Monday, January 21, 2013

JANJI DULU PUN MUNGKIR

Algeria kesan warga asing

SATU rakaman video yang disiarkan semalam menunjukkan sekumpulan tebusan mengangkat tangan di sebuah lokasi yang tidak diketahui di gurun Sahara, Algeria.


IN AMENAS, Algeria - Pemerintah Algeria semalam bertindak mengesan beberapa warga asing yang masing hilang selepas tragedi tebusan di kompleks pemprosesan minyak dan gas In Amenas di gurun Sahara berakhir kelmarin.
Seramai 25 orang tebusan terdiri daripada warga asing dan Algeria disahkan maut.
Angka kematian kini dikhuatiri akan terus meningkat.
"Saya takut angka kematian mungkin meningkat," kata Menteri Komunikasi, Mohamed Said dalam satu temu ramah di stesen radio tempatan, Channel 3.
Perdana Menteri Britain, David Cameron dalam satu kenyataan semalam berkata, tiga rakyat negara itu disahkan terbunuh.
Menurutnya, empat penduduk dari negara tersebut dipercayai mati.
Menurut pihak firma kejuruteraan Jepun JGC Corp., seramai 10 pekerja Jepun dan tujuh pekerja warga asing yang bekerja dengan syarikat itu masih hilang.
Syarikat itu mengesahkan 61 daripada 78 pekerjanya selamat.
Menurut syarikat itu, seorang rakyat Malaysia masih hilang manakala nasib seorang lagi masih belum diketahui.
Pada Rabu lalu, seramai 650 orang pekerja menjadi tebusan selepas sebuah kumpulan militan Islam menawan kompleks gas itu.
Kemudahan itu dikendalikan syarikat minyak BP dari Britain, Statoil milik Norway dan firma Algeria, Sonatrach.
Tragedi itu berakhir apabila tentera Algeria menyerang kemudahan tersebut.
Sejumlah anggota militan itu turut maut.
Kemudahan itu ditawan militan Islam bagi menuntut tentera Perancis tidak campur tangan di Mali.
Tentera Perancis kini bekerjasama dengan pemerintah Mali untuk mengusir para pemberontak Islam daripada menguasai utara negara itu. - Agensi

Penuntut Malaysia dibenarkan pulang


BEBERAPA orang menaiki sebuah sampan yang disewa di sebuah kawasan yang digenangi air di Jakarta.


JAKARTA - Seramai 24 daripada 62 penuntut Malaysia yang ditempatkan sementara di Dewan Malaysia di Jakarta Pusat berikutan kejadian banjir di Jakarta, dibenar pulang ke rumah masing-masing di kawasan Tomang dan Roxy di Jakarta Barat apabila keadaan di kawasan penempatan mereka pulih seperti biasa.
Pengarah Pendidikan Malaysia (EM) Indonesia, Prof. Madya Dr. Juzhar Jusoh berkata, pihaknya telah memeriksa kawasan penempatan penuntut itu di Tomang dan Roxy pagi semalam dan bersetuju dengan pemintaan mereka untuk pulang.
"Jika tempat para penuntut itu banjir kembali, mereka masih boleh kembali ke Dewan Malaysia untuk menginap sementara," katanya ketika dihubungi di sini.
Juzhar berkata, rumah-rumah penuntut dari Universiti Trisakti itu sebenarnya tidak terjejas dengan banjir.
Namun, katanya, jalan-jalan akses ke rumah mereka yang dinaiki air menyebabkan mereka dipindahkan ke Dewan Malaysia.
Mengenai 38 penuntut Malaysia yang masih menginap di Dewan Malaysia Jakarta, mereka hanya akan dibenar pulang jika keadaan banjir di kawasan penempatan masing-masing dipastikan telah pulih.
Juzhar berkata Universiti Trisakti, di Jakarta Barat, yang turut dilanda banjir, mengisytihar cuti selama seminggu dan kuliah akan hanya disambung pada 28 Januari ini.
Kejadian banjir di Jakarta, sejak Selasa lalu, sehingga kini meragut 19 nyawa dan sebahagian daripada mereka meninggal dunia disebabkan kejutan elektrik apabila kediaman mereka dinaiki air. - Bernama

Detik-detik cemas ahli politik diacu pistol


KEPALA Dogan diacu dengan pistol yang dipegang Enimehmedov.


SOFIA - Seorang lelaki, Oktay Enimehmedov mengacukan sepucuk pistol ke arah seorang ahli politik, Ahmet Dogan di Istana Budaya Kebangsaan di sini kelmarin.
Bagaimanapun, Enimehmedov hanya mengacukan sepucuk pistol gas di kepala Dogan.
Kejadian itu berlaku ketika ahli politik tersebut menyampaikan ucapan kepada anggota-anggota partinya, Pergerakan Untuk Hak dan Kebebasan.
Dogan kelihatan takut semasa lelaki berusia 25 tahun itu mengacukan pistol tersebut.
Tembakan pistol gas tersebut tidak boleh menyebabkan seseorang itu mati.
Ahli politik itu sempat menepis tangan Enimehmedov.
Pemuda tersebut kemudian ditangkap oleh beberapa perwakilan parti itu dan anggota keselamatan.
Bahagian bibir pemuda berkenaan kelihatan berdarah akibat pergelutannya semasa beberapa anggota parti itu dan anggota keselamatan mahu menangkapnya.
Dogan, 58, tidak cedera dalam kejadian tersebut.
Seorang ahli psikologi di Kementerian Dalam Negeri, Nedelko Stoychev berkata, pemuda tersebut meninggalkan sepucuk surat untuk ibunya.
Pemuda berkenaan menyatakan dalam surat tersebut bahawa dia tidak berniat untuk membunuh ahli politik itu.
Menurutnya, Enimehmedov hanya mahu menunjukkan bahawa ahli politik berkenaan bukannya tidak boleh disentuh.
Pemuda berkenaan juga mempunyai rekod kesalahan dadah, rompakan dan melakukan kegiatan samseng.
Dia mungkin dihukum penjara enam tahun jika didapati bersalah melakukan perbuatan itu.
Pemuda itu menyatakan kepada polis, dia bertindak bersendirian. - Agensi

Kapal tentera AS terdampar di Laut Sulu


GAMBAR yang disiarkan Angkatan Tentera Filipina kelmarin menunjukkan kapal USS Guardian yang terdampar dibadai ombak dekat Terumbu Tubbataha di Laut Sulu.


MANILA - Sebuah kapal milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), USS Guardian terdampar dekat Terumbu Tubbataha, di Laut Sulu sejak Khamis lalu.
Gambar yang disiarkan Angkatan Tentera Filipina kelmarin menunjukkan kapal tersebut dibadai ombak di kawasan tersebut.
Kapal AS tersebut terdampar kira-kira 640 kilometer dari barat daya Manila.
Ia terdampar selepas kapal tersebut belayar dengan mengikut laluan yang silap. - Agensi

Fox larang Swift dekati anaknya


FOX (kiri) bersama isteri, Tracy Pollan dan anaknya, Sam ketika menghadiri majlis Anugerah Golden Globes di Beverly Hills, California pada 13 Januari lalu.


LOS ANGELES - Bintang filem Back To The Future, Michael J. Fox melarang penyanyi remaja terkenal, Taylor Swift (gambar kecil) daripada mendekati anak lelakinya, Sam Michael, 23, lapor akhbar New York Daily News kelmarin.
"Jangan tarik perhatian (Sam). Bagaimanapun, Swift menghasilkan lagu tentang lelaki yang keluar dengannya," kata Fox baru-baru ini.
Menurutnya, Swift menggunakan pendekatan itu untuk membina kerjayanya.
Sebelum ini, seorang pengacara Anugerah Golden Globes, Tina Fey turut berjenaka tentang Swift yang sering gagal bercinta.
Fey berkata pada majlis itu, Swift perlu menjauhi anak pelakon tersebut.
Swift yang popular menerusi lagu Red itu dikatakan menghasilkan lagu tentang perpisahannya dengan seorang anggota kumpulan nyanyian One Direction dari Britain, Harry Styles, 18.
Dia juga pernah menjalin hubungan dengan selebriti seperti John Mayer dan Joe Jonas.
Baru-baru ini, Swift, 22, dilaporkan cuba menjalin hubungan dengan aktor Bradley Cooper.
Bagaimanapun, Copper yang berusia 38 tahun itu menolak untuk menjalin hubungan tersebut. - Agensi

Rakyat Malaysia dikhuatiri mati


PARA tebusan berlutut dengan tangan diangkat ke atas semasa mereka ditawan di kompleks minyak dan gas di In Amenas, Algeria baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Seorang daripada dua rakyat Malaysia yang gagal dikesan selepas kumpulan militan menawan sebuah loji gas di In Amenas, Algeria pada Rabu lalu dikhuatiri terkorban berikutan kejadian serangan tersebut.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan berkata, perkara itu dimaklumkan oleh wakil majikan rakyat Malaysia terbabit, JGC Construction Pte. Ltd. kepada Kedutaan Besar Malaysia di Algeria.
"Wakil syarikat memaklumkan kepada kedutaan seorang daripada dua rakyat Malaysia yang masih hilang dikhuatiri terkorban manakala nasib seorang lagi rakyat Malaysia belum diketahui.
"Kedutaan Besar Malaysia di Algeria bagaimanapun akan berusaha dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Algeria serta JGC Construction Pte. Ltd. bagi mengesahkan maklumat terkini mengenai nasib dua rakyat Malaysia terbabit," katanya.


7 projek besar untuk rakyat Kelantan


NAJIB (kanan) beramah mesra dengan peniaga dan orang ramai ketika melakukan tinjauan mesra di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan tujuh projek besar yang bakal dilaksanakan bagi memajukan Kelantan tidak lama lagi.
Projek tersebut adalah pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu, pembinaan stadium negeri baharu, masjid terbesar bernilai RM50 juta, perumahan rakyat melibatkan 3,000 unit buat permulaan, menyelesaikan masalah air, pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara dan mewujudkan sistem bas Rapid Kota Bharu.
Menurut Najib, tujuh projek itu juga akan dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) nanti.
“Saya sebut tujuh perkara ini hanya sebahagian daripada manifesto kita. Belum lengkap lagi. Saya hendak simpan modal ini sebab saya hendak turun ke Kelantan dan umum lagi,” katanya ketika merasmikan program Jelajah Janji Ditepati di Pusat Transformasi Luar Bandar Tunjung di sini.

Budak maut dengan otak bersepai


KEADAAN treler yang terbalik dan mengorbankan Mohd. Afiq di Batu 10, Jalan Pagoh-Muar dekat Pagoh kelmarin.


PAGOH - Seorang kanak-kanak lelaki maut dalam keadaan tragis apabila otaknya bersepai digilis tayar treler yang dipandu bapanya yang terbabas di Batu 10, Jalan Pagoh-Muar di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 8.20 pagi, Mohd. Afiq Amrin, 5, tercampak keluar dari treler dipandu bapanya selepas kenderaan itu terbalik ketika melalui satu selekoh di situ.
Mangsa yang berada di luar treler itu terus digilis tayar kenderaan itu menyebabkan dia mati di tempat kejadian.
Treler membawa muatan papan lapis itu dipercayai terbalik selepas hilang kawalan ketika membelok selekoh di tempat kejadian.
Bagaimanapun, dalam kejadian itu, bapa mangsa, Mohd. Yazid Banain, 44, ibu, Suriyati Abd. Rahman, 30-an, dan kakak mangsa, Nur Damia Batrisya, 6, hanya cedera di beberapa anggota badan.

Penjenayah tewas digigit wanita


ANGGOTA polis memeriksa keadaan kenderaan Toyota Hilux yang cuba dilarikan seorang penjenayah di Jalan Abell, Kuching kelmarin.


KUCHING - Seorang penjenayah yang cuba melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) terpaksa melupakan hasratnya selepas mangsa, seorang juruaudit wanita, bertindak menggigit lengan kirinya.
Sebelum kejadian pada pukul 9.30 malam kelmarin, mangsa Chia Mei Ngee dan anak lelakinya yang berusia empat tahun berada di dalam Toyota Hilux Virgo yang berhenti di bahu Jalan Abell sementara menunggu suaminya mengeluarkan duit dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Mei Ngee, 37, memberitahu, tidak sampai beberapa minit ditinggalkan suaminya dalam keadaan enjin kenderaan masih hidup, seorang lelaki masuk ke dalam kenderaannya lalu memandu meninggalkan lokasi dia menunggu suaminya.
"Saya panik dan minta lelaki itu berhenti namun dia tidak mempedulikan rayuan saya.
"Saya cuba pegang stereng dan menarik brek tangan kenderaan namun gagal kerana dihalang suspek," kata Mei Ngee ketika ditemui di sini semalam.

Rokok seludup RM1 juta dirampas


ABDULLAH ZAWAWI (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Rokok seludup dengan nilai cukai kira-kira RM1 juta berjaya dirampas oleh Kastam Terengganu dalam satu serbuan di sebuah gudang di Kampung Tasek, Bukit Payung, Marang Khamis lalu.
Serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu dilakukan hasil maklumat awam yang curiga dengan kegiatan di gudang tersebut sejak kira-kira dua tahun lalu.
Dua lelaki warga tempatan berusia 34 dan 43 tahun yang berada di dalam gudang tersebut turut ditahan dan mereka dipercayai menyewa tanah dan mendirikan gudang di lokasi tersebut untuk memudahkan kerja-kerja menyimpan dan mengedar rokok seludup itu.
Difahamkan, rokok tersebut dibawa masuk melalui pantai barat Semenanjung dan dijual kepada peruncit pada harga murah iaitu sekitar RM3.50 sekotak berbanding harga biasa melebihi RM7 sekotak

Wujud bank data kes lemas

KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran menubuhkan sebuah bank data mengenai kematian akibat lemas bagi mengumpul maklumat tentang gender, kumpulan umur, lokasi dan punca kejadian.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah itu perlu diambil memandangkan sehingga kini, belum ada pihak berkuasa di negara ini yang mengumpul dan menyimpan data tentang kes lemas dan mengeluarkan laporan tahunan mengenainya selain Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Malaysia perlu memberi fokus terhadap kes lemas yang semakin meningkat di negara ini, sama ada di pantai atau di tempat lain serta mengambil langkah proaktif untuk mencegah lebih banyak kematian selain meningkatkan keselamatan, bukan sahaja di pantai tetapi juga di tempat lain yang memungkinkan berlakunya kejadian lemas," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam..
Beliau berkata, menjadi tanggungjawab pihak berkuasa, pertubuhan dan agensi yang mempunyai bidang kuasa berkaitan kawasan pantai untuk mengenal pasti dan lebih penting lagi meminimumkan risiko berlaku kecederaan dan kematian akibat lemas.

Beli produk Omar Ali secara online


AZIZAH bangga dengan jenama Omar Ali yang popular dengan pakaian tradisional Melayu sejak dahulu lagi.


KUALA LUMPUR - Syarikat pembuat pakaian tradisional Melayu terkenal di negara ini, Omar Ali Holdings Sdn. Bhd. (Omar Ali) akan melancarkan laman beli-belah dalam talian pada bulan Mac ini.
Pengarah Urusannya, Azizah Omar berkata, kewujudan laman www.OmarAli.com.my itu bertujuan untuk mengikuti aliran semasa yang menggunakan teknologi internet sebagai pemacu kepada operasi perniagaan.
"Jenama Omar Ali telah wujud sejak ayah saya, Omar Ali, membuka kedai pertamanya di Bazaar Melayu yang kini dikenali sebagai Wisma Yakin, Jalan Masjid India pada tahun 1935.
"Sungguhpun jenama ini dikenali ramai termasuk golongan kenamaan, namun kami percaya penggunaan internet akan mampu meningkatkan lagi perolehan syarikat dan seterusnya mengukuhkan lagi perniagaan ini," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Menurut Azizah, laman beli-belah itu akan menyediakan rangkaian lengkap pakaian siap Omar Ali, di samping jenama khusus untuk wanita yang dikenali sebagai Miss Omar dan aksesori berkaitan.

No comments:

Post a Comment