Wednesday, January 11, 2012

HIUDUP MEWAH JADI PILIHAN..KHUATIR KEMEWAHAN YANG MENYEBABKAN LUPA AKAN MATI SERTA BALASAN DIAKHIRAT

Ramai beli Rolls-Royce di China


Reuters SEBUAH kereta Rolls-Royce Ghost dipamerkan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu kelmarin.


LONDON - Pengeluar kereta mewah Britain, Rolls-Royce yang kini dimiliki syarikat dari Jerman, BMW mengumumkan kelmarin bahawa jualan untuk 2011 mencatat rekod tertinggi yang didorong permintaan kukuh dari China dan Amerika Syarikat (AS).
Jualan kereta Rolls Royce melonjak 31 peratus kepada 3,538 buah kereta pada tahun lalu berbanding 2,711 buah kereta pada tahun sebelumnya, menurut satu kenyataan daripada syarikat induk Rolls Royce, BMW.
Angka tersebut adalah yang tertinggi sepanjang 107 tahun penubuhan Rolls-Royce sekali gus mengatasi rekod 3,347 buah kereta yang pernah dicatat pada 1978.
Rolls-Royce yang beribu pejabat di kilang Goodwood, selatan England menambah bahawa China dan AS kini merupakan "pasaran individu paling penting" buat pengeluar kenderaan mewah berkenaan.
"Kami melalui tahun yang cemerlang pada 2011. Perniagaan kami berada pada tahap yang amat baik. Kami sedang membangunkan rangkaian pengedar kami, membuka pasaran baharu di Amerika Selatan, membesarkan operasi kilang kami di Sussex Barat bagi memenuhi permintaan global dan kami turut memiliki perancangan untuk membangunkan rangkaian produk kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif Rolls-Royce Motor Cars, Torsten Müller-Ötvös.
Syarikat pembuat kereta berkenaan yang dibeli oleh BMW pada tahun 1998 mencatat lonjakan jualan sebanyak 47 peratus pada tahun lalu di rantau Asia Pasifik, 17 peratus di Amerika Utara dan 23 peratus di Asia Barat.
Bagaimanapun Rolls-Royce gagal menandingi saingannya, Bentley yang pada minggu lalu menyatakan jualan kereta mewah berkenaan meningkat 37 peratus kepada 7,003 buah kenderaan pada tahun lalu ekoran permintaan kukuh dari China dan AS.- AFP

Lelaki mati selesema burung di Jakarta

AFP GAMBAR menunjukkan seorang penjual menjual burung merpati di Jakarta semalam.


JAKARTA - Seorang lelaki Indonesia berusia 24 tahun yang dijangkiti virus selesema burung meninggal dunia di ibu kota Indonesia di sini, kata Kementerian Kesihatan semalam dalam kes jangkitan maut ketiga di negara berkenaan sejak tiga bulan lalu.
"Hasil beberapa ujian ke atas lelaki berkenaan mengesahkan dia dijangkiti penyakit selesema burung," kata ketua bahagian penyakit berjangkit Kementerian Kesihatan, Tjandra Yoga Aditama.
Menurut Aditama, lelaki berkenaan dipercayai dijangkiti virus penyakit selesema burung, H5N1 daripada sejumlah burung yang tinggal di sekitar rumahnya.
"Kami telah mengambil sampel daripada beberapa ekor burung di sekitar rumahnya dan masih menunggu hasilnya untuk mengesahkan sama ada burung-burung itu dijangkiti virus H5N1," ujarnya.
Sebuah akhbar tempatan, Jakarta Post melaporkan bahawa mangsa mati pada Sabtu lepas selepas dia ditolak oleh sebuah hospital khas untuk merawat selesema burung.
Laporan akhbar sama memetik beberapa jirannya sebagai memberitahu bahawa keluarga mangsa memelihara beberapa ekor anak burung merpati di kediaman mereka.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Indonesia adalah negara paling teruk dijangkiti selesema burung dengan terdapat 150 kes kematian akibat penyakit tersebut dilaporkan antara tahun 2003 dan 2011.
Virus H5N1 merebak daripada burung kepada manusia melalui sentuhan langsung tetapi pakar- pakar bimbang virus berkenaan akan bermutasi dalam bentuk jangkitan semasa manusia sekali gus mencetuskan wabak yang berisiko membunuh jutaan manusia. - AFP

Cari mangsa

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki akan menunggu mangsa dalam kereta miliknya jenis Proton Wira kelabu seawal jam 7 pagi di luar kawasan sekolah dan memerhatikan setiap pergerakan pelajar.
Mana-mana pelajar perempuan bersendirian akan dihampiri sebelum dipeluk dan ditutup mulutnya daripada belakang. Suspek berusia 30-an itu akan mencabul mangsa sebelum memaksanya menyerahkan wang.

Itulah taktik seorang lelaki dipercayai ‘gila seks’ dikesan menyasarkan pelajar sekolah untuk melakukan perbuatan terkutuknya itu.
Bagaimanapun, dalam dua kejadian di sebuah sekolah perempuan sama di ibu kota, kelmarin dan semalam, seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun cedera di tangan dan lutut apabila terjatuh ketika melarikan diri selepas bergelut dengan lelaki terbabit.

Bimbang keselamatan pelajar, dua laporan polis dibuat guru sekolah itu di Balai Polis Tun HS Lee.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 2 petang kelmarin, lelaki itu dipercayai berang selepas gagal menemui mangsa dilaporkan menunjukkan kemaluannya kepada seorang pelajar perempuan baru hendak meninggalkan kawasan sekolah.

Menurut sumber, pelajar berusia 16 tahun itu yang terkejut dengan perbuatan suspek berlari masuk semula ke sekolah sebelum mengadu kepada guru kelasnya.

“Mangsa mendakwa seorang lelaki berada berhampiran kereta jenis Proton Wira tiba-tiba keluar sebelum menunjukkan kemaluan. Guru berkenaan membuat laporan polis,” katanya.
Dalam kejadian kedua kira-kira jam 7.30 pagi semalam, sumber berkata, seorang lagi pelajar berusia 17 tahun dalam perjalanan untuk masuk ke sekolah ‘diserang’ daripada belakang dipercayai oleh lelaki sama.

“Mangsa mendakwa dipeluk sebelum lelaki itu menutup mulutnya menggunakan tangan kirinya. Lelaki itu kemudian meraba tempat sulit mangsa.

“Lelaki itu memaksa mangsa menyerahkan wang kepadanya. Bagaimanapun, tindakan mangsa meronta-ronta dan melawan menyebabkan lelaki terbabit terpaksa melepaskannya,” kata sumber itu.

Mangsa yang melihat lelaki itu cuba mengejarnya menjerit meminta pertolongan dengan kuat menyebabkan lelaki berkenaan panik dan melarikan diri.

Sumber berkata, lelaki terbabit segera berlari ke keretanya berhampiran kawasan itu sebelum memecut.

Beliau berkata, mangsa kemudian berlari masuk ke sekolah dan mengadu kejadian menimpanya itu kepada pihak pengurusan sekolah.

Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian kedua itu, satu lagi laporan polis dibuat pihak pengurusan sekolah berkenaan di balai polis sama kerana bimbang lelaki berkenaan akan kembali mengganggu pelajar lain.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Maksiat dari bumbung

Oleh Dr Aminudin Mansor

ANAK tak sah taraf atau lebih tepat lagi anak luar nikah iaitu anak dilahirkan tanpa ibu bapa yang sah kini menjadi masalah kepada negara. Anak dilahirkan itu tiada dosa, ibu bapa yang berdosa atas perbuatan mereka.
Bagaimanapun, kelahiran anak-anak ini menimbulkan masalah kepada masa depan mereka, sekali gus menimbulkan gejala sosial dalam masyarakat jika tidak diurus dengan baik.

Kajian mendapati banyak faktor menyebabkan anak tak sah taraf ini dilahirkan antaranya pengaruh rakan sebaya, pergaulan bebas, pasangan rela melakukan hubungan seks, tidak mempunyai pengetahuan berhubung dengan kesihatan reproduktif dan seksual, kurang perhatian ibu bapa, menonton, kurang didikan agama dan diperkosa saudara sendiri.
Pergaulan bebas berpunca daripada kemudahan telefon pelbagai guna dan juga Internet telah memudahkan kalangan remaja berhubung antara satu sama lain. Nabi s.a.w. bersabda: “Aku melihat berbagai jenis maksiat (bala dan musibah) turun dari langit, masuk ke rumah-rumah melalui bumbungnya dan merosakkan penghuni rumah itu.” (Riwayat Usamah bin Zayd).

Difahamkan ahli hadis tidak dapat memberikan penjelasan tepat dan wajar kepada peringatan ini sehinggalah kira-kira 65 tahun lalu. Hanya sekarang makna hadis itu jelas iaitu berbagai-bagai jenis maksiat, bala dan musibah itu dapat disaksikan melalui dasar langit terbuka walaupun ada berbentuk positif. Pelbagai program tidak sihat dipancarkan ke udara melalui antena dan masuk melalui bumbung rumah sebelum dapat dilihat melalui televisyen atau komputer.

Justeru, pengaruh televisyen dan Internet sudah mempengaruhi minda remaja dan sesetengahnya menggalakkan mereka terjebak dalam pergaulan bebas. Statistik menunjukkan seramai 152,182 anak tak sah taraf direkodkan bagi 2008 hingga tahun lalu dengan Sabah merekodkan jumlah tertinggi dengan 41,490 orang.

Bayangkan anak yang dilahirkan tidak berdosa menghadapi masalah dalam hidupnya pada masa depan.

Mereka terpaksa menghadapi masalah dalam pendidikan, kehidupan bermasyarakat dan juga rasa rendah diri akan wujud dalam diri.
Bagi mengelakkan anak remaja terjebak dengan gejala seks bebas dan juga terbabit dengan kebebasan melampau, ibu bapa mestilah tidak membiarkan anak remaja keluar dari rumah sesuka hati. Ibu bapa juga mesti berwaspada terhadap bala dan musibah turun daripada langit iaitu akibat langit terbuka yang masuk melalui bumbung rumah dan merosakkan penghuni rumah.

Semua ancaman dan kemusnahan yang berlaku berkaitan akhlak banyak membabitkan hubungan remaja lelaki dan wanita tanpa batasan yang membawa kepada seks bebas seterusnya mengandung anak luar nikah, iaitu melalui pergaulan dengan kutu-kutu jalanan dan samseng, mencuri, menagih dadah, melepak yang seharusnya boleh dihindarkan ibu bapa. Mencegah kemungkaran tanggungjawab bersama yang seharusnya dilakukan semua pihak.

Kemungkaran membabitkan seks bebas adalah perbuatan diharamkan syarak yang seharusnya dicegah. Orang Islam wajib mencegah segala kemungkaran bagi mewujudkan masyarakat aman dan sejahtera.

Lantaran itu, kemungkaran boleh dicegah mengikut keupayaan masing-masing dengan tindakan atau dengan hati. Sebagai ibu bapa yang prihatin terhadap anak remaja mereka bertanggungjawab menghalang mereka daripada terbabit dengan pelbagai kemungkaran.

Mencegah dengan hati adalah selemah-lemah iman. Antara hikmah mencegah kemungkaran adalah menjamin kesejahteraan dalam masyarakat, mewujudkan masyarakat sejahtera, dapat membaiki kehidupan masyarakat dan ummah mengikut apa yang dituntut Islam.

Sebenarnya, tak semua rancangan televisyen tidak baik. Begitu juga dengan Internet. Banyak rancangan televisyen dan Internet yang berfaedah. Tetapi sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran dan iman harus menepisnya dengan pemikiran matang dan waras.

Ibu bapa seharusnya bertindak dan memberikan pendidikan dalam hal ini.

Pengaruh era globalisasi dan langit terbuka bukan sahaja kepada kalangan remaja, malah kepada kanak-kanak kecil yang dapat memahami. Justeru, dengan menanamkan rasa takut kepada Allah sejak kecil lagi, anak dididik menjauhi perbuatan maksiat dan kemungkaran yang boleh merosakkan akhlak.

Menurut tokoh Islam, Syaikh Muhammad Al-Ghazali dalam kitabnya Khuluq Al-Muslim, “Kuat atau lemah iman seseorang dapat diukur dan diketahui daripada perilaku akhlaknya, kerana iman yang kuat mewujudkan akhlak baik dan mulia, sedangkan iman lemah mewujudkan akhlak jahat dan buruk laku, mudah terjerumus pada perbuatan keji yang merugikan diri seseorang itu dan orang lain.” Melalui langkah ikhlas dan penuh tanggungjawab ini dalam memelihara dan mendidik anak-anak ibu bapa dapat membentuk anak dan tidak akan menjadi liar serta terlalu bebas.

Kajian psikologi personaliti mendapati, personaliti anak dipengaruhi oleh baka, rakan sebaya, dan persekitaran. Pemantau dan pendidikan berterusan dapat mengekalkan keperibadian anak.

Pendekatan membentuk personaliti baik mestilah bermula di rumah diikuti di sekolah dan juga melalui rakan sebaya. Pendidikan roh dan akal yang baik akan mengarah tingkah laku dan personaliti yang baik.

Melalui pendidikan akidah, ibadah dan akhlak akan dapat membentuk akal budi, ilmu dan iman dengan menanamkan keyakinan kepada manusia terhadap keesaan Allah dengan mengabdikan diri kepada-Nya, menjadi insan soleh yang mendekatkan diri kepada Allah dan merealisasikan segala tujuan hidup manusia di dunia ini.

Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu

No comments:

Post a Comment