Thursday, June 21, 2012

ALLAH MENURUNKAN PENYAKIT...TAPI TELAH MENURUN PENAWAR TERLEBIH DULU....

Licik perdaya wanita jadi punca


SEKUMPULAN warga Afrika menjamu selera di sebuah gerai menjual makanan yang dikendalikan warga senegara di Desa Aman Puri, Kepong baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Kelicikan warga Afrika memperdaya wanita tempatan menjadi antara punca golongan berkenaan membuka perniagaan di negara ini.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Azmi Ismail berkata, warga Afrika akan mencari mangsa yang kebanyakannya wanita kesepian untuk dijadikan isteri.
“Selepas berkahwin, mereka datang ke MPS memohon permit berniaga menggunakan nama isteri tetapi apabila pemeriksaan dibuat, perniagaan yang dijalankan bukanlah kedai makan makanan Melayu tetapi untuk warga Afrika,” dedahnya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kegiatan segelintir warga Afrika yang membuka gerai makan di Jalan Desa 1/2, Desa Aman Puri, Kepong.

Embol tekad buru Bujang Sebelak

EMBOL (depan) bersama penduduk kampung mula membuat persiapan untuk memburu Bujang Sebelak di Saratok semalam.


SARATOK - Ketua rumah panjang Nanga Sungai Anak, Roban di sini, Embol Asum, 48, yang kehilangan isteri selepas dibaham seekor buaya tekad untuk memburu haiwan yang dikenali sebagai Bujang Sebelak bagi melunaskan dendam antara mereka.
Embol berkata, penduduk kampung telah menahan pukat di kuala Sungai Anak bagi mengelakkan buaya sepanjang kira-kira lima meter dan ukur lilit sebesar tong dram itu terlepas ke Sungai Sebelak.
"Perasaan geram dan marah saya hanya akan hilang selepas berjaya memburu binatang bermata satu itu (buta mata sebelah kiri).
"Saya mahu menghapuskan buaya itu yang telah menyebabkan dua anak perempuan saya kehilangan ibu mereka," tegasnya ketika ditemui di sini kelmarin.
Tambahnya, dia juga akan menggunakan khidmat bomoh buaya bagi menangkap reptilia itu yang dipercayai telah membunuh dua lagi mangsa di Sungai Sebelak sejak tahun 2010.

Kajol palsu didenda RM1,000

KOTA BHARU - Rayuan penyanyi mak nyah tersohor Kelantan, Kajol untuk mengetepikan hukuman denda RM1,000 atau penjara lima bulan yang dikenakan sebelum ini gagal apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam mengekalkan hukuman tersebut.
Bagaimanapun, Kajol atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Jeffri, 26, bernasib baik apabila Hakim Syarie Abu Bakar Abdullah memutuskan untuk menggantung selama setahun hukuman penjara sebulan yang diputuskan Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah pada 21 Jun lalu.
Mohd. Hafis yang mengambil nama aktres Bollywood 'Kajol' sebagai nama gelaran dirinya dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah berperwatakan seperti wanita dan berpakaian tidak senonoh di khalayak ramai tahun lalu.
Pada prosiding itu, Abu Bakar turut mengarahkan tertuduh berkelakuan baik selama setahun.
Kajol didakwa melakukan perbuatan tersebut di tapak ekspo Padang Majlis Daerah Tanah Merah dekat sini pada 15 April tahun lalu.

Pecah rumah kumpul duit kahwin

NIBONG TEBAL – Siapa sangka usaha keras seorang lelaki bekerja siang malam mengumpul wang untuk ke jinjang pelamin dua minggu lalu rupa-rupanya diperoleh hasil daripada 58 kegiatan pecah rumah sejak dua tahun lalu.
Tembelang pengantin baharu itu pecah setelah suspek bersama seorang lagi rakannya dicekup polis daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pada Ahad lalu berikutan kes-kes pecah rumah di daerah ini, Parit Buntar, Perak dan Bandar Baharu, Kedah.
Ketua Polis Daerah SPS, Superintendan Shafien Mamat berkata, kedua-dua sahabat itu ditahan selepas polis menemui bukti mengaitkan pembabitan mereka dalam kes-kes pecah rumah yang dilaporkan sejak awal tahun lalu.
Menurut beliau, suspek pertama berusia 26 tahun yang baru dua minggu berkahwin ditahan di rumahnya di Sungai Duri pukul 5 pagi manakala rakannya berusia 23 tahun ditahan di rumahnya di Parit Kasa pukul 11 malam.
“Jarak antara rumah kedua-dua suspek itu adalah 22 kilometer dan mereka dipercayai sudah bersahabat sejak sekian lama,” kata beliau.
Menurut beliau, suspek pertama itu mengaku dia melakukan kes-kes pecah rumah sejak dua tahun untuk mengumpul wang bagi majlis pernikahannya yang berlangsung kira-kira dua minggu lalu.

Motosikal dibakar ketika tidur


PENDUDUK melihat rangka 13 buah motosikal yang hangus akibat perbuatan khianat dalam kejadian di PPR Sungai Bonus, Setapak, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Perbuatan khianat pihak tertentu yang membakar lebih 10 kenderaan semalam telah menyebabkan beberapa penduduk di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus, Setapak di sini bukan sahaja ‘patah kaki’ malah, naik angin dengan tindakan tidak berakal tersebut.
Kejadian pukul 3.30 pagi itu menyebabkan 13 buah motosikal yang berada di tempat letak kenderaan hangus. Turut terkena tempias api itu ialah dua buah motosikal lain, sebuah kereta jenis Toyota Grand Livina dan Proton Saga.
Lebih malang apabila seorang pengawal keselamatan bagaikan hilang punca apabila satu-satunya motosikal jenis Yamaha Lagenda yang dimiliki hangus.
Nawer Abdul Razak, 56, mendakwa, ketika kejadian kesemua pemilik kenderaan berada di rumah masing-masing.
“Isteri mengejutkan saya dari tidur selepas terdengar jeritan penghuni flat. Saya tinjau dari tingkap dan mendapati motosikal sedang terbakar dan terus turun tetapi gagal menyelamatkannya.
“Saya sedih kerana ia satu-satunya kenderaan yang saya ada untuk ke tempat kerja, tetapi sekarang sudah terbakar angkara perbuatan khianat,” dakwanya.

Buruh terperangkap selepas lantai astaka runtuh


ANGGOTA bomba bertungkus-lumus mengangkat sisa runtuhan untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap.


BESUT - Tiga buruh terselamat daripada maut dan cedera parah selepas separuh badan mereka tertimbus selama dua jam setengah dalam simen apabila lapik kedua lantai bangunan astaka setinggi tiga meter yang dalam pembinaan runtuh di Jerteh dekat sini semalam.
Kejadian pukul 1 petang itu berlaku apabila tiga tiang sokongan lantai bangunan berharga RM300,000 yang dibina sejak 15 Mei lalu itu runtuh ketika simen konkrit dituang ke atasnya.
Difahamkan, ketika kejadian terdapat enam pekerja di situ.
Mereka yang terperangkap dikenali sebagai Ari Ramlan, 31, dari Indonesia; Raju, 42, dan Zilo dari Bangladesh. Ari Ramlan dikeluarkan pada pukul 3.20 petang manakala Raju dan Zilo diselamatkan antara 10 dan 15 minit kemudian.
Buruh yang sempat menyelamatkan diri pula dikenali sebagai Suksan Ali, 25, dari Bangladesh; Munawir, 20, dan Fandi, 20, dari Indonesia. Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Besut.
Mengimbau semula kejadian itu, pemandu kren, Nasir Zakaria, 38, berkata, dia nampak lapik kedua lantai astaka itu mendap dan tiba-tiba runtuh sekelip mata ketika dia sedang menuang simen berkenaan.

Situasi tegang di Mesir memuncak

BEBERAPA penyokong membawa sepanduk dan potret calon Ihkwanul Muslimin, Mohamed Morsi dalam tunjuk perasaan
di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


KAHERAH - Situasi tegang di Mesir memuncak semalam selepas pergerakan Islam terbesar di negara berkenaan, Ichwanul Muslimin memberi amaran konfrantasi akan berlaku sekiranya calon mereka, Mohamed Morsi tidak dinamakan sebagai Presiden Mesir yang baharu.
Kelewatan pengumuman keputusan pilihan raya Presiden yang diadakan pada 16 dan 17 Jun lalu meningkatkan kebimbangan Ichwanul Muslimin bahawa pemerintah tentera merancang untuk merampas kuasa.
Seorang pemimpin Ichwanul Muslimin turut memberi kata dua bahawa keadaan buruk akan tercetus jika pesaing Morsi yang merupakan bekas Perdana Menteri Mesir, Ahmed Shafiq diumumkan sebagai pemenang pilihan raya berkenaan.
Terdahulu, suruhanjaya pilihan raya menyatakan, pihaknya terpaksa menangguhkan pengumuman rasmi keputusan pilihan raya yang dijadualkan semalam.
Kelewatan tersebut ekoran suruhanjaya berkenaan masih menyiasat dakwaan penipuan daripada kedua-dua calon yang bertanding.
Akhbar pemerintah Mesir, Al-Ahram melaporkan, kempen Shafiq menuduh pasukan gerak kerja Morsi mencetak hampir sejuta kertas undi palsu.
Bagaimanapun, Morsi dalam kempen pasca pilihan raya menafikan tuduhan tersebut.
Sebaliknya, beliau menuduh kem Shafiq merasuah pengundi.
Perkembangan membimbangkan itu berlaku ketika bekas Presiden Hosni Mubarak berada dalam keadaan nazak sejak kelmarin.
Bekas pemimpin berusia 84 tahun itu terpaksa bergantung kepada mesin sokongan hayat di sebuah hospital tentera di sini selepas diserang strok di penjara. - AFP

Antibodi jadi penawar demam denggi

HONG KONG - Para saintis berkata mereka telah mengambil antibodi daripada seorang bekas pesakit demam denggi di Singapura yang boleh mengatasi virus denggi.
Penemuan terbaharu itu dijangka boleh mengawal kes kematian akibat demam denggi.
Sehingga kini, masih belum ada penawar bagi demam denggi yang telah menbunuh lebih 20,000 orang setahun terutama kanak-kanak. Pakar perubatan setakat ini hanya mampu mengawal simptom penyakit tersebut.
Antibodi itu merupakan di antara 200,000 sampel yang diambil daripada 100 orang pesakit demam denggi yang telah pulih. Antibodi itu dilihat mampu membunuh kuman virus denggi subjenis 1, jelas satu laporan yang diterbitkan dalam jurnal Perubatan Sains Translasi.
Terdapat empat subjenis yang berbeza dalam virus denggi yang menyebabkan demam maut itu.
"Penemuan antibodi itu boleh membunuh virus denggi sebelum ia merebak ke semua sel darah," kata salah seorang saintis penyelidikan, Lok Shee-Mei.
Dalam satu penyelidikan menggunakan tikus sebagai subjek, para pengkaji mendapati antibodi itu meliputi seluruh permukaan virus, sekali gus menghalangnya dari terus merebak.
Berbanding beberapa penemuan lain, antibodi itu boleh membunuh lebih banyak virus dan bertindak dengan pantas, kata seorang pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Singapura, Paul MacAry.
Pasukan penyelidik itu juga akan berusaha untuk meningkatkan lagi antibodi tersebut bagi mengatasi virus denggi subjenis 2, 3 dan 4.
Menurut MacAry, pasukan mereka telah menemui antibodi bagi subjenis 2 tetapi masih dalam proses ujian awal.
"Hampir 99 peratus kes denggi di Singapura melibatkan jenis 1 atau 2. Maka dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun, dua jenis antibodi akan diperkenalkan untuk membantu pesakit demam denggi di Singapura," katanya. - Reuters

No comments:

Post a Comment