Thursday, October 27, 2011

ALLAH BOLEH BAGI APA SAJA...BANJIR...GEMPA...RIBUT DLL...JADI JANGAN BUAT MUNGKAR...BUAT KEZALIMAN...ALLAH BOLEH HUKUM BILA2 MASA.....ALLAH MAHA AGONG DAN MAHA BERKUASA ATAS SEGALA SESUATU

Amil lesapkan wang zakat diburu


PEJABAT Majlis Agama Islam Johor di Johor Bahru melantik Redzuan (gambar kecil) sebagai Amil Fitrah bagi kawasan Kulaijaya.



JOHOR BAHRU – Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam penipuan wang kutipan zakat sebanyak RM18,000 pada tahun lepas.
Ketika kejadian, lelaki itu dikatakan merupakan seorang imam di sebuah masjid di Kulaijaya dekat sini.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Supritendan Mohd. Luthfi Ismail Abdullah berkata, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Redzuan Mohd. Said dikatakan gagal menyerahkan wang kutipan zakat sebanyak RM18,000 kepada Majlis Agama Islam Johor.
Menurut beliau, lelaki berkenaan mempunyai kad pengenalan bernombor 830803-01-5859 dengan alamat terakhirnya ialah di No. 5506, Jalan Matahari 34/8, Taman Indahpura, Kulaijaya.
“Suspek telah dilantik oleh Majlis Agama Islam Johor sebagai Amil Fitrah bagi kawasan Kulaijaya dan difahamkan dia telah berjaya mengutip wang zakat sebanyak RM18,000 pada tahun lepas.
“Bagaimanapun, sehingga kini suspek gagal menyerahkan kembali wang zakat kutipan tersebut,” kata Mohd. Luthfi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam.
Kosmo! difahamkan, laporan telah dibuat oleh Pegawai Jabatan Agama Islam Kulaijaya sebaik menyedari suspek gagal menyerahkan wang kutipan dan tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan semua kutipan zakat tersebut.

Rangka manusia 16,000 tahun dihantar ke tapak asal



KAWASAN gua tempat penemuan rangka manusia berusia 16,000 tahun di Gua Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.



KUALA TERENGGANU – Rangka manusia berusia 16,000 tahun yang dipercayai rangka tertua pernah ditemui di negara ini akan dikembalikan ke tapak asalnya di Gua Bewah, Tasik Kenyir tidak lama lagi.
Pengarah Muzium Terengganu, Yusof Abdullah berkata, pihaknya sedang membuat persiapan terakhir berhubung urusan penghantaran rangka dikenali sebagai Bewah Man itu. Ia dijangka dilakukan pada akhir tahun ini.
Katanya, sekumpulan pakar tempatan dan ahli arkeologi kini sibuk membina satu bekas khas yang sesuai untuk menempatkan rangka manusia itu yang telah ditemui di Gua Bewah pada November tahun lalu.
“Penyelidikan ke atas rangka ini telah memasuki fasa terakhir dan selepas itu kita akan menghantarnya ke tempat ia ditemui.
“Kita juga akan pastikan rangka ini tidak diganggu dan sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Ditanya apakah jantina rangka itu, Yusof menjelaskan, sepasukan ahli arkeologi baru-baru ini telah menemui cebisan gigi ketika melakukan cari gali di Gua Bewah dan penemuan itu diharap akan dapat membantu untuk menentukan jantina rangka berkenaan.
“Ini adalah penemuan baru bagi Bewah Man namun kita akan melakukan lebih banyak ujian sebelum dapat menentukan jantina sebenar rangka yang dianggap tertua di negara kita,” jelasnya.
Yusof menjelaskan, setiap rangka yang ditemui di kawasan itu telah dihantar kepada pakar-pakar di Amerika Syarikat untuk penyelidikan lanjut.

Ajal dihempap pokok

JERANTUT - Seorang ibu tergamam dan terkejut apabila menyaksikan anak bongsunya yang berusia empat tahun menemui ajal dalam keadaan tidak diduga selepas kanak-kanak tersebut dihempap sebatang pokok kelapa yang tiba-tiba tumbang di halaman rumahnya di Kampung Lada dekat sini kelmarin.
Kejadian menyayat hati yang berlaku pukul 10.30 pagi itu menyebabkan Nurshuhada Azman (gambar kecil) meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut.
Difahamkan, sebelum kejadian Nurshuhada sedang bermain di halaman rumah. Selain ibunya, turut berada dekat laman tersebut ialah lima adik-beradiknya.
Bapa mangsa, Azman Zainuddin, 41, berkata, dia bergegas ke hospital sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jirannya. Ketika itu dia berada di Pekan Jerantut Feri kira-kira empat kilometer dari rumahnya.
Mengimbau semula kejadian itu, Azman memberitahu, dia dimaklumkan, sebelum dihempap mangsa duduk di tangga rumah bersama adik-beradik lain sebelum dia turun ke laman untuk bermain-main.
Katanya, ketika itulah, pokok kelapa setinggi 15 meter itu tiba-tiba tumbang lalu menghempap Nurshuhada.

Datuk palsu Singapura terjerat

JOHOR BAHRU - Tembelang seorang rakyat Singapura yang menyamar ahli perniagaan bergelar Datuk untuk menipu wang hampir RM1 juta milik seorang lelaki terbongkar apabila dia ditahan di rumahnya di Jalan Setia Tropika di sini 21 Oktober lalu.
Suspek bergelar Datuk Mohd. Shah berusia 58 tahun tersebut ditahan selepas polis menjalankan siasatan berhubung empat laporan yang dibuat seorang ahli perniagaan apabila dia gagal mendapatkan perkhidmatan seperti yang ditawarkan.
Antara perkhidmatan itu ialah mendakwa mampu membantu mangsa mendapatkan lesen senjata api, kontrak membuat longkang, mendapatkan nombor pendaftaran WWW 1 bersama kelulusan memakai cermin gelap dan pinjaman hingga RM5 juta.
Difahamkan, suspek telah bergiat sejak beberapa bulan lalu dan telah memperdaya beberapa lagi individu.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Supritendan Mohd. Luthfi Ismail Abdullah berkata, mangsa yang terpedaya dengan penipuan suspek kemudian telah menyerahkan RM946,560 secara berperingkat.
"Wang itu sebagai upah untuk suspek menguruskan keempat-empat perkhidmatan yang tidak wujud tersebut. Siasatan mendapati suspek yang menetap di sini bersama isterinya juga tidak pernah dianugerahkan gelaran Datuk.
"Suspek juga didapati telah beberapa kali bertemu dengan mangsa dan berpura-pura untuk membantu ahli perniagaan tersebut," katanya.

Rumah siap tapi pahat berbunyi



BEBERAPA penduduk menunjukkan beberapa dokumen pemaju di hadapan projek Pangsapuri Sungai Sering di Ampang semalam.



KUALA LUMPUR – Itu peribahasa bagi menggambarkan kemelut yang dihadapi oleh 664 pemilik Pangsapuri Sungai Sering, Ampang dekat sini sejak enam tahun dahulu sampai sekarang.
Rata-rata mereka tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan mendiami rumah sendiri walaupun ia telah siap dibina oleh pemaju, Scenic Marina Sdn. Bhd. sejak tahun 2007 lagi.
Wakil pemilik, Khairuddin Mohamad, 49, berkata, pemaju tidak membenarkan pembeli memasuki rumah atas alasan tidak memiliki sijil kelayakan menduduki (CF) namun hairan kenapa mereka mengambil masa terlalu lama untuk mendapatkan CF.
“Pemaju pada asalnya berjanji kepada pembeli bahawa mereka boleh mendiami rumah berkenaan pada tahun 2007, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Sehingga ke hari ini, kami tidak dibenarkan menduduki pangsapuri tersebut dengan pelbagai alasan yang sukar diterima akal.
“Lebih mendukacitakan, pemaju hanya menyuruh saya agar duduk diam dan tunggu sahaja panggilan daripada mereka, namun semua itu hanya alasan untuk mengelakkan diri daripada menjawab pertanyaan kami,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Selain itu menurut Khairuddin, banyak kali aduan dibuat kepada pemaju dan pihak berkuasa tempatan sebelum ini, namun ia tidak mendatangkan hasil.
Tinjauan mendapati, pangsapuri yang terletak berdekatan dengan Bukit Antarabangsa dan mempunyai dua buah blok itu juga kelihatan sudah siap, namun prasarana di sekelilingnya seakan-akan terbiar.

Ibu kota Thailand 'dikepung' air bah


SEBUAH jeti yang rosak dilihat terapung di Sungai Chao Phraya. Banjir besar yang melanda memaksa pihak berkuasa Thailand mengarahkan penduduk supaya keluar dari Bangkok.-Reuters



BANGKOK - Puluhan ribu orang membanjiri stesen bas dan lebuh raya dalam usaha meninggalkan ibu kota Thailand, Bangkok ketika situasi banjir di sini semakin meruncing dengan arahan perpindahan pertama telah dikeluarkan.
Kota metropolis yang dihuni sembilan juta orang itu kini dikelilingi air banjir.
Setakat ini, banjir yang melanda Thailand sejak Julai lalu telah mengorbankan 373 orang di seluruh negara dengan kerugian mencecah berbilion-bilion dolar. Lapangan Terbang Don Muang iaitu lapangan terbang kedua terbesar di sini turut ditutup akibat banjir.
Setakat semalam, kebanyakan kawasan di Bangkok masih belum ditenggelami air. Namun, warga kota dilihat giat melakukan persediaan ekoran banjir kali ini yang tidak dapat dielakkan.
Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra berkata, penduduk di dua daripada 50 daerah di sini iaitu Don Muang and Bang Phlat sudah diarah berpindah.
Kedua-dua daerah tersebut kini ditenggelami air banjir.


SEORANG lelaki mengayuh sebuah sampan ketika mengharung banjir di tengah-tengah kota Bangkok.-AFP



"Ini kali pertama saya menggunakan perkataan berpindah. Ini juga kali pertama saya meminta anda semua supaya beredar ke tempat lebih selamat," kata Sukhumbhand.
Di tempat-tempat lain di Bangkok, ribuan penduduk membanjiri terminal bas Mo Chit untuk meninggalkan bandar raya tersebut.
Kebanyakan mereka mengambil kesempatan cuti umum lima hari yang diisytiharkan oleh kerajaan bagi mengelakkan orang ramai terperangkap dalam banjir.
Cuti umum berkenaan yang bermula semalam hingga Isnin depan melibatkan kawasan-kawasan terjejas teruk akibat banjir termasuk Bangkok.
Sementara itu, peta satelit menunjukkan bandar raya itu kini 'dikepung' oleh air banjir.
Banjir yang melanda utara Thailand sejak Julai lalu sedang mengalir ke bandar raya ini dan menuju ke Teluk Thailand di selatan negara itu.
"Jumlah airnya amat besar," kata Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
"Sebahagian air banjir akan melanda Bangkok tetapi kita akan berusaha supaya banjir mengalir keluar dengan seberapa segera," tambahnya.
Menurut Yingluck, beberapa kawasan di sini mungkin ditenggelami air sedalam 10 sentimeter hingga 1.5 meter.


SEKUMPULAN penduduk menaiki sebuah trak untuk keluar dari Bangkok.



"Jika tiga tembok penghadang banjir di sini kekal utuh, situasi di Bangkok akan bertambah baik. Namun, jika benteng tersebut gagal, seluruh Bangkok akan dilanda banjir," ujarnya.
Sementara itu, pengeluar kenderaan dari Jepun, Toyota memberhentikan pengeluarannya pada Sabtu ini di empat buah kilang di Amerika Utara termasuklah Indiana, Kentucky, Ontario Kanada dan Virginia berikutan impak banjir di Thailand.
"Banjir di Thailand telah menyebabkan gangguan dalam pengeluaran beberapa pembekal di rantau itu. Kami masih belum pasti sama ada boleh memulakan pengeluaran pada Isnin (31 Oktober) atau sebaliknya. Kami akan memantau keadaan di sana," kata jurucakap Toyota, Amiko Tomita.
- Agensi

Saif mahu serah diri



SAIF AL-ISLAM



DUBAI – Anak lelaki Muammar Gaddafi, Saif Al-Islam (gambar) mahu sebuah pesawat membawanya keluar dari gurun di selatan Libya supaya dia dapat menyerah diri kepada mahkamah jenayah perang di The Hague, Belanda, kata sumber Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) semalam.
Saif juga mahu pembabitan negara ketiga sama ada Algeria atau Tunisia dalam menjayakan misi tersebut.
“Dia mahu sebuah pesawat membawanya keluar dari Libya sebelum dihantar ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda,” kata sumber itu dalam satu wawancara telefon dari Libya.
Saif, 39, melarikan diri semasa bapanya maut seminggu lalu di tangan sekumpulan pejuang NTC.
Beberapa pegawai NTC memberitahu bahawa Saif kini bersedia untuk menyerah diri ke muka pengadilan seperti yang dilakukan oleh bekas ketua agensi perisikan Libya, Abdullah al-Senussi.
Kedua-duanya menjadi buruan ICC kerana melakukan jenayah kemanusiaan berhubung tindakan mereka dalam mengekang kebangkitan rakyat Libya pada Februari lalu.
Beberapa laporan bercanggah mengenai lokasi persembunyian Saif tersebar sejak dia hilang dari kubu kuat Gaddafi di Bani Walid, utara Libya dengan beberapa laporan menyatakan dia dan Senussi bersembunyi di Niger.
Namun, sumber NTC itu memberitahu, Saif masih berada di Libya.
Dia kini dilindungi seorang pemimpin puak Tuareg di kawasan gurun berhampiran sempadan Niger dan Algeria. – Reuters

Pemilik rumah berang harga rumah jatuh di Shanghai



JUALAN hartanah di China jatuh sebanyak 10 peratus, sekali gus menyebabkan para pemaju memotong harga bagi menaikkan semula kadar jualan mereka.- Reuters



SHANGHAI - Beratus-ratus pembeli rumah yang marah mengadakan protes di ibu kota komersial China, di sini pada minggu ini kerana membantah kejatuhan harga hartanah milik mereka, lapor media pemerintah semalam.Terjejas akibat kemerosotan permintaan dan kekurangan dana, para pemaju bertindak memotong harga beberapa projek perumahan baru di bandar raya ini hingga 20 peratus.
Akhbar tempatan, China Business News melaporkan tindakan pemaju-pemaju itu mencetuskan kemarahan mereka yang membeli rumah-rumah serupa pada harga lebih tinggi.
Beberapa penganalisis memberitahu, siri protes itu yang adakalanya bertukar ganas, merupakan isyarat bahawa langkah-langkah pemerintah untuk memperlahankan kenaikan dalam pasaran hartanah di bandar-bandar utama China adalah berkesan.
Dalam insiden terbaru kelmarin, kira-kira 200 pemilik rumah menyerbu pejabat jualan sebuah projek perumahan yang dibangunkan oleh Greenland Group dan menuntut wang mereka dikembalikan.
"Kami mahu wang kami dipulangkan kerana kerugian yang kami alami terlalu besar," kata seorang penunjuk perasaan.
Dia mendakwa telah membayar AS$2,678 (RM8,327) untuk setiap meter persegi kediamannya pada tahun lalu. Tetapi pemaju kini memotong harga kediaman sama sebanyak 30 peratus untuk menggalakkan jualan.
Mengulas isu berkenaan, seorang penganalisis tempatan, Su Yan berkata pemaju terpaksa bertindak demikian kerana masalah dana.
"Para pemaju kini tertekan dan terpaksa mengurangkan harga hartanah," katanya. - AFP

Saintis berjaya rungkai kod Jerman berusia 300 tahun



IMEJ yang disediakan oleh University of Southern California menunjukkan salinan kitab Copiale Cipher yang kodnya telah berjaya dipecahkan.



LOS ANGELES - Sepasukan penyelidik Amerika Syarikat (AS) dan Sweden telah berjaya merungkai kod rahsia kitab Copiale Cipher yang berusia 300 tahun dari Jerman menerusi bantuan satu program komputer baharu.
Berikutan kejayaan tersebut, program komputer itu dijangka mampu membantu mentafsir manuskrip-manuskrip rahsia yang lain.
"Ia membuka pintu kepada mereka yang mengkaji sejarah idea dan masyarakat-masyarakat rahsia," kata saintis komputer dari University of Southern California (USC), Kevin Knight.
"Para sejarawan percaya bahawa masyarakat-masyarakat rahsia memainkan peranan dalam revolusi. Namun semua ini sedang dikaji kerana sebahagian besar dokumennya masih belum dapat ditafsir," tambah Knight.
Kitab Copiale Cipher yang mengandungi 75,000 huruf menggambarkan ritual dan kecenderungan politik sebuah masyarakat rahsia di Jerman pada kurun ke-18. Manuskrip itu ditulis pada lembaran kain berwarna emas dan hijau.
Knight juga merancang untuk mentafsir kod-kod mesej popular lain termasuklah kod yang dihantar oleh Pembunuh Zodiak, seorang pembunuh bersiri AS sekitar tahun 1960 dan 1970-an. Pembunuh itu ada menghantar mesej-mesej rahsia kepada pihak media dan gagal ditangkap hingga sekarang.
- AFP

Banjir lumpur paras lutut landa perkampungan di Itali



PENDUDUK kampung Aulia melihat kenderaan-kenderaan yang rosak dan bertindih antara satu sama lain selepas banjir kilat melanda kawasan tersebut.- AFP



AULLA, Itali - Pasukan tentera dan pekerja penyelamat masih mencari mangsa-mangsa terselamat selepas banjir kilat dan banjir lumpur melanda beberapa buah kampung di kawasan pinggir pantai di kawasan Liguria dan Tuscany.
Sekurang-kurangnya sembilan orang maut, manakala enam yang lain masih hilang dalam bencana alam tersebut.
Pasukan pengawal pantai turut dipanggil semalam, susulan beberapa laporan bahawa sebahagian mangsa yang hilang mungkin dihanyutkan ke laut dalam ribut yang melanda pada minggu ini.
Kampung-kampung seperti kampung Aulla di Tuscany kini dilitupi lumpur setinggi paras lutut. Air deras dan lumpur mengalir melalui beberapa buah kampung yang terletak sekitar 75 kilometer dari bandar Genoa dan dekat Cinque Terre, kawasan pelancongan popular di Itali.

Perth perkenalkan siling emas gergasi


KETUA Pegawai Operasi Perth Mint, Ed Harbuz berdiri di sisi siling emas seberat lebih satu tan.


PERTH - Kilang duit siling Perth Mint di Australia semalam memperkenalkan sekeping duit siling emas yang didakwanya terbesar di dunia.
Siling emas berkenaan memiliki berat lebih satu tan dan bernilai sekitar AS$55 juta (RM171.8 juta).
Sebelah siling itu tertera gambar seekor kanggaru sedang melompat. manakala sebelah lagi memiliki profil ketua negara Britain, Ratu Elizabeth II.
Siling emas itu diperkenalkan sempena sidang kemuncak negara-negara Komanwel yang akan dirasmikan oleh Ratu Elizabeth II di sini pada minggu ini.
Siling gergasi seberat 1,012 kilogram itu mengandungi 99.99 peratus emas tulen. Lebar siling itu hampir 80 sentimeter (sm), sementara tebalnya ialah 12sm.
Kilang wang tersebut mengambil masa 18 bulan untuk menghasilkan siling tersebut yang kini dipamerkan kepada orang ramai.

No comments:

Post a Comment