Tuesday, June 19, 2012

BILA KITA MATI SEMUANYA KITA TINGGAL...DUDUKLAH DALAM TANAH YANG SEMPIT LAGI GELAP...SORANG2...YANG ADA...ANAK SOLEH...ILMU YANG BERMANFAAT...AMAL JARIAH...JIKA TIADA MALANGLAH KITA....

 

Polis geledah tiga pejabat Nizar


POLIS Johor menggeledah tiga pejabat Mohammad Nizar (kiri atas) Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang,(kiri bawah) Pusat Khidmat DUN Pasir Panjang dan(kanan) Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri Perak selepas mendapat waran mahkamah kelmarin.



JOHOR BAHRU - Polis Johor telah menggeledah tiga pejabat bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kelmarin bagi tujuan siasatan berhubung kes Ahli Parlimen Bukit Gantang itu yang mempertikaikan bidaan nombor pendaftaran WWW 1 oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, hasil operasi itu, pihaknya merampas dua buah komputer dan sebuah telefon bimbit untuk siasatan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.
"Pihak polis menggeledah kesemua premis terbabit selepas mendapat waran dari mahkamah," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kosmo! difahamkan, pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hadir ke pejabat operasi Mohammad Nizar iaitu di Pejabat Badan Perhubungan Pas Negeri Perak, Ipoh; Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Taiping dan Pusat Khidmat Dun Pasir Panjang, Lumut.
Operasi di setiap premis itu berlangsung antara 30 hingga 45 minit.

Gadis didakwa kelar leher ibu



NOR HASLINDA (kanan) dan sepupunya berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen, Kuala Pilah semalam.



KUALA PILAH - Perbuatan seorang gadis berusia 17 tahun yang tergamak mengelar leher ibu sendiri dengan sebilah pisau memakan diri apabila dia dan sepupunya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan cuba membunuh wanita itu.
Bagaimanapun, gadis itu bersama sepupunya, Nor Haslinda Mohd. Yunus, 26, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama menggelar leher seorang wanita, Azizah Isa, 50, dengan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan pada mangsa selepas berlaku perselisihan faham.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di depan pasar Gemencheh, Tampin dekat sini pada pukul 5.15 petang, 11 Jun lalu.
Kedua-dua tertuduh yang berasal dari Tampin itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

Cadang kantin guna Touch 'n Go



MOHD. SIDEK (dua dari kiri) dan Poh Kon berbual dengan para pemenang Pemudah Challenge:Back To School di Putrajaya semalam.



PUTRAJAYA - Cadangan supaya kantin sekolah mengaplikasikan penggunaan kad Touch 'n Go menjadi antara 24 idea yang diangkat sebagai pemenang pada program Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Challenge: Back to School.
Pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Bintang Selatan, Kuala Lumpur, Nor Nabilah Rosli, 11, berkata, dia mendapat idea tersebut selepas mendapati waktu rehat sekolah agak singkat menyebabkan murid-murid bergegas membeli makanan.
"Saya terfikir alangkah baiknya jika kantin menerima kad Touch 'n Go sebagai bayaran bagi mempercepatkan pembelian. Atas nasihat ibu bapa dan guru, saya menggunakan idea ini untuk menyertai program Pemudah Challenge: Back to School," katanya.
Sebagai pemenang, Nor Nabilah menerima hadiah berupa baucar buku bernilai RM100 yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan pada satu majlis di sini semalam.

Dadah baharu elak hukuman mati



PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim menunjukkan rampasan dadah jenis Eramin 5 pada sidang akhbar di Bukit Aman baru-baru ini.



PETALING JAYA - Jabatan Kimia menemui bahan baharu yang digunakan sindiket dadah dalam penghasilan pil Eramin 5 bagi mengaburi mata pembeli dan pihak berkuasa untuk mengelakkan mereka daripada dijatuhi hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kimia, Chang Hon Fong berkata, penemuan itu dikesan dalam kajian kandungan pil Eramin 5 yang dirampas di sebuah makmal pembuatan dadah di Klang, Selangor pada Mei lepas.
"Pada kebiasaannya Eramin 5, iaitu dadah sintetik, mengandungi Nimetazepam iaitu sejenis dadah berbahaya yang diubahsuai untuk dijadikan sebagai penghilang rasa tekanan oleh pengamalnya.
"Namun begitu, bagi kes terbaharu di Klang, hasil pemeriksaan kita mendapati penghasilan Eramin 5 oleh makmal haram tersebut menggunakan Phenazepam, sejenis bahan yang diklasifikasikan di bawah Akta Racun 1952, yang hanya dikenakan hukuman denda saja," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Hari Terbuka Kimia 2012 di sini semalam.

Mati sebelum sempat menyamun

RAWANG - Seorang kontraktor tidak menyangka rumah teres dua tingkat miliknya yang telah tujuh kali dimasuki penyamun sejak tiga tahun lalu akan menjadi lokasi terakhir tiga lelaki Indonesia menyamun apabila kesemuanya mati tersungkur dalam kejadian berbalas tembak semalam.
Riwayat ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 30-an bersenjatakan dua pucuk pistol jenis Revolver itu berakhir pada pukul 4.30 pagi di Batu 20, Jalan Rawang ketika mereka cuba melarikan diri selepas gagal menceroboh rumah mangsa di Taman Templer Saujana di sini setengah jam sebelum itu.
Jarak antara kedua-dua tempat itu kira-kira 300 meter. Difahamkan, jika berjaya memecah masuk, suspek merupakan penjenayah kelapan yang dapat melarikan barang berharga milik Mohd. Azharudin Mahbub, 46.
Menurut Mohd. Azharudin, ketika kejadian, dia, isteri, tiga orang anak dan seorang pembantu rumah sedang tidur.
"Isteri saya terjaga selepas ternampak dua kelibat orang di luar. Dia kemudian menghubungi polis sebelum suspek cuba melarikan diri.
"Ini bukan pertama kali rumah saya dirompak. Sebelum ini sudah tujuh kali penyamun memecah masuk rumah sejak tiga tahun lalu dan salah satu kejadian itu, rantai kaki anak perempuan saya disamun di depan rumah," ceritanya ketika ditemui semalam.

Perintah ujian DNA Sri Wani ditangguh 30 Ogos

KUALA LUMPUR - Persoalan sama ada perlu atau tidak ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan terhadap pemilik butik kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah bagi menentukan jantinanya akan diputuskan pada 30 Ogos depan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan memberitahu, pihaknya perlu memutuskan terlebih dahulu isu bidang kuasa mahkamah untuk mendengar kes itu sebelum boleh mengeluarkan perintah ujian jantina tersebut.
Abdul Walid berkata demikian sebagai merujuk permohonan bantahan awal oleh Sri Wani, 37, sebelum ini yang mempertikaikan alamat pemastautin suaminya, Prof. Dr. Bahrom Sanugi, 61, yang didakwa di Taman Dato Senu, Sentul.
Sri Wani melalui peguam syarie, Boestamam Ahmad mendakwa Bahrom menipu alamat dalam dokumen mahkamah dan mahukan perkara itu disiasat bagi menentukan sekiranya mahkamah di sini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu.

Ditemui mati lepas kejar pencuri


ANAK panah menunjukkan arah Nor Firdaus terjatuh dari tingkat 16 Pangsapuri Sri Impian, Larkin Perdana, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Hasrat seorang peniaga untuk mengejar pencuri kereta Honda Civic miliknya tidak kesampaian apabila dia maut selepas terjatuh daripada tingkat 16 Pangsapuri Sri Impian, Larkin Perdana, di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu berlaku ketika Nor Firdaus Abdul Ghani, 21, cuba mengambil telefon bimbitnya yang tercampak di luar kaki lima tingkat berkenaan sewaktu mengejar pencuri keretanya. Kereta itu bagaimanapun dapat dilarikan.
Abang mangsa, Nor Hisham, 37, memberitahu, ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Felda Papan Timur, Kota Tinggi, sedang bertemu bakal tunangnya di pangsapuri berkenaan sebelum terdengar enjin kereta miliknya dihidupkan.
Katanya, sebaik menjengah di luar kaki lima, mangsa yang berniaga di Kota Tinggi melihat keretanya cuba dilarikan lalu menghubunginya sebelum bertindak mengejar suspek.
Difahamkan, ketika mengejar suspek, telefon milik Nor Firdaus terjatuh dan dia dipercayai telah melangkah keluar dari kaki lima terbabit untuk mendapatkan kembali alat komunikasi itu walaupun cuba dihalang oleh teman wanitanya.
“Arwah menghubungi saya kira-kira pukul 3.12 pagi bagi meminta tolong mengejar suspek tetapi sebaik saya tiba kira-kira 15 minit kemudian, saya diberitahu bahawa adik saya telah terjatuh.
“Saya dimaklumkan, teman wanita adik saya telah cuba menghalang Nor Firdaus dengan memegang tangan arwah tetapi gagal,” ceritanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Aminah di sini semalam.
Menurut Nor Hisham, arwah amat menyayangi kereta miliknya yang baru diubah suai dengan kos mencecah RM40,000.

Bekas Timbalan MB Pahang meninggal dunia



NOORAIHAN (tengah) menabur bunga ke atas pusara suaminya di Tanah Perkuburan
Machang Gelap, Seberang Chenor, Temerloh semalam.



TEMERLOH - Exco Pahang, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak (gambar kecil), 64, meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini pagi semalam selepas hampir dua minggu dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda Pahang itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9 pagi.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Nooraihan Mohamad dan dua orang anak.
Anak saudaranya, Saiful Azman Mokhtar Affendi berkata, isteri Allahyarham juga sedang dirawat di hospital yang sama akibat tekanan darah tinggi.
Tan Mohd. Aminuddin dimasukkan ke hospital itu pada 8 Jun lepas kerana mengalami cirit-birit serta muntah dan kemudian ditempatkan di ICU akibat komplikasi penyakit lain termasuk sakit jantung dan kencing manis.
Anak jati Chenor itu merupakan Ketua UMNO Bahagian Maran dan telah lima penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor.

Pilihan raya Presiden gagal tenteramkan Mesir


SEBILANGAN aktivis Mesir melaungkan slogan menentang pemerintahan tentera di hadapan pekarangan Bangunan Parlimen di Kaherah semalam.



KAHERAH - Pilihan raya Presiden gagal meredakan kemelut politik Mesir apabila rakyat negara berkenaan bersiap sedia melancarkan bantahan besar-besaran di sini sejak semalam.
Protes tersebut yang dianjurkan oleh pertubuhan Islam paling berpengaruh di Mesir, Ikhwanul Muslimin, bertujuan membantah tindakan pemerintah tentera mengekalkan kuasa pemerintahan di Mesir.
Pihak tentera sebelum ini berjanji akan menyerahkan kuasa kepada pemerintahan awam selepas pilihan raya Presiden Mesir pada 1 Julai depan.
Terdahulu, terdapat kekalutan berhubung keputusan pusingan kedua pilihan raya Presiden Mesir yang berlangsung pada minggu lalu.
Ikhwanul Muslimin mendakwa calon mereka, Mohammed Mursi memenangi pilihan raya tersebut tetapi pesaingnya, Ahmed Shafiq yang merupakan bekas Perdana Menteri Mesir, enggan mengaku kalah.
Mendakwa tindakan Ikhwanul Muslimin itu tidak ubah seperti lanun, Syafiq sebaliknya menggesa orang ramai supaya menunggu keputusan rasmi pilihan raya berkenaan yang akan diumumkan esok.
"Kejayaan tersebut tak ubah seperti mencuri kerana diumumkan ketika keputusan rasmi belum diketahui," kata pengurus kempen politik Syafiq, Ahmed Sarhan.
Dalam perkembangan berkaitan, media rasmi Mesir pula melaporkan bahawa keputusan awal mendapati Mursi berada di hadapan.
"Selepas pengiraan undi berakhir di semua 27 wilayah di Mesir, Mursi mendahului dengan 51 peratus undi. Sementara Shafiq memperoleh 49 peratus undi," lapor akhbar pemerintah Mesir, Al-Ahram di laman webnya.
Jika keputusan rasmi memihak kepada Mursi, ini merupakan kali pertama negara paling ramai penduduk di dunia Arab itu ditadbir oleh sebuah parti Islam. - AFP

No comments:

Post a Comment