Monday, October 24, 2011

DIMANA PUSAT ZAKAT DAN KEMENTERIAN KEBAJIKAN....DIMANA PARA JUTAAN2.....AHLI2 KOPERAT....ADAKAH MASING2 MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI....

Bergilir ponteng sekolah demi bapa

NIK NUR ALWANI (berdiri) memerhatikan adik-adiknya mengulangkaji
pelajaran di rumah mereka di Sering, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - "Sayu hati ini bila tengok anak-anak terpaksa jaga bapa, datuk dan nenek mereka. Sedih mengenangkan pelajaran mereka yang tidak menentu tetapi apakan daya saya kerana tidak boleh berbuat apa-apa."
Begitulah rintihan pilu seorang ibu, Tengku Azizah Tengku Ahmad, 41, yang terpaksa meminta lima anaknya ponteng sekolah secara bergilir-gilir demi menjaga suaminya, Zulkifli Deraman, 44, yang mengalami sakit angin ahmar serta bapa dan ibunya yang sakit tua sejak Januari lalu.
Dalam nada menahan sebak, Tengku Azizah yang kini terpaksa mengambil tanggungjawab sebagai ketua keluarga berkata, dia berasa cukup sedih apatah lagi apabila melihat pelajaran anak-anaknya itu merosot teruk.
"Pihak sekolah ada yang sudah diberitahu ada yang tidak. Sebab ada anak yang minta saya jangan beritahu sekolah kerana mereka segan.
"Sekarang saya hanya teruskan hidup sekadar termampu, bertawakal dan berserah kepada Allah," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Tok Ku, Sering di sini semalam.
Menurutnya, dia keluar bekerja menyara keluarga sebagai pembantu di sebuah kilang perabot di Pasir Tumboh dengan pendapatan harian kira-kira RM18 sehari.
"Kalau dikira setiap bulan saya akan menerima pendapatan RM540 tetapi kerana kerap mengambil cuti, pendapatan yang diperoleh terlalu sedikit dan tidak mencukupi kerana terpaksa menanggung kos lampin pakai buang suami yang berjumlah RM300 sebulan," katanya.
Disandarkan sebagai ketua famili yang mencari sesuap nasi untuk keluarga, Tengku Azizah keluar rumah untuk bekerja di kilang perabot seawal pukul 7.30 pagi dan pulang pada pukul 5.30 petang.
Ekoran itu, anak-anaknya, Nik Nur Alwani Zulkifli, 16; Nik Muhamad Arif, 15; Nik Muhamad Afif, 13; Nik Mohamad Azwar, 11, dan Nik Nur Athirah, 10, pula terpaksa tidak ke sekolah sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu untuk menjaga bapa, datuk dan nenek mereka.
TENGKU AZIZAH memberikan ubat kepada Zulkifli sambil diperhatikan Tengku Ahmad di Sering, Kota Bharu semalam.


Semua anaknya itu bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Jembal.
Tengku Azizah turut mempunyai seorang lagi anak iaitu Nik Muhammad Asyraf, 6, yang belajar di prasekolah.
"Suami saya diserang angin ahmar pada bahagian otak menyebabkan dia tidak sedar apa yang berlaku pada tubuhnya dan sukar untuk bertutur.
"Dia boleh terbuang air tanpa disedarinya. Saya juga jaga ibu dan bapa saya kerana mereka menjadi tanggungjawab saya memandangkan rumah yang saya duduk ini ialah rumah mereka. Saya sekeluarga hanya menumpang," ujar Tengku Azizah.
Dalam pada itu, Tengku Azizah tetap bersyukur kerana seorang anaknya, Nik Muhamad Arif berjaya juga menghadiri peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini.
Kakak sulung daripada enam beradik itu, Nik Nur Alwani memberitahu, dia dan adik-adiknya terpaksa ponteng sekolah bagi meringankan beban ibunya yang mengambil alih tugas menyara keluarga.
"Selepas bapa menghidap penyakit angin ahmar dan lelah sehingga dia tidak mampu menguruskan diri sejak dua tahun lalu, ibu terpaksa menjadi ketua keluarga dan mencari nafkah untuk kami sekeluarga.
"Keadaan bapa yang semakin teruk sehingga terpaksa memakai lampin pakai buang memaksa kami bergilir-gilir ponteng sekolah menjaga bapa menggantikan ibu yang keluar bekerja," katanya.
Menurut Nik Nur Alwani, selain bapa, dia dan adik-adiknya turut menjaga kedua-dua nenek dan datuknya iaitu Tengku Sepiah Tengku Ahmad, 89, dan Tengku Ahmad Tengku Daud, 90, yang uzur.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Tengku Azizah di talian 014-5026179 atau salurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional miliknya (03103-29-00015739-3).

Ibu bapa merana dibebani hutang anak


CHAN WOOI bersama isterinya, Moy Thye menunjukkan kertas amaran ah long serta gambar kereta dan dinding rumah yang disimbah cat merah pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri merayu kepada anak lelaki mereka yang dipercayai berhutang sekeliling pinggang supaya pulang ke rumah ekoran diganggu oleh ah long sejak Ogos lalu.
Menurut mangsa, Chan Wooi, 73, keluarganya kini sentiasa diselubungi kebimbangan kerana sering diganggu ah long melalui telefon yang meminta supaya menjelaskan hutang anak lelakinya itu.
"Saya tidak membuat sebarang pembayaran kerana tidak tahu sama ada anak saya betul-betul berhutang dengan mereka.
"Tambahan pula saya tidak tahu jumlah sebenar hutang tersebut," katanya kepada pemberita di Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Parti Gerakan di sini semalam.
Katanya, apa yang menakutkan adalah apabila ah long terbabit mula bertindak ganas kerana permintaan supaya membayar hutang itu tidak dilayani dan bertindak menyimbah cat merah ke atas rumah dan kenderaan mereka pada 19 Oktober lalu.
"Selepas berbuat demikian, mereka menelefon saya dan mengugut saya bahawa sekiranya saya masih enggan melangsaikan hutang anak saya, mereka tidak akan jamin apa yang akan berlaku kelak," ujarnya.
Dia menganggarkan anaknya itu, Chan Siew Keong, 43, berhutang lebih seratus ribu untuk menjalankan perniagaan spa kecantikannya.
Isteri Wooi, Chong Moy Thye, 72, pula berkata, anaknya itu merupakan seorang anak yang baik dan taat kepada ibu bapa sebelum ini.
Namun sikapnya mula berubah sejak lapan tahun yang lalu apabila dia ingin memulakan perniagaan sendiri.
"Anak saya telah meminjam wang sebanyak RM60,000 daripada saya sejak beberapa tahun yang lalu. Namun dia tidak pernah membayar balik malah kini telah menghilangkan diri tanpa sebarang berita," jelasnya.
Kedua-duanya merayu Siew Keong yang hilang sejak Ogos lalu kembali dan tampil untuk menyelesaikan masalah ini.
Di samping itu, mereka meminta kepada pihak ah long terbabit supaya jangan mengganggu mereka lagi kerana mereka tidak mempunyai wang untuk menjelaskan hutang tersebut.

Empat perompak berputih mata


ANGGOTA polis forensik memeriksa barang-barang bukti di lokasi kejadian Datuk cuba disamun di Jalan USJ 1, Subang Jaya semalam.


SUBANG JAYA - Seorang ahli peniagaan bergelar Datuk mengalami detik-detik cemas apabila beg berisi wang RM200,000 miliknya cuba dirompak empat lelaki di tempat letak kereta berhampiran pusat beli-belah The Summit USJ di sini semalam.
Semasa kejadian pada pukul 4.30 petang, Datuk yang juga peniaga barangan lusuh berusia 50-an itu ditemani seorang adik lelaki dan pengawal peribadinya.
Ketiga-tiga mangsa ketika itu sedang berbincang mengenai urusan pembelian timah dengan dua pekerjanya di tempat letak kereta itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supritendan Tan Ah Chua berkata, ketika perbincangan sedang berlangsung, empat lelaki menaiki sebuah kereta Proton Iswara berwarna biru meluru ke arah mangsa.
"Tiga daripada suspek yang bersenjatakan kapak dan parang cuba merampas beg dibawa Datuk manakala pengawal peribadi Datuk pula diserang menyebabkan dia cedera di tangan kiri dan paha kanan akibat ditetak dengan parang.
"Pengawal peribadi itu kemudian melepaskan empat das tembakan ke arah ketiga-tiga suspek itu," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut beliau, akibat tembakan itu, dua suspek masing-masing berusia 32 tahun cedera di perut manakala dua lagi berjaya melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Iswara yang menunggu mereka.
"Penjenayah itu gagal menyamun beg berisi wang tunai milik Datuk itu," kata beliau.
Jelas beliau, kedua-dua suspek yang cedera dan pengawal peribadi berusia 44 tahun dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut.
Tambah beliau, polis tidak menolak kemungkinan salah seorang suspek yang melarikan diri turut cedera dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka supaya menghubungi balai polis berdekatan.
Dalam pada itu, Ah Chua berkata, pihak forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian menemui beberapa kelongsong peluru yang dilepaskan oleh pengawal peribadi Datuk itu.

Zainal Abidin pertikai dokumen sekolah anak


Keratan Kosmo! 13 Julai 2011.


KUALA LUMPUR - Penyanyi lagu Hijau, Zainal Abidin mempertikaikan kesahihan yuran persekolahan anak lelakinya, Mikhail, 18, ketika dokumen itu dikemukakan bekas isterinya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Peguam Syarie, Abdul Halim Bahari yang mewakili Zainal mendakwa, mereka tidak tahu adakah Mikhail yang menghidap penyakit austisme dan penyakit mata benar-benar bersekolah di sebuah sekolah swasta di Wangsa Maju di sini.
Sehubungan itu, bekas vokalis kumpulan Headwind itu yang dinamakan sebagai defendan berpendapat, pihak yang mengeluarkan dokumen tersebut perlu dipanggil ke mahkamah untuk mengesahkan perkara itu.
Defendan ketika itu mencelah semasa Natasha Gabriel Abdullah, 52, sedang memberi keterangan bertulis dalam perbicaraan tuntutan hutang nafkah dua orang anak berjumlah RM167,102.04 terhadap Zainal Abidin.
Terdahulu, Natasha selaku plaintif sedang mengemukakan pelbagai dokumen berkaitan yuran persekolahan, kelas agama dan perubatan anak-anak mereka di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain.
Bekas model itu yang diwakili peguam syarie, Norhusniah Husin mengemukakan tuntutan tersebut yang merupakan hutang nafkah sejak tahun 2002 sehingga kini.
Perbicaraan sempat berjalan selama kira-kira 15 minit sebelum ditangguh hari ini bagi menyelesaikan pertikaian tersebut.
Plaintif bernikah dengan Zainal Abidin Mohamed, 51, pada 24 Mac 1987 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Mikhail dan Timur, 16. Pasangan itu kemudian bercerai pada 12 Disember 2000.
Zainal turut menghadapi tuntutan lain iaitu permohonan mengubah perintah nafkah bulanan, wang perbelanjaan hari raya dan pembelajaran dua orang anaknya yang difailkan oleh Natasha pada tahun lalu.
Dalam tuntutan tersebut, Natasha memohon agar nafkah bulanan RM200 sebulan bagi setiap anaknya dinaikkan kepada RM1,200 seorang pada setiap bulan dan nafkah hari raya diubah daripada RM150 kepada RM300 setiap seorang.
Bagi nafkah membabitkan pembelajaran, Natasha menuntut agar belanja pendidikan Mikhail dinaikkan sehingga RM3,500 sebulan manakala Timur RM2,000 sebulan.


Kadar beli telefon meningkat


PERANTI digital semakin diperlukan pengguna untuk memenuhi keperluan maklumat dan gaya hidup semasa.


PETALING JAYA - Kadar pembelian telefon pintar dan komputer tablet telah menunjukkan momentum yang signifikan di negara ini, menurut The Nielsen Company (Malaysia) Sdn. Bhd. (Nielsen Malaysia), firma penyedia analisis dan maklumat global.
Menurut Pengarah Perkhidmatan Pelanggan dan Penyelidikan Pengguna Nielsen Malaysia, Luca Griseri, pemilikan telefon pintar dijangka berganda sehingga mencecah kepada 89 peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang berbanding 48 peratus pada masa ini, manakala komputer tablet disasarkan mencecah 75 peratus daripada 18 peratus sekarang.
"Pengguna hari ini melihat peranti digital tersebut sebagai alat penting, khususnya ketika berada di luar rumah, dalam memenuhi keperluan maklumat dan kandungan dalam kehidupan seharian mereka," katanya pada sidang akhbar berhubung Laporan Pengguna Digital Asia Tenggara 2011 - Edisi Malaysia di sini semalam.
Laporan tersebut mengkaji trend teknologi dan Internet dalam corak penggunaan dan pembelian pada masa hadapan dalam pasaran tempatan.
Sejumlah 1,321 orang responden yang berusia 15 tahun ke atas telah mengambil bahagian dalam kajian yang diadakan di antara bulan Jun dan Julai lalu itu.
Griseri menjelaskan, laporan tersebut turut menunjukkan bahawa 63 peratus dalam kalangan pengguna digital yang dikaji memilih Internet sebagai sumber maklumat pilihan mereka dan 46 peratus lagi melihat Internet sebagai sumber maklumat yang paling dipercayai.
Beliau turut mendedahkan, 53 peratus pengguna digital di negara ini melayari Internet setiap hari dengan kadar purata 19 jam dan 48 minit seminggu berada dalam talian.
Susulan permintaan kukuh terhadap teknologi baharu di negara ini, beliau berkata, Malaysia berada di landasan yang betul ke arah menjadi sebuah ekonomi digital menjelang tahun 2020.
Menurutnya, Program Transformasi Digital atau Digital Malaysia akan mengubah tingkah laku pengguna terhadap peranti dan teknologi terkini, namun demikian pembekal perkhidmatan telekomunikasi dan kerajaan perlu bekerjasama bagi menyediakan infrastruktur dan keupayaan rangkaian yang berkaitan.
Griseri menambah, daripada aspek kadar penembusan Internet dan penggunaan teknologi baharu, Malaysia masih di belakang Singapura dan Thailand ekoran kekurangan infrastruktur.

No comments:

Post a Comment