Dihalau akibat perbezaan politik
BACHOK – Sebuah keluarga 10 beranak di Kampung Changgung, di sini terpaksa pasrah kepada takdir apabila diusir dari rumah milik saudara sendiri hanya kerana perbezaan fahaman politik.
Esah Ya (gambar kecil), 50, mendakwa, dia bersama suami, Che Mohd. Nor Che Mamat, 53, dan anak-anak mereka diminta berpindah segera oleh ibu saudaranya yang juga pemilik tanah dan rumah berkenaan.
Akibatnya, mereka terpaksa memunggah keluar semua barangan dan menumpang di rumah salah seorang anak di Kampung Nipah, dekat sini.
“Saya tidak tahu apa salah kami sampai kena halau. Tapi hubungan kami dengan tuan rumah memang renggang sejak suami saya menghantar borang keahlian UMNO baru-baru ini.
“Selepas itu segala-galanya berubah. Saya sudah tinggal di rumah ini sejak kecil,” dakwa Esah ketika ditemui di sini, kelmarin.
Esah memberitahu, rumah berkenaan merupakan harta pusaka peninggalan arwah datuk yang kemudian menyerahkan hak milik kediaman itu kepada ibu saudaranya yang berusia 68 tahun.
Katanya, sejak suaminya menyerahkan borang keahlian UMNO dan menerima wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 pada Isnin lepas, sikap ibu saudaranya itu berubah dan tidak lagi membenarkan dia sekeluarga tinggal di rumah berkenaan.
“Kami sangat sedih bila dihalau keluar sambil pemiliknya memberitahu rumah ini lebih baik disewakan kepada orang lain,” dakwanya.
Sehubungan itu, Esah amat berharap untuk mendapatkan bantuan pihak tertentu bagi membina rumah sendiri di atas tanah mereka yang berdekatan.
Dua beradik sertai konvoi motosikal maut
IPOH - Dua beradik yang menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 271.3 Lebuh raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Gunung Lang di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, Mohammad Noor Nazmin Mohd. Norzri, 20, dan adiknya, Mohammad Noor Nazufiq, 18, maut selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki yang mereka tunggangi terbabas sebelum merempuh belakang sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, semasa kejadian kedua-dua beradik itu yang berasal dari Melaka sedang mengikuti konvoi 20 buah motosikal berkuasa tinggi yang menuju ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur.
"Sewaktu kejadian, motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang Mohammad Noor Nazmin yang merupakan seorang anggota tentera dipercayai terbabas selepas gagal memotong sebuah lori di hadapannya.
"Motosikal mangsa terlanggar penjuru kanan belakang lori berkenaan hingga membuatkan mereka terpelanting ke pembahagi jalan," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Bapa peluk anak maut kemalangan
MUAR - Dek kerana terlalu sedih, seorang bapa tetap memangku dan memeluk tubuh kaku anak lelakinya kira-kira satu jam selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 2 Jalan Sengkang-Bukit Gambir, Ledang dekat sini pada pukul 9.50 malam kelmarin.
Tindakan Hashim Kamat, 55, yang tidak mahu melepaskan mayat Mohd. Izwan Farid, 19, daripada pelukannya menyayat hati orang ramai yang melihat kejadian itu.
Dia yang tinggal di Kampung Batu 19, Sengkang dekat sini mengetahui kejadian malang itu apabila menerima panggilan telefon daripada anak ketujuhnya, Hamizad, 16, menyatakan arwah terlibat dalam kemalangan.
Semasa menerima panggilan tersebut, dia berada di Kampung Parit Jarum Darat, Bukit Gambir kerana menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya.
"Saya sangat terkejut kerana kami baru sahaja bertemu satu jam lalu di rumah sebelum pergi ke rumah kenduri. Sebelum kemalangan, Mohd. Izwan tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik.
"Sangat menyedihkan saya, apabila ia berlaku pada jarak kira-kira tiga kilometer dari rumah kami," kata Hashim ketika ditemui semalam.
127 kes kandungan media elektronik
|
SEMENYIH - Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menerima sebanyak 127 kes berkenaan kandungan negatif yang disebarkan melalui media elektronik sepanjang tahun lalu.
Penyelia CMCF, Mohamad Firdaus Mustafar (gambar) berkata, kes tertinggi yang diterima pihaknya adalah kandungan menerusi internet sebanyak 71 kes, telefon mudah alih (27), penyiaran (11) dan pengiklanan (enam).
"Kes yang diterima biasanya melibatkan kandungan yang mempunyai unsur tidak selamat kepada orang ramai seperti pornografi, hasutan dan serangan peribadi dalam media sosial," katanya ketika ditemui pada Majlis Kemuncak Bulan Pengguna Kebangsaan 2012 di pekarangan pasar raya besar Tesco Semenyih di sini semalam.
Bekas diktator terima pembalasan
|
KAHERAH – Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dijatuhi hukuman penjara seumur hidup semalam kerana peranannya dalam pembunuhan penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat pada tahun lalu.
Turut menerima nasib sama ialah bekas Menteri Dalam Negeri, Habib Al-Adly manakala enam bekas komander polis Mubarak didapati tidak bersalah.
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan nasib memalukan menimpa seorang pemimpin kuku besi yang pernah mentadbir Mesir selama hampir tiga dekad.
Hukuman berat ke atas bekas pemimpin Mesir berkenaan antara lain, bertujuan untuk meredakan ketegangan menjelang pusingan penentuan pilihan raya Presiden yang dijadualkan pada bulan ini.
Mubarak, 84, merupakan pemimpin Arab pertama yang dibicarakan di negara sendiri.
Pada masa yang sama, tuduhan rasuah ke atas dua anak lelaki diktator itu, Alaa dan Gamal digugurkan kerana kes mereka sudah lama berlaku dan melebihi tempoh boleh dakwa.
Namun, kedua-duanya masih berdepan dakwaan melakukan perdagangan orang dalam melibatkan urusniaga saham.
Ketika keputusan dibacakan, Mubarak tidak menunjukkan sebarang reaksi manakala dua anak lelakinya kelihatan gementar.
Terdahulu, Hakim Ahmed Rifaat menyifatkan era pemerintahan Mubarak sebagai “30 tahun yang penuh dengan kegelapan.”
Menurutnya, Mubarak dan Habib langsung tidak bertindak menghentikan pembunuhan orang awam semasa kebangkitan rakyat selama 18 hari awal tahun lalu.
Lebih 850 penunjuk perasaan dibunuh dengan kebanyakan mereka ditembak mati di sini dan beberapa bandar raya utama lain sepanjang gelombang kebangkitan rakyat tercetus di Mesir awal tahun lalu.
Selepas keputusan kes berkenaan diumumkan, Mubarak dibawa menaiki sebuah helikopter untuk menjalani hukuman di Penjara Tora, pinggir bandar raya ini.
Setibanya di lokasi, Mubarak tiba-tiba menangis dan hanya turun dari helikopter selepas dipujuk oleh beberapa anggota polis.
Perbicaraan bekas pemimpin kuku besi itu berlangsung di sebuah akademi polis yang digunakan sebagai mahkamah di sini.
Sementara itu, seorang peguam Mubarak, Yasser Bahr berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan ke mahkamah lebih tinggi tidak lama lagi.
“Keputusan kes ini memiliki kecacatan dari setiap sudut,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa pergelutan antara penyokong dan penentang Mubarak berlaku di dalam dan di luar mahkamah selepas keputusan kes tersebut dibacakan.
Pergaduhan berlaku selepas kumpulan penentang Mubarak tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah.
“Saya tidak mahu hukuman lain melainkan hukuman mati ke atas Mubarak,” kata seorang lelaki, Hanafi El-Sayed.
Mubarak meletak jawatan pada 11 Februari 2011 selepas memerintah Mesir selama hampir 30 tahun bermula 14 Oktober 1981.
– Agensi
No comments:
Post a Comment