Sunday, January 20, 2013

BILA PENIPU2 TAK KIRA STATUS...YANG TINGGI KEDUDUKANNYA SELALUNYA TERLEPAS

100 lagi orang awam mati di Syria

BEBERAPA orang pasukan penentang Presiden Bashar Al-Assad membuat rondaan di Homs. Kejadian pembunuhan beramai-ramai oleh tentera rejim terus berlaku sehingga sekarang.


DAMSYIK - Lebih 100 orang awam terbunuh dalam satu kejadian pembunuhan beramai-ramai terbaharu di Syria, kata Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia negara itu.
Pemerhati sama berkata, kematian berlaku apabila pasukan tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad pada Selasa lalu menggempur kawasan ladang di utara bandar Homs.
Bandar tersebut dipercayai menjadi lokasi kepada kira-kira 1,000 orang mencari perlindungan daripada pertempuran di tengah Syria.
"Tentera rejim melakukan pembunuhan beramai-ramai Selasa lalu menyebabkan 106 mangsa terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak," kata pemerhati yang beribu pejabat di Britain.
Beberapa orang saksi memberitahu mangsa mati akibat terbakar, ditikam dan ditetak.
"Tentera datang sebelum menyembelih wanita dan kanak-kanak. Mereka juga membakar tubuh mangsa," kata seorang wanita tidak dikenali yang dilihat dalam satu rakaman video amatur dan diedarkan oleh oleh penentang Bashar di Homs.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 60,000 orang terkorban, sementara pasukan pemerhati pula menyatakan lebih 48,000 orang maut akibat konflik di Syria. - AFP

Warga emas bersenam dalam salji


GAO yang berusia 77 tahun kelihatan masih bertenaga untuk bersenam walaupun tanpa berbaju dalam keadaan cuaca sejuk yang melanda China baru-baru ini. - AFP


JILIN, China – Seorang lelaki warga emas yang berusia 77 tahun sanggup meredah musim sejuk yang melanda China baru-baru ini dengan hanya memakai seluar pendek untuk bersenam demi kesihatan badannya.
Gao Yinyu yang juga merupakan seorang pesara guru bersenam setiap pagi di sepanjang tebing sungai Shonghuajiang.
Suhu di kawasan Jilin kini mencecah di bawah paras negatif 25 darjah celsius.
Selain bersenam, Gao juga dilihat turun ke dalam sungai Shonghuajiang untuk mandi dan tidak memakai pakaian.
Gao berkata, dia telah bersenam setiap pagi dengan hanya memakai seluar pendek setiap pagi sejak sedekad lalu selepas bersara. Gao tidak pernah terlepas walaupun sehari untuk melakukan rutin senamannya itu.
Sejak melakukan rutin tersebut, Gao didapati jarang diserang demam atau selesema. Pekerja lelaki di China biasanya akan bersara pada usia 60 tahun. – Agensi

Hotel kapsul terbesar di China dibuka


Hotel kapsul ini sangat selesa dan ditawarkan pada harga sewaan yang berpatutan.- Reuters


SHANDONG, China – Sebuah hotel kapsul paling besar di China telah dibuka di Qingdao pada 15 Januari lalu dan mula mendapat perhatian pengunjung yang singgah ke wilayah Shandong.
Hotel itu menyediakan 100 bilik yang dilengkapi televisyen LCD, perkhidmatan WiFi, sebuah meja komputer, almari dan katil yang selesa.
Setiap kapsulnya direka dan dibina dari saiz 1 hingga 2 meter lebar dan 1.2 meter tinggi.
Pengunjung hanya dikenakan bayaran sebanyak 45 yuan (RM21.68) sehari pada hari biasa dan 80 yuan (RM38.75) pada waktu puncak. – Agensi

Jumpa ketulan emas dalam semak


Seorang penggali emas amatur telah menjumpai seketul emas seberat 5.5 kilogram yang didakwa bernilai AS$318,761 di bandar Ballarat, Australia.


BALLARAT, Australia – Seketul emas bernilai AS$318,761 (RM960,364) ditemui di satu kawasan semak di Ballarat, Australia, kelmarin, lapor akhbar The Sun semalam.
Ketulan emas gergasi itu ditemui oleh seorang penggali yang menggunakan sebuah alat pengesan logam berteknologi tinggi.
Logam bernilai tinggi itu dipercayai terlalu besar sehinggakan sebaik sahaja lelaki yang menemuinya mula mengorek tanah, dia menyangka ia adalah sebahagian daripada komponen bonet sebuah kereta lama.
Ketulan emas berbentuk Y itu seberat 5.5 kilogram dan berukuran 60 sentimeter panjang.
Ukuran itu merupakan yang terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah cari gali emas di Ballarat, Victoria yang menjadi pusat pengeluaran emas pada tahun 1850.
“Saya telah melakukan cari gali sejak 20 tahun dan penemuan emas sebesar ini amat luar biasa,” kata seorang peniaga emas tempatan, Cordell Kent.
Sehingga malam kelmarin, berpuluh-puluh orang pencari gali datang ke lokasi emas itu ditemui untuk mencuba nasib mereka. – Agensi

Isteri harap suami dibebaskan

PANDANGAN dari udara loji gas di In Amenas, selatan Algeria yang dijadikan sasaran oleh puak militan untuk menawan 191 pekerja asing termasuk dua dari Malaysia kelmarin.


GEORGE TOWN – Isteri salah seorang rakyat Malaysia yang menjadi tebusan kumpulan militan di sebuah loji gas di In Amenas, di gurun Sahara, selatan Algeria kelmarin berharap suaminya berada dalam keadaan selamat dan memohon agar dia segera dibebaskan.
Wanita berusia dalam lingkungan 40-an itu yang mahu dikenali sebagai Mac berkata, dia sentiasa bimbangkan keselamatan suaminya, K. Ravi, 48, yang mungkin menjadi mangsa tindakan ganas pihak militan yang turut menahan puluhan pekerja loji gas itu.
Ketika dihubungi di sini semalam, Mac memberitahu, kali terakhir Ravi membuat panggilan telefon ialah pada Rabu lalu bagi menceritakan suasana bekerja sebagai jurutera di situ sambil bertanyakan khabar dua anak mereka.
Mac yang ditemui di Bukit Jambul di sini hanya mengetahui insiden serangan ke atas kemudahan gas itu menerusi siaran berita televisyen sebelum dihubungi kakitangan Wisma Putra bagi mengesahkan Ravi adalah antara mangsa yang dijadikan tebusan.
Menurut Mac, suaminya baru dua bulan bekerja di loji gas itu setelah dihantar majikannya, JGC Corp, sebuah syarikat pengeluaran gas dan minyak berpangkalan di Singapura.

Sindiket Macau Scam tumpas


MUN PHING bersama pegawainya menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas daripada 12 individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan Macau Scam pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Kelicikan satu sindiket penipuan antarabangsa dikenali sebagai Macau Scam menggunakan sistem telefon Suara Melalui Protokol Internet (VoIP) untuk menipu wang orang ramai terbongkar apabila polis menahan 12 warga asing termasuk enam wanita Isnin lalu.
VoIP merupakan teknologi yang memungkinkan percakapan suara jarak jauh melalui medium internet di mana data suara akan diubah menjadi kod digital dan dialirkan melalui jaringan.
Sembilan warga China dan tiga rakyat Taiwan berusia antara 19 hingga 36 tahun tersebut diberkas pada pukul 11.10 malam di sebuah banglo tiga tingkat yang dijadikan pusat membuat panggilan palsu di Taman Ampang Utama, Ampang Jaya dekat sini.
Serbuan dilakukan selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan daripada seorang ahli perniagaan di Ampang yang kerugian RM64,000 akibat ditipu sindiket berkenaan kelmarin. Serbuan dilakukan dengan kerjasama Kedutaan China serta Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taipei di Malaysia.

Tiga pelajar ditahan kutip derma


PEGAWAI polis memeriksa dokumen perjalanan pelajar yang ditahan ketika sedang mengutip derma daripada orang ramai di sekitar Kangar, Arau dan Kuala Perlis kelmarin.


KANGAR – Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) menahan tiga pelajar yang menjalankan aktiviti mengutip derma yang berselindung di sebalik pusat latihan kepimpinan antarabangsa yang berpangkalan di Thailand hingga larut malam di sekitar negeri ini kelmarin.
Dua daripada mereka merupakan pelajar asing masing-masing seorang lelaki dari Taiwan dan perempuan dari Thailand berumur dalam lingkungan 20-an.
Seorang lagi ialah pelajar perempuan tempatan berumur dalam lingkungan 20-an.
Menurut Penolong Pengarah Penguatkuasa JAIPs, Suhaimi Ahmad, modus operandi kumpulan pelajar itu adalah mengutip derma dengan cara menjual rantai kunci permainan ‘zombie’ kepada orang ramai.
“Kami menemui pelajar berkenaan ketika sedang mengutip derma daripada orang ramai di sebuah stesen minyak di Arau dengan cara menjual rantai kunci pada harga RM10 seunit.
“Apabila diminta surat kebenaran bagi mengutip derma, pelajar itu gagal mengemukakannya, memaksa kami menahan mereka untuk siasatan lanjut,” katanya selepas operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi kerajaan bagi membanteras pemungut derma dan peminta sedekah di sekitar Kangar, Arau dan Kuala Perlis.

Penipu guna Facebook diberkas


MOHD. ADNAN menunjukkan salinan akaun Facebook suspek yang menyamar sebagai staf Media Prima Berhad untuk memerangkap gadis-gadis sebelum memperdaya mereka pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Taktik licik seorang lelaki menyamar sebagai kakitangan Media Prima Berhad untuk memperdaya gadis-gadis yang terdesak untuk menjadi pelakon tambahan terbongkar apabila suspek berjaya diberkas di Kluang, Johor pada 9 Januari lalu.
Media Prima adalah sebuah syarikat penyiaran. Antara media yang berada di bawahnya termasuk TV3, 8TV, TV9 dan ntv7.
Penganggur berusia 22 tahun tersebut diberkas pada pukul 7 malam hasil maklumat daripada seorang gadis berusia 16 tahun yang mendakwa barangan berharganya dilarikan suspek ketika berada di kawasan Kajang pada 18 Disember tahun lalu.
Bergiat sejak 2008, suspek disyaki telah terlibat dalam dua kes rogol, pecah rumah, curi dalam bangunan, curi, samun dan melarikan kanak-kanak bawah umur 16 tahun daripada penjagaan yang sah. Kesemua kes itu didakwa berlaku di Kajang, Gombak dan Ampang.
Polis percaya terdapat beberapa lagi gadis yang telah menjadi mangsa suspek tetapi mereka belum membuat laporan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, modus operandi suspek ialah menawarkan peluang kepada gadis-gadis untuk menjadi pelakon tambahan menerusi laman sosial Facebook.

Budak hilang ditemui selamat

KUALA LUMPUR – Setelah hampir seminggu dilaporkan hilang, seorang budak perempuan, Teratai Kamilia Mohd. Hafiz, 11, ditemui berlegar-legar bersama kekasihnya di pasar raya Giant Leisure Mall, Jalan Serampang, Taman Pelangi, Johor Bahru semalam.
Jarak Teratai dilaporkan hilang dengan tempat dia ditemui semula ialah kira-kira 389 kilometer.
Satu sumber berkata, Teratai dijumpai oleh seorang lelaki yang juga rakan bapa saudaranya pada pukul 12 tengah hari selepas lelaki itu melihat gambar kanak-kanak terbabit di dalam akhbar.
“Ketika ditemui, Teratai berada di sebuah restoran makanan segera di pusat beli-belah itu bersama dengan seorang lelaki disyaki teman lelakinya.
“Melihatkan kelibat budak perempuan itu seakan-akan wajah Teratai, rakan kepada bapa saudaranya itu terus mengekori pasangan itu sehingga ke kawasan tempat letak kereta di pusat beli-belah tersebut,” kata sumber itu ketika dihubungi.

Pandangan Salleh perlu jadi ruju


MOHAMED DZAIDIN (tengah) menunjukkan buku 101 Saranan Salleh yang dilancarkan di Kuala Lumpur semalam. Turut sama Mohamed Hashim (kanan) dan Mohd. Nasir.


KUALA LUMPUR – Penganalisis ekonomi, Allahyarham Datuk Mohd. Salleh Abdul Majid (gambar kecil) merupakan individu yang berpandangan analitikal dan pendapatnya sesuai dijadikan panduan kepada generasi masa depan.
Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Tun Mohamed Dzaidin Abdullah berkata, Mohd. Salleh juga tidak lokek dalam memberi pandangan membina.
“Saranan yang dicetuskan Allahyarham adalah atas dasar keberanian dan keikhlasan demi mahu melihat anak Melayu bangkit menguasai ekonomi di tanah air sendiri.
“Allahyarham juga tidak lokek dalam berkongsi ilmu dan pendapat dengan orang lain sekiranya mereka meminta nasihat daripadanya,” katanya ketika melancarkan buku berjudul 101 Saranan Salleh yang menghimpunkan 101 artikel Allahyarham terbitan anak syarikat Kumpulan Utusan Melayu, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) di sini semalam.

No comments:

Post a Comment