam.
“Malangnya, cap jari dan kesan suntikan BCG gagal ditemui akibat kesan terbakar dan ini mengakibatkan kesukaran dalam memastikan sama ada mangsa adalah rakyat tempatan atau asing,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, semalam.

Menurutnya, pihak polis sudah menerima empat laporan kehilangan remaja perempuan dan setakat ini, hanya satu keluarga sudah membuat pengecaman ke atas mayat berkenaan.

Bagaimanapun, hasilnya adalah negatif.

“Polis juga sedang menunggu laporan dari Jabatan Kimia,” katanya.

Pinjam duit ibu

Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my

KAJANG: Bekas isteri pelakon dan pengacara AC Mizal, Shafnie Zainuddin didakwa meminjam duit ibunya semata-mata menanggung perbelanjaan harian dan persekolahan dua anak lelakinya.
Ibu Shafnie, Rapiah Ab Talib, 62, dalam afidavit keterangannya diikrarkan di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam berkata dia mengetahui nafkah cucunya, Muhammad Shafiq Iman, 15, dan Muhammad Shabil Iman, 12, tidak mencukupi kerana Shafie (plaintif) tinggal bersamanya dan selalu mengadu perkara itu. “Selepas plaintif bercerai dengan AC Mizal (defendan), plaintif tinggal sementara di Kota Damansara kemudian berpindah ke rumah saya kerana tidak mampu bayar sewa rumah dan pembantu rumah. “Bila tinggal serumah, saya menanggung makan minum dan lain-lain. Saya tidak dapat bantu Shafnie menjaga anaknya sepenuh masa kerana tidak berapa sihat sebab itu plaintif kena ambil pembantu rumah. Saya tahu plaintif yang bayar pembantu rumah itu,” katanya dalam afidavit berkenaan. Menurut keterangan Rapiah yang juga pesara dalam afidavit itu lagi, Shafnie pernah menjual barang dengan kawan dan saudara-maranya kerana ingin mencari duit lebih untuk anaknya. Dalam afidavit itu juga, Rapiah menjelaskan anak sulung Shafnie, Muhammad Shafiq bersekolah di sekolah swasta kerana tidak mendapat bimbingan agama daripada bapa kandung mereka.

Tambahnya, dengan menghantar mereka ke sekolah swasta Al-Amin, Muhammad Shafiq mendapat pengetahuan agama lebih seperti tidak tinggal solat dan tahu konsep menjadi anak soleh. Rapiah juga menjelaskan dia mengetahui bekas menantunya itu hidup senang kerana selalu muncul di kaca televisyen dan mempunyai syarikat sendiri. “Saya tahu defendan berkemampuan membayar nafkah anak lebih daripada jumlah sekarang,” katanya. Selain itu, Rapiah berkata dia nampak emosi cucunya terganggu kerana tahu ayah mereka hidup senang tapi mereka hidup sederhana kerana nafkah tak mencukupi. Sementara itu, dalam soal balas peguam syarie Siti Aishah Din yang mewakili penyanyi itu, Rapiah memberitahu mahkamah Shafnie memfailkan kes itu pada 2008, selepas bercerai dengan suami keduanya. Shafnie yang berkahwin dengan AC Mizal pada 24 Jun 1995 memfailkan permohonan itu pada 30 Julai 2008. Pasangan itu bercerai talak satu pada 17 Oktober 2001.
Shafnie dalam permohonannya, menuntut RM3,770 sebulan dan perbelanjaan tahunan RM9,000 untuk kedua-dua anak mereka. Perubahan nafkah itu merangkumi perbelanjaan bulanan makan minum (RM400), pengangkutan (RM240), insurans pendidikan (RM1,000), pembantu rumah (RM200), pengajian al-Quran (RM280), dana amanah pendidikan (RM1,000) dan sewa rumah (RM650).

Hamba seks kekasih ibu akhirnya lapor polis



HULU SELANGOR: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dirogol teman lelaki ibunya sejak dua tahun lalu nekad membuat laporan polis berhubung tindakan keji lelaki terbabit, Jumaat lalu.
Difahamkan, pelajar tingkatan satu itu sering diugut lelaki berkenaan yang berusia 40-an jika tidak mahu tindakan sama dilakukan kepada adik perempuannya jika mangsa memberitahu keluarga atau membuat laporan polis.

Namun, rahsia tindakan keji lelaki itu terbongkar menyebabkan ibu dan adik perempuannya berusia empat tahun melarikan diri dari rumah mereka di Rawang, di sini dengan meninggalkan mangsa seorang diri.
Menurut sumber, mangsa tampil membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, mangsa sering dirogol lelaki terbabit apabila ibunya tiada di rumah. “Lelaki itu merogol mangsa tanpa mengira waktu. Malah, turut mengugut mangsa supaya tidak mendedahkan perbuatan keji itu kepada ibunya.

“Malah, lelaki itu turut mengugut mahu merogol adik perempuan mangsa sekiranya mangsa enggan melayan nafsunya,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan tidak mampu berbuat apa-apa hinggalah rahsia itu terbongkar menyebabkan ibu dan adik perempuannya melarikan diri.

Berikutan itu, mangsa turut melarikan diri sebelum membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.


Syak janda

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

PASIR GUDANG: Akibat memandang ringan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang dihantar seorang janda dua anak, keluarga seorang pemandu lori, Ahmad Yaacob, 58, dan dua jirannya di Jalan Asli, Taman Pasir Putih di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, penghuni ketiga-tiga rumah itu sedang tidur apabila kediaman masing-masing dijilat api tetapi semua mangsa berjaya menyelamatkan diri.

Kebakaran dikatakan dari ruang tempat letak kenderaan kediaman Ahmad.
Menurut Ahmad, mereka keliru sama ada kejadian berlaku secara kebetulan atau angkara bekas teman wanita anaknya yang dikenali menerusi laman sosial facebook.

“Ini kerana, wanita terbabit pernah menghantar SMS berbaur ugutan termasuk mahu membakar kediaman kami.

“Dia mula berdendam kerana kami memintanya keluar selepas sebulan menumpang di rumah ini. Kami tidak sangka akibat memandang ringan ugutannya sebelum ini, mengakibatkan kami sekeluarga selain jiran menjadi mangsa hingga hilang tempat tinggal,” katanya, semalam.

Mengimbau kejadian, menurut Ahmad, dia baru saja masuk tidur di tingkat bawah, manakala tiga lagi anaknya tidur di tingkat atas.

Katanya, dia sedar selepas dikejutkan dengan bunyi letupan seperti mercun sebelum terhidu bau asap menyelubungi rumah berkenaan.
“Saya keluar dari bilik dan mendapati api sudah marak hingga merebak ke dalam rumah. Saya menjerit mengejutkan anak di tingkat atas untuk menyelamatkan diri.

“Kami menyelamatkan diri menerusi pintu belakang kerana api marak menghalang laluan depan.

“Kebakaran turut memusnahkan van dan empat motosikal yang berada di halaman rumah termasuk wang tunai RM1,000 milik anak yang disimpan di dalam van berkenaan,” katanya.

Ahmad yang rugi lebih RM100,000 akibat kebakaran itu tidak menolak ia angkara khianat dan bukan disebabkan litar lintas memandangkan api bermula dari bahagian depan kediaman mereka.

Malah selepas kejadian, Ahmad memaklumkan, jiran memberitahu mereka melihat seorang lelaki berbadan sasa menunggang motosikal sambil membaling objek ke arah kediamannya.

Ahmad kemudiannya membuat laporan polis berkaitan kejadian di Balai Polis Taman Pasir Putih, petang semalam.

Anak perempuannya, Nur Nabilah, 21, turut mengesyaki kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat dan dendam seorang wanita terhadap keluarga mereka apatah lagi jiran ternampak sebuah motosikal berlegar di depan rumah mereka sebelum kejadian.

“Kami tidak menuduh tetapi mengesyaki ia adalah perbuatan seorang wanita berusia 27 tahun juga kenalan abang yang dikenalinya menerusi facebook.

“Kami meminta wanita terbabit keluar dari rumah selepas dia menumpang lebih sebulan sejak Julai lalu. Selepas itu wanita berkenaan pernah menghantar SMS berbaur ugutan kepada abang saya dan menyatakan mahu membakar rumah kami selepas dia keluar dari sini,” katanya.

Menurut Nabilah, sebelum itu, wanita terbabit memaklumkan hanya mahu menumpang buat seketika sementara menunggu mendapat kerja. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, Datuk Maulizan Bujang, ketika melawat ketiga-tiga keluarga turut menghulurkan bantuan peribadi berjumlah RM1,000 bagi setiap keluarga.

Pada masa sama, setiap keluarga berkenaan turut menerima sumbangan RM1,000 daripada Majlis Agama Islam Johor (Maij) dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagi meringankan beban mereka, semua 15 mangsa berkenaan ditempatkan sementara di Flat Kejiranan 8 di Taman Air Biru, Pasir Gudang, dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

“Kami akan membantu mangsa dari semasa ke semasa bagi memastikan nasib mereka terbela,” katanya.

Ketua Balai Bomba Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan 2 Mohd Salleh KVP Mohamed berkata, punca sebenar kebakaran masih disiasat.


‘Kapak terbang’ melayang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

AMPANG: Sekumpulan empat remaja lelaki bertindak samseng dengan menumbuk dan membaling kapak ke arah bapa seorang daripada rakan mereka selepas berang tidak dibenarkan berjumpa rakannya itu, awal pagi kelmarin.
Bagaimanapun, tindakan pantas lelaki berusia 45 tahun itu mengelak berjaya menyelamatkan dirinya daripada terkena kapak ‘terbang’ berkenaan.

Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa yang sedang tidur di dalam rumahnya di Pandan Jaya, di sini, terkejut sebaik mendengar bunyi bising dari luar rumah.
“Kumpulan remaja berusia 17 tahun itu yang juga rakan sebaya anak lelakinya datang ke rumah dan memaksa anaknya keluar melepak. Namun, anak mangsa enggan keluar.

“Mangsa kemudian menasihati mereka supaya pulang dan tidak memaksa anak lelakinya itu terbabit dalam kumpulan berkenaan,” katanya.

Malangnya, seorang daripada kumpulan itu secara tiba-tiba naik angin lalu menumbuk muka mangsa.

“Bukan itu saja, seorang lagi daripada mereka pula membaling kapak ke arah mangsa. Bagaimanapun, mangsa yang menyedari tindakan itu sempat mengelak,” katanya.

Berikutan tindakan itu, mangsa yang berang dengan tindakan itu dikatakan mengejar kumpulan terbabit, namun tidak berhasil.
Menurutnya, isteri mangsa yang melihat kejadian itu segera menghubungi polis sebelum sepasukan polis tiba di tempat kejadian.

Difahamkan, kumpulan berkenaan dipercayai menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada anak mangsa dengan mengugut mahu membunuhnya jika membuat laporan polis.

Mangsa yang bimbang akan keselamatan keluarganya tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.


Lelaki pijak perut isteri serah diri



GOMBAK: Suami yang membelasah isterinya yang mengandung lima bulan datang sendiri ke Balai Polis Selayang, semalam untuk menyerah diri selepas mengetahui pihak berkuasa sedang mengesannya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, lelaki terbabit datang ke Balai Polis Selayang kira-kira jam 12 tengah hari bagi menyerah diri.

Sehubungan itu, pihaknya kini menahannya bagi membantu siasatan kes berkenaan yang dibuat mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan (KK).
Harian Metro semalam melaporkan seorang isteri mengandung lima bulan dipijak perut sebelum dibelasah gara-gara menegur sikap suaminya yang tidak pulang ke rumah selama dua hari di Kampung Nakhoda, di sini.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa yang berusia 27 tahun dan belum tidur kerana menunggu suaminya itu menegur lelaki berkenaan agar berubah demi masa depan mereka sebaik pulang ke rumah, tambahan pula tidak lama lagi akan bergelar bapa.

Difahamkan, suami mangsa sering pulang lewat kerana menghabiskan masa melepak bersama rakan sebelum yang terbaru tidak pulang ke rumah selama dua hari.


Cakar muka suami

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

GOMBAK: Hanya kerana permintaannya untuk pergi ke salun tidak ditunaikan, seorang isteri sanggup mencakar muka dan memukul kepala serta badan suaminya di kediaman mereka di Selayang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, suaminya yang berusia 27 tahun sebelum itu keluar bersiar-siar bersama-sama dan pulang ke rumah kerana perlu pergi ke tempat kerja.

Bagaimanapun, isterinya yang berusia 25 tahun meminta suaminya itu menghantarnya terlebih dahulu ke salun berhampiran kerana ingin membuat rawatan rambut.
Menurut sumber, mangsa memberitahu tidak dapat menghantarnya ke salun itu kerana ingin terus ke tempat kerja dan berjanji menghantarnya pada hari lain.

“Namun, isterinya tidak dapat menerima jawapan diberi mangsa malah terus mendesak supaya menghantarnya ke salun berkenaan.

“Akibatnya, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum tiba-tiba wanita itu mencakar muka mangsa menyebabkan dia menjerit kesakitan sambil menekup muka,” katanya.

Sumber berkata, mangsa turut dipukul di kepala beberapa kali bagi melepaskan geram tambahan pula mangsa yang dalam kesakitan akibat dicakar tidak mampu melawan.

“Selepas beberapa minit mangsa yang tidak tahan dengan pelakuan isterinya itu keluar rumah untuk ke tempat kerjanya di Jinjang.
“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Jinjang mengenai kejadian itu. “Kes itu dirujuk semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak,” katanya.

Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera di muka, telinga dan kepala diberi rawatan di klinik berhampiran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Dibelasah ketika ambil anak



GOMBAK: Seorang wanita melecur kaki kanan dan cedera di muka dipukul bekas suami ketika datang mengambil anak lelakinya di rumah mentuanya Kampung Melayu Sri Kundang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa berusia 25 tahun mengambil anaknya berusia dua tahun untuk tinggal sementara dengannya kerana rindu.

Pada mulanya, bekas ibu mentuanya membenarkan mangsa mengambil anaknya itu sebelum dibawa dengan motosikal.
Bagaimanapun, belum sempat mangsa meneruskan perjalanan, tiba-tiba bekas suami yang menyedari kehadirannya berlari keluar menghalang mangsa membawa anak mereka.

Menurut sumber, mangsa yang terkejut dengan tindakan itu naik berang sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

“Masing-masing enggan mengalah dan pertengkaran berlaku sebelum lelaki itu menarik motosikal mangsa menyebabkannya terjatuh,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang tidak sempat menyelamatkan diri dihempap motosikal itu sementara kaki kanan tersepit di celah ekzos yang panas menyebabkan dia menjerit kesakitan.

“Bekas suami mangsa kemudian menumbuk mukanya beberapa kali sebelum mengambil anaknya,” katanya.
Katanya, dalam kesakitan, mangsa bangun semula dan terus ke Balai Polis Kuang untuk membuat laporan berhubung kejadian itu sebelum menerima rawatan di klinik berhampiran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.


Teman wanita ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 24 tahun yang menyimbah air panas ke kemaluan teman lelakinya ditahan reman bermula kelmarin sehingga Jumaat ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad berkata, penahanan wanita terbabit bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Harian Metro semalam melaporkan seorang lelaki melecur di perut dan kemaluannya selepas disimbah air panas oleh teman wanita terpaksa berlari bogel lebih lima kilometer (km) bagi mendapatkan bantuan di Balai Polis Kota Damansara.
Dalam kejadian jam 8 pagi di sebuah hotel di Jalan PJU5, Kota Damansara di sini, mangsa yang berusia lewat 20-an, diserang teman wanitanya selepas berlaku pertengkaran apabila mangsa mahu menamatkan hubungan mereka. Sebelum kejadian pasangan terbabit dilaporkan bertengkar selepas mendaftar masuk ke hotel itu jam 11 malam, Sabtu lalu.

‘Kenapa bunuh dia?’

Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

KAJANG: “Saya sedia memaafkan mereka yang memukul anak saya hingga mati, tetapi sebelum itu, mahu bertemu dengannya kerana ingin tahu apa salah anak saya itu hingga diperlakukan sebegitu kejam dan meragut nyawanya.
“Jika duit menjadi punca, saya sangat kecewa kerana kini nyawa seperti tiada nilai dan sesiapa saja boleh meragutnya tanpa ada rasa belas kasihan,” kata Sutin Mohd Yusof, 53, bapa kepada pelajar tingkatan satu yang ditemui terbaring di Taman Kajang Utama, di sini sebelum disahkan meninggal dunia, awal bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam pada 28 Julai lalu itu, anaknya, Luqman Hakim, 13, dikatakan keluar dari rumah untuk mengunci basikalnya yang diletakkan berhampiran kediaman itu, tetapi tidak pulang selepas itu.
Menurut Sutin, beberapa individu kemudian datang ke rumahnya dan memaklumkan anaknya ditemui terbaring berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di tepi jalan besar berhampiran taman perumahannya.

“Kami sekeluarga terkejut apabila dimaklumkan kejadian itu dan segera pergi ke tempat kejadian untuk melihat keadaannya. “Apabila tiba, isteri saya mendapati arwah sudah tidak sedarkan diri dan segera menghantarnya ke wad kecemasan Hospital Kajang (HK) sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, anaknya disahkan meninggal dunia selepas koma hampir 10 hari dengan kematian disebabkan pendarahan teruk di kepala akibat tempurung kanannya disahkan pecah oleh doktor.

Beliau berkata, keluarganya terkilan kerana anaknya dipukul dengan kejam hingga meragut nyawanya, selain tidak mengetahui punca individu berkenaan tergamak bertindak di luar batasan hingga meragut nyawa anaknya yang tidak berdosa.

“Beberapa hari sebelum kejadian, anak saya memaklumkan takut untuk ke sekolah kerana seorang pelajar senior sering memeras ugutnya.
“Tapi saya tidak menuduh mana-mana pihak dan menyerahkan siasatan kes kepada polis untuk mencari suspek dan berharap individu itu dikenakan hukuman setimpal,” katanya. Beliau berkata, anaknya itu agak pendiam pada malam kejadian sedangkan sebelum ini, dia seorang yang ceria dan gemar bergurau dengan adik beradik lain.

“Sebelum keluar rumah pada malam kejadian, anak saya itu ada berpesan kepada kakaknya yang bakal berkahwin tidak lama lagi supaya menjaga diri dan tidak bergaduh dengan bakal suami.

“Anak saya memakai jersi pasukan kebangsaan kerana begitu teruja menonton perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Singapura pada malam kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, berdasarkan laporan doktor dari HSB, kecederaan dialami mangsa tidak konsisten dengan kecederaan akibat dibunuh.

“Oleh itu, polis menyiasat kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR).

“Kami sudah memanggil dan mengambil keterangan beberapa individu, namun setakat ini tidak dapat mengaitkan pembabitan individu terbabit dengan kes itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment