Saturday, October 29, 2011

JIKA TIADA SABAR...TERGESA2...PATUT DAN ELOK GURU BALIK SETELAH PELAJAR SEMUA KELUAR SEKOLAH....JANGAN BERSAMA2...PELAJAR BALIK..KITA PUN BEREBUT2 NAK BALIK...

Amil serah diri kerana keluarga malu





JOHOR BAHRU - Disebabkan malu wajahnya disiarkan di akhbar, bekas imam di sebuah masjid di Kulaijaya di sini akhirnya menyerah diri kepada polis semalam bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan wang zakat fitrah tahun lepas.
Menurut Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Supritendan Mohd. Luthfi Ismail, bekas imam itu, dikenali sebagai Redzuan Mohd. Said itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya kira-kira pukul 8 pagi semalam.
Katanya, suspek bertindak demikian apabila dihubungi ahli keluarga yang memujuk agar dia menyerah diri setelah malu wajahnya disiarkan di televisyen dan akhbar.
"Hasil siasatan awal polis mendapati suspek mengaku selama ini dia berada di Ipoh, Perak dan bekerja sebagai guru tahfiz.
"Dia kini ditahan untuk membantu siasatan dan reman akan dibuat esok (hari ini).
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak media kerana membantu kami menyiarkan maklumat sehingga suspek sendiri membuat keputusan menyerah diri kepada polis," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kosmo! semalam melaporkan polis sedang memburu suspek yang dipercayai terlibat dengan penipuan wang zakat tahun lepas.
Suspek yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) sebagai Amil Fitrah bagi kawasan Kulaijaya disyaki gagal menyerahkan kembali wang kutipan zakat sebanyak RM18,000.
Sementara itu, Pengerusi MAIJ, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, satu mesyuarat akan diadakan minggu hadapan untuk mencari sistem terbaik bagi mencegah insiden penipuan wang zakat daripada berulang.
Katanya, meskipun kes penipuan yang membabitkan suspek merupakan kes terpencil, namun ia secara tidak langsung menjejaskan nama baik banyak pihak.
"Seingat saya, ini merupakan kes pertama seumpamanya yang berlaku di MAIJ tetapi kami akan mengambil tindakan lanjut bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang.
"Saya akan memanggil semua pegawai saya minggu hadapan dan mengadakan mesyuarat bagi memperkemas sistem kutipan dan penyerahan wang zakat," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Zainal, pada mesyuarat terbabit, pihaknya akan cuba mencari jalan mendapatkan kembali wang kutipan zakat yang dilaporkan hilang itu.
Katanya, kutipan zakat sepatutnya diserahkan kepada MAIJ sebaik sahaja selesai tempoh bayaran tetapi disebabkan cuti perayaan dan kesibukan, wang tersebut seringkali lewat diserahkan.
"Mungkin selepas ini kami akan tetapkan wang kutipan diserahkan seminggu sekali dan tidak perlu menunggu sehingga habis tempoh kutipan ataupun mana-mana amil yang dipertanggungjawabkan tidak boleh menyimpan wang melebihi RM10,000 atau sebagainya," katanya.
Sementara itu di Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berharap semua Majlis Agama Negeri berhati-hati dalam memilih dan seterusnya melantik golongan amil bagi mengutip wang zakat pada masa akan datang.
Menurutnya, walaupun setiap tahun diadakan semakan berkenaan pemilihan golongan amil oleh setiap negeri tetapi ia perlu dilakukan dengan lebih teliti bagi membendung masalah ini berulang.
"Soal songlap duit ia tidak kira siapa, jadi pihak majlis agama kena berhati-hati pada pelantikan golongan amil pada masa akan datang," katanya di sini semalam.

Budak maut dirempuh guru



MOHD. ZAMRI (kanan) mengangkat mayat Nor Afina (gambar kecil) yang maut selepas dirempuh sebuah kereta di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.



KEPALA BATAS - Seorang kanak-kanak menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila kepalanya dikatakan pecah selepas dirempuh dan digilis sebuah kereta dalam kejadian di luar Sekolah Kebangsaan Pasir Gebu di sini semalam.
Kejadian pukul 12.10 tengah hari itu menimpa Nor Afina Khalida Zamri, 3, ketika dia sedang duduk di atas motosikal bersama bapanya, Mohd. Zamri Hashim, 36. Ketika itu, dua kakaknya, Nor Ellys Najwa, 9, dan Nor Alia Farhana, 7, baru hendak menaiki motosikal tersebut.
Tanpa diduga, motosikal itu terus dirempuh sebuah kereta dipandu seorang guru sebuah sekolah di Kuala Muda yang terbabas menyebabkan Nor Afina tercampak sebelum digilis kenderaan terbabit.
Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Supritendan Suhaimi Mohd. Noor berkata, kereta itu hanya berhenti selepas bergesel dengan sebuah lagi kenderaan yang diletakkan di luar sekolah.
Katanya, sebaik diperiksa, mangsa yang tinggal di Kampung Permatang Rawa di sini didapati tidak lagi bernyawa akibat cedera parah di kepala.
"Dua kakak mangsa mengalami luka di beberapa bahagian badan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kepala Batas manakala Mohd Zamri tidak cedera.
"Pemandu kereta itu yang cedera turut dirawat di hospital itu sebelum dia ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai dan membahayakan," katanya.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakau Tua di sini semalam.

Lelaki bunuh gadis didakwa



THIAN HOCK didakwa membunuh Sheau Fang di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting semalam.



BANTING - Seorang penganggur yang melarikan diri dari tahanan polis tujuh tahun lalu berhubung satu kes bunuh dan tanam seorang remaja akhirnya berjaya dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok di sini semalam untuk menghadapi tuduhan tersebut.
Kher Thian Hock, 37, yang dipercayai turut berukar identiti baharu didakwa membunuh See Sheau Fang, 18, pada 2004 iaitu tahun yang sama tertuduh melarikan diri dari Balai Polis Tanjung Sepat selepas ditahan berhubung kematian remaja itu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Tian Hock semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret Sepang, Rozaidi Yaacob.
Tian Hock didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan sebuah rumah di Jalan Wira 24, Taman Perwira, Sijangkang dekat sini di antara pukul 9.30 pagi dan pukul 5.30 petang pada 28 Februari 2004.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari tahanan di Balai Polis Tanjung Sepat di antara pukul 6.30 pagi dan pukul 7.30 pagi 13 Mac 2004 setelah ditahan untuk disiasat berhubung kes bunuh itu.

ANGGOTA polis mengangkat mayat Sheau Fang di sebuah rumah teres, Taman Perwira, Sijangkang, Banting pada Mac 2004.


Bagi kesalahan itu, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun.
Pendakwaan dikendalikan oleh Cif Inspektor Ridhuan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Rozaidi kemudian menetapkan 8 November ini untuk sebutan semula.
Laporan akhbar pada 9 Mac 2004 menyiarkan mayat seorang gadis yang dilaporkan hilang sejak 26 Februari 2004 ditemui ditanam dalam lubang sedalam 1.52 meter di tempat letak kereta yang disimen di sebuah rumah teres, Taman Perwira, Sijangkang dekat sini.
Mayat Sheau Fang, 18, ditemui dalam keadaan kaki dan tangannya diikat serta tubuhnya dibalut dengan plastik.
Bagaimanapun, empat hari kemudian, salah seorang daripada lima lelaki yang ditahan berhubung kes bunuh tersebut telah melarikan diri dari lokap Balai Polis Tanjung Sepat, Banting.
Thian Hock, 29, melarikan diri melalui bumbung balai polis berkenaan setelah berjaya memecahkan siling bilik air lokap pukul 7.15 pagi.
Suspek berjaya ditahan semula pada 5 Oktober lalu di Masai, Johor berhubung dakwaan terlibat dalam kes melarikan sebuah kereta mewah selepas dipercayai menggunakan identiti dan kad pengenalan baharu

Suami belasah isteri tak masak

KUANTAN - Hanya kerana tidak disediakan sebarang makanan pada sambutan Hari Deepavali Rabu lalu, seorang suami naik berang lalu membelasah isterinya dengan sebatang kayu selain disepak dan dipijak sehingga wanita itu pengsan di rumah mereka di Taman Netas Maju dekat Mentakab.
Akibat kekejaman si suami, mangsa yang merupakan seorang suri rumah terpaksa menerima tiga jahitan di kepala selain turut mengalami lebam di beberapa bahagian badan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Siasatan dan Perundangan Pahang, Supritendan Mohd. Haris Daud (gambar) berkata, sebelum kejadian pada pukul 3 petang, suspek seorang penganggur yang baru sampai ke rumah selepas keluar bersama rakan terus membelasah isterinya kerana melihat tiada sebarang hidangan untuk dimakan.
"Suspek membelasah isterinya menggunakan kayu. Mangsa juga disepak sehingga terjatuh dan dipijak sehingga pengsan tanpa belas kasihan," kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini semalam.
Menurut beliau, kejadian kejam itu disaksikan oleh empat anak pasangan itu yang berusia di antara lima hingga 13 tahun.
Anak-anak pasangan itu tidak mampu berbuat apa-apa kerana ayah mereka didakwa terlalu marah kerana dipercayai lapar selepas pulang daripada berjumpa rakan.
Berikutan kejadian itu, menurut beliau, mangsa yang tidak sedarkan diri dan pengsan dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HoShas) Temerloh dengan ambulans yang dihubungi jiran.
Mangsa dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan.
Mohd. Haris memberitahu, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu menahan suspek di rumahnya pada hari sama.
Suspek kini direman empat hari sejak kelmarin dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan parah.
"Kita masih menyiasat latar belakang pasangan itu dan punca kejadian sebenar sehingga suspek bertindak keterlaluan terhadap isterinya," kata beliau.


Kes bunuh model: Lelaki terlepas hukuman gantung


Ismawi Ishak


PUTRAJAYA - Seorang pekerja landskap diperintah menjalani hukuman penjara maksimum 20 tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini semalam atas tuduhan pindaan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh seorang model sambilan yang cuba meliwatnya tujuh tahun lalu.
Mahkamah berpendapat wujud provokasi secara mengejut pada hari kejadian di mana mangsa cuba meliwat tertuduh ketika sedang tidur.
Ismawi Ishak, 26, sebelum ini disabit dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 28 September tahun lepas kerana membunuh Mohamad Azhary Mohamed Osman, 26, di rumah mangsa di Jalan Anggerik 1/7, Bandar Aman Jaya, Sungai Petani, Kedah, di antara pukul 12.01 tengah malam dan pukul 7.17 pagi 4 Mei 2004.
Bagaimanapun, Ismawi terlepas tali gantung apabila panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak membenarkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman mati.
Panel tersebut, yang turut dianggotai oleh Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Mohtaruddin Baki, kemudian meminda tuduhan daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304(a) Kanun yang sama atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.
Mahkamah kemudian memerintahkan Ismawi menjalani hukuman penjara itu mulai tarikh tangkapan pada 9 Mei 2004.
Dalam keputusannya, Abdul Malik berkata, pakar patologi memberi keterangan bahawa berdasarkan 27 kesan luka akibat tetakan dan tikaman ke atas mangsa, boleh disifatkan ia adalah serangan berupa hilang kawalan kerana terlalu marah.
Semasa kejadian, perayu yang berusia 19 tahun dikatakan menumpang tidur di rumah mangsa apabila mangsa menanggalkan seluar tertuduh dan menyentuh tubuh serta cuba meliwatnya dan perbuatan itu telah menimbulkan kemarahannya.
Terdahulu, peguam Ismawi yang dilantik oleh mahkamah, K. Vikneswaran menggesa mahkamah meminda tuduhan itu kerana ia bukan pembunuhan yang dirancang tetapi sebaliknya anak guamnya hilang pertimbangan dan marah apabila mangsa cuba meliwatnya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rafidah Zainuddin berkata, kesan luka ke atas mangsa sudah cukup membuktikan niat Ismawi untuk membunuh mangsa. - Bernama


Baj berisi minyak sawit RM8.1 juta cuba dirompak ditemui terapung



BOT tunda yang ditemui semula dibawa ke Pelabuhan Pasir Gudang, Johor semalam.



JOHOR BAHRU - Maritim Malaysia Wilayah Selatan (APMM) menemui semula baj membawa minyak kelapa sawit yang dirompak semasa dalam perjalanan dari Sandakan ke Johor Bahru di kedudukan 13.2 batu nautika Timur Laut Tanjung Punggai, Kota Tinggi kelmarin.
Baj Scow Ever Growth membawa minyak kelapa sawit sebanyak 2,700 tan bernilai RM8.1 juta itu ditemui bersama dua krew dalam keadaan terapung di perairan berhampiran Tanjung Punggai pada pukul 2.45 petang.
Ketua Penguat Kuasa APMM, Laksamana Pertama Maritim Zukifili Abu Bakar berkata, sebelum itu sebuah bot tunda Ever Commender dan Baj Scow Ever Growth bersama sembilan krew dirompak di perairan Pulau Pengibu, Indonesia pada pukul 3 pagi, Selasa lalu.
Sembilan krew terbabit melibatkan tiga rakyat tempatan dan enam warga Indonesia dan mereka berusia di antara 24 hingga 37 tahun.
Menurut beliau, maklumat rompakan itu diketahui pada pukul 6.01 petang Rabu lalu melalui Pasukan Gerakan Marin (PGM) Tampoi setelah pengurus syarikat berkenaan di Sandakan membuat laporan polis.
"Maklumat itu menyebut enam perompak warga asing bertindak memisahkan baj dari bot tunda bagi memudahkan mereka membawa lari baj berisi minyak kelapa sawit yang bernilai RM8.1 juta," kata Zulkifli dalam satu kenyataan di sini semalam.
Namun belum diketahui kenapa baj tersebut akhirnya ditemui terapung begitu saja dan tidak dilarikan perompak itu.
Berikutan itu, kata beliau, sebanyak tiga bot laju dari Daerah Maritim 7 (DM7) digerakkan untuk mengesan bot tunda dan baj tersebut.
Zukifili berkata, APMM kemudian berjaya menemui semula bot tunda bersama tujuh krew dalam keadaan selamat di kedudukan 3.3 batu nautika barat daya Tanjung Stapa, Kota Tinggi pada pukul 1.55 pagi kelmarin.
"Kesemua krew tidak cedera. Difahamkan perompak melarikan komputer serta barangan peribadi selain turut merosakkan alat komunikasi bot tersebut.
"Hasil maklumat krew berkenaan, kami kemudian menemui semula baj dengan muatan minyak kelapa sawit dan dua lagi krew pada pukul 2.45 petang sama dalam keadaan terapung di kedudukan 13.2 batu nautika Timur Laut Tanjung Punggai, Johor," kata beliau.
Beliau berkata, bot tunda dan baj berisi minyak kelapa sawit itu telah ditunda ke Pelabuhan Pasir Gudang untuk siasatan lanjut.

Wanita patah hidung sebab bergurau

KUANTAN - Gurauan seorang jurujual wanita dengan menyembunyikan dompet sepupunya membawa padah apabila dia dibelasah oleh pemuda itu sehingga patah hidung di Taman Raub Jaya, Raub kelmarin.
Dalam kejadian pukul 12 tengah hari, suspek lelaki itu dipercayai telah menyepak, menumbuk dan menghentak kepala mangsa ke dinding selepas dia memulangkan dompet tersebut kepadanya.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Siasatan dan Perundangan Pahang, Supritendan Mohd. Haris Daud berkata, sebelum kejadian suspek yang berusia 22 tahun itu pada sebelah pagi hari itu pergi ke tempat kerja mangsa yang bekerja di sebuah kedai perabot.
"Mangsa menyembunyikan dompet mangsa untuk tujuan bergurau bagaimanapun pada waktu tengah harinya, mangsa ke rumah sepupunya untuk memulangkan semula dompet berkenaan.
"Selepas memulangkan dompet itu, mangsa dihalang keluar dari rumah sebelum suspek membelasahnya dengan menumbuk, menyepak serta menghentak kepala mangsa ke dinding," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.
Menurut beliau, mangsa yang cedera teruk kemudian pergi mendapatkan rawatan di Hospital Raub sebelum membuat laporan polis.
"Hasil pemeriksaan x-ray, hidung mangsa disahkan patah. Kejadian itu lebih kepada salah faham antara kedua-dua pihak.
"Dipercayai pemuda itu terlalu marah kerana mahu menggunakan MyKad miliknya yang diletakkan dalam dompetnya itu untuk menjalani latihan lesen memandu kenderaan pada hari tersebut," katanya.
Tambah beliau, suspek kemudian ditahan polis di lokap IPD Raub sejurus laporan dibuat bagi membantu siasatan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan parah.

Banduan minta izinpakai tudung di penjara



AMINA FARAH ALI (kanan) dan Hawo Mohamed Hassan berjalanmeninggalkan sebuah mahkamah daerah di Minnesota selepas menghadiri perbicaraan pada Ogos tahun lalu. - AP



MINNEAPOLIS, Amerika Syarikat (AS) - Majlis Berkaitan Hubungan Islam-Amerika di Minnesota meminta Jabatan Syerif memberi kemudahan kepada banduan untuk memakai tudung selepas seorang wanita Islam yang didapati bersalah berhubung dakwaan keganasan terpaksa membuka tudungnya semasa berada dalam tahanan.
Tertuduh, Amina Farah Ali, 35, dan rakannya, Hawo Mohamed Hassan didapati bersalah pada minggu lalu kerana menyalurkan wang kepada kumpulan pengganas Al-Shabab di Somalia.
Peguam wanita itu, Dan Scott berkata, anak guamnya mahu memakai tudung kerana mematuhi ajaran Islam. Menurutnya, Amina perlu menutup aurat apabila berada di sisi lelaki yang bukan muhrim.
"Dia mahu memakai pakaian tradisinya (tudung). Ia amat penting baginya," kata Scott.
"Dia kini dipenjara. Justeru, apa yang dia mahu tidak semestinya dia dapat. Tetapi dia berhak mengamalkan ajaran agamanya," tambah peguam itu.
Mengulas isu tersebut, Syerif Daerah Sherburne, Joel Brott berkata, Amina tidak boleh memakai tudung di penjara atas faktor keselamatan.
Pakaian awam termasuk tudung katanya, tidak dibenarkan dipakai di penjara kerana ia mungkin digunakan sebagai senjata atau menyembunyikan identiti banduan.
Namun, ujar Brott, pihaknya sedang berunding dengan pihak berkuasa persekutuan sama ada untuk memberikan pengecualian kepada Amina atau sebaliknya. - AP

No comments:

Post a Comment