Saturday, July 21, 2012

AMPUNAN DUNIA SUDAH...AMPUNAN AKHIRAT KUASA ALLAH SWT...MELIBATKAN MANUSIA...HAQ ITU TERPULANG PADA MANUSIA IAITU WARIS...

Nikmat cahaya Ramadan

INSAF... Shamsuddin bersama Mohd. Ali (tengah) dan Sapuan (kanan) memanjatkan doa kesyukuran di hadapan Penjara Kluang, Johor selepas dibebaskan semalam.


JOHOR BAHRU - Lapan banduan yang telah ditahan antara 22 tahun hingga 37 tahun dibebaskan dari beberapa buah penjara di Johor, Pahang, Kedah dan Selangor semalam selepas masing-masing mendapat pengampunan penuh daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Kesemua tahanan itu melakukan kesalahan di negeri Johor satu masa dahulu dan dibebaskan pada hari pertama umat Islam berpuasa semalam selepas mendapat perkenan Lembaga Pengampunan Negeri Johor yang dipengerusi oleh baginda pada 19 Januari lalu.
Di Kluang, warga Singapura, Shamsuddin@Botak Baharin, 55, memegang rekod sebagai banduan paling lama menjalani hukuman penjara di Malaysia dengan tempoh tahanan selama 37 tahun.
"Bila sudah terlampau lama dalam penjara, saya jadi putus asa untuk hidup bebas.
"Syukurlah, sesungguhnya Ramadan ini yang paling bererti kepada saya," katanya sebak ketika ditemui di Penjara Kluang semalam.
Selain Shamsuddin, turut dibebaskan dari Penjara Kluang ialah Sapuan Hanin, 58, dan warga Indonesia, Mohd. Ali Nordin, 63.
Shamsuddin yang pernah menjadi orang buruan polis Johor dan Singapura dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru atas kesalahan menembak dua anggota polis yang cuba menahannya.
Dia didakwa di bawah Seksyen 5 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan.
Untuk perancangan masa hadapan, Shamsuddin bercadang membuka kedai jahit.
Sapuan pula menganggap dirinya umpama bayi baru lahir setelah terlepas daripada hukuman gantung sampai mati kerana mengedar 6.71 kilogram kanabis di sebuah surau di Jalan Parit Ismail, Benut, Pontian pada tahun 1987.

Dua mayat ditemui, satu masih hilang


Anak Peter (dua dari kiri) tidak dapat menahan sebak ketika melihat mayat bapanya di Jeti Sebuyau, Samarahan semalam.


SAMARAHAN – Mayat dua daripada tiga penumpang helikopter jenis Eurocopter EC 120 yang terhempas di muara Batang Lupar berhampiran Sungai Tereso dekat Sebuyau kelmarin ditemui dalam keadaan masih sempurna semalam.
Mayat juruukur, Siti Khuzaimah Anuar, 27, yang berasal dari Kuching, ditemui pada pukul 9.20 pagi oleh nelayan tempatan di perairan Sungai Tereso berhampiran Muara Batang Lupar kira-kira satu jam perjalanan menggunakan bot laju dari lokasi kejadian.
Ketika ditemui, wanita itu lengkap berpakaian tanpa jaket keselamatan. Mayatnya dibawa ke Sebuyau pada pukul 11.10 pagi.
Sementara itu, mayat jurutera Sebiro Holdings, Peter Ato Mayau, 53, dijumpai tersangkut pada akar kayu di muara Sungai Tebelu oleh pasukan penyelamat pada pukul 2 petang.
Lelaki itu yang ditemui dengan hanya memakai baju putih tanpa lengan, berseluar dalam dan berstoking dipercayai menanggalkan pakaian lain bagi memudahkan dia berenang untuk menyelamatkan diri. Difahamkan, muka dan tangan kanan mangsa seperti melelas dipercayai kesan gigitan ikan.
Seorang lagi mangsa yang masih hilang ialah arkitek, Henry Lau Tee Yong, 42. Sehingga pukul 5.30 petang semalam, mayat lelaki itu belum ditemui.

Kosmo! semalam melaporkan sebuah helikopter milik seorang ahli korporat tempatan yang membawa empat penumpang dan seorang juruterbang warga Jerman terhempas.
Dalam kejadian itu, juruterbang Rico Steger, 35, terselamat manakala tiga mangsa lain termasuk seorang wanita hilang.
Steger terselamat selepas terapung sebelum dibawa arus Laut China Selatan selama empat jam, kira-kira 20 kilometer dari lokasi terhempas. Dia diselamatkan oleh sekumpulan nelayan tempatan di Sungai Kampung Tebelu.
Ketika kejadian, helikopter itu baru berlepas kira-kira 20 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Ia dalam penerbangan ke Nanga Merit, Kapit dipercayai untuk melawat projek bagi sebuah sekolah di kawasan itu.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Law Hong Soon yang berada di Sebuyau bagi mengetuai operasi mencari dan menyelamat mengesahkan penemuan dua mayat tersebut yang kemudian dihantar ke Hospital Simunjan untuk bedah siasat.
“Operasi masih diteruskan untuk mencari seorang lagi mangsa yang hilang,” katanya di sini semalam.
Gerakan mencari dan menyelamat disertai oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan dan IPD Sri Aman; Maritim Malaysia; Tentera Udara Diraja Malaysia; Bomba dan Penyelamat serta Ikatan Relawan Rakyat Malaysia.

Bekas pemimpin UMNO cawangan mati dikelar

ALOR SETAR – Bekas Ketua Wanita UMNO cawangan Bukit Hangus ditemui mati berlumuran darah di dalam bilik tidur rumah teres dua tingkat di Kampung Bukit Hangus, Jeneri, Sik di sini kelmarin.
Mayat Halimah Yunus, 65, yang tinggal bersendirian ketika kejadian ditemui oleh suaminya, Mee Hashim, 63, selepas lelaki itu pulang daripada menunaikan solat tarawih pada pukul 9.20 malam.
Mee mendakwa, sebaik sampai, dia terkejut melihat isterinya terbaring dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dengan kesan kelar di leher kiri.
“Dia masih mampu beritahu kena tikam dengan seorang lelaki tapi tak kenal (suspek),” katanya yang memberitahu mangsa disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Sik.
Menurut Mee, dia percaya lelaki tersebut memasuki rumah mereka melalui bilik air berdasarkan kesan pecah di kawasan itu namun tiada barang berharga dilarikan.
“Saya tidak tahu apa motifnya kerana arwah merupakan seorang yang baik dan dikenali dalam kalangan penduduk di kawasan ini,” katanya.

Ismail Hutson meninggal dunia


ISMAIL bermesra dengan orang utan semasa bertugas di Zoo Negara pada tahun 2004.


KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Zoologikal Malaysia (MZS) yang juga seorang pelakon veteran, Datuk Ismail Hutson meninggal dunia akibat komplikasi penyakit jantung pada pukul 1.13 pagi di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya semalam.
Menurut isteri keduanya, Hafidzah Khasbullah, Ismail atau nama sebenarnya Ismail Omar, 73, dimasukkan ke Unit Rawatan Kritikal (CCU) pada Selasa lalu di pusat perubatan yang sama selepas 10 hari mengalami demam panas yang teruk.
Katanya, kematian Ismail sangat mengejutkan ahli keluarga kerana keadaan arwah semakin baik sebelum dipindahkan ke wad biasa.
Allahyarham menghidap penyakit jantung sejak lima tahun lalu, namun sepanjang tempoh itu, dia tidak menunjukkan tanda sakit teruk.
Presiden Persatuan Artis Veteran itu meninggalkan dua isteri termasuk isteri pertama, Zaiton Osman dan tujuh orang anak.

Geng curi barang kemas tumpas


TUN HISAN menunjukkan imej kamera litar tertutup seorang suspek wanita mencuri barangan kemas bernilai RM2 juta di KLIA pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Polis berjaya menahan tujuh warga asing termasuk dua beranak yang didakwa mencuri barangan kemas bernilai RM2 juta di kaunter teksi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini pada 18 Julai lalu.
Mereka terdiri daripada tiga warga Costa Rica termasuk seorang wanita, dua lelaki anak-beranak dari Colombia, seorang wanita Mexico dan seorang wanita Uganda yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Semantan, Kuala Lumpur pada pukul 2.22 petang kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pihaknya turut menemui semula beg berisi 309 barang kemas dan perhiasan bertatah berlian serta rambut palsu di dalam rumah yang disewa oleh sindiket berkenaan.
Menurutnya, ujian air kencing juga menunjukkan tiga daripada empat lelaki yang ditahan positif ganja.
“Polis KLIA menerima aduan daripada seorang pengurus syarikat berumur 53 tahun yang baru tiba dari Hong Kong pada 18 Julai lalu mengatakan beg yang dibawa berisi barang kemas untuk pameran barang kemas di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dicuri semasa dia berurusan di kaunter tersebut.

Rezeki nira kelapa RM3,000 sebulan


MAT NOR mengumpul air nira manis dari pokok kelapa bagi memenuhi permintaan pelanggan di daerah Pasir Puteh, Kelantan. Gambar kecil, air nira yang dijual.


PASIR PUTEH - Kehadiran Ramadan bukan sahaja memberi peluang kepada umat Islam untuk meningkatkan amalan bagi mendapat ganjaran pahala tetapi bulan ini turut dianggap rahmat yang melimpahkan rezeki berlipat kali ganda.
Seorang petani, Mat Nor Ismail, 64, dari Kampung Gong Kulim dekat sini yang memegang falsafah itu terus mengerah kudratnya melakukan kerja-kerja memotong mayang kelapa bagi memperoleh nira manis untuk dijual sebagai juadah berbuka puasa.
Walaupun usianya sudah lanjut selain bekerja dalam keadaan lapar dan dahaga kerana berpuasa, permintaan tinggi terhadap nira manis daripada pelanggan menjadikan Mat Nor semakin sibuk sehingga terpaksa memanjat purata 30 batang pokok kelapa sehari.
"Permintaan nira manis akan terus meningkat menjelang Aidilfitri apabila ramai anak perantauan yang kembali ke kampung halaman tidak melepaskan peluang untuk menikmati minuman tradisional ini," katanya ketika ditemui di kampung tersebut semalam.
Mat Nor berkata, pada bulan Ramadan tahun lalu dia berupaya meraih pendapatan sehingga RM3,000 sebulan, meningkat tiga kali ganda berbanding bulan-bulan lain.

Otak-otak, pulut panggang Shamsuddin menjadi tumpuan


SHAMSUDDIN sibuk membakar otak-otak dan pulut panggang di gerainya di Bazar Ramadan Kampung Peramu, Kuantan semalam.


SEDAP. Gerai otak-otak milik seorang peniaga, Shamsuddin Yunus, 43, sememangnya menjadi tumpuan pengunjung Bazar Ramadan Kampung Peramu di Kuantan, Pahang.
Menurut Shamsuddin, selain otak-otak yang dijual pada harga RM1 untuk tiga keping, dia juga menjual pulut panggang pada harga RM2 untuk lima biji.
Juadah tradisi itu mendapat sambutan menggalakkan setiap kali Ramadan terutamanya daripada masyarakat Islam di negeri Pantai Timur itu untuk berbuka puasa.

Awal Ramadan di Ipoh lebih meriah tahun ini


AHMAD ZAWAWI menunjukkan buah kabung yang laris dijual sempena kedatangan Ramadan di Ipoh semalam.


IPOH - Awal Ramadan yang kebetulan jatuh pada hujung minggu memberi kesempatan kepada warga bandar raya ini membuat persiapan membeli barangan harian untuk bersahur dan berbuka puasa.
Tinjauan Kosmo! Ahad di Pasar Besar Ipoh, Pasar Jelapang, dan Pasar Gunung Rapat di sini semalam mendapati ia sesak dengan orang ramai yang mencari barangan keperluan seperti ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran.
Permintaan terhadap sayur, timun, betik dan buah kabung yang sering menjadi pilihan utama sajian pencuci mulut penduduk tempatan sewaktu berbuka puasa juga laris dijual.
Seorang pengunjung Pasar Besar Ipoh, Rohani Muhammad, 33, dari Taman Jati di sini berkata, hari pertama Ramadan yang jatuh pada Sabtu memudahkan dia membeli keperluan dapur bagi menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk keluarga yang lebih istimewa berbanding hari biasa.
Ramli Samsuddin, 45, dari Silibin di sini pula berkata, selain barang keperluan keluarga, dia turut membeli bahan membuat kuih untuk disedekahkan sebagai moreh di surau berhampiran rumahnya.

Suspek penembak pelajar Ph.D

ANGGOTA polis berkawal di luar pawagam di mana 12 orang terbunuh ketika asyik menonton filem Batman:The Dark Knight Rises di Aurora, Colorado kelmarin. Gambar kecil, James Holmes.


AURORA, Colorado - Lelaki yang disyaki menembak mati 12 orang pada tayangan filem baharu Batman di negeri Colorado, James Holmes kerap dilihat berulang-alik dari kediamannya di sini dengan membawa senjata api.
Holmes, 24, kelmarin juga disifatkan sebagai kera sumbang ekoran tidak suka bercampur dengan masyarakat.
Dia mendaftar sebagai pelajar kedoktoran jurusan sains saraf di Universiti Colorado sejak tahun 2011 tetapi dilaporkan sedang dalam proses untuk membatalkan program Ph.Dnya.
"Pemuda ini sentiasa dilihat memakai seluar berceloreng tentera dan topi," kata seorang wanita berketurunan Mexico, Gabriel Macias yang bekerja di sebuah kilang daging di sini.
Menurutnya, dia kerap melihat Holmes berulang-alik dari apartmennya sambil membawa senjata dan sarung senjata.
"Kami tidak kenal Holmes kerana dia tidak bercakap dengan sesiapa. Dia gemar berkurung di apartmennya," kata Macias.
Polis memberitahu wartawan bahawa suspek tiada rekod jenayah lampau dan cuma pernah disaman pada tahun 2011 kerana memandu laju.
Ketua Polis Aurora, Dan Oates berkata, pemuda itu membeli lebih 6,000 butir peluru melalui internet sejak dua bulan lalu.
Menurutnya, jumlah tersebut merangkumi 3,000 butir peluru raifal, 3,000 butir peluru pistol Glock dan 300 butir peluru senapang patah.
Kata Oates, semua pembelian itu termasuk empat pucuk senjata api yang dibeli Holmes di beberapa buah kedai senjata di sini sejak 60 hari lalu, sah di sisi undang-undang.
Beliau turut memberitahu bahawa 70 orang cedera dalam insiden itu termasuk tiga rakyat Indonesia.
"Hampir semua orang ditembak dalam serangan kejam ini," katanya.
Dalam kejadian kelmarin, Holmes ditangkap selepas melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penonton yang sedang asyik menonton tayangan filem Batman: The Dark Knight Rises pada tayangan tengah malam di pawagam Century 16.
Serangan berdarah itu berlaku di sebuah pusat beli-belah di sini.
Polis kini memburu seorang lagi lelaki bersenjata yang terlibat dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai itu.
Bandar ini terletak hampir 32 kilometer dari lokasi kejadian pembunuhan beramai-ramai di Sekolah Tinggi Columbine pada tahun 1999.
Dalam insiden tersebut, dua pelajar menembak mati 13 orang sebelum membunuh diri. - Agensi

12 maut helikopter tentera udara Brunei terhempas


Peta menunjukkan lokasi Kuala Belait
di Brunei.


BANDAR SERI BEGAWAN - Sejumlah 12 petugas tentera terbunuh apabila sebuah helikopter milik Tentera Udara Diraja Brunei terhempas dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada kadet tentera yang diterbangkan pulang selepas menjalani latihan di hutan.
Kementerian Pertahanan Brunei menyatakan, helikopter Bell 212 itu terhempas di daerah Kuala Belait, pedalaman Brunei ketika dalam perjalanan menuju ke sini kelmarin.
"Seramai 12 orang maut dalam nahas ini. Dua kadet tentera terselamat," kata jurucakap tentera udara Brunei, Norudin Salleh.
Ketika nahas berlaku, helikopter tentera itu membawa 14 orang termasuk juruterbang.
Kementerian Pertahanan berkenaan tidak menyatakan punca nahas berlaku.- Agensi

No comments:

Post a Comment