Saturday, July 21, 2012

MUNGKIN LAGI HEBAT YANG PUNYA KILANG ARAK SERTA PERASMI KILANG ARAK...

Serangan dalam pawagam tayang filem Batman




WASHINGTON - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan 50 lagi cedera semalam apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penonton yang sedang asyik menonton tayangan filem Batman di pusat beli-belah di Aurora, negeri Colorado, kata Ketua Polis Aurora, Dan Oates.
Oates berkata, lelaki bersenjata itu, James Holmes, 24, kemudian ditangkap ekoran kejadian tersebut semasa para penonton menonton filem terbaharu Batman, The Dark Knight Rises pada tayangan tengah malam di pawagam Century 16.
Saluran berita CNN melaporkan, lelaki itu yang menggunakan empat senjata api termasuk sepucuk raifal dan pistol melepaskan tembakan semasa adegan tembak-menembak filem tersebut ditayangkan.
Dia berkata, pawagam tersebut juga dipenuhi dengan asap.
Polis kini memburu seorang lagi lelaki bersenjata yang turut terlibat dalam kejadian pembunuhan itu.
Menurut media Amerika Syarikat (AS), antara mangsa yang cedera termasuk enam kanak-kanak dengan mangsa paling muda berusia enam tahun.
Seorang saksi memberitahu saluran televisyen bahawa sebanyak 10 hingga 20 tembakan kedengaran dan terdapat letupan kecil.
"Sejurus kemudian, kami mendengar orang ramai menjerit.
"Selepas itu, pengumuman dibuat menerusi sistem audio yang meminta setiap orang keluar dari pawagam," katanya.
Saksi itu menyatakan, selepas keluar, sejumlah orang kelihatan berlari dan menjerit.
Laporan Radio KOA 850 menyatakan beberapa saksi menyatakan salah seorang penyerang itu yang memakai topeng turut membawa bom asap.
Motif serangan masih belum diketahui.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Barack Obama yang dimaklumkan tentang kejadian tersebut oleh penasihat Keselamatan Dalam Negara, John Brennan, menggesa rakyat AS supaya bersatu bersama penduduk Aurora pada waktu sukar ini.
"Michelle (isteri Obama) dan saya terkejut dan sedih berhubung insiden tembakan yang dahsyat dan tragis di Colorado. Pihak berkuasa persekutuan dan tempatan masih menyiasat dan pentadbiran saya akan melakukan apa saja yang terdaya untuk membantu penduduk Aurora pada detik yang sukar ini," kata Obama. - Agensi

Ditembak ketika tunggu isteri

BULATAN menunjukkan lokasi Asnan mati ditembak di depan pusat karaoke di Bandar Utama, Segamat semalam. Kereta dalam gambar ini bukan kereta dipinjam Asnan untuk menjemput isterinya.


SEGAMAT - Sebuah keluarga tidak menduga kehilangan ketua keluarga menjelang Ramadan hari ini apabila lelaki itu maut ditembak di depan sebuah pusat karaoke di Jalan Muhibah 3, Bandar Utama di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 2.50 pagi, mangsa, Asnan Yunus, 28, dari Kampung Jawa Segamat maut di tempat kejadian akibat terkena tembakan di rusuk, tengkuk dan bawah telinga yang semuanya di sebelah kiri badan.
Kejadian tersebut berlaku hanya kira-kira 1.5 kilometer dari rumah mangsa dan kira-kira sepuluh minit sebelum isteri mangsa habis waktu bekerja.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Md. Anuar Ismail berkata, sebelum kejadian Asnan berdiri di luar kereta Proton Wira yang dipinjam daripada seorang rakan menunggu isterinya keluar dari pusat karaoke tempat wanita itu bekerja.
Bagaimanapun, menurut beliau, belum sempat isteri mangsa keluar dari pusat karaoke tersebut, Asnan tiba-tiba ditembak dengan beberapa das tembakan oleh penyerangnya.
"Polis yang menerima maklumat mengenai kejadian tersebut tiba di lokasi kejadian pada pukul 2.53 pagi dan siasatan mengesyaki sebelum kejadian terdapat sebuah kenderaan menghampiri mangsa sebelum melepaskan tembakan," kata beliau ketika dihubungi.

Helikopter terhempas, 3 hilang


INILAH model helikopter Eurocopter EC 120 yang sama dengan yang terhempas di Muara Batang Lupar berhampiran Sungai Tereso dekat Sebuyau semalam. Gambar kecil: Rico.


SAMARAHAN – Sebuah helikopter jenis Eurocopter EC 120 yang dinaiki empat penumpang termasuk seorang juruterbang terhempas di muara Batang Lupar berhampiran Sungai Tereso dekat Sebuyau di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 9.20 pagi itu, juruterbang warga Jerman itu terselamat manakala tiga mangsa lain yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita dilaporkan hilang.
Ketika kejadian, helikopter milik seorang ahli korporat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada pukul 8.57 pagi itu dalam penerbangan ke Nanga Merit, Kapit dipercayai untuk melawat projek bagi sebuah sekolah di kawasan itu.
Jarak antara lokasi kejadian dengan KIA kira-kira 190 kilometer.
Juruterbang, Rico Steger, 35, dikatakan terapung sebelum dibawa arus Laut China Selatan selama empat jam, kira-kira 20 kilometer dari lokasi terhempas.

Rakan maut, Koperal didakwa

KLANG – Kematian Koperal Mustaghini Tabri yang pada mulanya dipercayai akibat dirempuh dan dilibas dua pelesit rempit dalam satu operasi pada Jun lalu bertukar kepada satu dakwaan kecuaian oleh rakan sekerja mangsa sehingga membunuh anggota polis trafik berkenaan.
Tertuduh Koperal Mohd. Sedi Mat, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Hurman Hussain di sini semalam atas tuduhan membunuh tanpa niat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.
Mohd. Sedi sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh namun kemudian tuduhan terhadapnya diubah kepada Seksyen 304 kanun sama.
Dia didakwa menyebabkan kematian Mustaghini, 58, iaitu melakukan perbuatan gopoh atau cuai sehingga menyebabkan kematian mangsa di Jalan Lingkungan, Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang di sini pukul 1.45 pagi pada 3 Jun lalu.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

'Serambi Mekah' jadi sarang arak

SEBAHAGIAN arak dan tuak masam yang dirampas di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Arak yang menjadi antara barangan larangan keras dijual kepada orang Islam di Kelantan kini begitu mudah diperolehi di sini.
Hanya dengan beberapa kod rahsia, bekalan arak dikesan boleh dibeli secara mudah di deretan rumah di Kampung Cina di sini pada harga serendah RM3 sebungkus dan difahamkan majoriti pelanggan terdiri daripada kalangan orang Islam.
Senario yang mencemarkan imej negeri ini yang digelar Serambi Mekah terbongkar selepas lima premis di kawasan tersebut diserbu dalam operasi bersepadu melibatkan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Kastam dan Polis Diraja Malaysia petang kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang itu, premis terbabit didapati bukan sahaja menjual arak jenis bir di dalam botol dan tin tetapi turut memproses tuak masam iaitu air nira yang diperam.
Setiausaha MPKB-BRI, Mohd. Anis Hussin memberitahu, pada hujung tahun lepas, pihaknya telah membuat serbuan terhadap lima premis tersebut dan mengenakan denda kerana beroperasi tanpa lesen.


Polis bantuan tiada kuasa soal siasat


MORTADZA (dua dari kanan) memeriksa perbarisan anggota polis bantuan yang sedang menjalani latihan di Pulapol, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Polis bantuan yang ditempatkan di pusat-pusat beli-belah hanya mempunyai kuasa menahan penjenayah dan sebarang tindakan lanjut perlu diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene berkata, mereka tidak diberi kuasa untuk menyoal siasat.
"Kehadiran polis bantuan di pusat beli-belah ini merupakan satu usaha yang dijalankan bagi membantu PDRM mencegah serta mengurangkan kes-kes jenayah di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini semalam.
Mortadza berkata, 22 polis bantuan dari pusat beli-belah di ibu kota adalah antara 97 peserta yang menjalani latihan di Pulapol ketika ini.
Latihan yang diberikan antaranya, kursus kawad, latihan jasmani, seni mempertahankan diri, menembak, undang-undang, penyeliaan dan rondaan bagi meningkatkan kemahiran pelatih-pelatih polis bantuan daripada pelbagai agensi, katanya.

No comments:

Post a Comment