Mangsa simbah asid bedah mata
|
KUALA LUMPUR – Dua beradik yang mengalami kecederaan parah selepas menjadi mangsa simbahan asid oleh seorang lelaki di Felda Ketumbar Jengka 9, Maran pada 19 Julai lalu selamat menjalani pembedahan mata di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini semalam.
Kedua-dua beradik itu, Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi, 13, dan Shafiq Aiman, 10, menjalani pembedahan tersebut yang bermula pada pukul 9 pagi dan memakan masa selama tujuh jam.
Ibu kepada dua beradik itu, Norhashimah Julaili Mansur, 44, memberitahu, tujuan pembedahan tersebut bagi membolehkan mata kedua-dua anaknya dapat dipejam secara normal.
“Sebelum dibedah, mereka tidak boleh memejam mata kerana kelopak mata mereka mengalami kerosakan.
“Jadi, melalui pembedahan tersebut, doktor ambil kulit pada bahagian belakang cuping telinga untuk dijadikan kelopak mata baharu bagi memudahkan mata mereka ditutup dan dibuka,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam kejadian pada 19 Julai lalu, dua beradik itu mengalami kecederaan parah apabila disimbah cuka getah oleh seorang pekerja ladang yang juga jiran mangsa ketika dalam perjalanan ke rumah kawan mereka di Felda Ketumbar Jengka 9, Maran, Pahang.
Aziz Bari digantung tugas
KUALA LUMPUR – Pakar perlembagaan, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari (gambar kecil) digantung tugas sebagai pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkuat kuasa kelmarin.Beliau digantung tugas berikutan sepucuk surat yang diterimanya daripada Sekretariat Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan, Unit Perundangan UIAM tengah hari kelmarin.
Ketika dihubungi Kosmo! semalam, Abdul Aziz berkata, beliau menerima surat tersebut secara serahan tangan.
“Ya, memang saya ada terima surat itu kelmarin tetapi tak perlulah untuk saya luahkan sama ada mahu katakan suka atau marah,” katanya.
Beberapa portal berita melaporkan berikutan surat tersebut, Abdul Aziz masih mendapat gaji sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.
Bagaimanapun beliau dilapor tidak dibenarkan memasuki pejabatnya di kampus UIAM di Gombak.
Beliau juga diberi masa sehingga 25 Oktober ini untuk menjawabnya.
Ditanya mengenai reaksi para pelajarnya terhadap situasi terkini dirinya, beliau amat terharu dan tersentuh hati dengan pelbagai respons yang diterimanya.
Sementara itu, Pengarah Perhubungan Awam UIAM, Abdul Rahim Ahmad berkata, surat tunjuk sebab tersebut bertujuan untuk memberi peluang kepadanya menjelaskan mengenai isu-isu yang dikaitkan dengannya.
Beliau berkata, sekretariat itu sedang mengumpul maklumat lengkap mengenai isu yang dikaitkan dengan Abdul Aziz.
“Sekretariat itu akan menilai secara terperinci sama ada kenyataan beliau yang merupakan seorang ahli akademik dan pensyarah bercanggah dengan mana-mana peraturan universiti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Jadi wanita selepas mencuri
JELI – Sepasukan polis yang menyerbu sebuah rumah untuk menahan seorang suspek curi kenderaan terkejut apabila mendapati lelaki itu tergamak memakai baju kelawar semata-mata hendak menyamar sebagai perempuan.
Kejadian pukul 7.30 pagi itu berlaku apabila suspek bertindak menyarung pakaian tersebut selepas terperangkap ketika sedang bersembunyi di celah katil di dalam bilik di rumah keluarganya di Kampung Air Merbuk, Tanah Merah.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Supritendan Sheik Azahar Sheik Omar berkata, suspek ditahan selepas pihaknya menjalankan siasatan sebaik menerima laporan mengenai kehilangan sebuah Pajero milik seorang petani berusia 64 tahun di Kampung Pasir Dusun di sini pada pukul 1.15 pagi.
Katanya, polis yang menjalankan siasatan kemudian telah terserempak dengan kenderaan itu lalu mengekorinya hingga di kaki bukit Kampung Air Kayan Jedok, Tanah Merah.
“Suspek yang terperangkap kemudian telah meninggalkan kenderaan itu dengan enjinnya masih hidup lalu melarikan diri.
“Polis kemudian telah menjalankan operasi mencari sebelum mengepung rumah suspek berusia 28 tahun lalu menahannya ketika sedang bersembunyi dengan memakai baju keluarga milik ahli keluarga perempuannya,” katanya.
Samun rokok di kawasan masjid
BESUT – Sekumpulan lapan penjenayah menyamun dua pemandu van sebuah syarikat rokok dengan melarikan beratus karton rokok, wang dan jam tangan bernilai hampir RM82,000 kelmarin.
Kejadian pukul 1.50 petang di Kampung Pulau Panjang, dekat sini itu berlaku ketika Azmi Mat Ali, 43, dan Othman Mamat, 44, masing-masing memandu sebuah van, sedang berhenti di kawasan masjid tersebut untuk melepaskan lelah dan menunaikan solat Zuhur.
Suspek menghentak kepala salah seorang mangsa ke stereng sebelum mengikat tangan dan menutup matanya untuk melarikan kesemua barang berharga itu.
Difahamkan, ketika itu, Othman membawa 233 karton rokok bernilai RM23,715 manakala Azmi pula membawa 250 karton bernilai RM27,810. Selain rokok, wang RM17,000 milik syarikat dan jam tangan jenama Rado milik Othman bernilai RM5,000 juga dilarikan.
Mengimbau semula kejadian itu, Othman memberitahu, sebaik tiba, dia didatangi seorang lelaki yang terus menghentak kepalanya ke stereng.
Ceritanya, suspek kemudian telah memegang kepalanya dan mengarahkannya menyerahkan kesemua wang yang dibawa.
“Tidak lama kemudian, tujuh lagi rakannya yang menaiki dua buah kereta tiba lalu mengikat tangan dan menutup mata saya. Azmi yang berada tidak jauh juga menerima nasib serupa,” katanya di sini semalam.
Padah tumbuk muka isteri
MELAKA – Gara-gara mencederakan isteri sendiri dengan menumbuk mukanya ketika bertengkar, seorang peniaga didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Muzila Mohamed Arsad menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Md. Norazman Mohd. Said, 44, selepas tertuduh mengaku salah bagi pertuduhan kedua yang disabitkan ke atasnya.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan pertama di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mengugut isterinya yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah terhadap mangsa.
Bagi pertuduhan kedua itu, Md. Norazman didakwa mencederakan Zainon Basir, 43, di rumah No. 15, Jalan M27 Taman Merdeka, Batu Berendam pada pukul 12.30 malam, 1 Ogos lalu.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman terhadapnya diringankan.
“Jika boleh saya hanya mahukan hukuman denda dan tidak dikenakan hukuman penjara,” katanya.
Penduduk flat bimbang ancaman nyamuk aedes
DENGKIL – Lebih 300 penduduk yang menghuni flat Taman Permata dekat sini dilanda kebimbangan ekoran ancaman demam denggi yang semakin serius di kawasan itu.
Penduduk mendakwa, sejak beberapa bulan lalu, kira-kira enam orang penduduk termasuk kanak-kanak telah menghidap demam tersebut.
Presiden Persatuan Penduduk Taman Permata, Ramadas Kanabathy (gambar kecil) berkata, peningkatan jumlah kes demam tersebut amat merisaukan.
“Ia berpunca daripada masalah air bertakung akibat saluran paip tidak terancang dan sistem perparitan yang tidak sempurna di tingkat bawah flat.
“Air yang bertakung menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan masalah itu berlarutan sejak sekian lama, namun tiada tindakan diambil sehingga kini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Menurut Ramadas, beberapa aduan telah dibuat kepada pihak pemaju iaitu Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) namun tiada inisiatif diambil untuk memperbaiki dan menyelenggara sistem saliran tersebut.
“Hanya kakitangan Jabatan Kesihatan datang membuat semburan asap apabila ada kes berlaku. Pemaju pula tidak pernah buat sesuatu untuk mengatasi masalah berkenaan,” jelasnya.
Rokok seludup RM2.2 juta berjaya dirampas
JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya merampas rokok seludup pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM2.2 juta dalam satu serbuan di kawasan perkuburan Cina Saleng, Kulaijaya pada Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, hasil maklumat, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya pergi menyiasat beberapa kenderaan berupa tujuh buah kereta dan sebuah lori yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan perkuburan tersebut pada pukul 4.20 pagi.
Katanya, sebaik menyedari kehadiran polis, beberapa suspek bertindak melarikan diri dan meninggalkan kenderaan tersebut.
“Hasil pemeriksaan ke atas tujuh kenderaan berkenaan, polis menjumpai 20,750 karton rokok pelbagai jenama yang disyaki diseludup masuk ke negara ini yang dianggarkan bernilai RM2.2 juta,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga 10 kali daripada nilai rampasan.
Susah cari makan
CHANGLUN – Kira-kira 150 pemandu teksi di sekitar bandar ini merayu pihak berkuasa agar menyekat kegiatan pemandu van dari Thailand yang membawa penumpang dari negara itu memasuki negara ini dengan sewenang-wenangnya.
Kegiatan yang berlarutan sejak enam tahun lalu itu menjejaskan pendapatan pemandu teksi di pintu sempadan negara yang pernah memperoleh RM300 sehari tetapi kini meraih serendah RM16 sehari.
Pengerusi Persatuan Kereta Sewa/Teksi Luar Bandar Bukit Kayu Hitam, Badaruddin Mustaffa (gambar kecil) berkata, enam tahun lalu van negara jiran menurunkan penumpang di kawasan Zon Bebas yang kemudian menaiki teksi negara ini untuk ke destinasi masing-masing.
Namun, dakwanya, keadaan sudah berubah apabila van dari Thailand tidak lagi berbuat demikian sebaliknya terus membawa penumpang bukan sahaja ke Kedah, malah hingga ke Johor.
Tambahnya, van dari negara jiran itu turut mengambil penumpang di kawasan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) yang merupakan kawasan teksi negara ini.
“Situasi ini bukan sahaja menyekat pendapatan kami, malah wujud ketidakadilan kerana van mereka boleh memasuki negara ini sesuka hati membawa penumpang, sebaliknya kami tidak dibenarkan masuk ke negara mereka,” katanya di sini semalam.
Gaddafi akhirnya mati ditembak
|
SIRTE – Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mati akibat kecederaan semasa dia bertempur di bandar kelahirannya di sini semalam.
Gaddafi yang memerintah Libya sejak 1969 itu mati selepas ditangkap oleh kumpulan para pejuang yang menentang kepimpinannya sejak Februari lalu.
“Dia (Gaddafi) juga ditembak di kepala,” kata seorang pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan,(NTC) Abdel Majid Mlegta kepada agensi berita Reuters.
NTC merupakan badan yang memerintah Libya buat sementara waktu selepas Gaddafi melarikan diri ekoran kejayaan para pejuang yang menentang kepimpinannya memasuki ibu kota Libya, Tripoli lewat Ogos lalu.
“Terdapat banyak tembakan ke atas kumpulannya dan dia mati,” tambahnya.
Sebelum ini dia memberitahu bahawa Gaddafi yang berumur dalam lingkungan 69 tahun ditangkap dan mengalami kecederaan di kedua-dua kakinya pada Subuh semalam.
Ketika itu, dia sedang melarikan diri bersama sebuah konvoi semasa jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan serangan.
NATO mengambil alih operasi ketenteraan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melindungi orang awam pada 31 Mac lalu.
Sejak itu, jet-jet NATO mengendalikan serangan udara dan melaksanakan zon larangan terbang di Libya termasuk melaksanakan sekatan senjata menerusi rondaan di laut.
NATO mengesahkan semalam bahawa jet-jetnya telah mengebom satu konvoi ketenteraan dekat Sirte pada waktu pagi.
Namun, ia menyatakan adalah sukar untuk menyatakan sama ada serangan tersebut menyumbang kepada kemungkinan kematian Gaddafi.
Menurut Abdel Majid, Gaddafi telah dibawa keluar dari lokasi kejadian dengan menggunakan sebuah ambulans.
Menurut seorang pejuang anti-Gaddafi, bekas pemimpin itu ditemui bersembunyi di sebuah lubang saluran air dan berkata: “Jangan tembak, jangan tembak.”
Pejuang itu menyatakan bahawa Gaddafi membuat rayuan itu kepada sekumpulan lelaki yang berjaya menangkapnya.
Seorang pegawai NTC, Mahmoud Shammam memberitahu terdapat gambar yang menunjukkan kejadian penangkapan tersebut.
Ketua Tentera di Tripoli, Abdel Hakim Belhaj juga mengesahkan Gaddafi telah mati dibunuh.
“Dia sudah pun mati,” katanya kepada stesen televisyen Al-Jazeera.
Mayat Gaddafi itu dibawa ke sebuah lokasi yang dirahsiakan demi keselamatan, kata seorang lagi pegawai NTC.
“Mayat Gaddafi bersama dengan unit kami di dalam sebuah kereta dan kami membawa mayat tersebut ke sebuah lokasi rahsia atas alasan keselamatan,” kata pegawai itu, Mohamed Abdel Kafi.
Bagaimanapun, stesen televisyen Al Arabiya melaporkan bahawa mayat Gaddafi telah tiba di Misrata.
Stesen televisyen satelit Al- Jazeera me laporkan jenazah Gaddafi kemudian ditempatkan di sebuah masjid di bandar Misrata, barat daya Libya.
Stesen-stesen televisyen dan beberapa saluran lain menunjukkan imej askar-askar mengelilingi sebuah lubang paip besar di bawah lebuh raya iaitu lokasi tempat Gaddafi ditemui dan membuat rayuan supaya dia jangan ditembak.
Sementara itu, anak kelima Gaddafi, Moutassem dan bekas ketua perisikan Libya, Abdullah al-Senussi ditangkap semalam di pelabuhan Sirte.
Kedua-duanya dibawa dari Sirte ke Misrata yang terletak kira-kira 200 kilometer ke timur Tripoli.
Stesen-stesen televisyen di seluruh dunia menyiarkan Gaddafi selepas NTC menyatakan bahawa dia terbunuh.
Seorang pegawai NTC kemudian mengesahkan bahawa gambar tersebut adalah Gaddafi.
Gambar itu yang dipercayai dirakamkan menerusi telefon bimbit menunjukkan wajah yang pucat, berdarah dan mata hampir tertutup mirip Gaddafi.
Foto tersebut menunjukkan rambut kerinting halus dan struktur muka mirip Gaddafi.
Ketika gambar tersebut disiarkan, masih tidak jelas sama ada dia masih hidup atau cedera.
Foto tersebut menunjukkan terdapat darah dari bahagian mulutnya.
Adalah menjadi sesuatu kebiasaan bagi para pejuang Gaddafi merakamkan gambar di lokasi pertempuran.
Seorang lagi pegawai tentera Libya mengesahkan bahawa satu foto yang menunjukan seorang lelaki yang mirip Gaddafi mati itu dan disiarkan stesen televisyen Al-Jazeera adalah Gaddafi yang sebenar.
Pegawai itu iaitu anggota jawatankuasa keselamatan NTC di Tripoli, Kolonel Mostafa Noah berkata: “Ya, itu adalah betul.”
Bekas Menteri Pertahanan Libya, Abu Bakr Younis dilaporkan turut terbunuh di pelabuhan Sirte, menurut stesen televisyen Free Libya.
Stesen itu menunjukkan gambar Abu Bakr dengan kecederaan di bahagian dada.
Menurut laporan media, Abu Bakr mengiringi Gaddafi semasa dia terbunuh.
Gaddafi dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa berhubung dakwaan membunuh sejumlah orang awam.
Rejim pemerintahannya tumbang pada 23 Ogos lalu selepas memerintah selama 42 tahun di negara yang kaya dengan minyak itu.
Gaddafi menjadi pemimpin Libya selepas dia melakukan rampasan kuasa tentera semasa pemerintah Libya, Raja Idris mendapatkan rawatan perubatan di luar negara pada tahun 1969.
Ketika itu, Gaddafi merupakan seorang pegawai tentera Libya.
Kebangkitan di Libya untuk menumbangkan Gaddafi bermula di bandar Benghazi menerusi tunjuk perasaan penduduk yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya pada Februari lalu.
Tunjuk perasaan itu mendapat ilham daripada kebangkitan rakyat yang berlaku di Tunisia dan Mesir sehingga mengakibatkan kedua-dua pemimpin di negara berkenaan tidak lagi berkuasa.
Namun, tunjuk perasaan itu bertukar menjadi pertempuran dalam kalangan penduduk yang membentuk kumpulan pejuang menentang Gaddafi.
Kematian Gaddafi itu menyebabkan NTC kini menguasai sepenuhnya Libya selepas mereka bertempur selama lapan bulan.
– Agensi
Merokok Dari Pandangan Islam
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.
Keputusan (English):
Smoking From The Perspective Of Islam
Decision:
The 37th Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee National Council of Islamic Religious Affairs Malaysia held on 23rd March 1995 has discussed on smoking from the perspective of Islam. The Committee has decided that smoking is prohibited in Islam because it is harmful.
Keterangan/Hujah:
1. Keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tersebut adalah bersandarkan kepada hujah-hujah berikut:
i. Rokok mengandungi pelbagai jenis racun. Fakta daripada kajian-kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan kimia lain. Setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita telah menghidu sebanyak 4,000 jenis bahan kimia yang boleh memudharatkan badan.
ii. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. Terdapat beberapa jenis penyakit yang berpunca dari merokok, antaranya ialah kanser kerongkong, kanser mulut, katarak (sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun), ulser perut, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, emfisema paru-paru dan banyak lagi.
iii. Pada masa kini jumlah perokok sama ada dinegara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada orang ramai. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esophagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok. Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok dan negara juga mengalami kerugian kira-kira RM 20 billion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.
iv. Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu:” Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah swt mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”.
v. Para ulama’ sepakat menyatakan bahawa merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji, berdasarkan nas-nas berikut:
a. Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.
b. Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud; “ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.
c. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Tidak boleh memberi mudharat dan membalas dengan kemudharatan”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)
d. Kaedah Usul Fiqh: درء المفاسد مقدم على جلب المصالح yang bermaksud “ menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”
e. Imam Ibn. Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, jilid 7, halaman 503 (masalah no. 1027) menegaskan bahawa : “Pemborosan adalah haram”. Yang dimaksudkan dengan pemborosan di sini ialah:
i. Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah swt, samada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.
ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya.
iii. Membuang wang, betapa kecilpun jumlahnya kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.
vi. Beberapa negara Islam dan beberapa ulama’ muktabar telah mengeluarkan fatwa tentang amalan merokok.
Antaranya seperti berikut:
a. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya adalah hukumnya haram kerana daripadanya terdapat kemudharatan.
b. Ulama’-ulama’ semasa Mesir seperti Dr. Abdul Jalil Shalaby mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan masyarakat.
c. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya “Fatawa al-Imam Abdul Halim Mahmud” telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan.
2. Hukum pengharaman arak dan khinzir tidak boleh disamakan dengan hukum haram merokok kerana hukum pengharaman terhadap arak dan khinzir telah dinyatakan secara jelas dan qat’ie oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran. Manakala hukum pengharaman terhadap perbuatan merokok telah diistinbatkan oleh para jumhur ulama’ terdahulu dan masa kini bersandarkan hujah-hujah kepada nas-nas syarak yang jelas dinyatakan seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ Ulama’, Qaedah-qaedah Fiqhiyah dan sebagainya. Ayat-ayat al-Quran dan hadith seperti yang dinyatakan di atas jelas telah memperincikan isu ini.
3. Al-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, bekas Mufti Mesir dalam Kitabnya Fatawa Syariyyah Wa Buhuth Islamiyah menyatakan:
“ Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini dahulunya belum dikenali. Apabila ia diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, maka ulama’-ulama’ fiqh daripada pelbagai mazhab Islam telah membincangkannya untuk menetapkan hukumnya berdasarkan prinsip (qaedah fiqhiyyah) yang telah ditetapkan.”
“Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal melainkan adanya perkara-perkara yang mengubah hukumnya menjadi haram atau sebagainya.”
Fatwa: Merokok memang haram
Allah berfirman di dalam Surah al-Baqarah ayat 195- bermaksud:
‘Jangan kamu mencampak diri kamu kepada kebinasaan’.
Antara Fatwa merokok itu HARAM ialah:-
* Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwan Islam Malaysia kali ke 37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 di Kuala Lumpur.
* Fatwa yang termasyur di seluruh dunia iaitu Al-Marhum Mufti Saudi, Syeikh Abdul Aziz bin Baaz
* Fatwa Al-Azhar terdahulu iaitu Syeikh Abdullah Al-Masyd (Ketua Lembaga Fatwa Azhar), Dr. Ahmad Umar Hashim (Naib Canselor Al-Azhar) dan lain lain.
10 SEBAB MENGAPA ISLAM MENGHARAMKAN ROKOK
1. Rokok menjejaskan akal (mental)
2. Rokok membahayakan kesihatan fizikal
3. Rokok membahayakan keselamatan diri dan orang lain.
4. Rokok membahayakan keturunan
5. Rokok mengganggu manusia lain.
6. Rokok menimbulkan akhlak buruk
7. Rokok mensia-siakan waktu hidup
8. Rokok bercanggah dengan maruah Islam
9. Rokok membazirkan harta (wang)
10.Rokok mengandungi dadah (nikotin dan arak)
No comments:
Post a Comment