Sunday, November 27, 2011

KERAPNYA BERLAKU KEGANASAN SERTA KEMALANGAN..RASA TIADA KEAMANAN...MUNGKIN KITA JAUH DARI RAHMAT ALLAH SWT...

Remaja perempuan dicabul penghuni pusat pemulihan



MARANG: “Saya diseksa hampir setengah jam oleh lima rakan sebilik. Mereka bukan saja tidak mengendahkan rayuan saya, tetapi berterusan melakukan perbuatan terkutuk itu walaupun saya merayu minta dilepaskan,” kata remaja hanya mahu dikenali sebagai Mira, 14, dari Klang, Selangor, yang mendakwa menjadi mangsa penderaan seksual dan buli di sebuah sekolah pemulihan akhlak di sini, Khamis lalu.
Dalam kejadian itu, Mira yang juga anak kedua daripada tiga beradik mengalami detik hitam apabila mendakwa alat sulitnya dirodok dengan botol pewangi badan dan jari oleh lima pelajar berusia 14 hingga 17 tahun terbabit yang tidak puas hati terhadapnya.

“Kejadian itu menyebabkan saya tertekan terutama mengenangkan masa depan sedangkan saya dihantar ibu ke sini untuk berubah,” katanya yang baru dua bulan memasuki sekolah itu.
Mira mendakwa berjumpa pelajar terbabit dalam bilik mandi jam 3 petang apabila mereka secara sukarela mahu membantunya mencuci rambut yang dijangkiti kutu, tetapi ketika membantunya seorang pelajar 17 tahun meraba belakang badannya menyebabkan dia kurang selesa lalu memarahinya dan segera mandi sebelum balik ke bilik asrama.

“Ketika saya bersiap untuk keluar menghadiri satu program, berlaku pertengkaran mulut dan dia menolak saya ke almari, tetapi saya melawan. “Dia memanggil empat lagi rakannya yang turut berada dalam bilik air sebelum ini iaitu dua berusia 14 tahun memegang tangan dan kaki manakala yang berusia 16 tahun menutup mulut dan mata dengan selimut sebelum dia naik ke atas badan saya.

“Seorang daripada mereka memasukkan botol pewangi ke dalam alat sulit saya diikuti jarinya hampir 20 minit. Mereka memperlakukan saya seperti binatang,” katanya sedih ketika ditemui di sebuah kedai di Marang, semalam.

Bagaimanapun, katanya, lima pelajar terbabit menghentikan perbuatan mereka apabila pintu bilik berkenaan diketuk seorang pelajar lain jam 4.20 petang sebelum Mira bergegas keluar.

Dia bercadang mendiamkan kejadian itu, tetapi seorang senior berusia 17 tahun yang juga rakan baiknya mengetahui perkara itu sebelum diketahui warden asrama.
Pihak sekolah membawanya ke hospital sebelum dibenarkan keluar jam 6.30 petang Sabtu lalu dan dia menceritakan kejadian itu kepada ibunya yang baru tiba dari Klang, Selangor.

Mira mendakwa pernah beberapa kali dibuli lima pelajar terbabit apabila dia bukan saja dipaksa mencuci tandas dan pakaian, tetapi turut ditendang selain kehilangan beberapa barang keperluan hariannya.

Sementara itu, ibu mangsa, Nur, 30-an, menerima panggilan daripada polis jam 2.15 pagi Jumaat lalu, memaklumkan Mira dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu kerana menjadi mangsa buli sedangkan pihak sekolah tidak menghubunginya.

“Ibu mana yang tidak sakit hatinya melihat anak diperlakukan sebegini rupa sedangkan tujuan saya menghantarnya untuk mengubah dan mendisplinkannya, tetapi sebaliknya yang berlaku,” katanya yang juga pekerja di sebuah kilang di Kapar, Klang.

“Ketika melawatnya pada Aidiladha lalu, Mira mengadu dibuli sambil menunjukkan lebam di badannya. Saya memintanya bersabar dan membangkitkan perkara ini kepada pihak sekolah supaya tindakan sewajarnya diambil.

“Tidak sangka ia akan menjadi serius seperti ini. Perkara seumpama ini mungkin tidak berlaku seandainya pihak sekolah memandang serius aduan saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika ditemui mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.


JKM siasat kejadian



KUALA TERENGGANU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu mengesahkan pihaknya menerima laporan dakwaan seorang pelajar sekolah pemulihan akhlak di Marang, dekat sini, yang menjadi mangsa penderaan seksual dan buli oleh pelajar sekolah berkenaan, Khamis lalu.
Pengarahnya, Zuhaimi Omar, berkata susulan itu, pihaknya menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian yang didakwa dilakukan lima pelajar berusia 14 hingga 17 tahun terbabit.

“Kami sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan siasatan berhubung kejadian itu yang membabitkan mangsa seorang pelajar wanita berusia 14 tahun dari Klang, Selangor,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, pihak pengurusan sekolah berkenaan juga membawa remaja wanita terbabit ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), untuk pemeriksaan lanjut.

“Laporan siasatan awal sudah dihantar ke ibu pejabat JKM di Kuala Lumpur dan kami kini menunggu laporan penuh dari HSNZ untuk tindakan lanjut,” katanya.


Pencuri parah motor terbabas

PERMAISURI: Panik akibat dikejar pemilik motosikal yang cuba dicuri, seorang lelaki parah di muka dan badan manakala rakannya sempat meloloskan diri selepas motosikal ditunggang mereka terbabas dalam kejadian di Kampung Fikri, di sini, kelmarin.
Dua lelaki itu dikatakan sedang meleraikan komponen sebuah motosikal yang diletakkan di luar sebuah rumah di kampung berkenaan sebelum perbuatan mereka disedari pemilik kenderaan itu yang juga tuan rumah terbabit, Halim Yunus, 34, selepas terdengar bunyi bising di luar kediamannya jam 8 malam.

Menyedari perbuatan mereka disedari, kedua-dua suspek melarikan diri menggunakan sebuah motosikal lain manakala Halim mengejar mereka dengan keretanya.
Bagaimanapun, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian, suspek gagal mengawal motosikal lalu terbabas dan terjunam ke dalam parit menyebabkan seorang daripadanya parah di muka dan badan manakala rakannya melarikan diri.

Halim memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung yang secara kebetulan berada di situ, tetapi usaha mereka mengesan suspek yang melarikan diri gagal.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia dan keluarga berehat di rumah sebelum terdengar bunyi seperti benda jatuh di luar kediamannya.

“Apabila membuka pintu, saya ternampak dua lelaki sedang meleraikan komponen motosikal milik saya.

“Mereka yang terkejut melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal dan saya bersama anak lelaki mengejar menggunakan kereta sebelum motosikal ditunggang kedua-dua lelaki itu terbabas dan terjunam ke dalam parit satu kilometer dari rumah saya.
Difahamkan suspek yang cedera berusia 20-an dan berasal dari Kampung Apal, Besut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Rohaizat Ab Ani yang dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian itu.


‘Sedar-sedar parang dah ada di leher’



REMBAU: “Kami sekeluarga yang tidur nyenyak di bilik tidak mendengar bunyi bising seolah-olah dipukau sedangkan tombol pintu bilik anak lelaki saya dipecahkan menggunakan tong gas.
“Sejurus tersedar, saya terkejut melihat parang berada di leher dan berasakan nyawa bagaikan berada di hujung tanduk,” kata Raja Mahadzir Raja Khalid, 55.

Rumahnya di Kampung Titian Akar, di sini, dipecah masuk sekumpulan lelaki awal pagi semalam. Sebelum ini, rumah seorang ibu tunggal di Kampung Sawah Raja berhampiran dipecah masuk dipercayai penjenayah sama, baru-baru ini.
Menceritakan detik cemas jam 4 pagi itu, Raja Mahadzir berkata, empat lelaki dipercayai warga asing melarikan wang tunai lebih RM2,000 termasuk barang kemas, jam tangan berjenama, kamera dan telefon bimbit.

Menurutnya, dia dan isteri terperanjat apabila mendapati dua lelaki berada di sisi katil dan meminta mereka mendiamkan diri serta menunjukkan tempat simpanan wang dan barang kemas.

“Selepas lelaki itu menyelongkar laci almari solek, mereka mengikat kaki dan tangan kami menggunakan tuala isteri yang dipotong menggunakan parang.

“Ketika itu, anak kami turut diikat dua lagi rakan mereka yang menyelongkar bilik berasingan,” katanya.

Raja Mahadzir berkata, keempat-empat lelaki itu berada di dalam rumahnya kira-kira 30 minit sebelum melarikan diri melalui pintu belakang. “Saya kemudian segera membuka ikatan dan menghubungi polis. Selepas kejadian, saya menjumpai longgokan najis di bawah ampaian belakang rumah dipercayai najis penjenayah berkenaan,” katanya yang mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM10,000.
Katanya, berdasarkan dialek penjenayah itu, dia tidak menolak kemungkinan mereka warga asing.

“Saya berharap penjenayah terbabit diberkas secepat mungkin supaya kejadian seumpama itu tidak berulang,” katanya yang masih trauma. Beliau membuat laporan di Balai Polis Kota untuk tindakan selanjutnya.


Rebah ditembak di pekan Danok

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my

ALOR SETAR: Seorang lelaki rakyat Malaysia nyaris maut selepas ditembak ketika meletakkan keretanya berhampiran dengan sebuah pusat karaoke di pekan pekan Danok, Thailand.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi Jumaat lalu itu dan mangsa dikenali sebagai Iskandar Abd Hamid, 52, berasal dari Perlis.

Menurutnya, mangsa dihantar ke hospital kerajaan di Haytai oleh rakannya yang turut berada di tempat kejadian dan keadaannya dilaporkan stabil.
“Mangsa ditembak di bahagian bahu oleh suspek yang tidak dikenali. Mangsa tidak tahu sama ada suspek menaiki kenderaan atau tidak kerana kejadian itu berlaku terlalu pantas.

“Ketika kejadian itu, mangsa bersama dua rakannya hendak meletakkan keretanya berhampiran dengan pusat karaoke di pekan ini. Apabila mangsa dan rakannya keluar dari kereta, dia terus ditembak secara tiba-tiba menyebabkan mangsa rebah,” katanya, semalam.

Beliau berkata, laporan polis sudah dibuat mengenai kejadian itu di Balai Polis Danok dan kes berkenaan sedang disiasat.

“Keadaan mangsa kini stabil dan sudah menjalani pembedahan di hospital berkenaan sejurus selepas dimasukkan ke hospital.

“Mangsa boleh bercakap tetapi masih lemah. Doktor menasihatkan mangsa supaya mendapatkan rawatan di hospital berkenaan dua atau tiga hari lagi sehingga keadaannya sembuh.
“Pejabat konsulat juga sudah memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa di Perlis,” katanya.

Mohd Aini berkata, kawan-kawan mangsa yang berada di situ juga tidak mengetahui suspek yang menembak mangsa kerana kejadian terlalu pantas.

“Kes ini sudah diserahkan Polis Danok dan mereka sedang menyiasat punca kejadian,” katanya.

Pada 30 Oktober lalu, seorang lelaki rakyat Malaysia cedera parah akibat ditikam di dada dan belakang badannya oleh seorang lelaki dipercayai penduduk tempatan di Danok, Thailand, dipercayai angkara cemburu.

Difahamkan, perkenalan mangsa dengan seorang gadis berusia 20-an menimbulkan rasa cemburu kepada suspek yang mendakwa dirinya sebagai teman lelaki wanita berkenaan.

Akibatnya, mangsa dikenali sebagai Mohd Kamal Pram Abdul Ghulam Hazrat, 30, ditikam dua kali selepas berlaku pertengkaran antara mereka dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam.

Mangsa masih ditempatkan di Hospital Nagarind, Hatyai (HNH) kerana keadaannya masih belum pulih.


Kereta, RM10,000 lesap selepas ‘dilanggar’ 4 lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki kehilangan kereta Honda Accord miliknya dan wang tunai RM10,000 apabila menjadi mangsa empat lelaki yang menggunakan taktik ‘langgar dan rompak’ berhampiran lebuh raya Smart menghala ke pusat bandar, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kumpulan penjenayah terbabit ‘berlakon’ seolah-olah terlanggar bahagian belakang kereta milik, menyebabkan mangsa memberhentikan kereta sebelum dia dirompak dan keretanya dilarikan.

Sebelum kejadian, penjenayah terbabit dipercayai mengekori mangsa berusia 28 tahun yang ketika itu memandu berseorangan dari Kuchai Lama menuju ke pusat bandar.
“Sebaik saja mangsa memberhentikan keretanya selepas dilanggar, seorang lelaki datang ke arahnya dan mengetuk cermin kereta sambil meminta maaf kerana terlanggar kereta mangsa.

“Mangsa kemudian berbincang dengan suspek bagi menyelesaikan masalah itu sebelum tiga lelaki yang berada di dalam kereta suspek keluar dan menolak mangsa sehingga terjatuh,” katanya.

Menurutnya, dua daripada penjenayah terbabit kemudian masuk ke dalam kereta mangsa dan terus memecut laju dan meninggalkan mangsa terpinga-pinga.

Mangsa kemudian datang ke Balai Polis Sungai Besi untuk membuat laporan berhubung kejadian itu sebelum kes dirujuk semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickflelds.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickflelds, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.


Ibu lemas, anak hilang

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my

SEMPORNA: “Selepas bertolak beberapa minit, enjin feri tiba-tiba mati dan beberapa saat kemudian feri mula dimasuki air,” kata Rusmi Abdul Absani, 45, abang kepada Hajarah Kadin, 40, yang lemas selepas feri membawa muatan barang dan kenderaan dinaiki mereka karam di Sungai Lihak-Lihak, Semporna, di sini, petang kelmarin.
Akibat kejadian kira-kira jam 5.41 petang itu, Hajarah disahkan meninggal dunia selepas mayatnya ditemui enam kilometer dari tempat kejadian kira-kira jam 11.20 pagi semalam oleh penduduk kampung manakala anaknya, Mohammad Nawi Nunhti, 14, masih belum ditemui sehingga jam 6 petang semalam. Ketika kejadian, feri kayu itu membawa sebuah kereta dinaiki empat penumpang dan lori dengan tiga penumpang termasuk kedua-dua mangsa, selain empat pekerja yang mengendalikannya.

Menceritakan kejadian, Rusmi berkata, ketika itu mereka dalam perjalanan pulang ke kampung di Pulau Lihak-lihak dengan menaiki feri yang menjadi perhubungan utama penduduk setempat ke kampung itu.
“Ketika kejadian, keadaan di atas feri kelam-kabut apabila ia mula dinaiki air selepas enjin mati cara tiba-tiba. Ketika itu saya gelisah dan meminta adik serta anaknya supaya keluar daripada lori yang kami naiki untuk menyelamatkan diri.

“Apabila feri mula karam, lori kami terbalik dan beberapa penumpang serta pengendali feri mula terjun menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Rusmi berkata, dia bernasib baik kerana tersangkut pada dahan kayu di tebing sungai dan perlahan-lahan naik ke tebing sungai.

“Ketika itu saya mencari Hajarah dan anaknya kerana saya ingat dia sudah sampai ke tepi tebing, namun gagal menemuinya.

“Saya kemudian menghubungi suaminya yang menghadiri kursus di Keningau untuk memaklumkan berkenaan kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Mohd Razali Awang Ahmad, berkata mayat Hajarah ditemui kira-kira jam 11.20 pagi oleh penduduk kampung yang membantu gerakan mencari.

“Kami dimaklumkan mengenai kejadian jam 5.41 petang semalam (kelmarin) dan 10 anggota bomba terbabit dalam operasi mencari dengan kita berjaya menemui mayat mangsa kira-kira enam kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa dalam keadaan sempurna dengan jenazah kemudian dihantar ke Hospital Semporna, sementara anak lelaki mangsa, Mohd Nawi belum ditemui dan operasi sedang giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, di sini.


‘Tak sangka rakan jadi mangsa bunuh’



KULAIJAYA: “Kami tidak menyangka Muzamil yang kelihatan gembira selepas pulang bercuti hampir sebulan di Pakistan, baru-baru ini, kini tiada lagi dan lebih menyedihkan dia ditimpa malang ketika umat Islam menyambut Awal Muharram,” kata Bakhtnazir Muntazir, 26, rakan mangsa bunuh di Ladang Kepala Sawit Kelan di sini, kira-kira jam 9.40 pagi, semalam.
Sebelum ini, mangsa dikatakan hilang sejak petang kelmarin sebelum mayatnya ditemui orang ramai dengan beberapa kesan tetakan di kepala, muka dan tangan.

Bakhtnazir berkata, dia dan beberapa rakan mengenali Muzamil Shah, 30-an, sejak lebih tiga tahun lalu dan selepas mendapati dia tidak pulang ke rumah sewanya di Taman Layang-layang dekat sini, mereka cuba menghubungi telefon bimbitnya sejak petang kelmarin namun tidak berjawab.
“Kami bukannya rakan serumah, sebaliknya rumah sewa kami di taman sama dan bertemu setiap hari. Jika ada kelapangan dia bertandang ke rumah kami untuk menghabiskan masa.

“Sejak kehilangannya itu, kami berusaha menghubunginya, namun telefon bimbit tidak dijawab menyebabkan saya dan beberapa rakan berusaha mengesannya di beberapa kawasan berhampiran,” katanya.

Menurutnya, mereka terkejut apabila seorang rakan menelefon memberitahu menemui mayat Muzamil dengan tubuhnya berlumuran darah di sebuah ladang kelapa sawit sejauh kira-kira 40 kilometer dari rumah sewanya.

Katanya, lokasi itu adalah tempat kebiasaan Muzamil menjual makanan dan minuman ringan, namun terkejut dia terbunuh di lokasi berkenaan.

“Kali terakhir saya bertemu Muzamil ketika kami solat Jumaat namun dia tidak menunjukkan sebarang perubahan cuma beria-ia berkongsi kegembiraan selepas menemui isteri dan dua anaknya di Pakistan, baru-baru ini.
“Malah dia juga seperti biasa berbual mesra dan menyatakan tidak mengalami sebarang masalah berkaitan perniagaan dijalankan,” katanya.

Bakhtanazir berkata, sebagai rakan karib, dia terkilan dan kecewa dengan kejadian menimpa mangsa kerana Muzamil mulia dan gemar membantu rakan.

“Biasanya Muzamil akan pulang ke rumahnya sekitar jam 6 petang, namun pada hari kejadian rakan serumahnya menghubungi saya dan kami cuba mencarinya di beberapa lokasi termasuk ladang kelapa sawit terbabit kerana lelaki itu selalu menjual minuman di sana,” katanya.


Pembunuhan peniaga bermotif dendam



KULAIJAYA: Penemuan mayat seorang peniaga makanan dan minuman warga Pakistan di Ladang Kelan, kira-kira lima kilometer dari jalan besar Kulai di sini, dengan kesan tetakan di kepala, muka dan tangan pagi semalam, tiada kaitan dengan rompakan tetapi dipercayai disebabkan dendam.
Ia berdasarkan penemuan dompet mangsa serta wang disyaki hasil jualan hariannya serta pelbagai barangan jualan seperti makanan dan minuman di lokasi namun polis enggan mengesahkan punca kejadian berikutan kes masih disiasat. Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, pihaknya menerima maklumat orang ramai berhubung penemuan mayat seorang lelaki di lokasi pada kira-kira jam 9.54 pagi semalam.

Menurutnya, sejurus menerima laporan sepasukan polis termasuk anggota unit forensik dikejarkan ke lokasi sebelum menemui mayat lelaki dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di tengah ladang berkenaan.


Cabut nyawa abang

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Senja berdarah. Itulah gambaran tragedi seorang lelaki berusia 21 tahun yang menikam abang kandungnya sendiri di depan ibu dan bapa mereka di rumah keluarga berkenaan di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, di sini, kelmarin.
Difahamkan, pergaduhan antara dua beradik berusia 21 dan 28 tahun pada kira-kira jam 6 petang itu berpunca daripada masalah keluarga yang dikatakan turut berkaitan dengan faktor kewangan.

Mangsa yang mengalami kecederaan serius dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini oleh keluarganya, namun disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian manakala adiknya ditahan polis di rumahnya dalam keadaan kebingungan.
Menurut sumber, kejadian bermula apabila mangsa dan suspek masing-masing anak keenam dan ketujuh daripada 11 beradik itu bertengkar di ruang tamu rumah mereka.

“Ketika kejadian, ibu dan bapa mereka serta seorang anak saudara berusia empat tahun ada bersama. Usaha meleraikan pertelingkahan antara dua beradik oleh ibu dan bapa mereka gagal biarpun beberapa kali mencuba,” katanya.

Menurutnya, suspek yang hilang pertimbangan bergegas ke dapur dan kembali semula ke ruang tamu dengan membawa pisau lalu terus menikam perut abangnya, ” katanya.

Sumber itu berkata, akibat tikaman berkenaan, mangsa rebah ke lantai manakala suspek yang kebingungan hanya mampu terduduk seperti menyesali perbuatannya.

“Melihat darah memenuhi badan dan pakaian seorang daripada anak mereka, si ibu rebah sebelum si bapa bergegas mendapatkan bantuan jiran dan membawa mangsa ke hospital.
“Sebaik menerima laporan, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum menahan suspek yang ‘kebingungan’ dalam rumah berkenaan. Abangnya pula disahkan meninggal dunia di PPUM kira-kira jam 8 malam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian dan penahanan suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 3 Disember ini.


Peluk, cium buat isteri sebelum maut nahas

RANTAU PANJANG: “Pa (panggilan suami) sayang sangat-sangat pada Sayang (panggilan mesra isteri),” itulah kata terakhir Mohd Aris Junuh, 41, kepada isterinya, sebelum maut dalam kemalangan di Kampung Serai Lima, Lebuhraya Rantau Panjang-Pasir Mas, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, perjalanan Mohd Aris dari rumah isteri keduanya di Kampung Aur Duri, Salor, Pasir Mas ke tempat kerjanya di sebuah pasar raya di pekan Rantau Panjang dekat sini, berakhir tragedi pilu apabila Proton Persona dinaikinya terbabas dan terbalik sebelum terlekat pada sebatang pokok.

Isteri mangsa, Noraini Othman, 42, rebah sejurus melihat mayat suaminya diusung anggota bomba dari lokasi kejadian.
Noraini yang masih dalam keadaan terkejut, berkata dia menyediakan hidangan bihun goreng dan teh O untuk sarapan suaminya sebelum dia ke tempat kerja.

“Suami tidak menunjukkan sebarang perubahan dan dia makan seperti biasa sebelum keluar rumah kira-kira jam 8.30 pagi. “Sebelum pergi kerja, dia (arwah suami) sempat mengungkap perkataan sayang sambil memeluk dan mencium saya. Detik itu tidak saya lupakan sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Saksi kejadian, Ghani Mamat, 50, berkata mangsa didakwa memandu laju menyebabkan kereta dipandunya terbabas dan terbalik sebelum terlekat pada sebatang pokok.

“Ketika itu saya berada di belakang kereta mangsa dengan jarak kira-kira 300 meter sebelum melihat kenderaan berkenaan dalam keadaan ‘jumping’ akibat permukaan jalan tidak rata.

“Cara dia memandu ketika itu seakan-akan sedang tidur,” katanya.
Katanya, sebaik melihat kejadian itu, dia bertindak turun ke tempat kejadian bagi melihat keadaan mangsa sebelum menghubungi bomba mendapatkan untuk bantuan segera.

“Ketika itu, saya cuba menyelamatkan mangsa dan mendapati dia masih hidup, walaupun sudah tidak sedarkan diri,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.57 pagi dan usaha menyelamat membabitkan tujuh anggota.

“Kami mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan mangsa berikutan keadaannya tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.

Turut membantu dalam operasi menyelamat itu, empat anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Rantau Panjang yang diketuai Lans Koperal Zuzilawati Abdullah.


Sekeluarga rugi RM28,000 rumah disamun tujuh lelaki

GOMBAK: Satu keluarga kerugian RM28,000 apabila kediaman mereka yang terletak dalam sebuah ladang kelapa sawit, di Kuang dipecah masuk tujuh lelaki bersenjatakan parang.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah malam Jumaat lalu, pengurus ladang berkenaan berusia 40-an , isteri, tiga anak perempuannya dan seorang anak saudara perempuan tergamam sebaik melihat suspek memecah masuk kediaman mereka.

Malah sebelum itu, tiga pengawal keselamatan dan seorang polis bantuan yang mengawal ladang terbabit turut tidak mampu berbuat-apa apabila suspek menyerang mereka dan mengacukan parang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas menyebabkan mangsa tidak sempat berbuat apa-apa malah senapang milik pengawal ladang terbabit turut dirampas suspek.

Menurutnya, suspek masuk ke dalam rumah mangsa dan terus menyelongkar untuk mencari barangan berharga.

“Selepas hampir sejam menggeledah kediaman berkenaan, mereka melarikan barangan kemas dan wang tunai dianggarkan mencecah RM28,000.

“Bagaimanapun, suspek tidak mencederakan mangsa dan mereka beredar selepas mendapat barangan berharga terbabit kira-kira jam 1.30 pagi,” katanya.

Rosly berkata, mangsa yang terselamat terus menghubungi Balai Polis Kuang bagi meminta bantuan dan melaporkan kejadian itu.
“Hasil pemeriksaan pasukan forensik menjumpai enam cap jari iaitu lima di pintu dan satu pada tabung wang. Turut dijumpai sebelah selipar di luar pagar rumah dipercayai dapat membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.


Cerita kelambu Nabila, Zaidi masuk Twitter



KUALA LUMPUR: Pelakon Nabila Huda Suhaimi berang dan kecewa dengan tindakan bekas suami, Zaidi Zailani kerana didakwa sering memburuk-burukkannya di laman sosial Twitter.
Mungkin disebabkan terlampau marah, anak kepada penyanyi rock Amy dari kumpulan Search itu turut meluahkan perasaannya di laman sosial yang sama.

“Bila aku jaga anak baru berapa hari, kau sibuk tanya bila nak ambil anak, kalau aku kerja, tak dapat nak jaga anak, satu dunia kau kecoh burukkan aku! Elok-elok aku tak nak burukkan kau, kau saja cabar kesabaran aku kan?”

Demikian luahan Nabila yang mesra disapa Abil menerusi laman sosial Twitter miliknya tengah hari semalam yang ditujukan kepada Zaidi.


Ketika dihubungi untuk mendapat penjelasannya, pelakon berusia 27 tahun itu mengaku dia ‘naik hantu’ kerana terlalu tertekan dan terkilan apabila tidak henti-henti dihimpit cerita negatif oleh bekas suaminya yang turut mempersoalkan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada anak tunggal mereka, Keisha Laila yang berusia setahun setengah.

No comments:

Post a Comment