Thursday, March 15, 2012

KESABARAN...TELITI..WASPADA..PATUHI UNDANG2...SANGAT PENTING JADI AMALAN...AGAR DAPAT MENJAUHI PERKARA2 YANG TIDAK DINGINI..DISAMPING MOHON PERLINDUNGAN ALLAH SERTA TAWAKAL

‘Rela’ rompak pekerja ladang
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
‘Rela’ rompak pekerja ladang
AYER KEROH - Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan enam sebatan terhadap dua sekawan kerana merompak secara berkumpulan seorang pekerja ladang warga Indonesia, bulan lalu.

Ab Rahman Mohd Ali, 46, dan Mohd Iszam Mohd Ghazalli, 31, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Abu Bakar Katar selepas kedua-duanya menukar pengakuan kepada bersalah pada hari sebutan semula kes, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap Sutarji, pasport AN 343518, dan merampas wang tunai RM1,700 di ladang getah Kampung Seberang Perai, Rembai, Alor Gajah, kira-kira jam 11 pagi pada 25 Januari 2012.

Mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Kesek­saan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Kedua-dua tertuduh memohon hukuman diringankan dan dipenjara daripada tarikh ditangkap sebelum Timbalan Pendakwa Raya, Kee Wei Lon meminta mahkamah memberikan huku­man berat terhadap tertuduh yang mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa ketika sedang bekerja di ladang getah didatangi kedua-dua tertuduh yang menyamar sebagai anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) lalu meminta mangsa supaya menunjukkan pasport.

Ketika mengeluarkan pasport, seorang tertuduh meragut wang berjumlah RM1,700 daripada dompet mangsa dan terus melarikan diri menaiki motosikal sebelum mangsa menjerit meminta tolong.

Beberapa rakan mangsa berjaya menangkap Ab Rahman dan diserahkan kepada polis, sementara Mohd Iszam ditahan polis di sebuah rumah di Taman Seri Bayu, Alor Gajah pada 30 Januari 2012.
Lori terbalik di lebuh raya
Wartawan Sinar Harian
15 Mac 2012
Lori terbalik di lebuh raya
ALOR GAJAH - Seorang ­pemandu lori nyaris maut selepas lori lima tan dipandunya terbalik di Lebuhraya Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran jejantas Sekolah Kebangsaan (SK) Rumbia, ­dekat sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.25 pagi itu, pemandu lori, J Jayakumar, 41, dari arah Bukit Rambai menuju ke Rawang, Selangor membawa muatan plastik dipercayai ­hilang kawalan selepas tayar bahagian hadapan lorinya meletup.
Menurutnya, tayar lorinya meletup ketika menuruni ­bukit berhampiran SK Rumbia sebelum lori dipandunya ­hilang kawalan.
“Dalam keadaan kelam ­kabut itu, saya terkejut apabila sebuah treler memotong lori yang saya pandu dari sebelah kanan sebelum lori saya terbalik. Saya terperangkap di ­dalam lori dan berusaha keluar dari pintu pemandu tetapi ­tidak boleh dibuka dan merangkak keluar melalui pintu sebelah penumpang,” katanya.
Jayakumar, selepas berjaya keluar dia terjatuh di jalan dan dibantu dua lelaki sebelum menghubungi kecemasan.
“Saya bernasib baik kerana ketika kejadian tiada kenderaan lain berada di belakang, jika tidak pasti berlaku perkara lebih buruk,” katanya yang hanya mengalami luka ringan di kaki dan tangan.
Sementara itu Ketua Polis daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian yang berpunca dari salah satu tayar lori berkenaan meletup semasa lori menuruni bukit berselekoh sebelum terbalik.
“Pemandu lori terbabit hanya cedera ringan biarpun tersepit di dalam lori yang ­terbalik dan berjaya keluar melalui pintu penumpang dengan merangkak keluar ­sebelum dibantu orang ramai yang melihat kejadian,” ­katanya, semalam.
Jual minyak masak terpakai
Wartawan Sinar Harian
15 Mac 2012
Jual minyak masak terpakai
KAMPUNG CHUAH – Pembuangan minyak masak terpakai tanpa pengurusan betul akan mengakibatkan pencemaran terutamanya pencemaran air.
Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembe­ntungan (JPP), Husnani Shamsuddin berkata, dalam usaha menangani masalah itu, JPP mengambil pendekatan membeli minyak masak terpakai daripada orang ramai untuk dikitarkan semula menjadi produk selain dari minyak masak seperti biodiesel iaitu satu sumber alternatif kepada petroleum, sabun dan lilin.
“Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah kerjasama daripada orang ramai untuk tidak membuang minyak ­masak terpakai mereka tetapi kumpulkan ia ke tempat yang dikhaskan oleh jabatan,” katanya ketika ditemui semasa Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak Komuniti Kampung Chuah anjuran JPP dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Chuah, Jawatankuasa Ke­majuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Chuah, baru-baru ini.
Husnani berkata, rata-­ratanya tidak mengetahui ­bahawa penggunaan minyak masak untuk menggoreng ­secara berulang kali boleh ­memudaratkan kesihatan selain akan berlakunya pencemaran jika minyak masak ­terpakai tidak diurus dengan baik untuk dilupuskannya.
“Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak Komuniti Kampung Chuah adalah yang pertama di Negeri Sembilan dan pusat pengumpulannya di balai raya, masjid dan Sekolah Kebangsaan (SK) Chuah. Chuah berhampiran pantai dan apabila minyak terpakai tidak diurus pembuangannya dengan baik, lama kelamaan ia akan menyumbang kepada pencemaran laut sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan. Lantaran itu, semua ­disarankan untuk sama-sama menjayakan program ini di mana dalam mesyuarat bersama wakil penduduk juga telah meletakkan persetujuan ­untuk hasil dari jualan minyak masak terpakai itu nanti akan disalurkan kepada pembangunan pendidikan murid di SK Chuah,” katanya.
Katanya, walau bagaimanapun penduduk diminta ­berwaspada jika ada individu yang ingin membeli minyak masak terpakai dengan menawarkan harga lebih tinggi ­kerana dikhuatiri minyak tersebut dikitarkan semula untuk dijadikan minyak masak dan dijual ke pasaran.
“JPP ataupun egen sah yang dilantik akan membeli minyak masak terpakai dengan harga RM1 untuk satu ­liter minyak. Mmana-mana kawasan yang berminat untuk sama-sama menjayakan program ini boleh terus menghubungi JPP atau melayari laman web www.jpp.gov.my,” katanya kepada Sinar Harian.
Hadir sama pada program berkenaan, Pengarah Bahagian Khidmat Pengu­rusan, Jabatan Perkhidmatan Pemben­tungan, Saripah Abdul Mutalib; Penolong ­Peg­awai Daerah, Nurhazlin Makli dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Hal Ehwal Wanita Islam Ampang (Helwani), Muh­aidatul Ismah Ismail.
Temui anak tidak bernyawa
HABSAH ISMAIL
15 Mac 2012
Temui anak tidak bernyawa
 KOTA BHARU- Cukup sayu apabila pencarian seorang ibu, Lini Abdullah, 27, selama setengah jam akhirnya terjawab setelah menemui sekujur tubuh bayinya di dalam kuala sungai kira-kira 10 meter belakang rumah.
Paling memilukan, bayi berkenaan, Nik Muhd Iqbal Azim Nik Roslan, satu tahun dua bulan itu, didapati terapung di sungai berdekatan rumah setelah dipercayai terjatuh di permukaan kuala Pantai Mek Mas, Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, kira-kira jam 1.30 petang, kelmarin.
Dengan longlai, Lini yang penat mencari anak bongsu lelakinya di merata-rata kawasan rumah bersama seorang sepupu dikenali sebagai Imah, 30-an, mengangkat anak ketiganya itu di dalam air separas 0.5 meter.
“Setengah jam sebelum menemuinya di dalam sungai, saya sempat melihatnya bermain-main keseorangan di ruang tamu rumah, manakala saya pula membasuh pakaian di dapur.
“Dia pernah turun dari rumah, tetapi tidak pernah turun ke kuala sungai berdekatan, namun kali ini saya hanya temui tubuhnya terapung dan sudah kaku,” katanya ketika ditemui di rumah mertuanya di Pantai Mek Mas, PCB, di sini.
Menurutnya, anaknya yang dipanggil Azim itu baru pandai berjalan (bertatih) dan sentiasa mengawasi pergerakannya, namun semuanya cepat berlaku.
Lini berkata, semasa kejadian, dia langsung tidak mendengar sebarang jeritan dan pada mulanya tidak mengesyaki anaknya turun ke sungai terbabit.
Sejurus melihat sekujur tubuh kanak-kanak itu, kata Lini, dia bergegas ke muka kuala, menarik tubuh berkenaan dalam keadaan pilu dan tidak sanggup melihat wajah anak kecil itu, lalu segera menyerahkannya kepada Imah.
“Tidak ada perkataan untuk saya gambarkan perasaan ketika menemuinya. Saya masih ingat keletahnya yang sudah pandai menyebut ‘Ma’ (panggilan untuk dirinya),” katanya.
Setelah ditemui, anak berkenaan disahkan meninggal dunia apabila dibawa ke Klinik Kesihatan Badang, PCB, di sini, petang kelmarin.
Sementara itu, bapa kanak-kanak malang itu, Nik Roslan Nik Mat, 32, yang bekerja sebagai nelayan tiada di rumah kerana mengambil upah membuat bubu di kawasan berdekatan.
“Saya menerima panggilan telefon daripada adik saya mengatakan anak bongsu saya lemas.
“Saya reda dengan pemergian Azim, sekurang-kurangnya kami menemuinya biarpun dalam keadaan menyedihkan,” katanya bapa kepada dua lagi anak, Nik Nadia Izati, 10 dan Nik Muhd Iqbal, 9, yang belajar di Sekolah Kebangsaan Che Latif, di sini.
Bagi nenek mangsa, Azizah Mamat, 47, dia diberitahu kehilangan cucu tersebut kira-kira jam 7 pagi semalam.
“Ketika kejadian, talian telefon bermasalah dan kali terakhir saya menemui Azim pada Ahad lalu ketika melawatnya di rumah,” katanya.
Jenazah Nik Muhd Iqbal Azim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Che Latiff, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian lemas bayi berkenaan.
Mandur ladang sawit maut ditindih tayar traktor
Wartawan Sinar Harian
15 Mac 2012
Tak sempat jamah pulut isteri
KEMAMAN – Seorang mandor ladang sawit tidak sempat menjamah pulut yang dimasak isterinya apabila maut ditindih tayar traktor selepas kenderaan berat dipandunya itu hancur dirempuh dari belakang dalam nahas di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor, dekat simpang ‘Cheneh Recreation and Resort’ (CRR), Cheneh.
Mahdi Sain, 41, yang be-rasal dari Lombok Timur, Indonesia maut serta merta di tempat kejadian ketika dalam perjalanan pulang dari bengkel di Jalan Felda Cerul untuk balik ke Ladang Bukit Bandi selepas membaiki lampu traktor yang rosak.
Dalam kejadian itu, traktor dipandu mangsa cuba mengelak lubang di bahu jalan namun dirempuh sebuah Toyota Fortuner dari arah belakang mengakibatkan traktor tersebut terbalik manakala salah sebuah tayar belakangnya tercabut serta menindih mangsa yang tercampak ke atas jalan.
Janji akan makan pulut
Isteri mangsa seorang warga tempatan, Maisah Mamat, 45, tidak dapat menahan tangis sebaik tiba di tempat kejadian apabila melihat suaminya parah di kepala dan kaku dibasahi darah apatah lagi suaminya berjanji untuk memakan pulut yang dimasaknya sejurus pulang membaiki traktor.
“Berkali-kali saya ajak dia makan pulut untuk sarapan ketika kami berdua tiba di ladang namun dia menolak, katanya mahu makan waktu rehat jam 11 pagi.
“Saya tunggu suami pulang dari bengkel, tetapi ketika mahu memulakan kerja semula secara tiba-tiba rakan suami yang mengikutnya menghantar traktor ke bengkel memberitahu suaminya terlibat dalam kemalangan,” katanya tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman.
isah dan suaminya bekerja di Ladang Bukit Bandi, Cheneh di bawah syarikat Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd.
Kata Maisah, suaminya itu bekerja sebagai mandor di tapak semaian sawit (nurseri) di ladang itu sementara dia pula melakukan kerja di ladang.
Pernah pesan hantar jenazahnya ke Indonesia
Kata Maisah, beberapa bulan lalu arwah suaminya itu kerap berpesan agar menghantar jenazahnya untuk dikebumikan di Lombok Timur, Indonesia sekiranya dia meninggal dunia.
“Waktu dia pesan begitu saya terkejut dan minta dia menghentikan permintaanya,” katanya yang tidak menyangka akan kehilangan suaminya dikahwini sembilan tahun lalu sekelip mata.
Katanya, ketika berkahwin dengan arwah dia sudah mempunyai enam anak hasil perkahwinannya dengan suami terdahulu manakala suaminya itu mempunyai dua anak yang tinggal di Indonesia.
Meskipun perkahwinan mereka tidak dikurniakan cahaya mata namun suaminya itu menyayangi anaknya sepenuh hati.
Akan penuhi hasrat arwah suami
“Walaupun sudah berkahwin selama sembilan tahun tetapi saya belum pernah mengikut suami pulang ke Lombok Timur dan kami sebenarnya merancang pulang Ogos depan,” katanya sugul.
Menurutnya, dia berhasrat menghantar jenazah suaminya pulang ke negara asal bagi memenuhi hasrat arwah suaminya itu yang sudah berkerja di negara ini selama hampir 17 tahun.
Sementara itu, Pegawai Ladang Bukit Bandi, Mohd Faizul Mat Shah berkata, kehilangan Mahdi ibarat khabar duka kerana mangsa seorang pekerja cemerlang.
Sementara itu, Toyota Fortuner berkenaan remuk pada bahagian depan namun pemandunya tidak mengalami kecederaan.

No comments:

Post a Comment