Sunday, January 20, 2013

ADAKAH BOLEH MELAWAN KUASA ALLAH SERTA TAKDIR ALLAH...FIKIR2KAN

Bahana naik kenderaan curi


BEBERAPA anggota polis memeriksa kereta Proton Waja yang dinaiki seorang penjenayah dan teman wanitanya di Taman Sejati, Klang kelmarin.



KLANG – Tindakan seorang lelaki dan teman wanitanya yang menaiki sebuah kereta Proton Waja melarikan diri daripada polis mengundang padah apabila wanita itu maut terkena tembakan di Taman Sejati di sini kelmarin. Wanita berusia 22 tahun itu meninggal dunia selepas cedera di badan akibat terkena satu das tembakan. Dalam kejadian pukul 7.35 malam itu, polis terpaksa mengejar kereta yang dipandu lelaki berusia 31 tahun berkenaan sejauh kira-kira 10 kilometer selepas terserempak dengan kenderaan yang didicuri itu di Jalan Batu Tiga Lama di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, polis cuba menahan kereta tersebut namun pemandunya enggan memberi kerjasama dan bertindak melarikan diri. “Kereta suspek kemudian melanggar beberapa buah kereta lain sebelum berhenti di kawasan Taman Menara. “Apabila seorang anggota polis cuba mendekati kenderaan itu, suspek mengundurkan kereta secara tiba-tiba dan hampir merempuh anggota polis yang terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.
Mohd. Adnan berkata, bagaimanapun suspek terus memecut kenderaannya ke Taman Sejati dan berhenti di hadapan sebuah rumah di kawasan itu. “Anggota polis sekali lagi keluar untuk menahan suspek, malangnya dia bertindak agresif dan cuba melanggarnya. Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta menyebabkan lelaki itu menyerah diri,” katanya yang memberitahu suspek tidak cedera. Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui seorang wanita yang cedera parah di dalam kereta yang menggunakan nombor plat palsu tersebut.





Selain itu, polis turut menemui sebilah parang dan sepaket serbuk putih disyaki dadah di dalam Proton Waja itu yang dilaporkan hilang di Klang pada 15 Januari lalu. Mohd. Adnan menambah, semakan mendapati suspek lelaki yang alamat terakhirnya di Taman Sentosa di sini memiliki enam rekod jenayah berkaitan pecah rumah, samun, melarikan orang dan dua kes kesalahan dadah. Teman wanitanya itu pula tidak memiliki sebarang rekod jenayah. Difahamkan, ekoran kejadian itu, polis telah merampas senjata yang digunakan oleh suspek lelaki terlibat bagi membantu siasatan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk bedah siasat manakala suspek lelaki ditahan mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 (A) kanun sama selain kesalahan dadah.“Anggota polis sekali lagi keluar untuk menahan suspek, malangnya dia bertindak agresif dan cuba melanggarnya. Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta menyebabkan lelaki itu menyerah diri,” katanya yang memberitahu suspek tidak cedera.
Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui seorang wanita yang cedera parah di dalam kereta yang menggunakan nombor plat palsu tersebut. Selain itu, polis turut menemui sebilah parang dan sepaket serbuk putih disyaki dadah di dalam Proton Waja itu yang dilaporkan hilang di Klang pada 15 Januari lalu. Mohd. Adnan menambah, semakan mendapati suspek lelaki yang alamat terakhirnya di Taman Sentosa di sini memiliki enam rekod jenayah berkaitan pecah rumah, samun, melarikan orang dan dua kes kesalahan dadah.
Teman wanitanya itu pula tidak memiliki sebarang rekod jenayah. Difahamkan, ekoran kejadian itu, polis telah merampas senjata yang digunakan oleh suspek lelaki terlibat bagi membantu siasatan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk bedah siasat manakala suspek lelaki ditahan mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 (A) kanun sama selain kesalahan dadah.

Bakal pengantin cedera ditembak



INILAH kenderaan jenis Hummer yang sepatutnya membawa mangsa ke majlis perkahwinannya di Kulaijaya semalam.



JOHOR BAHRU – Hasrat seorang ahli perniagaan untuk melangsungkan perkahwinannya semalam tidak kesampaian apabila dia cedera parah selepas ditembak sekumpulan lelaki di Taman Kulai, Kulaijaya di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa, Fan Chee Wei, 34, sedang mengadakan majlis makan malam praperkahwinan yang dihadiri kira-kira 60 ahli keluarga dan rakan-rakan.
Difahamkan, semasa majlis berlangsung, Chee Wei keluar dari rumah untuk mengalihkan keretanya bagi membolehkan beberapa kawannya membakar mercun.
Menurut seorang saudara mangsa yang enggan dikenali, ketika itulah Chee Wei dikatakan ditembak.
“Pada mulanya, kami sangkakan bunyi mercun tetapi sebaik melihat dia sedang dikejar sekumpulan lelaki, baru kami sedar sesuatu telah berlaku.
“Dia berjaya melarikan diri dan melintasi sebuah jambatan laluan pejalan kaki menuju ke Taman Selatan sebelum rebah di atas jalan,” katanya.
Tinjauan di rumah mangsa mendapati, terdapat sebuah kenderaan jenis Hummer berwarna kuning yang sudah siap dihiasi dengan riben dan anak patung dipercayai untuk digunakan bagi membawa mangsa ke majlis perkahwinannya semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan.
Difahamkan, mangsa kini dirawat di sebuah hospital di Singapura atas permintaan keluarganya.

Sembunyi atas bumbung elak ditangkap militan

MIRI - Seorang rakyat Malaysia menceritakan, dia terselamat daripada menjadi tebusan kumpulan militan yang menawan loji gas di In Amenas, Algeria dengan bersembunyi di atas bumbung bangunan sebelum berlaku serangan berdarah yang mengorbankan puluhan orang pada Rabu lalu.
Patrick Purait Awang, 40-an, yang berasal dari Miri, Sarawak sempat memanjat bumbung sebaik sahaja terdengar bunyi siren amaran di loji milik syarikat BP itu.
Menurut kakak mangsa, Susan Awang, perkara itu dimaklumkan oleh adiknya itu dalam perbualan dengan isterinya pada Jumaat lalu.
"Patrick memberitahu dia selamat dan meminta keluarga tidak bimbang," kata Susan ketika ditemui di rumahnya di Kanada View Garden di sini semalam.
Dalam kejadian itu, seramai 60 pemberontak lengkap bersenjata menyerang dan menawan loji tersebut dan menjadikan 150 pekerja termasuk lima rakyat Malaysia sebagai tebusan.
Bagaimanapun, Patrick berjaya melepaskan diri lebih awal manakala dua lagi, K. Ravi dan Lau Seek Siang diselamatkan dalam serangan balas tentera Algeria sehari kemudian.
Serangan ke atas loji tersebut dipercayai tindakan balas militan terhadap kerajaan Algeria yang membenarkan ruang udaranya digunakan pesawat tempur Perancis untuk menyerang pemberontak di Mali.
Menurut Susan, dalam perbualan tersebut, Patrick sempat memberitahu dia dalam perjalanan ke Kedutaan Malaysia di Algeria bagi mendapatkan perlindungan keselamatan.
"Isteri Patrick yang sebelum ini jatuh sakit kini beransur pulih selepas mendapat berita suaminya selamat," ujarnya.
Sementara itu, Kementerian Luar dalam kenyataannya semalam menjelaskan, Kedutaan Malaysia di Algeria sedang berusaha membawa pulang tiga rakyat Malaysia itu dalam masa terdekat.
Mereka bagaimanapun belum dapat mengesahkan nasib dua lagi tebusan, Chong Ngen Chung dan Tan Ping Wee.
"Pihak kami seantiasa menghubungi keluarga mangsa untuk menyampaikan perkembangan terkini," kata kenyataan itu.

Pendakap gigi murah jadi penyebab kanser usus



GAMBAR 1 menunjukkan pendakap gigi tulen yang berfungsi meluruskan semula struktur gigi sementara gambar 2, 3, dan 4 pula contoh set tiruan yang kini menjadi fesyen dengan dipasarkan dalam pelbagai warna.



BENTONG - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli pendakap gigi menerusi internet yang dijual murah kerana banyak produk seumpama itu tidak diiktiraf pakar pergigian kerana mengandungi plumbum yang boleh menjadi punca penyakit kanser usus.
Peringatan itu dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai hasil kajian awal kementerian terhadap kegiatan penjualan pendakap gigi di pasaran dalam talian.
Menurutnya, pendakap gigi semakin popular terutama dalam kalangan remaja bukan kerana fungsi mencantikkan gigi tetapi lebih kepada trend atau fesyen semasa.
"Kalau mahu mencantikkan gigi, orang ramai perlu mendapatkan nasihat doktor dan menggunakan pendakap gigi yang diiktiraf oleh pakar pergigian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas Bentong semalam.
Tiong Lai juga berkata, kerajaan boleh menyekat atau mengawal penjualan pendakap gigi namun tidak boleh mengawal pembelian menerusi internet.
Angkasawan Negara yang juga doktor gigi, Mejar Dr. Faiz Khaleed ketika dihubungi semalam menganggap amalan memakai pendakap gigi yang dibeli melalui internet berbahaya dan merugikan diri sendiri.
"Pendakap gigi berkualiti diperbuat daripada keluli tahan karat manakala peralatan sama yang dijual di internet tidak diketahui asal usulnya," kata beliau.
Walaupun kos memasang set pendakap gigi di klinik boleh melebihi RM4,000, harga bagi set yang mempunyai pelbagai corak di internet hanya RM150 hingga RM170 sepasang.

Banjir: 53 pelajar Malaysia dipindah



SEBAHAGIAN daripada pelajar Malaysia yang terpaksa dipindahkan ke Dewan Malaysia, Jakarta.



JAKARTA - Para pelajar Malaysia dari Universiti Trisakti, Jakarta Barat yang dipindahkan sementara ke Dewan Malaysia di Jakarta Pusat ekoran banjir kini bertambah menjadi 53 orang.
Mereka terdiri daripada 23 pelajar perempuan dan 30 pelajar lelaki.
Pengarah Pelajaran Malaysia, Prof. Madya Dr. Juzhar Jusoh berkata, kebanyakan daripada mereka yang berpindah pagi semalam adalah kumpulan pelajar yang baru pulang daripada menjalani latihan klinikal di luar kota raya Jakarta.
"Kesemua pelajar berada dalam keadaan baik kecuali beberapa orang yang mengalami batuk dan selesema. Pihak keluarga pelajar juga telah dimaklumkan mengenai situasi terkini melalui telefon," katanya di sini semalam.

BEGINILAH keadaan di Universiti Trisakti ekoran banjir yang melanda Jakarta semalam.



Banjir yang melanda kebanyakan kawasan di Jakarta sejak Selasa lalu masih menjejaskan sejumlah lagi kawasan penempatan, bahkan paras air Sungai Ciliwung terus meningkat akibat air yang turun dari daerah Depok.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia berkata, data yang dikumpulkan sehingga pukul 7 pagi semalam mencatatkan 14 kematian akibat banjir sejak Selasa lalu dan daripada jumlah itu, enam mangsa meninggal dunia akibat kejutan elektrik apabila kawasan kediaman mereka dinaiki air.
Mangsa-mangsa yang terkorban itu terdiri daripada sembilan orang di kawasan Jakarta Barat, dua orang di Jakarta Selatan dan masing-masing seorang di Jakarta Timur, Jakarta Utara dan Jakarta Pusat.
Sehingga petang semalam, lebih 18,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir dan BNPB yang dibantu pelbagai agensi kerajaan bertungkus-lumus menguruskan bantuan makanan dan pakaian kepada mangsa. - Bernama

1,180 mangsa banjir kilat di Johor



SEBAHAGIAN mangsa banjir ditempatkan di Dewan Kampung Baru PPMS Kota Tinggi semalam.



JOHOR BAHRU - Seramai 1,180 penduduk dipindahkan ke lima pusat pemindahan berikutan banjir kilat di Johor selepas hujan lebat awal pagi semalam.
Kawasan yang terlibat ialah Kampung Laut dan Kampung Sungai Tiram di Johor Bahru; Kampung Baru Sungai Mas di Penawar; Taman Aman, Taman Mawai di Johor Lama dan PPMS Kampung Batu, Teluk Ramunia di Kota Tinggi.
Mangsa banjir ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Batu 10 dan Balairaya Batu 18 Sungai Tiram di Johor Bahru serta Dewan Kota Kecil, Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Dewan Kampung Baru PPMS Teluk Ramunia di Kota Tinggi.
Pegawai Daerah Kota Tinggi Ismail Karim berkata, pihaknya sudah bersiap sedia berikutan makluman kemungkinan banjir di daerah itu oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
Beliau berkata, kebanyakan mangsa di daerah itu mula dipindahkan ke pusat pemindahan banjir pada 10 pagi.
"Tinjauan pukul 3 petang tadi (semalam) mendapati air mulai surut namun mangsa tidak dibenarkan pulang kerana masih hujan," katanya di sini semalam.
Ismail menasihati orang ramai khususnya penduduk di kawasan rendah supaya bersiap sedia untuk berpindah sekiranya paras air terus naik di kawasan mereka.
Ketua MCA Bahagian Gelang Patah, Jason Teoh berkata, pihaknya mengagihkan makanan dan air mineral kepada mangsa banjir di Kampung Laut pada sebelah pagi sementara menunggu bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sementara itu, portal publicinfobanjir.water.gov.my milik Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia menasihati penduduk di sekitar Batu Pahat agar berjaga-jaga kerana paras air Sungai Lenik di Ladang Chaah sudah mencapai tahap 5.79 meter, melepasi paras amaran yang ditetapkan. - Bernama

Terselamat setelah 'merayu' babi hutan jangan terus mengganas


MAT SAAD menunjukkan lokasi dia diserang babi hutan di kebun getah miliknya di Bukit Teriak
dan gambar kecil, babi hutan yang ditembak oleh penduduk.



ALOR SETAR - Seorang warga emas bernasib baik apabila terselamat daripada serangan seekor babi hutan betina seberat 80 kilogram yang menyerangnya secara tiba-tiba di sebuah kebun getah di Bukit Teriak di sini kelmarin.
Dalam serangan itu, mangsa, Mat Saad Mahmud, 77, cedera di belakang badan dan kedua-dua belah tangan akibat disondol dan digigit oleh haiwan liar tersebut.
Menurutnya, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi itu berlaku ketika dia berjalan berseorangan di kebun getah miliknya.
"Mula-mulanya, saya terdengar bunyi dari semak berhampiran dan menyangka ia biawak.
"Tiba-tiba seekor babi hutan meluru dan menyondol saya dan menggigit belakang dan punggung," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Belukar, Telaga Mas, Pokok Sena semalam.
"Ketika diserang, saya cuba bangun dengan mencengkam bulu di tengkuk babi itu dan ketika mata kami bertentang, saya 'merayu' kepada babi hutan itu supaya melepaskan saya.
"Saya kata, jangan buat aku macam ini, lepaskan aku, aku nak balik dan selepas itu ia (babi hutan) tidak lagi menyerang dan melarikan diri," ujar Mat Saad.
Menurutnya, walaupun hairan dengan kejadian itu tetapi dia bersyukur kerana tidak terus diserang oleh babi hutan berkenaan.
Namun, dia mengaku masih trauma dengan kejadian tersebut.
Menurutnya, babi hutan itu kemudiannya telah ditembak mati oleh seorang penduduk kampung kira-kira pukul 6 petang kelmarin tidak jauh dari lokasi dia diserang .
"Sebelum ini, saya tidak pernah terserempak dengan babi hutan di kebun getah ini dan mungkin babi hutan itu memasuki kawasan kebun kerana mencari air dan makanan lain," tambahnya.

Wartawan Al-Jazeera mati ditembak



GAMBAR yang diambil daripada laman perkongsian video YouTube menunjukkan Mohammed Hourani membuat laporan mengenai pertempuran di Basra al-Harir sebelum mati ditembak.



BEIRUT - Seorang wartawan agensi berita Al-Jazeera, Mohammed Hourani terbunuh apabila ditembak oleh penembak curi di Basra al-Harir, wilayah Daraa, Syria kelmarin.
"Mohammed Hourani ditembak mati di Basr al-Harir ketika beliau membuat liputan mengenai pertempuran antara penentang Presiden Bashar Al-Assad dengan tentera kerajaan," lapor Al-Jazeera.
Sebelum menyertai Al-Jazeera, Hourani ialah seorang aktivis sewaktu kebangkitan rakyat menentang Bashar. Beliau merupakan wartawan kedua yang ditembak mati oleh penembak curi di Syria dalam tempoh 24 jam.
Pada Khamis, seorang wartawan perancis, Yves Debay mati ditembak di Aleppo, jelas Pasukan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.
Berdasarkan kepada pengiraan agensi berita AFP dan kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di Paris, Reporters Without Borders, sekurang-kurangnya 20 orang wartawan profesional telah terbunuh dalam konflik di Syria yang sudah berlarutan selama 22 bulan. - AFP

15 orang maut akibat banjir di Jakarta



PASUKAN penyelamat meneruskan operasi menyelamat mangsa di satu kawasan parkir bawah tanah sebuah bangunan di Jakarta semalam



JAKARTA - Jumlah kematian akibat banjir di bandaraya ini meningkat kepada 15 orang selepas pasukan penyelamat menjumpai empat lagi mayat ketika air dilihat mulai surut.
Jurucakap polis Jakarta, Rikwanto memberitahu tiga mayat dijumpai kelmarin. Sementara satu lagi terperangkap sejak Khamis di satu kawasan parkir kereta dan ditemui pagi semalam.
Pada Jumaat, pasukan penyelam berjaya menyelamatkan dua orang lelaki yang terperangkap selama 24 jam di kawasan parkir bawah tanah sebuah bangunan dengan air mencecah ketinggian empat meter.
Pihak berkuasa meletakkan amaran banjir di tahap tertinggi pada Khamis. Namun, banjir di kebanyakan kawasan sudah surut dan hujan tidak lagi turun sejak petang Jumaat.
Banjir besar itu memaksa 18,000 orang berpindah dari rumah masing-masing, jelas jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho.
Ini merupakan banjir terburuk dialami Jakarta sejak tahun 2007 yang menyaksikan kira-kira 50 orang terbunuh dan lebih 300,000 orang terpaksa dipindahkan. - AFP

15 mayat rentung ditemui di kompleks gas Algeria


SEORANG tebusan yang cedera menerima rawatan di hospital selepas dibebaskan oleh pasukan militan semalam.





SEORANG tentera Algeria berada di satu pos kawalan yang terletak 10 kilometer dari kompleks gas In Amenas di mana militan menahan puluhan tebusan warga asing.



ALGIERS - Pasukan tentera khas Algeria semalam menemui 15 mayat rentung di kompleks pemprosesan minyak dan gas di In Amenas yang diserang oleh kumpulan militan pada Rabu lalu.
Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti mayat-mayat berkenaan selepas tentera Algeria melancarkan operasi menyelamatkan tebusan yang terdiri daripada warga asing dan Algeria. Punca kematian masih belum dapat dipastikan.
Lebih 20 orang warga asing masih dalam tahanan atau hilang di dalam kompleks terbabit ketika krisis tebusan memasuki hari keempat.
Bilangan dan nasib tebusan yang terselamat atau terbunuh belum dapat disahkan. Laporan menyatakan jumlah tebusan yang maut adalah antara 12 hingga 30 orang. Mereka terdiri daripada warga Norway, Jepun, Britain dan Amerika Syarikat (AS).
Satu sumber keselamatan Algeria memberitahu seramai 30 orang tebusan, termasuklah sekurang-kurangnya tujuh warga Barat dan 18 orang militan terbunuh dalam operasi tentera Algeria pada Khamis.
Pemimpin-pemimpin dari Britain, Jepun dan beberapa negara lain melahirkan kekecewaan atas operasi tentera Algeria yang dibuat tanpa sebarang rundingan.
Ketua kumpulan pengganas yang menyerang kompleks berkenaan dikenali sebagai Abdul Rahman al-Nigeri, seorang pejuang veteran dari Nigeria, lapor agensi berita Mauritania.
Pasukan tentera dilihat mengepung kompleks itu sambil beberapa buah helikopter memantau keadaan. Serangan itu dibuat bagi menuntut operasi tentera Perancis di Mali dihentikan. - Reuters

No comments:

Post a Comment