Saturday, October 22, 2011

KITA BERADA DIAKHIR ZAMAN...DIMANA PENUH KEMAKSIATAN@KEMUNGKARAN....SERTA KESESATAN...TAMBAH UNDANG2 ALLAH DINAFI...MAKA MASYARAKAT@MANUSIA BERTAMBAH PARAH...

Maut terhidu asap

Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

USUNG...anggota bomba membawa turun mayat mangsa.
USUNG...anggota bomba membawa turun mayat mangsa.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita dipercayai mengalami tekanan perasaan ditemui mati dalam kebakaran unit rumahnya di tingkat satu pangsapuri Rampai Court, di sini petang semalam.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, Ser Thien Fan, 43, ditemui tidak sedarkan diri akibat terhidu banyak asap selain mengalami kesan terbakar di tangan kiri.

Menurut sumber, sebelum kebakaran, mangsa datang ke rumah jirannya dan cuba memotong jeriji rumah dengan pisau pemotong dan penukul besi.
Katanya, jiran lain yang kebetulan berada di tempat kejadian keluar untuk menenangkan mangsa.

“Mangsa mendakwa adiknya berada dalam rumah jirannya itu, tetapi sebenarnya tidak,” katanya.

Beliau berkata, sebaik ditenangkan, mangsa pulang semula ke rumahnya manakala jiran berkenaan memaklumkan kepada pengawal keselamatan di pangsapuri itu agar menghubungi polis.

“Beberapa minit kemudian polis tiba dan datang ke rumah mangsa, tetapi dia enggan membuka pintu. Anggota terbabit kemudian pulang semula ke balai.

“Dalam kejadian jam jam 6 petang, ada jiran ternampak api dalam bilik rumah mangsa sebelum menghubungi bomba. Ketika kejadian mangsa hanya berseorangan manakala suaminya keluar bekerja,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.09 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian dengan tiga jentera dan 30 anggota.

Katanya, sebaik tiba, pintu rumah mangsa terkunci dan anggotanya terpaksa memecahkannya untuk masuk menyelamatkan mangsa.

“Kami mendapati mangsa terbaring dalam bilik dengan keadaan tidak sedarkan diri. Terdapat kesan melecur pada tangan kiri mangsa,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, mangsa dipercayai mati akibat terhidu asap.

“Siasatan kami mendapati kebakaran bermula dari dalam bilik mangsa. Setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Lelaki kematian isteri perkosa anak sendiri

JERANTUT: Seorang lelaki yang sudah kematian isteri, bukan saja tergamak merogol anak tunggalnya berusia lapan tahun malah lelaki durjana itu juga sanggup bergaduh besar dengan ibu dan adik perempuannya selepas keluarganya tampil membuat laporan polis berhubung tindakan kejamnya itu.
Mangsa, seorang murid tahun dua sebuah sekolah rendah di bandar ini dikatakan dirogol bapanya sendiri yang berusia 32 tahun ketika sedang mandi di bilik air rumah mereka di Kampung Jalan Batu Satu, dekat sini, kira-kira jam 2 petang, 14 Oktober lalu.

Sebelum kejadian, kanak-kanak malang itu baru pulang dari sekolah, masuk ke bilik air untuk mandi tanpa mengetahui gerak-gerinya diperhatikan oleh bapanya dan mangsa yang murung menceritakan perbuatan jijik itu kepada ibu saudaranya selepas didesak berbuat demikian.
Ibu saudara mangsa yang terkejut mendengar pengakuan mangsa kemudian menceritakan insiden itu kepada ibunya dan kedua-dua mereka memanggil suspek untuk mendapatkan cerita sebenar daripadanya.

Ketika ditanya, suspek mula berang dan bergaduh besar dengan ibu serta adik perempuannya itu dan dia turut dikatakan cuba bertindak agresif terhadap mereka.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zakaria Kassim, berkata nenek serta ibu saudara mangsa membawa kanak-kanak malang itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut kira-kira jam 2 petang, sehari selepas kejadian.

“Lelaki itu turut membuat laporan polis, dua jam selepas itu dengan tujuan mahu mengelak daripada dikenakan sebarang tindakan selain mengadu dirinya dikasari oleh adik perempuannya. Dia ditahan sejurus selepas membuat laporan berkenaan,” kata Zakaria.


Meraung kena asid



KUCHING: Seorang wanita meraung kesakitan apabila kekasihnya melempar sebotol cecair dipercayai asid tepat ke mukanya hanya kerana dia enggan berjumpa dengan lelaki itu.
Kejadian berlaku di rumah mangsa, ibu tunggal berusia 48 tahun, di Jalan Batu 13, Jalan Kuching-Serian di sini kira-kira jam 10 malam, kelmarin. Menurut sumber, teman lelaki mangsa, juga berusia 48 tahun, pergi ke rumah wanita itu dengan harapan untuk bertemu dengannya, namun permintaannya tidak dilayan. “Berang dengan tindakan mangsa, suspek dikatakan tidak terus pulang, tetapi menghendap mangsa untuk memastikan kedudukannya di dalam rumah,” katanya.

Menurutnya, selepas pasti mangsa berada di dalam biliknya, suspek mengambil cecair yang dipercayai asid dari dalam kenderaannya lalu melontarnya ke arah mangsa melalui tingkap bilik.
“Botol mengandungi cecair dipercayai asid yang dibaling itu tepat mengenai muka mangsa, menyebabkan mangsa menjerit kesakitan dan meminta tolong.

“Anggota keluarga yang mendengar jeritan mangsa kemudian bergegas menghantarnya ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Simpang Tiga,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Fauzi Bujang ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326, Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

Sentiasa berwuduk elak dipukau



KUALA LUMPUR: “Cara paling mudah seseorang itu mengelakkan diri daripada terkena ilmu pukau ialah dengan sentiasa berada dalam keadaan berwuduk supaya jin dan syaitan tidak dapat menguasai diri kita.
“Latihan seperti itu perlu diamalkan supaya niat jahat seseorang itu tidak berjaya kerana hanya wuduk mampu mematahkan semua niat jahat ingin diperlakukan kepada kita ,” kata Pengasas Pusat Rawatan Terapi al-Quran Darul Hikmah, Abdul Malek Abdul Ladzim Al Azhari.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai seorang pesara yang kerugian RM50,000 selepas dipukau seorang lelaki berperwatakan alim dengan hanya menepuk bahu.
Lelaki berkenaan mampu membuatkan mangsanya secara tanpa disedari menyerahkan geran tanah, wang tunai serta barangan kemas kepadanya.

Abdul Malek berkata, ilmu pukau sebahagian ilmu sihir yang wujud sejak zaman Nabi Musa lagi iaitu ketika Nabi Musa terpaksa berhadapan dengan ahli sihir Firaun.

Menurutnya, pukau akan menyebabkan seseorang itu dikuasai jin kafir yang melakukan perjanjian dengan tuannya untuk merosakkan seseorang yang dikehendaki.

Katanya, banyak lagi cara yang boleh dilakukan bagi mengelakkan diri daripada terkena ilmu pukau ini iaitu dengan mengamalkan ayat suci al-Quran dan zikir sebagai benteng untuk diri.

“Pukau ini mempunyai pelbagai cara seperti menggunakan asap rokok, angin dan dengan menyebut nama orang berkenaan. Ilmu sihir sekarang juga boleh dilakukan melalui dalam telefon.
“Oleh itu, jika pengamal ilmu sihir boleh melakukan latihan untuk mendapatkan ilmu yang dikehendaki, kita juga perlu melatih diri kita dengan mengamalkan panduan yang boleh mengelakkan diri dari terkena ilmu berkenaan,” katanya.

Dosa besar

Oleh Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Berdosa besar bagi wanita yang sudah bersuami menjalinkan hubungan dengan lelaki lain sehingga membawa kepada keruntuhan rumah tangganya.
“Sepatutnya, sebagai isteri, wanita perlu hormat dan taat pada suami lebih-lebih lagi suami yang baik budi pekerti,” kata tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din.

Beliau diminta mengulas berkaitan wanita yang sanggup membayar wang tebus talak semata-mata untuk bercerai kerana mahu berkahwin dengan teman lelaki.
Menurutnya, ada di kalangan anggota masyarakat yang kurang faham dengan tujuan perkahwinan dan berikutan itu, mereka sanggup melakukan perbuatan seperti wang tebus talak.

Pada masa sama, menurut Abu Hassan, tebus talak juga bukan peluang untuk mencari wang.

“Ada lelaki yang enggan menerima wang tebus talak kerana ia membabitkan maruah, tetapi bagi lelaki yang menerimanya kerana semata-mata mahukan wang, mereka boleh dianggap dayus,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, isteri boleh meminta cerai daripada suaminya kerana beberapa perkara seperti lelaki berkenaan mati pucuk atau berlaku zalim terhadap mereka.

“Bagi kes berkenaan, ia dibolehkan kerana perkara itu mendatangkan kemudaratan kepada isteri,” katanya.
Laporan muka depan Harian Metro kelmarin mendedahkan Normah, 31, yang sanggup membayar wang tebus talak RM20,000 kepada suaminya semata-mata mahu berkahwin dengan teman lelaki.

Normah yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor, menyatakan suami yang dikahwini selama lima tahun seorang yang baik dan tidak pernah membuat sebarang kesalahan sepanjang perkahwinan mereka.


Selepas Kajol, kini Pooja

Oleh Asmizan Mohd Samiran dan Mohd Nor Asri Yaacob
am@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Seorang lagi penyanyi mak nyah di negeri ini yang menggunakan nama Pooja menyifatkan dirinya wanita kerana mendakwa mempunyai ciri perempuan sejak dilahirkan dan bukan sengaja mahu menjadi wanita.
Pooja, 28, berkata, dia dilahirkan dengan naluri wanita, wajah seperti wanita dan fizikal seperti wanita menyebabkan dia akan terus mengekalkan identiti wanita pada dirinya.

“Saya ‘ori’ (original) seperti wanita. Saya bukan buat-buat mahu menjadi wanita kerana semuanya akibat naluri yang sebati sejak dilahirkan.
“Saya bukan jenis yang bertukar menjadi wanita selepas terpengaruh dengan rakan. Semuanya berlaku secara semula jadi,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sebelum ini, seorang penyanyi mak nyah dari negeri itu yang menggunakan nama Kajol, 24, mencetuskan kontroversi apabila rela mati daripada berubah menjadi lelaki.

Enggan dibandingkan dengan Kajol, Pooja yang menyanyikan lagu dikir barat moden mengakui sering menerima tohmahan, namun dia tidak kisah kerana ia lumrah kehidupan.

“Saya tidak kisah dengan tohmahan masyarakat kerana saya jujur pada diri sendiri. Hanya individu terdekat memahami diri saya.

“Ada juga yang dengki, tetapi saya sentiasa berfikiran positif,” katanya.
Menurut Pooja, dia berdepan pelbagai cabaran ketika menjadi anak seni di negeri ini sehingga pernah ada wanita yang bergelar isteri cemburu kerana suami wanita itu rapat dengannya.

“Kerana perasaan cemburu itu, pasangan suami isteri terbabit bercerai, namun akhirnya rujuk semula.

“Dalam keadaan diri seperti ini, saya perlu kuat untuk berdepan pelbagai cabaran,” katanya. Pooja berkata, dia sedar individu sepertinya sukar diterima di negeri itu, tetapi industri hiburan adalah sumber utama mata pencariannya.

“Saya bersyukur, saya masih ada jemputan membuat persembahan dan masih mampu menghasilkan album.

“Penampilan saya adalah berdasarkan permintaan peminat dan saya sentiasa beringat supaya penampilan saya tidak menjolok mata,” katanya.

Pooja, anak yatim yang berasal dari Dungun, Terengganu dan kini menetap di Pasir Puteh bersama keluarga angkat.

Pooja mula bergiat aktif dalam dikir barat sejak berusia 14 tahun sebelum beralih kepada dikir barat moden. Sehingga kini, dia mempunyai empat album antaranya album berjudul Tiba-tiba Tembak dan Goyang Bersama Pooja.

Pooja juga pernah bergandingan dengan nama popular industri muzik di Kelantan seperti Adik Wani, Mat Glamor dan Munirah.

Semalam, akhbar melaporkan budaya di negara ini sama sekali tidak menerima hak LBGT (lesbian, biseksual, gay dan transeksual), apatah lagi Islam kerana perbuatan itu bertentangan dengan agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dipetik sebagai berkata, hak yang diperjuangkan mereka tidak diiktiraf kerana negara masih berpaksikan ajaran Islam dan kegiatan itu bertentangan syarak termasuk bercanggah dengan budaya negara ini.

“Memang diakui, hak LBGT sudah mula diterima di negara Barat yang berpendapat itu hak mereka. Namun, kita tidak seharusnya mengikut mereka kerana negara ini mengamalkan prinsip Islam, ia sama sekali tidak boleh diterima.

“Sedangkan pertukaran jantina pun tidak dibenarkan menerusi pendekatan undang-undang, apatah lagi menerima dan mengiktiraf hak perkahwinan sejenis yang jelas berlawanan dengan agama mahupun moral,” katanya.

Pengawal keselamatan raba punggung wanita dipenjara 12 bulan



GEORGETOWN: Akibat meraba punggung seorang wanita ketika berada di depan lif sebuah flat di Gat Lebuh Macallum Isnin lalu, seorang pengawal keselamatan terpaksa merengkuk dalam penjara selama 12 bulan selepas dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret, semalam.
Tertuduh, Mohd Raffi Saiyed Ibrahim, 33, dari Jelutong, mengaku bersalah terhadap tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita dan dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Majistret Noor Aini Yusof dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan berdasarkan prinsip kepentingan orang awam dan jenayah dilakukannya adalah serius serta memalukan mangsa.
Katanya, mahkamah juga membuat keputusan itu selepas mengambil kira dua kesalahan berkaitan jenayah dadah yang dilakukannya pada 2002 dan 2005.

“Mahkamah juga mengambil kira pengakuan tertuduh yang mengakui kesalahannya yang menjimatkan kos serta masa mahkamah,” katanya.

Mengikut fakta kes, Mohd Raffi didakwa melakukan kesalahan itu di depan sebuah lif di tingkat sembilan Flat Sri Saujana, Gat Lebuh Macallus, Isnin lalu, jam 9.40 malam.

Mangsa yang berusia 25 tahun ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah apabila Mohd Raffi yang berada di lif terbabit menarik pakaiannya dan terus meraba punggungnya.

Mangsa melarikan diri dan memberitahu adik lelakinya mengenai kejadian itu sebelum membuat laporan polis di Jalan Patani.
Mohd Raffi ditahan pengawal keselamatan flat berkenaan kira-kira jam 10.05 malam pada hari sama dan diserahkan kepada polis di Pondok Polis Macallum.

Terdahulu, Mohd Khairulhazman Ghazali dari Pusat Bantuan Undang-Undang Majlis Peguam Pulau Pinang yang mewakili Mohd Raffi meminta mahkamah mempertimbangkan latar belakang tertuduh serta sejarah hidupnya sebelum menjatuhkan hukuman.

Beliau memberitahu mahkamah, Mohd Raffi ialah anak kedua daripada empat beradik yang menyara ibu bapanya dengan gaji RM800 sebulan.

‘Saya tidak faham tuduhan’

Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my

JASIN: “Saya tidak faham pertuduhan. Saya tidak membunuh mangsa,” kata seorang jurujual yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam terhadap tuduhan membunuh anak tirinya di Alor Gajah, awal bulan ini.
Azman Abd Rahman, 37, dari Kampung Baru Semin, Lubok Cina, Linggi, Negeri Sembilan, didakwa menyebabkan kematian Muhammad Firdaus Mohd Dan, 6, di kebun kelapa sawit Kampung Solok Pinang, Gadek, Alor Gajah, kira-kira 3.30 petang, 10 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Azman yang dibawa ke mahkamah kira-kira jam 9.45 pagi memberitahu tidak faham dengan tuduhan terhadapnya yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Suriatey Mohamed Yusoff.

Tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh sebelum Siti Suriatey menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Badariah Yusof, manakala Azman yang hadir di mahkamah dengan pakaian lokap polis tidak diwakili peguam.

Harian Metro pada 11 Oktober lalu melaporkan Muhammad Firdaus dihantar bapa tirinya itu ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Difahamkan, terdapat beberapa kesan kecederaan pada badan mangsa termasuk kedua-dua kakinya berlubang dipercayai akibat terkena benda panas.
Tertuduh cuba melarikan diri selepas menghantar anak tirinya itu mendapatkan rawatan, namun ditahan polis tidak lama kemudian.

Pujuk gay Melayu

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

IPOH: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertindak agresif membendung gejala homoseksual atau gay di kalangan lelaki Melayu termasuk golongan eksekutif diyakini berjumlah puluhan ribu orang.
Malah, pegawai Jakim turun padang mengadakan pertemuan tertutup dengan beberapa persatuan gay baru-baru ini selain melakukan tugas dakwah di pusat hiburan yang menjadi sarang kumpulan seks songsang ini.

Sumber berkata, melalui perbincangan khas itu, Jakim mendekati golongan gay dan berusaha memujuk mereka menyertai program mukhayyah yang diyakini mampu membawa golongan ini ke arah keinsafan.
“Pada pertemuan membabitkan lebih 20 ketua kumpulan gay Melayu, Jakim memujuk mereka menyertai program khas diatur. Walaupun majoriti tidak bersetuju, namun masih ada segelintir berminat menyertai program.

“Apa ang pasti kegiatan gay di Malaysia seolah-olah disokong gerakan khas yang berusaha menyebarkan ideologi menjadikan ia tidak ubah seperti di negara Barat,” katanya.

Difahamkan gerakan sulit kumpulan gay dikesan melanda bandar raya Kuala Lumpur selain Sarawak dan beberapa negeri lain.

Golongan ini termasuk pekerja profesional turut menjadi antara teramai menghidap HIV dan Aids yang mendapat rawatan di hospital kerajaan.

Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim, Saimah Mukhtar berkata kakitangan jabatannya serius menangani gejala gay seperti mendekati golongan mak nyah sejak awal tahun ini.
Menurutnya, program pemulihan khusus untuk golongan homoseksual sedang diatur dan pihaknya cuba memujuk mereka menyertai program itu.

“Golongan gay bukan seperti mak nyah atau pondan yang mudah dikenali berdasarkan bentuk fizikal. Mereka mempunyai penampilan lelaki normal, namun kecenderungan seksual songsang.

“Kami cuba mendekati golongan ini dengan memasuki beberapa kelab gay terkemuka di ibu kota dan beberapa bandar raya lain sebagai kerja dakwah,” katanya.

Menurutnya, tambah membimbangkan golongan gay tidak hanya membabitkan mereka yang berusia pertengahan tahun, malah disertai remaja dan berusia lebih 50-an.

“Jika dulu kegiatan gay dilakukan selindung, kini ramai berani mengisytiharkan diri sebagai gay melalui blog dan facebook selain menganjurkan pesta khas,” katanya.

Menurutnya, Jakim tidak pernah memandang hina golongan ini sebaliknya menganggap gay Melayu pesakit yang perlu rawatan.

“Saya difahamkan ramai bersetuju mengikuti program pemulihan bakal dikendalikan Jakim tidak lama lagi. Ia dianggap satu langkah awal positif,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman berkata gejala warisan kaum Nabi Lut itu kian serius dengan adanya kemudahan teknologi perhubungan yang semakin canggih.

Menurutnya, blog, laman web sosial seperti twitter dan facebook dijadikan pengantara oleh kumpulan gay Melayu ini untuk aktif dan mengumpulkan seramai mungkin ahli.

“Mungkin ramai pihak tidak menyedari bahaya kebangkitan golongan dilaknat ini namun ia sedang merebak dan boleh merosakkan generasi muda Islam,” katanya.

Menurutnya, tindakan drastik perlu dilakukan bagi memerangi golongan ini termasuk golongan lesbian dan mak nyah yang menggambarkan kelemahan umat Islam negara ini. Isu gay dikalangan lelaki Melayu beragama Islam pernah menjadi isu hangat apabila seorang lelaki Melayu berusia 32 tahun membuat pengakuan dirinya adalah gay melalui laman Youtube.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz bagaimanapun menjelaskan pihaknya tidak ada kuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki berkenaan berikutan tidak mempunyai kuasa mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau menyarankan penyebaran budaya homoseksual itu melalui laman sosial dan internet disekat dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia dan agensi berkaitan.

No comments:

Post a Comment