Sukar dapat amah Indonesia
|
KUALA LUMPUR – Majikan di negara ini perlu menerima hakikat bahawa mereka kini tidak boleh terlalu bergantung kepada pembantu rumah dari Indonesia walaupun pembekuan penghantaran mereka ke Malaysia telah ditarik balik pada 1 Disember lalu.
Ini berikutan prosedur ketat yang ditetapkan oleh republik berkenaan sehingga menyukarkan agensi-agensi pembantu rumah asing di negara ini membawa masuk amah dari negara itu dalam jumlah yang banyak.
Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Jeffrey Foo berkata, walaupun permohonan untuk mendapatkan pembantu rumah Indonesia ketika ini mencecah 100,000 orang tetapi penghantaran amah ke negara ini adalah dalam jumlah yang sedikit.
Menurutnya, selain terpaksa berhadapan dengan kerenah birokrasi negara itu, pihaknya juga terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah lain seperti kos dan pemilihan calon pembantu rumah yang sesuai.
Sri Wani saman peguam RM10 juta
KUALA LUMPUR – Isteri ketiga bekas dekan, Sri Wani Choo Abdullah yang disyaki sebagai lelaki oleh suaminya menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta daripada seorang peguam syarie kerana didakwa memberi kenyataan berbaur fitnah kepada media berhubung kes pengesahan nikah dan faraq yang sedang dibicarakan secara tertutup di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Sri Wani, 37, memfailkan tuntutan saman terhadap Muhammad Hafiz Abdul Rashid menerusi firma guaman Tetuan Ahmad Boestamam Ahmad & Co. di Kompleks Mahkamah Tinggi Jalan Duta di sini semalam.
Pengusaha butik kecantikan itu selaku plaintif menamakan Muhammad Hafiz iaitu peguam yang mewakili suami Sri Wani, bekas Dekan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Bahrom Sanugi (gambar kecil), 61, sebagai defendan pertama dan firma Tetuan Irsamuddin Hafiz & Associates defendan kedua.
Macam nak pergi medan perang
KUALA LUMPUR – Rancangan seorang lelaki untuk melakukan sesuatu dengan sepucuk pistol Caliber 9mm jenis Taurus dan sebutir bom tangan terbantut apabila dia ditahan selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Selar, Taman Permata, Cheras di sini semalam.
Tembelang lelaki berusia 37 tahun yang memiliki rekod jenayah berkaitan loteri haram tersebut terbongkar apabila polis yang tiba selepas dihubungi orang ramai mendapati suspek sedang memegang pistol tersebut di tangan kiri dalam kejadian pukul 6 pagi itu.
Difahamkan, sebelum polis tiba, suspek memegang pistol yang ketika itu berada di bawah dadanya menyebabkan orang ramai tidak menyedarinya.
Suspek dikatakan gagal melarikan diri selepas dia terbaring lemah di tengah jalan selain mengalami luka di muka, tangan dan kaki akibat kemalangan itu. Selain itu, dia juga sedang mabuk.
Kritikal diserang 30 samseng depan kuil
GEORGE TOWN - Perasaan marah dan tidak puas hati yang meluap-luap oleh sekumpulan 30 samseng sampai ke kemuncaknya apabila mereka menyerang dan mengelar seorang remaja hingga parah dengan pisau dan kayu dalam kejadian di sebuah kuil di Kampung Baru, Air Itam di sini kelmarin.
Kejadian pukul 9.15 malam itu mengakibatkan K. Sasikumar, 19, kritikal dan terpaksa bertarung nyawa hampir tujuh jam di Wad Kecemasan Hospital Pulau Pinang ekoran serangan tersebut.
Selain itu, mangsa juga terpaksa menerima 100 jahitan selepas dia luka parah di muka dan bahu akibat dikelar berkali-kali oleh lelaki tersebut dengan pisau
Wanita telan 55 ketulan dadah
KUALA LUMPUR - Cubaan kali ke-11 seorang wanita Togo, Afrika Barat yang dijadikan keldai dadah oleh satu sindiket untuk menyeludup syabu bernilai RM200,000 ke negara ini gagal apabila dia diberkas sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Bangkok, Thailand.Wanita berusia 47 tahun tersebut ditahan pada pukul 8.30 malam, 30 Mei lalu bersama 55 ketulan dadah seberat 750 gram yang ditelan. Suspek dipercayai telah melakukan kegiatan itu sejak empat tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, suspek ditahan selepas pihaknya mendapat maklumat mengenai kegiatan wanita itu.
Katanya, pemeriksaan mendapati suspek telah masuk ke negara ini sebanyak 10 kali sejak 2008 dan polis masih menyiasat tujuannya.
Gerhana bulan separa di Asia
|
SYDNEY – Fenomena gerhana bulan separa pertama pada tahun ini dapat dilihat oleh kebanyakan orang di sebahagian kawasan di Asia.
Di Australia dan timur Jepun, fenomena itu dapat dilihat apabila bumi bergerak antara bulan dan matahari sehingga meninggalkan satu bayang-bayang kelabu.
“Ia kelihatan agak ganjil kerana keadaannya tidak seperti bulan sabit normal. Ia seperti satu gigitan yang dikeluarkan daripada bulan,” kata Jonti Horner dari Jabatan Astrofizik, Universiti New South Wales, Sydney.
Sementara itu, beratus-ratus orang yang membanjiri Planetarium Negara, Kuala Lumpur untuk menyaksikan fenomena itu kecewa kerana ruang angkasa dilitupi awan.
Namun, orang ramai di Jakarta bertuah kerana cuaca ketika itu begitu baik dan memberi peluang mereka melihat fenomena tersebut selama 90 minit.
“Ia merupakan sesuatu yang amat menarik kerana anda tidak akan melihat gerhana seperti ini pada setiap tahun,” kata seorang anggota sebuah kelab astronomi, Ichshan Ramadan.
– AFP
Ikan paus mati selepas terdampar
LUQUILLO, Puerto Rico - Seekor ikan paus sperma yang seberat 6,818 kilogram mati selepas lima jam haiwan itu ditemui terdampar di pantai dekat bandar ini pada Sabtu lalu.
Seorang pakar biologi hidupan laut di Pusat Pemuliharaan Manatee di Universiti Interamerican, Puerto Rico, Antonio Mignucci berkata, ikan paus betina itu sepanjang 10 meter.
Menurutnya, satu bedah siasat akan dilakukan bagi menentukan punca kematian haiwan tersebut. - Agensi
No comments:
Post a Comment