Pemandu wanita berani mati
GEORGE TOWN - Tindakan seorang wanita memandu kereta dengan laju sambil sebelah tangannya mengacukan pisau ke leher sendiri mencemaskan orang awam dan pemandu kenderaan lain di Jalan Delima 7, Island Glades di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 12.45 malam, polis yang menerima maklumat mengenai gelagat wanita itu terpaksa mengejar kereta Toyota Vios dipandu suspek itu sejauh kira-kira 100 meter sebelum kenderaan tersebut berjaya dipintas polis.
Sepanjang dikejar, wanita itu menjerit-menjerit dan tidak menghiraukan arahan polis supaya berhenti.
Sebaik suspek memberhentikan kereta, wanita berusia 27 tahun itu enggan membuka pintu kenderaan malah terus menjerit-jerit dan meronta-ronta sambil memukul keretanya.
Bagaimanapun, ketika itu dia tidak lagi mengacukan pisau ke lehernya.
Polis mengambil masa kira-kira 20 minit memujuk wanita itu sebelum dia keluar dari kereta yang dikunci dari dalam.
Penyakit tibi merebak angkara PATI
KUALA LUMPUR – Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dilihat sebagai salah satu faktor utama penyakit Tuberkulosis (tibi) atau batuk kering sukar dikawal dan dicegah di negara ini.
Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif berkata, PATI yang tidak melakukan pemeriksaan kesihatan dengan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) menjadi pembawa utama penyakit itu.
“Melalui pemerhatian IPR, PATI yang tidak melakukan pemeriksaan kesihatan setelah tiba di Malaysia berpotensi menjadi pencetus merebaknya penyakit itu.
“Selain itu, faktor kurangnya kesedaran umum pesakit juga merupakan mengapa penyakit tersebut sukar untuk dicegah,” katanya di sini semalam.
Ras Adiba disaman RM3.2 juta
|
KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat memfailkan saman berjumlah RM3.2 juta terhadap personaliti televisyen, Ras Adiba Mohd. Radzi kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian penjualan saham.
Pengarah syarikat Inki Plas Holding Sdn. Bhd., Nik Fauzi Nik Hussein memfailkan writ saman tersebut pada 3 Mei lepas menerusi Tetuan K.C. Tang & Co. di Mahkamah Tinggi di sini.
Kes tersebut ditetapkan untuk pengurusan kes semalam di hadapan Pendaftar Norhanum Hassan dengan dihadiri peguam Datuk Mohd. Haziq Pillay bagi pihak Ras Adiba dan Mohammad Shafie Afendi, mewakili Nik Fauzi.
Haziq memberitahu pemberita bahawa Norhanum menetapkan 27 Jun untuk pengurusan kes.
Menerusi pernyataan tuntutan, Nik Fauzi mendakwa, beliau mempunyai pegangan saham di dalam syarikat Inki Plas Holding Sdn. Bhd. sebanyak 65 peratus dan bersetuju menjual kesemua saham tersebut kepada Ras Adiba.
Sri Wani ingkar perintah mahkamah
KUALA LUMPUR – Pengusaha butik kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah diarah Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam untuk menjawab notis tunjuk sebab mengapa dia tidak boleh dipenjarakan berhubung permohonan komital suaminya, Prof. Dr. Bahrom Sanugi selepas wanita itu didakwa menghina dan melanggar lapan perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah dua tahun lalu.Hakim Abdul Walid Abu Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan komital Bahrom, 61, dan berpuas hati bahawa isteri ketiga bekas dekan itu melanggar semua perintah yang dikeluarkan mahkamah pada 29 Disember 2010 berhubung kes pengesahan cerai dan faraq (membubarkan perkahwinan) pasangan itu.
Terdahulu, peguam syarie Muhammad Hafiz Ab. Rashid yang mewakili Bahrom selaku pemohon, memaklumkan pihaknya memfailkan notis tunjuk sebab pada 17 April lalu atas alasan Sri Wani, 37, telah melanggar lapan perintah tersebut.
Sehubungan itu, pemohon mahu responden iaitu Sri Wani menjawab permohonan komital dengan mengemukakan sebab mengapa dia tidak patut dihantar ke penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau didenda maksimum RM2,000 kerana melakukan kesalahan menghina mahkamah dengan mungkir atau gagal mematuhi perintah mahkamah.
Budak ‘diculik’ ditemui selamat
NUSAJAYA – Seorang suri rumah menarik nafas lega apabila anak bongsu yang ‘diculik’ seorang lelaki ditemui selamat selepas dibawa ‘bersiar-siar’ selama satu jam oleh penjenayah terbabit.
Khazlin Saat, 35, memberitahu, dia tidak keruan apabila mendapati anak lelakinya, Mohd. Rayyan Azim Mohd. Hisham, 2, dilarikan penjenayah terbabit ketika meninggalkan kanak-kanak itu di dalam kereta jenis Perodua Myvi yang tidak dimatikan enjinnya.
Mengimbau semula kejadian itu yang berlaku pada pukul 11.30 pagi kelmarin di Bandar Baru Kangkar Pulai di sini, Khazlin memberitahu, dia meninggalkan Mohd. Rayyan bersama dua lagi anaknya, Nursabrina Damia, 6, dan Nursofea Hadirah, 4, di dalam kereta untuk membeli barang di sebuah pasar mini yang terletak satu kilometer dari rumahnya.
Katanya, ketika berurusan di kaunter, dia terdengar jeritan Nursofea sebelum dia melihat seorang lelaki melarikan keretanya dan Mohd. Rayyan Azim ada di dalamnya.
“Ketika meninggalkan mereka, saya mengunci kereta dari dalam sebelum Nursabrina keluar untuk menyerahkan telefon bimbit kepada saya di dalam pasar.
“Dalam masa sama, lelaki tersebut terus masuk dan Nursofea yang berada di belakang terus menjerit dan sempat keluar dari kereta,” ceritanya.
Peniaga pasar borong dituduh miliki heroin
|
REMBAU – Seorang peniaga pasar borong dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua tuduhan memiliki dadah di Tampin bulan lepas.
Mohd. Asri Kedus, 45, dituduh memiliki dadah jenis heroin seberat 84.93 gram di sebuah rumah di Felda Jelai 2, Gemas, Tampin pada pukul 1.15 pagi, 28 Mei lalu.
Dia yang berjalan dengan menggunakan tongkat kerana cedera di kaki akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini, menghadapi dua pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki dadah jenis syabu seberat 0.70 gram di lokasi, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 12(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pelakon filem lucah dihadapkan ke mahkamah
|
BERLIN, Jerman – Seorang aktor porno yang digelar ‘Orang Gila Kanada’ kerana membunuh dan mengerat seorang lelaki lain dihadapkan ke sebuah mahkamah di sini semalam.
Pelakon lucah berkenaan, Luka Rocco Magnotta memberitahu, dia tidak akan mencabar proses ekstradisi bagi membawanya pulang ke Kanada.
“Dia dibawa ke hadapan seorang hakim yang mengesahkan penangkapan tersebut,” kata jurucakap pejabat pendakwa raya awam di sini, Martin Steltner.
“Suspek kemudian memberitahu dia tidak akan mencabar proses ekstradisinya,” tambah jurucakap berkenaan.
Menurut Steltner, Magnotta, 29, yang ditangkap di sebuah kafe Internet di ibu kota Jerman di sini kelmarin, akan dipindahkan dari lokap polis ke sebuah penjara.
“Proses mengekstradisi Magnotta kini lebih mudah dan cepat kerana dia bersetuju untuk tidak mencabarnya,” ujar Steltner.
“Namun, dia boleh menukar fikiran,” tambahnya.
Pihak berkuasa Canada percaya Magnotta membunuh seorang pelajar China dengan menggunakan pencungkil ais dan mengerat mayat mangsa sambil merakam perbuatan kejam tersebut.
Laporan awal menyebut, mangsa, Lin Jun yang berusia 33 tahun ialah kekasih Magnotta.
Kes tersebut terbongkar selepas beberapa bahagian badan mangsa dihantar melalui perkhidmatan mel ke beberapa pejabat parti politik di Ottawa. - AFP
No comments:
Post a Comment