Peluru sesat lalu celah ketiak - Aji
|
SUBANG - Jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan menyifatkan dirinya bagaikan mati hidup semula apabila terselamat dalam tragedi tembakan curi yang mengorbankan jurugambar BernamaTV, Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor, 39, di Mogadishu, Somalia kelmarin.
Dia berkata, selepas mengorbankan rakannya, peluru sesat tersebut yang dipercayai dilepaskan oleh tentera Kesatuan Afrika (AU) telah melalui celah ketiak dan rusuknya di sebelah kanan.
"Saya sangat bernasib baik kerana peluru tersebut menembusi badan arwah terlebih dahulu sebelum lalu di celah ketiak dan rusuk saya di sebelah kanan, menyebabkan saya tercedera.
"Ada orang beritahu saya, telah terjumpa sebuah peluru yang dipercayai terkena arwah dalam pacuan empat roda dinaiki saya bersama rakan media lain," ceritanya lagi.
Allahyarham disambut sebagai wira negara
SUBANG - Suasana pilu menyelubungi Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini apabila pesawat Charlie C-130 yang membawa jenazah jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang maut akibat terkena tembakan curi di Mogadishu, Somalia pada Jumaat lalu tiba kira-kira pukul 10.05 pagi semalam.
Pesawat yang sama turut membawa pulang seramai 16 pengamal media lain yang turut disertai 14 pasukan khas daripada sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia, doktor (19) dan krew TUDM (26) yang diketuai oleh Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Sejurus tiba, jenazah Allahyarham yang diiringi Abdul Azeez disambut anggota keluarga termasuk ayah Allahyarham, Mohd. Nor Mat Yassin, 66, dan ibunya, Naemah Abd. Majid, 63.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut menyambut ketibaan jenazah.
Adinda Sultan Kelantan dakwa disabotaj
KOTA BHARU - Adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra membuat aduan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan di sini, semalam terhadap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri setelah mendakwa terdapat cubaan sabotaj yang menyebabkan cukai jalan empat buah kereta peribadi milik ayahanda beliau, Sultan Ismail Petra gagal diperbaharui.
Dua korban lagun maut
PASIR PUTEH - Kegembiraan dua buah keluarga menghabiskan cuti hujung minggu dengan berkelah di Lagun Kuala Semerak di sini kelmarin berakhir dengan air mata apabila masing-masing kehilangan ahli keluarga akibat ditelan 'lagun maut' di situ.
Kejadian pada pukul 3.45 petang itu mengorbankan Nik Nur Hidayah Nik Man, 11, dari Kampung Gong Penaga dan Nik Nor Fatin Izzati Nik Mohd. Noor, 15, dari Kampung Gong Datuk dekat sini.
Mangsa pertama Nur Hidayah lemas selepas kedua-dua kakinya terbenam dalam lumpur yang jerlus sebelum ditenggelami air sungai pasang besar.
Pada masa sama, Nor Fatin pula lemas di kawasan air dalam selepas dia tergelincir ke dalam lopak air.
Dua tragedi membabitkan dua buah keluarga itu berlaku dalam jarak 30 meter dan kedua-dua buah keluarga itu tidak mengetahui mengenai tragedi antara satu sama lain.
Ramai ditipu sindiket jenayah siber
SUBANG JAYA - Kurangnya kefahaman serta kesedaran mengenai keselamatan penggunaan komputer dan telefon bimbit menyebabkan ramai rakyat di negara ini ditipu oleh sindiket jenayah siber.Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Daerah Subang Jaya, Inspektor Ahmad Faizal Aminuddin berkata, jenayah siber yang kerap dilakukan antaranya adalah melibatkan penggunaan perbankan melalui Internet, VoIP (Voice Over Internet Protocol) dan e-Perdagangan.
"Penggunaan komputer dan telefon bimbit yang semakin canggih memudahkan operasi sindiket untuk menipu orang ramai," kata beliau ketika ditemui baru-baru ini. - Bernama
Warga emas lumpuh terselamat
TANAH MERAH – Seorang warga emas yang lumpuh berjaya diselamatkan ketika api sedang marak membakar sebuah rumah di Kampung Ayer Chanal di sini pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.09 pagi itu, warga emas tersebut, Samat Mat Min (gambar), 90, yang berada di ruang tamu rumah akibat lumpuh diselamatkan oleh cucunya yang bergegas pulang daripada menoreh di kebun getah selepas menyedari rumahnya terbakar.
Seorang penghuni rumah, Mek Kaltom Samat, 53, berkata, semasa kejadian dia dan anaknya, Azri Mamat, 22, pada ketika itu sedang berada di kebun getah sejauh 500 meter dari rumahnya kerana menoreh.
Majlis hari jadi nenek diserang empat lelaki
IPOH – Kemeriahan sebuah majlis sambutan ulang tahun kelahiran seorang nenek gempar apabila tiba-tiba diserang empat lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan pistol, parang dan kayu golf di Taman Desa Rishah, Buntong di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi itu, Gordan Francis, 18, yang merupakan cucu M. Marianee, 58, cedera parah terkena tembakan pada bahu kirinya.
Ibu saudara mangsa, G. Ushanantini, 30, berkata, semasa kejadian, dia sedang menganjurkan permainan sempena sambutan ulang tahun kelahiran ibunya yang melibatkan hampir 16 orang kanak-kanak.
Dia berkata, ketika itu, Gordan yang merupakan seorang pembantu jualan sebuah kedai telefon bimbit sedang duduk di atas sebuah motosikal bersama dua rakannya di luar pagar rumahnya.
“Tiba-tiba datang sebuah kereta Proton Iswara berwarna putih yang meluncur laju melintasi rumahnya sebelum mengundur dan seorang lelaki keluar lalu melepaskan tembakan ke arah Gordan.
“Anak saudara saya bertindak melarikan diri dengan motosikal tetapi tembakan kedua yang dilepaskan terkena bahu kirinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Rishah di sini semalam.
Derita mualaf akibat kanser kulit
KUALA SELANGOR – Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini benar-benar menguji keimanan seorang mualaf angkara penyakit kanser kulit yang dideritainya semakin serius sejak tiga bulan lalu.
Lebih menyedihkan, mangsa, Muhammad Nazri Nuwis Abdullah, 39, yang sudah tidak lagi bekerja terpaksa menanggung kos perubatan dan perbelanjaan harian lebih RM1,000 sebulan.
Menurut Muhammad Nazri, dia yang merupakan golongan albino sejak kecil kini tidak boleh terdedah kepada cahaya matahari kerana ia menyebabkan kulitnya gatal.
“Jika dibiarkan ia boleh membuatkan kulit mengelupas teruk. Ada beberapa bahagian kulit di badan dan tengkuk telah menampakkan isi daging dan urat.
'Tentera semut' terus berleluasa
RANTAU PANJANG – Dikejar anggota penguat kuasa sudah menjadi asam garam hidup para penyeludup di sekitar kawasan Sungai Golok di sini yang merupakan sempadan Malaysia dan Thailand.
Bagi mereka inilah adat mencari rezeki, susah dahulu senang kemudian kerana pulangan lumayan hasil kerja menyeludup menyebabkan mereka sukar untuk meninggalkan kerja tersebut meskipun sedar ia melanggar undang-undang.
Upahnya untuk sekali bawa masuk barang tidak banyak, tetapi oleh kerana permintaan tinggi menjadikan kerja itu tidak kehabisan dan sentiasa menunggu.
Rekod dan had jualan asid di premis terbuka
KUALA LUMPUR – Selepas Biro Aduan Komuniti UMNO mahu para peniaga yang menjual asid wajib didaftarkan kini Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) pula mahu pihak berkuasa supaya mewujudkan satu sistem pangkalan data.Presiden CASSA, Datuk Dr. Jacob George berkata, langkah itu perlu bagi menyenangkan sebarang transaksi penjualan asid dapat direkodkan.
Ia juga akan memudahkan data dapat direkodkan bagi menyenangkankan pihak berkuasa mengesan sekiranya bahan kimia itu digunakan bagi tujuan jenayah.
“Kita takut kejadian tersebut berulang lagi memandangkan orang ramai boleh mendapatkan asid dengan mudah dan menyalahgunakan sebagai senjata.
“Jadi, satu jawatankuasa khas yang bertanggungjawab merekodkan pembelian asid harus diwujudkan dalam memantau penjualan di kalangan pengguna,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ahli astronomi diancam saman pertikai tarikh Aidilfitri
|
JEDDAH - Sejumlah cendiakawan Islam mengancam untuk menyaman seorang ahli astronomi Arab Saudi yang juga seorang saintis, Khaled Al-Zaaq kerana meragui tarikh Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada Selasa lalu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Khaled sebelum ini mempertikaikan pengakuan beberapa rakyat Arab Saudi yang mengaku melihat anak bulan Syawal pada hari Isnin lalu.
Beberapa rakyat yang melihat anak bulan itu membuat penemuan tersebut kepada Jawatankuasa Melihat Bulan di Arab Saudi yang dikenali sebagai Hilal yang kemudian memutuskan Aidilfitri jatuh pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, Khaled menyatakan apa yang dilihat oleh rakyat Arab Saudi itu adalah planet Zuhal dan bukan anak bulan Syawal.
Beberapa cendiakawan mempertahankan kenyataan kumpulan orang yang melihat anak bulan itu dengan menyatakan tarikh Hari Raya Aidilfitri adalah tepat.
Anak bulan itu amat jelas kelihatan pada malam hari Selasa lalu.
Ia sekali gus menyokong kumpulan orang yang melihat anak bulan itu.
Sejumlah penduduk di kawasan Al-Ais menyatakan mereka melihat anak bulan itu pada Isnin lalu selama setengah jam.
Kumpulan orang yang dipilih untuk melihat anak bulan itu merupakan golongan yang berintegriti.
Mufti Besar, Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah Al-Asheikh semasa membacakan khutbah Jumaat lalu di Masjid Imam Turki bin Abdullah di Riyadh menyatakan, ahli astronomi yang mempertikaikan anak bulan tersebut cuba untuk memaksakan pandangan mereka ke atas rakyat.
"Kami mengikuti ajaran Sunah Nabi kita dengan kuat semasa menentukan puasa dan Hari Raya Aidilfitri," katanya. - Agensi
Kita semua buat perkara bodoh semasa muda - PM Britain
|
LONDON - Perdana Menteri Britain, David Cameron menyatakan bahawa semua orang membuat perkara bodoh semasa mereka muda, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Beliau membuat kenyataan itu selepas ditanya seorang juruhebah dalam program Today Show di stesen Radio 4 berhubung gelagatnya semasa belajar di Universiti Oxford.
Ketika Cameron menjadi pelajar, dia menyertai kelab Bullington di univeristi itu yang terkenal dengan sikap mabuk ahli-ahlinya yang memecahkan tingkap termasuk restoran.
Perdana Menteri itu ditanya jika terdapat persamaan di antara menjadi anggota geng muda yang terlibat dalam kelakuan ganas dengan pencuri yang berlaku semasa rusuhan di London baru-baru ini.
Cameron menjawab: "Saya berpendapat, kita semua melakukan perkara yang bodoh semasa muda dan kita sepatutnya mendapat pengajaran."
Juruhebah itu juga bertanya kepada Cameron: "Adakah anda menjadi saksi sebagai ahli kelab tersebut, terdapat orang membaling benda-benda menerusi tingkap, memecahkan restoran?
Perdana Menteri itu berkata: "Tidak, saya tidak melakukannya."
Menurutnya, semasa rusuhan di London berlaku baru-baru ini, kebanyakan kes mencuri dilihat diatur dengan amat baik.
- Agensi
No comments:
Post a Comment