Tuesday, October 18, 2011

KEJAM DAN KEJADIAN2 YANG MENAKUTKAN SERTA MEMBIMBANGKAN....HANYA HUKUMAN ALLAH YANG AMPUH UNTUK MENGATASINYA...TIADA SAPE BOLEH MENGATASI KEILMUAN ALLAH....ILMU KITA DAN FIKIRAN KITA AMAT TERBATAS...

Luluh hati lihat jasad suami

Oleh Yusmawati Mhd Yusof dan Mohd Zaidi Ya’acob
am@hmetro.com.my

HIBA...Norhanisah sayu melihat mayat suaminya. Gambar kecil, Shahrul Hisham.
HIBA...Norhanisah sayu melihat mayat suaminya. Gambar kecil, Shahrul Hisham. 
 
MELAKA: “Luluh hati saya ketika tiba ke tempat kejadian dan melihat tubuhnya terbujur kaku ditutup dengan plastik hitam. Malah, lebih mengecewakan apabila mengenangkan arwah tidak sempat melihat anak ketiganya yang bakal lahir.
“Sebelum ini, dia pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya sehingga koma dan menyatakan sekiranya sekali lagi terbabit kemalangan, nyawanya akan terancam kerana kepalanya sensitif,” kata isteri kepada mangsa kemalangan maut, Shahrul Hisham Daud, 22.
Norhanisah Nordin, 21, yang baru disahkan mengandung sebulan berkata, ketika kejadian suaminya baru menghantarnya bekerja di pasar raya di Cheng jam 2.45 petang sebelum terbabit dalam kemalangan jam 3.30 petang itu.

“Sebelum ini, dia tidak pernah menghantar saya sehingga ke kaunter tempat bekerja, namun hari ini (kelmarin) dia beriya-iya mahu ikut hingga ke kaunter, tetapi saya tidak menghiraukan permintaannya.


“Malah, sejak kebelakangan ini, suami lebih banyak berdiam diri sehingga kami jarang berbual dan saya tidak sangka perubahan itu petanda suami meninggalkan kami selamanya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka (HM), di sini, semalam.

Lari tinggal 2 anak

Oleh Na’imah Mohamed
naimah@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Seorang wanita terpaksa berpisah dengan dua anaknya selepas melarikan diri akibat tidak tahan dibelasah suami di kediaman rakannya di Damansara Damai, di sini, awal pagi semalam.
Difahamkan, mangsa berusia 32 tahun menumpang di rumah rakannya itu selama lebih dua minggu selepas melarikan diri bersama dua anaknya akibat tidak tahan dipukul suaminya.

Menceritakan semula kejadian, sumber berkata, kejadian berlaku jam 2 pagi selepas mangsa mendapat panggilan telefon daripada suaminya menyuruh dia turun berjumpa dengannya.
Mangsa akur dan turun bertemu suaminya dengan membawa bersama dua anak mereka sebelum berlaku pertengkaran kecil. Ketika itu, suami mangsa yang naik marah menumbuk perut dan menampar mukanya.

“Suaminya turut mencekik mangsa sebelum wanita itu menolaknya dan melarikan diri meninggalkan kedua-dua anaknya bersama lelaki itu,” katanya. Menurutnya, sebelum kejadian, keluarga suami mangsa pernah datang ke rumah berkenaan dua minggu lalu dan mengugut akan ‘menyemadikan’ mangsa sambil melontarkan kata-kata kesat kepadanya.

“Bapa mentua mangsa turut memberi amaran supaya tidak mendekati suaminya lagi berikutan lelaki itu sudah beristeri baru dan hidup bahagia,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa yang melarikan diri ke rumah seorang lagi rakannya di Jinjang, dekat sini, membuat laporan di Balai Polis Jinjang sebelum kes dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Bagaikan ‘daging bakar’



KUALA LUMPUR: Tubuh badan isteri yang melecur dipercayai dibakar suaminya sendiri dalam bilik mandi di rumah mereka di Kampung Baru, tengah malam Sabtu lalu difahamkan bagaikan ‘daging bakar’.
Sumber berkata, berdasarkan keterangan saksi, dalam kejadian jam 12.20 malam itu, suami mangsa berusia 28 tahun dan bekerja sebagai kerani sempat memadamkan api dalam bilik air dan badan mangsa dengan air sebelum menjerit meminta tolong.

Katanya, jeritan lelaki itu didengari jiran sebelum mereka berlari ke rumah mangsa untuk membantu.
“Menurut saksi, keadaan kulit mangsa bagai ‘daging bakar’ dan cukup menyayat hati malah berbau hangit.

“Mangsa sudah tenat ketika itu dan kesan melecur di seluruh tubuhnya menyebabkan saksi membuat tafsiran dia sukar diselamatkan,” katanya.

Menurutnya, suami mangsa berkelakuan panik dan sedih ketika meminta pertolongan namun mewujudkan rasa sangsi apabila semua kesan bakar berjaya dipadamkan.

Menurut sumber, hasil bantuan jiran, mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kini berada dalam keadaan kritikal.

Tinjauan Harian Metro ke rumah mangsa mendapati keadaan rumah berkunci manakala bilik air yang dipercayai tempat kejadian berlaku terdapat kesan terbakar.
Beberapa jiran yang ditemui memberitahu mereka hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas membaca laporan muka depan Harian Metro, semalam.

Jiran mangsa dikenali sebagai Ehsan, 55 berkata, dia langsung tidak mendengar pertengkaran antara pasangan itu, malah tidak mengetahui mengenai kejadian itu.

Katanya, pasangan itu menyewa di rumah kayu dua tingkat itu sejak setahun lalu dan mempunyai dua anak lelaki berusia tiga dan lima tahun.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang jururawat berusia 28 tahun melecur lebih 80 peratus akibat tindakan suaminya ‘meletupkan’ wanita berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, pihaknya sedang menyiasat motif kejadian dan mangsa masih menerima rawatan di HKL.

2 pemancing dihanyut arus



GOMBAK: Kegembiraan empat sahabat berusia 16 hingga 20 tahun memancing di longkang besar di Taman Samudera, di sini, berakhir tragedi selepas dua daripada mereka dihanyutkan arus deras, petang semalam.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, mereka dikatakan sedang memancing sebelum tiba-tiba tergelincir dan dihanyutkan arus deras.

Bagaimanapun, dua daripada mereka diselamatkan orang ramai selepas hanyut sejauh kira-kira satu kilometer.
Saksi kejadian, Syah Lokman, 24, berkata, dia melihat dua lelaki itu terkapai-kapai minta pertolongan sebelum diselamatkan orang ramai yang kebetulan berada di kawasan kejadian.

Katanya, mangsa yang dibawa ke tebing kemudian dihantar ke Hospital Selayang.

“Mangsa sempat memberitahu dua lagi rakan turut dibawa arus deras,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Sementara itu, sepasukan anggota bomba yang dihubungi bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa.

Setakat jam 9 malam tadi, kedua-dua mereka belum ditemui.

Perdaya isteri rakan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

MELAKA: Seorang kakitangan sebuah bank di negeri ini mendakwa diperdaya seorang lelaki warga asing yang memaksanya melakukan hubungan seks sebagai balasan bagi membebaskan suami yang kononnya diculik.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa pada 8 Oktober lalu, wanita berusia 27 tahun itu mendakwa dirogol dan dipaksa melakukan seks oral oleh lelaki berkenaan selepas mengikuti suspek, 29, yang kononnya mahu membantunya mencari suaminya.

Menurut sumber, sehari sebelum kejadian (7 Oktober), mangsa mendakwa dia dan suaminya, lewat 20-an, membawa lelaki warga asing itu yang juga rakan suaminya, makan di sebuah restoran di Bukit Beruang, sebelum suaminya menghantar lelaki itu pulang, manakala dia menaiki sebuah lagi kereta.
“Beberapa jam kemudian, mangsa mendakwa lelaki berkenaan menelefonnya bertanya mengenai suaminya menyebabkan dia terkejut kerana sepatutnya dia bersama kenalannya itu.

“Lelaki warga asing itu yang juga ahli perniagaan kemudiannya menyatakan suaminya mungkin diculik dan menawarkan diri untuk membawa wanita itu ke balai polis untuk membuat laporan.

“Mangsa cuba menghubungi suaminya beberapa kali, namun gagal dan berikutan bimbang sesuatu yang buruk berlaku, dia akhirnya bersetuju mengikuti lelaki berkenaan,” kata sumber.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan, wanita itu mendakwa lelaki berkenaan mengherdiknya selain mengaku dia yang menculik suami mangsa dan disembunyikan di rumahnya di Bukit Beruang.

Katanya, wanita itu mendakwa kemudian dibawa ke rumah suspek sebelum dipaksa melakukan seks oral dan dirogol dengan ganas hingga mangsa mengalami kecederaan di kedua-dua belah pahanya sebagai balasan membebaskan suaminya.
“Mangsa mendakwa lelaki memberitahu dia ghairah melihat bentuk tubuhnya hingga mahu melakukan hubungan seks.

“Berikutan laporan polis yang dibuat mangsa, polis kemudian menahan lelaki warga asing berkenaan di rumahnya di Bukit Beruang Utama beberapa hari selepas itu.

Sumber berkata, kejadian culik itu dipercayai tidak berlaku dan suami mangsa pulang ke rumah keesokan harinya dan ketika kejadian, dia berada di tempat lain.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Negeri, Datuk Chuah Ghee Lye, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, warga asing itu turut membuat laporan berasingan kelmarin mendakwa wanita itu dan suaminya mereka-reka cerita kerana gagal memeras wang daripadanya.

Peniaga diperintah bela diri bunuh pemberi maklumat polis



ALOR SETAR: Seorang peniaga diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, atas tuduhan membunuh seorang lelaki yang juga pemberi maklumat polis dekat Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, K Marimuthu, 34, di akhir kes pendakwaan.

Marimuthu didakwa membunuh Md Rashid Mahamud, 48, dengan menembak mangsa di atas jalan batu kelikir menghala ke Ladang Kelapa Sawit OSK Properties Sdn Bhd berhampiran Pasar Raya Econsave Jalan Kuala ketil, Sungai Petani, kira-kira jam 5 petang, 28 Ogos 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Zakiah ketika membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan berkata, beberapa elemen dapat dibuktikan dalam kes itu iaitu terdapat saksi yang melihat tertuduh melepaskan tembakan ke arah mangsa dalam jarak kira-kira enam meter.

“Ia membuktikan perbuatan yang dilakukan tertuduh adalah dengan niat dan tertuduh tahu perbuatannya itu boleh menyebabkan kematian mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan disebabkan tembakan yang mengenai jantung,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak lapan saksi pendakwaan dipanggil untuk membuktikan pertuduhan kes terhadap Marimuthu.
“Pembelaan berhujah bahawa pihak pendakwaan tidak dapat mewujudkan kes prima facie kerana gagal menemui senjata yang digunakan untuk pembunuhan itu kepada mahkamah.

“Bagaimanapun, mahkamah menerima keterangan daripada salah seorang saksi yang mengakui melihat tertuduh melakukan kesalahan itu.

“Saksi berkenaan juga menyaksikan mangsa rebah dan jatuh di atas jalan batu kerikil sejurus ditembak,” katanya.

Zakiah berkata, laporan bedah siasat juga menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat luka selepas terkena tembakan di jantung, Zakiah kemudian menetapkan 20 November ini sebagai tarikh perbicaraan.

Tertuduh yang memakai baju kemeja-T dan seluar jeans berwarna biru kelihatan tenang selepas hakim mengarahkannya membela diri.

Badan penuh bekas kudis

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

GEORGETOWN: Tubuhnya kurus dan kecil manakala seluruh badannya dipenuhi kesan cubitan dan kudis dipercayai akibat kecederaan lama disyaki didera.
Begitulah penderitaan ditanggung seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun sebelum dia diselamatkan anggota polis, Sabtu lalu.

Kanak-kanak malang itu terpaksa menanggung azab berkenaan sejak Aidilfitri lalu apabila dia diambil ibunya daripada bapanya untuk tinggal dengan mereka di sebuah flat di Jalan Sungai, di sini.
Menurut sumber, polis menerima maklumat daripada orang awam mendakwa berlaku penderaan kanak-kanak kira-kira jam 1 tengah hari sebelum anggota polis bergegas ke rumah terbabit.

“Polis menemui kanak-kanak berkenaan yang berbadan kurus dan dipenuhi kesan kudis serta parut baru dan lama dipercayai dicubit dan kemungkinan dipukul.

“Siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan nenek kanak-kanak terbabit yang berusia 60-an dipercayai menjadikan cucunya itu sebagai sasaran melepaskan geram,” katanya.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti bentuk penderaan yang dilakukan nenek kanak-kanak berkenaan sama ada dia hanya mencubit atau turut memukul menggunakan sebarang senjata. Difahamkan, kanak-kanak berkenaan sebelum ini tinggal bersama bapanya berikutan ibu dan bapanya bercerai, tetapi diambil kembali ibunya untuk tinggal bersama selepas Aidilfitri lalu.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu yang masih belajar di sebuah sekolah rendah dikatakan tidak disenangi neneknya yang sentiasa melepaskan geram dengan menjadikan kanak-kanak terbabit sebagai mangsa.
Sumber berkata, mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dia kini ditempatkan di wad kanak-kanak bagi rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut juga mendapati kanak-kanak terbabit turut tinggal serumah dengan bapa saudaranya yang sebelum ini pernah ditahan kerana kesalahan rogol,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan juga penahanan nenek mangsa.

“Selepas mengambil keterangannya, kita membebaskan nenek mangsa dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Bekas tentera lupus harta curi dijel 26 bulan



IPOH: Seorang bekas tentera dijatuhkan hukuman penjara 26 bulan selepas didapati bersalah melupuskan harta curi iaitu seutas gelang emas milik arwah Timbalan Pengarah Veteriner Perak, Dr Rohani Kasim yang ditemui mati dibunuh kejam di sebuah pangsapuri, awal Ogos lalu.
Tertuduh, Nuurhisyam Shukor, 22, berasal dari Kampung Balun, Slim River, Perak, dikehendaki menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditahan iaitu pada 4 Ogos lalu.

Sebaik pertuduhan dibacakan, tertuduh yang diwakili peguam bela dari Biro Bantuan Guaman, Yusof Arshad, mengaku bersalah sebelum Majistret Rabiatul Adawiyah Che Khalid menjatuhkan hukuman itu.
Ketika hukuman dijatuhkan, Nuurhisyam yang memakai jaket coklat dan berseluar jean serta berselipar di dalam kandang tertuduh kelihatan tenang.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nuurhisyam didakwa melupuskan gelang emas berbentuk sembilan urat bernilai RM6,000 di Kedai Jam Tangan Kam Seng di Jalan Besar, Tanjung Malim kira-kira jam 10.30 pagi pada 4 Ogos lalu.

Tertuduh yang pernah menetap di Permai Lake View, Tambun iaitu pangsapuri yang sama didiami arwah Dr Rohani didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, Yusof turut mengemukakan rayuan kepada mahkamah supaya tidak menjatuhkan hukuman penjara kepada tertuduh dengan alasan tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nor Abdurrahim menjelaskan kesalahan dilakukan tertuduh serius termasuk cuba melupuskan bukti yang boleh dikaitkan dengan pembunuhan Dr Rohani.
Selain itu, katanya mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam memandangkan kes pembunuhan Dr Rohani itu menarik perhatian masyarakat.

Selepas mengambil kira fakta kes dan rayuan tertuduh, Rabiatul Adawiyah menjatuhkan hukuman penjara itu berkuat kuasa daripada tarikh tertuduh ditangkap.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan sepasukan polis di alamat 104, Jalan Lombong Kampung Balun di Slim River, pada kira-kira jam 10.25 malam, 4 Ogos lalu dan hasil soal siasat mendapati tertuduh mengakui menjual barang kemas berkenaan.

Sementara itu, Mahkamah Majistret sama semalam turut menetapkan pada 18 November depan untuk sebutan semula kes seorang pengawal keselamatan, Syahmie Hassan, 20, yang berdepan tuduhan membunuh Dr Rohani pada 3 Ogos lalu.

Tahanan reman suspek bunuh anak tiri disambung lagi



ALOR GAJAH: Tempoh tahanan reman terhadap seorang jurujual yang menjadi suspek kes bunuh anak tirinya, Mohd Firdaus Mat Dan, 6, disambung enam hari lagi bagi membolehkan polis melakukan siasatan dengan lebih terperinci.
Majistret Siti Suriatey Mohamad Yusoff, membenarkan lelaki itu ditahan reman hingga 23 Oktober ini selepas tempoh reman suspek berusia 37 tahun itu berakhir semalam.

Ia tahanan reman kedua terhadap suspek berkenaan bagi membantu polis meneruskan siasatan berhubung kematian Mohd Firdaus pada 10 Oktober lalu.
Sebelum ini, suspek dibenarkan ditahan reman selama tujuh hari bermula 11 Oktober lalu oleh mahkamah sama.

Suspek yang memakai baju lokap dibawa menaiki van polis dan tiba di Mahkamah Majistret Alor Gajah kira-kira jam 9.30 pagi.

Dia dibawa masuk melalui pintu belakang mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Akhbar ini pada 12 Oktober lalu melaporkan Mohd Firdaus yang dihantar bapa tirinya ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Hospital yang menyedari terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa termasuk kedua-dua kakinya dipercayai akibat terkena benda panas.

Mahkamah izin tayang rakaman

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

AMPANG: Mahkamah Majistret di sini semalam membenarkan permohonan pembelaan menayangkan rakaman telefon bimbit membabitkan satu mesyuarat diadakan selepas kejadian ketua guru disiplin yang didakwa mencabul 11 pelajar perempuan berusia 15 dan 16 tahun di sebuah sekolah di Pandan Mewah, Februari lalu.
Rakaman video antara lima hingga tujuh minit itu yang dibuat seorang daripada guru di sekolah berkenaan ditayangkan di mahkamah bagi membolehkan Haniff Katri, peguam bela kepada Ismazi@Megat Ismazi Ismail, 48, membuat soal balas terhadap saksi pendakwaan pertama, Ricky Toong Foo Weng, 25.

Dalam prosiding di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman, Ricky yang juga pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Jenice Lee Ying Ha, ketika disoal balas peguam bela tertuduh mengesahkan rakaman berkenaan dan berkata, mesyuarat itu diadakan pada Isnin, 28 Februari lalu iaitu tiga hari selepas kejadian cabul berkenaan.
“Mesyuarat itu diadakan di antara wakil daripada Jabatan Pelajaran Selangor, sekolah, tertuduh, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan 11 mangsa bagi mencari penyelesaian,” katanya.

Ricky ketika menjawab soalan Haniff berkata, dia juga bersetuju orang yang banyak bersuara ketika mesyuarat terbabit adalah Jenice dan bapa seorang daripada mangsa. Sementara itu, Ricky yang mewakili semua mangsa cabul ketika membuat laporan polis terhadap guru disiplin berkenaan, bagaimanapun tidak bersetuju tindakan semua mangsa cabul itu yang bertepuk tangan selepas Jenice mengatakan guru berkenaan perlu diberhentikan menunjukkan mereka masih trauma.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Suzana Abdul Latiff, membantah permohonan pembelaan yang mahu menayangkan rakaman telefon bimbit itu.

Mengikut pertuduhan, Ismazi didakwa mencabul kehormatan dengan meletakkan tangannya di atas dada semua mangsa di dalam bilik guru disiplin antara jam 7.30 pagi dan jam 8.30 pagi 25 Februari lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu. Perbicaraan bersambung hari ini.

Lelaki maut selepas keretanya terbakar



BUTTERWORTH: Seorang lelaki maut dalam keenderaannya yang terbakar di tempat letak kereta Kompleks Makanan Taman Tun Dr Awang, Bagan Ajam di sini hari ini.
Mangsa, Chiang Wooi Teong, 44, yang dipercayai cuba membunuh diri, mati selepas gagal diselamatkan orang ramai, kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, ACP Mohd Nasir Salleh kepada pemberita di tempat kejadian.


Beliau berkata beberapa orang cuba memecahkan cermin di bahagian tempat duduk penumpang hadapan kereta dalam usaha menyelamatkan lelaki itu tetapi gagal kerana api sedang marak.


Katanya, siasatan mendapati keempat-empat pintu kereta berkunci dan mangsa dilihat berada dalam keadaan tidak sedar semasa kebakaran yang berlaku jam 9 pagi.

Mohd Nasir berkata pihaknya mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengambil keterangan beberapa saksi yang melihat kejadian dan daripada anggota keluarga mangsa yang bekerja sebagai seorang pemandu.

Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. - Bernama

No comments:

Post a Comment