Natasha berjanji jalani kehidupan normal
|
KANGAR - Jabatan Agama Islam Perlis akan membimbing seorang pondan, Natasha bagi membantunya kembali kepada fitrahnya sebagai seorang lelaki.
Pengarahnya, Abdul Malik Hussin berkata, bagi tujuan itu, pihaknya telah memberi nasihat serta buku agama sebagai rujukan untuk mengubah dirinya sekali gus melupakan niat menjalani kehidupan songsang dengan teman lelaki.
Menurut beliau, jabatan itu akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi melihat perubahan yang dijanjikan Natasha dalam pertemuan di rumahnya semalam.
"Pegawai saya telah menemuinya bagi melihat keadaannya dan menasihati mengenai hukum, agama dan fitrah seorang lelaki.
"Dia akur dengan penjelasan kami dan berjanji mahu berubah," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan hasrat Natasha untuk menjalani kehidupan bersama teman lelakinya, Mohd. Hafizuddin Johari, 20, di luar negeri ini.
Tindakan itu berikutan hubungan mereka dicemburui pihak tertentu sehingga Mohd. Hafizuddin disimbah asid pada Sabtu lalu ketika berada di rumah sewanya di Taman Seri Bakau di sini.
Pengguna perlu bayar lebih
|
|
KUALA LUMPUR - Seramai 26.2 juta pelanggan talian telefon mudah alih prabayar di negara ini bakal dikenakan caj bagi cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus berkuat kuasa 15 September ini.
Jumlah tersebut meliputi tiga syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara iaitu Celcom (Xpax) seramai 9 juta pelanggan, DiGi seramai 7.7 juta orang dan Maxis (Hotlink) 9.5 juta orang.
Menurut siaran akhbar yang dikeluarkan bersama oleh syarikat tersebut semalam, para pelanggan selepas ini dikenakan cukai bagi setiap pembelian tambah nilai prabayar dan pek permulaan prabayar baharu.
Dengan penguatkuasaan caj itu, seorang pelanggan yang membeli kad tambah nilai berjumlah RM10 perlu membayar RM10.60, dengan 60 sen adalah cukai perkhidmatan.
“Para pelanggan prabayar akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) bermula tengah hari ini (semalam) mengenai cukai perkhidmatan baharu itu,” kata kenyataan itu.
Terlepas tuduhan bunuh jiran
KOTA BHARU - Seorang lelaki tergamam selepas Mahkamah Sesyen di sini semalam melepas dan membebaskannya daripada tuduhan membunuh tanpa niat seorang jiran kerana berebut seekor kerbau di Kampung Belimbing, Tanah Merah dekat sini dua tahun lalu.
Hakim Zainal L. Salleh ketika memutuskan perkara itu berkata, tindakan yang dilakukan tertuduh Ismail Jusoh, 59, adalah untuk mempertahankan diri dan tidak melampaui undang-undang.
Sejurus keputusan selesai dibacakan, bapa kepada lapan anak yang berada di kandang tertuduh itu terus memeluk ahli keluarga dengan linangan air mata sambil menadah tangan berdoa.
"Selama dua tahun (kes) dibicarakan di mahkamah, saya tahu saya tidak bersalah kerana melakukan perbuatan itu untuk mempertahankan diri.
"Kes ini berlaku apabila Mohamed Jusoh (mangsa) mendakwa kerbau saya adalah haiwan miliknya. Dalam pergaduhan itu saya juga cedera dengan tiga jahitan di kepala," kata Ismail yang diwakili peguam Rosmizan Sulaiman.
Sementara itu, Zainal dalam penghakimannya pula berkata, selepas meneliti fakta keterangan, mahkamah mendapati tindakan Ismail adalah untuk mempertahankan diri.
Malah pada waktu kejadian, tertuduh didatangi oleh mangsa bersama anak dan menantunya yang bertindak memegang warga emas itu.
"Walaupun cedera mangsa menerkam tertuduh sehingga keempat-empat mereka terjatuh," kata Zainal.
Gadis Thai jadi keldai dadah
KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dadah membabitkan warga Afrika kini lebih licik apabila menukar modus operandi dengan menggunakan jalan darat dan menjadikan wanita Thailand sebagai keldai dadah.
Jalan darat dipilih selepas sindiket mendapati sistem keselamatan pintu masuk di kesemua lapangan terbang di negara ini dipertingkatkan menyebabkan mereka menghadapi kesukaran.
Wanita Thailand pula dipilih kerana negara itu dijadikan transit oleh pengedar dadah sebelum dijual di tempat lain.
Bagaimanapun, apa juga usaha mereka, polis yang sentiasa mengekang kegiatan haram tersebut dapat menumpaskan tiga sindiket dianggotai tujuh individu berusia di antara 20 dan 41 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.6 juta sejak Selasa lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, daripada jumlah tangkapan itu, empat merupakan warga asing dari Thailand dan Nigeria. Kesemua keldai dadah itu ditahan di Lembah Klang dan Terengganu.
Katanya, tangkapan pertama melibatkan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki Thailand di Bandar Sri Damansara pada pukul 11.15 malam kelmarin.
"Ketika ditahan, kesemua suspek menaiki sebuah kereta jenis Toyota Crowne yang dipandu lelaki Thailand tersebut.
"Pemeriksaan menemui sebanyak 60 ketulan mampat ganja yang disorokkan di dalam ruang khas yang telah diubahsuai di dalam kereta itu," katanya di sini semalam.
Cemburu disyaki motif kontraktor dibunuh
|
|
JOHOR BAHRU - "Saya mahu tahu motif penjenayah membunuh bapa saya kerana saya mengesyaki ia mungkin ada kaitan dengan motif cemburu dalam perniagaan perkapalan milik mendiang."
Demikian luahan V. Nishindren, 18, anak sulung S. Vijayaratnam, 47, yang maut ditetak dua lelaki bersenjatakan parang di Jalan Tasek 24, Bandar Seri Alam, Selasa lalu.
Dalam kejadian itu, ibu Nishindren, G. Vijayalakshmi, 45, cedera parah. Pasangan itu dicederakan selepas penjenayah yang dipercayai mabuk gagal masuk ke bilik utama rumah itu untuk melarikan barang berharga.
Menurut Nishindren, mendiang bapanya memiliki satu perniagaan subkontraktor perkapalan di Pulau Jerjak, Pulau Pinang sejak tujuh tahun lalu.
Oleh itu, Nishindren yang juga merupakan pelajar sebuah kolej swasta di Mantin, Negeri Sembilan mahu polis menyiasat motif tindakan kejam yang mungkin ada kaitan dengan perniagaan mendiang bapanya.
"Saya minta polis siasat motif pembunuhan mungkin ia sebab dendam atau cemburu berkaitan dengan kejayaan perniagaan ayah saya," kata remaja itu yang juga mahu polis segera memberkas dua lagi suspek.
Nishindren turut memaklumkan keadaan emaknya semalam semakin stabil.
Jangan bimbang naik ambulans
|
|
PUTRAJAYA - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai meminta pesakit agar tidak bimbang apabila dibawa menaiki ambulans kerana pelbagai langkah termasuk latihan pemanduan telah dijalankan terhadap pemandu kenderaan tersebut.
Menurut beliau, semua pemandu ambulans telah menjalani latihan yang meluas dan terperinci termasuk Prosedur Operasi Standard (SOP).
"Mereka mahir dan pemandu yang berhati-hati. Jadi pesakit janganlah bimbang. Kita sediakan perkhidmatan yang cemerlang," katanya selepas menghadiri majlis sambutan Merdeka Raya Kementerian Kesihatan di sini semalam.
Dalam tempoh tiga bulan lalu, sebanyak lima kemalangan dicatatkan yang membabitkan ambulans dan mengorbankan pesakit yang sedang dibawa menaiki kenderaan kecemasan itu.
Tiong Lai berkata, kementerian itu telah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman untuk mengenal pasti faktor-faktor dan punca kemalangan itu berlaku.
Katanya, had kelajuan ambulans akan dikaji semula kerana kenderaan itu diubah suai selain dilengkapi dengan pelbagai peralatan mengikut klasifikasi pada ambulans sama ada jenis A, B dan C.
"Jadi adalah penting untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pemandu mengenai had kelajuan kenderaan itu kerana ambulans telah diubah suai," kata beliau.
Tuah umur panjang nenek Piah
MELAKA – Nasib menyebelahi seorang warga emas yang selama ini tinggal bersendirian di rumahnya di Kampung Duyong, Semabok Dalam di sini apabila dia terselamat ketika kediamannya hangus dalam kebakaran bermula pukul 10.05 malam kelmarin.
Hal tersebut berlaku kerana ketika kejadian, Piah Hussin, 77, sudah tiga hari dimasukkan ke Hospital Melaka di sini untuk mendapatkan rawatan kerana kencing manis dan darah tinggi.
Kebakaran tersebut disedari oleh cucunya, Aqilah Razak, 17, apabila terdengar jeritan salah seorang jiran memanggil ibu dan bapanya memberitahu rumah neneknya yang terletak di hadapan rumahnya terbakar.
“Ketika itu, cuma saya, ibu dan empat adik berada di rumah manakala ayah menemani nenek di hospital sejak dimasukkan ke wad Ahad lalu kerana penyakit kencing manis dan darah tinggi.
“Saya terkejut apabila mendapati api sudah marak dan terus menyelamatkan adik-adik manakala ibu mengalihkan dua kereta yang diletakkan di hadapan rumah,” katanya ketika ditemui di sini malam kelmarin.
Minyak seludup jadi 'penumpang'
PENGKALAN KUBOR - Segelintir teksi dan kereta sewa di sekitar kawasan ini dikesan tidak lagi menjalankan tugas hakiki mengambil penumpang sebaliknya giat dengan aktiviti menyeludup petrol bersubsidi ke negara jiran.
Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Marin (PGM), Deputi Supritendan Tan Cheng San berkata, hasil maklumat awam mengenai sikap tidak bertanggungjawab itu, pihaknya melakukan pemantauan di sekitar pangkalan haram Nasir, Simpangan dekat sini kira-kira pukul 11.30 malam kelmarin.
Menurutnya, selepas intipan itu, pihaknya menyerbu sebuah teksi di pangkalan haram tersebut yang dipercayai baru menghantar minyak petrol bersubsidi kepada sebuah bot yang siap menunggu di situ.
"Hasil serbuan kita menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang memandu teksi tersebut namun, kita percaya suspek bukan pemilik teksi berkenaan sebaliknya hanya mengambil upah menghantar minyak tersebut.
"Pemeriksaan yang dilakukan mendapati but teksi tersebut telah diubah menjadi tangki tambahan yang mampu memuatkan 250 liter petrol," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Bapa tonton video anak dipukul
|
|
ALOR SETAR - Seorang bapa terkejut apabila menonton video anaknya dipukul bertubi-tubi oleh seorang pelajar senior di asrama sebuah sekolah agama di Jitra dekat sini.
Kejadian dipercayai berlaku pada 2 April lalu kira-kira pukul 6.15 petang tetapi hanya disedari Abu Bakar Salleh, 43, setelah menemui satu kad memori lama telefon bimbit milik anaknya itu, Danial Wafiy Nuruddin, 14, awal Julai lalu.
Katanya, klip video yang memaparkan aksi pelajar tingkatan tiga menyepak, menumbuk dan memukul anaknya itu dengan kayu dipercayai dirakam salah seorang rakannya.
"Saya amat terkejut dan sedih melihat Danial diperlakukan seperti itu. Danial takut dan trauma sehingga sanggup menyembunyikan perkara itu selama beberapa bulan.
"Ia hanya terbongkar setelah kami menemui satu memori kad daripada telefon bimbit lamanya. Jika tidak entah apalah nasibnya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Bongok, Alor Janggus di sini semalam.
Menurut Abu Bakar, beliau membuat laporan di Balai Polis Jitra kerana bimbang dan risau dengan keselamatan anaknya ekoran kejadian tersebut.
No comments:
Post a Comment