Sunday, March 11, 2012

IA PATUT DIREJAM SEBAB IA DUDA...MAKNANYA DAH BERKAHWIN...

Penjenayah seks dijel 16 tahun


DI bangunan asrama pekerja di Lembah Sireh, Kota Bharu, Amran ditahan ketika cuba merogol seorang jurujual sebuah pasar raya.


KOTA BHARU – Seorang perogol bersiri yang dipercayai telah merogol dan mencabul 20 orang wanita di Kelantan dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah atas tuduhan merogol seorang daripada mangsanya itu.
Hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Irwan Suainbon ke atas tertuduh, Amran Che Jaafar, 30, yang merupakan seorang penganggur adalah hukuman pertama buat tertuduh yang didakwa atas tuduhan merogol.

Sebelum ini, tertuduh yang juga seorang duda telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas dan Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas lima tuduhan rogol membabitkan mangsa-mangsa lain. Kes-kes itu kini dalam proses perbicaraan kerana tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terhadapnya.
Dalam kes rogol keenam yang dikenakan terhadap Amran semalam, lelaki yang pernah berkahwin dua kali itu mengaku bersalah merogol seorang gadis berusia 25 tahun pada pukul 7 pagi, 18 April tahun lalu.
Kejadian itu berlaku ketika mangsa berada di sebuah asrama pekerja di Jalan Kuala Krai dekat sini.
Atas tuduhan itu, Amran dari Bachok dekat sini didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, mangsa yang bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah pasar raya di sini terjaga daripada tidur selepas dia terdengar bunyi orang menggeledah di bawah katil di bilik asramanya.
Mangsa kemudian melihat tertuduh berada di sebelah katilnya sambil memegang sebilah pisau dan mengacu pisau tersebut ke leher mangsa sambil menyuruh mangsa diam.

Sekat lolipop pendafluor masuk

S.M. MOHAMED menunjukkan lolipop yang disekat kemasukannya ke negara ini kerana dipercayai mengandungi bahan kimia berbahaya pendafluor di Pulau Pinang baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Kerajaan mengenakan larangan bagi kemasukan sejenis gula-gula lolipop kerana dipercayai mengandungi bahan kimia berbahaya, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam.
Beliau berkata, pihak kementerian telah pun meningkatkan kawalan di pintu masuk negara untuk menghalang kemasukan lolipop pendafluor itu.
"Bahan itu kini diletakkan pada tahap 5 iaitu pengimportannya diletakkan di bawah syarat kebenaran sebelum diletakkan pada tahap 6 iaitu gula-gula berkenaan langsung tidak dibenarkan dibawa masuk," katanya selepas merasmikan Karnival Kesihatan Jom Sihat di Kolej Tunku Abdul Rahman di sini semalam.
Beliau percaya lolipop itu dibawa masuk dari luar negara kerana serbuan pihak penguat kuasa di alamat pengeluar yang tertera pada pembungkus gula-gula tersebut didapati palsu.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini menggesa kerajaan mengharamkan penjualan gula-gula lolipop pendafluor kerana didakwa mengandungi bahan kimia berbahaya.
Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, bahan kimia yang terkandung pada batang pendafluor itu sangat berbahaya tetapi ia menjadi kegilaan kanak-kanak.

Dicekup main judi sabung ayam


SEBAHAGIAN daripada kaki judi yang ditahan kerana terlibat dalam kegiatan sabung ayam di Seksyen 17, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Polis menumpaskan kegiatan judi sabung ayam dengan nilai pertaruhan kira-kira RM30,000 apabila menahan 29 lelaki warga asing termasuk empat rakyat tempatan di belakang sebuah kuil di Seksyen 17 di sini semalam.
Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Deputi Superintendan Izwan Abd. Karim berkata, dalam serbuan tersebut, seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun turut ditahan kerana menjual barangan makanan kepada kaki judi.
Katanya, kesemua lelaki yang ditahan berumur di antara 20 hingga 50 tahun merupakan pekerja kilang dan buruh di kawasan tersebut.
“Serbuan dilakukan selepas intipan selama seminggu di kawasan yang terletak bersebelahan landasan kereta api dan ditumbuhi semak itu.
“Semasa ditahan, mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditahan polis,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tragedi bercuti dua keluarga


ANGGOTA bomba memeriksa kenderaan yang remuk dalam kemalangan hingga mengakibatkan dua terkorban di Parit Buntar, Perak semalam.


PARIT BUNTAR - Hasrat dua keluarga untuk pergi bercuti berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka maut, seorang parah manakala sembilan lagi cedera ringan dalam kemalangan di Kilometer 181.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Alor Pongsu dekat sini semalam.
Kemalangan pukul 7.10 pagi itu berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dinaiki tujuh sekeluarga yang berhenti di lorong kecemasan untuk membuat panggilan telefon, dirempuh oleh MPV jenis Toyota Alphard yang dinaiki enam sekeluarga.
Ekoran itu, Tang Ah Tee, 65, dan cucunya, Tan Tei Yee, 13, yang menaiki Estima maut di tempat kejadian manakala Wan Azizah Husin, 62, yang menaiki Alphard parah.
Mereka yang cedera pula ialah pemandu Estima, Tan Bee Liang, 39; penumpang, Tan Pok Teck, 32; Tan Yoke Meng, 31; Tan Poh Siong, 36, dan Tan Bee Ling, 39.

MOHSEN dan anaknya, Mohamad Ivan Mizari masih trauma dengan kejadian itu.


Turut cedera, pemandu Alphard, Mohsen Amdan, 34, isterinya, Wan Fatahiyyah Reamli, 32, dan tiga anak mereka, Nurisha Tasha Wafa, 7, Nur Basira Wafa, 5 dan Mohd. Ivan Mizari, setahun.

Meninggal selepas nikmati teh tarik


ANGGOTA polis memeriksa Rahman yang mati akibat serangan jantung selepas minum teh tarik di Bukit Bintang, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang pencuci bas menemui ajal dalam keadaan tidak disangka-sangka apabila dia kelihatan seperti sedang tidur berbantalkan lengan di atas meja makan selepas menghabiskan segelas teh tarik di sebuah warung dekat Jalan Imbi, Bukit Bintang di sini semalam.
Rahman Ibrahim, 74, dari Melaka tetapi hidup sebatang kara di kawasan Bukit Bintang di sini sejak 10 tahun lalu, ditemui telah meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung oleh pekerja warung berkenaan pada pukul 12 tengah malam.
Pekerja yang enggan dikenali itu memberitahu, sebelum meninggal dunia, dia nampak Rahman yang telah selesai minum mengurut-urut dadanya sebelum meletak kepala di atas lengan seperti orang sedang tidur.

Restoran Sekinchan tarik 1,000 pemilih baharu


PETUGAS SPR membuat semakan pendaftaran pengundi kepada penduduk pada Kenduri Jom Daftar Undi di Restoran Sekinchan Ikan Bakar, Tanjung Karang semalam.


TANJUNG KARANG - Setelah dua hari Kenduri Jom Daftar Undi diadakan di Restoran Sekinchan Ikan Bakar Sdn. Bhd. (RSIB) cawangan Sekinchan di sini, 1,000 pemilih baharu berjaya didaftarkan.
Sebelum ini, program yang sama di cawangan restoran Setiawangsa, Kuala Lumpur berjaya menarik 8,000 penduduk untuk mendaftar sebagai pengundi.
Pengarah Urusan RSIB, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, restoran di Pusat Perniagaan Sekinchan itu tidak putus-putus menerima kunjungan orang ramai sejak pukul 11 pagi hingga ditutup pada pukul 6 petang semalam.
"Saya harap inisiatif ini membuka mata orang ramai untuk mendaftar sebagai pengundi dan dapat dicontohi pihak korporat lain untuk melakukan perkara yang sama," jelasnya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Hotel bajet tawar pelacur Sabah diserbu


BEBERAPA wanita disyaki pelacur yang ditahan di sebuah hotel bajet di Batu Pahat kelmarin.


BATU PAHAT - Rahsia sebuah hotel bajet di sini yang mampu menarik ramai pelanggan muda dan warga asing terbongkar apabila didapati menyediakan perkhidmatan pelacur muda dipercayai dari Sabah.
Wanita muda berusia 20-an yang mempunyai paras rupa menarik, pandai melayan pelanggan itu menawarkan khidmat seks serendah RM40.
Kegiatan itu dibongkar dalam operasi bersepadu anggota dari Pejabat Agama Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Muar dan Pontian kelmarin.
Dalam serbuan itu, seramai tujuh pelacur sedang menunggu dan melayan pelanggan ditahan dan diserahkan kepada pihak polis.
Timbalan Ketua Penguat Kuasa Agama Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd. Sopah berkata, lima daripada pelacur yang disoal siasat memberitahu, mereka berasal dari Sabah.
"Pada mulanya mereka tidak mengaku menjalankan kegiatan tidak bermoral itu tetapi pemeriksaan lanjut menjumpai kondom di dalam laci bilik menyebabkan mereka akhirnya mengaku.
"Seorang lelaki warga Indonesia yang beragama Islam turut ditahan kerana disyaki berkhalwat dalam bilik hotel dan dua remaja lelaki tempatan yang menganggur diberi kaunseling kerana disyaki cuba mendapatkan khidmat pelacuran di situ," katanya di lokasi operasi di sini semalam.

Belia 'emo' dibunuh kejam di Iraq


GAMBAR yang dirakam pada Rabu lepas menunjukkan dua lelaki 'emo' Iraq di Baghdad menghembuskan asap sisha bagi menyembunyikan identiti mereka.


BAGHDAD - Golongan belia yang digelar 'emo' dibunuh dengan kejam dan secara meluas di Iraq ekoran mereka dituduh mengamalkan hubungan sejenis.
Senarai nama belia yang dikaitkan dengan gaya hidup gay itu dikeluarkan oleh militia-militia tempatan yang kemudian memburu dan membunuh mereka.
Setakat ini, pasukan keselamatan negara Asia Barat itu gagal menghentikan perbuatan kejam itu daripada terus berleluasa.
Malah, beberapa pegawai dan pertubuhan hak asasi memberitahu, sejak enam minggu lalu seramai 58 orang yang mengamalkan homoseks atau dituduh sebagai gay dibunuh di Iraq.
Beberapa orang pegawai keselamatan memberitahu, di bandar Sadr sahaja, seramai 16 orang telah dibunuh.
Sembilan daripada mereka dipukul dengan objek tumpul hingga mati, manakala tujuh lagi ditembak.
Sumber sama berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini. Beberapa saksi pula menyatakan, sebahagian mangsa dihentak di kepala sampai mati menggunakan blok simen oleh anggota-anggota militia Iraq.
Satu senarai yang diagihkan oleh anggota-anggota militia di bandar Sadr, kawasan penduduk Syiah di sini baru-baru ini, mendedahkan nama atau nama samaran 33 orang yang didakwa sebagai emo beserta alamat mereka.
Senarai berkenaan mengandungi amaran yang bermaksud: "Kami memberi amaran sekeras-kerasnya kepada setiap pengamal homoseks lelaki dan wanita (lesbian). Jika anda tidak menghentikan perbuatan kotor ini dalam tempoh empat hari maka hukuman Tuhan akan menimpa anda di tangan pejuang Mujahidin."
Semua nama yang terkandung dalam senarai tersebut ialah lelaki kecuali seorang wanita.
Di Barat, 'Emo' adalah singkatan untuk emosional. Terma tersebut dikaitkan dengan remaja atau belia yang mendengar muzik alternatif, berpakaian hitam dan memiliki gaya rambut radikal.
Golongan emo tidak semestinya gay. Tetapi di Iraq, mereka sinonim dengan hubungan sejenis.
Seperti di negara-negara Islam lain, amalan homoseks dikecam di Iraq. Mereka yang dianggap gay menjadi sasaran diserang atau dibunuh, manakala pelakunya kerap kali terlepas daripada hukuman. - Agensi

No comments:

Post a Comment