Thursday, July 19, 2012

BILA MANUSIA TINGGALKAN SEMUA NILAI KEBAIKAN SERTA MARUAH DEMI DUNIA@DUIT...SEDANGKAN SENGSARA MENUNGGU DIAKHIRAT....

Kes bunuh Yong Ching, bongkar mangsa bunuh kedua

KUALA LUMPUR - Dua lelaki Pakistan yang ditahan kerana disyaki membunuh ejen hartanah, Tong Yong Ching di Petaling Jaya selepas menyamun mangsa turut mengaku melakukan perbuatan sama terhadap seorang lagi mangsa lain pada Jun lalu.
Kedua-dua suspek membabitkan pengawal keselamatan dan pelajar kolej itu ditahan pada 7 Julai lalu selepas dia dikesan cuba menggunakan kad kredit Yong Ching, 45, yang dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 5 Julai lalu.
Ekoran penahanan suspek itu, polis menemui Yong Ching sudah dibunuh dan mayatnya ditemui dicampak ke kawasan semak di kawasan Ara Damansara pada 12 Julai.
Satu sumber memberitahu, siasatan terhadap kedua-dua suspek itu turut membongkar pembabitan suspek dalam kes pembunuhan seorang pengusaha sebuah syarikat percetakan, Cheng Kok Seng, 31.
Sebelum itu, Kok Seng yang berkahwin dengan wanita Vietnam dilaporkan hilang pada pukul 2 petang, 20 Jun lalu oleh keluarganya selepas keluar dari premis perniagaannya di Sungai Buloh, Selangor.

Lima korban Kancil- lori bertembung


KEADAAN mangsa di dalam kereta Kancil yang bertembung dengan lori simen di Kilometer 24, Jalan Sri Aman-Sarikei berhampiran San Raba, Sarawak semalam.


SRI AMAN - Seorang bayi antara lima yang maut setelah sebuah kereta Perodua Kancil dinaiki tujuh sekeluarga bertembung dengan sebuah lori simen di Kilometer 24, Jalan Sri Aman-Sarikei berhampiran San Raba di sini semalam.
Bayi berusia setahun yang terkorban dalam kemalangan pada pukul 9.05 pagi itu ialah Noraini Bagio, anak kepada Salbiah Minggat, 19, yang cedera parah dalam kemalangan tersebut.
Empat lagi mangsa lain yang maut ialah pemandu kereta, Rachael Anak Nyaring, 22; isterinya, Santi Minggat, 19; Jamilah Minggat, 24, dan Jamaah Ali, 42.
Santi dan Salbiah merupakan adik-beradik kembar. Jamilah merupakan kakak kepadan adik-beradik kembar itu.
Kelima-lima mangsa malang itu mati di tempat kejadian.

Pelajar ditembak disangka burung


MOHD. ROYDY menunjukkan kesan serpihan peluru dilepaskan seorang pemburu yang mengenai bahu kirinya dalam kejadian di Kuala Berang 2 Julai lalu.


KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar cedera di bahu kiri apabila terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) selepas menyangka mangsa sebagai burung ketika sedang berburu di Kampung Kuala Kejil, Kuala Berang baru-baru ini.
Kejadian pukul 7 malam, 2 Julai lalu itu berlaku apabila Mohd. Roydy Abdul Razak, 17, sedang memanjat sebatang pokok kundang untuk mengambil sarang burung sebelum suspek yang sedang berburu terus melepaskan tembakan ke arahnya sebaik melihat pokok berkenaan bergoyang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, mangsa yang cedera di bahu kiri selepas terkena serpihan peluru dari senapang patah berkenaan kemudian turun sebelum memberitahu terasa kebas.
Katanya, mangsa kemudian telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Bukit Payong bagi mengeluarkan serpihan peluru tersebut keesokan harinya.
"Perkara itu lambat dilaporkan kerana keluarga suspek telah bersetuju untuk menanggung kos perubatan mangsa. Namun sebaliknya berlaku hingga membuatkan keluarga mangsa bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Berang semalam (kelmarin)," katanya pada sidang akhbar semalam.

Gadis maut terhidu asap tebal


PASUKAN Bomba dan Penyelamat memadamkan api dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Jalan Lawa 9, Taman Pelangi Indah, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang gadis mati akibat terhidu asap tebal manakala kekasihnya yang datang untuk menyelamatkannya ditemui lemah di beranda rumah yang terbakar di Jalan Lawa 9, Taman Pelangi Indah di sini semalam.
Difahamkan semasa kejadian pada pukul 8 pagi, mangsa, Loh Hui Jin, 24, yang berada seorang diri di rumahnya menghubungi kekasihnya, Kee Yang Yue, 24, yang menetap di Desa Cemerlang bagi menyelamatkannya yang terperangkap dalam kebakaran.
Yang Yue terus ke rumah mangsa namun dia gagal menyelamatkan Hui Jin kerana rumah tersebut berkunci dan dipasang jeriji.
Jarak antara rumah Hui Jin dengan rumah kekasihnya kira-kira empat kilometer.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Balai Johor Jaya, Syed Nasir Syed Abu Bakar berkata, bomba yang tiba di lokasi kejadian tujuh minit selepas dihubungi berjaya menyelamatkan mangsa yang ketika itu pengsan di tingkat dua rumahnya.
Menurut beliau, mangsa yang tiada kesan luka atau melecur dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) namun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan.
“Hui Jin dikeluarkan dari rumah tersebut selepas bomba berjaya memecahkan cermin tingkap yang tebal namun dia gagal diselamatkan kerana terhidu asap tebal,” kata beliau ketika dihubungi.

Drama warga emas gagal


KERJA-KERJA pengosongan rumah milik sepasang warga emas di Lintang Sungai, George Town terpaksa dilakukan semalam walaupun pelbagai halangan dihadapi.


GEORGE TOWN - Drama sepasang warga emas berpura-pura diserang sakit jantung dan melepaskan 20 ekor anjing bagi menghalang rumahnya di Lintang Sungai di sini dikosongkan tidak menjadi apabila mereka akhirnya akur dengan perintah mahkamah semalam.
Kediaman wanita berusia 60-an bersama suaminya itu terpaksa dipecah masuk pihak Bailif Mahkamah Sesyen Balik Pulau setelah hampir setengah jam mereka enggan memberi kerjasama supaya mengosongkan rumah tersebut.
Tindakan tersebut diambil berikutan pasangan terbabit enggan mematuhi keputusan Mahkamah Sesyen selepas dua kali menerima notis mengosongkan premis pada Mei lalu.
Difahamkan, rumah yang dihuni suami isteri itu sejak lebih 20 tahun lalu telah dijual kepada individu lain pada harga yang tinggi secara tunai beberapa tahun lalu tetapi mereka masih enggan berpindah.

Ulama Rusia mati ditembak

BEBERAPA anggota polis memeriksa bangkai kereta yang membawa Ildus selepas ia hangus akibat letupan bom di Kazan, Rusia semalam.


MOSCOW - Seorang ulama wilayah Tatarstan, Rusia mati ditembak manakala seorang lagi ulama cedera dalam satu letupan bom kereta di Kazan, wilayah Tatarstan, kata beberapa penyiasat semalam.
Beberapa pemimpin tempatan menyatakan, kedua-dua serangan tersebut mempunyai kaitan dengan kritikan mereka terhadap golongan radikal Islam.
Jawatankuasa Siasatan Rusia memberitahu, Timbalan Mufti Tatarstan, Valiulla Yakupov ditembak mati ketika beliau meninggalkan rumahnya di Kazan semalam.
Menurut jawatankuasa itu, Ketua Mufti, Ildus Faizov cedera di kaki selepas bom pada keretanya meletup di pusat bandar tersebut.
Kedua-dua ulama berkenaan merupakan penentang pengikut fahaman Salafi atau Wahabi.
Jurucakap Jawatankuasa Siasatan, Vladimir Markin memberitahu beberapa agensi berita Rusia bahawa agensinya sedang menyiasat aktiviti kedua-dua ulama itu sebagai punca mereka diserang.
Berusia 49 tahun, Ildus menjadi Ketua Mufti Tatarstan pada tahun 2011 dan memulakan operasi membanteras golongan radikal Islam dengan memecat pendakwah Wahabi dan mengharamkan buku agama dari Arab Saudi.
Beliau turut dikritik media di Tatarstan kerana mengaut keuntungan daripada pakej mengerjakan haji anjurannya selain cuba mengawal sebuah masjid yang dikategori sebagai antara tertua dan terbesar di Kazan. - AP

Mayat Khanna dibakar


MAYAT Khanna berada di atas sebuah lori sebelum dibakar di Mumbai semalam.


MUMBAI - Ribuan peminat bintang filem pertama Bollywood, mendiang Rajesh Khanna berkumpul di tepi jalan ketika hujan semasa sebuah lori berhias yang membawa mayatnya untuk dibakar bergerak dari rumahnya semalam.
Hanya wajahnya didedahkan manakala tubuhnya yang lain dipenuhi dengan bunga melur semasa mayatnya diarak menuju ke tempat pembakaran.
Kebanyakan peminat yang hadir mencampakkan cebisan-cebisan bunga ke arah lori tersebut.
Khanna meninggal dunia kelmarin pada usia 69 tahun selepas beberapa bulan sakit kerana kanser.
Antara filem lakonannya ialah Kati Patang, Amar Prem dan Anand.
Menantunya juga ialah seorang pelakon filem Bollywood, Askay Kumar.
Polis terpaksa menggunakan baton bagi mengelak para peminat fanatik mendekati lori tersebut sehingga sebahagian daripada mereka terjatuh di tepi jalan. - Agensi

Jongkong perak bernilai RM121 juta ditemui di dasar laut


BEBERAPA kru Odyssey yang berada di atas kapal Seabed
Worker kelmarin memeriksa jongkong perak yang ditemui dari kapal SS Gairsoppa.


TAMPA, Florida - Syarikat Odyssey Marine Exploration Inc. yang terkenal kerana menemui bangkai kapal Black Swan bernilai AS$500 juta (RM1.59 bilion) di perairan Portugal pada 2007 menyatakan, pihaknya menemui 48 tan jongkong perak di dalam sebuah kapal dagang Britain yang dibedil di perairan Ireland 70 tahun lalu.
Pada harga semasa, penemuan tersebut bernilai sekitar AS$38 juta (RM121 juta) manakala syarikat itu kelmarin memberitahu, lebih banyak harta karun bakal ditemui di dalam kapal berkenaan.
Menurutnya, bangkai kapal tersebut terletak sekitar 4.8 kilometer di bawah permukaan laut.
Jongkong itu ditemui daripada bangkai kapal Gairsoppa.
Kapal kargo sepanjang 125.5 meter itu tenggelam selepas dibedil sebuah kapal selam Jerman semasa Perang Dunia Kedua.
Di bawah satu perjanjian bersama kerajaan Britain, Odyssey dibenarkan menyimpan 80 peratus harta karun berkenaan selepas kos perbelanjaan ditolak.
Nilai kesemua jongkong tersebut berada pada sekitar AS$190 juta (RM605.4 juta). - Reuters

Peminat tinggalkan konsert Madonna


SALAH satu aksi Madonna dalam konsertnya di Hyde Park, London pada Selasa lalu.


LONDON - Beratus-ratus peminat fanatik penyanyi terkenal, Madonna bertindak meninggalkan konsert penyanyi terkenal itu di Hyde Park pada Selasa lalu, lapor akhbar dalam talian, MailOnline kelmarin.
Sebahagian peminat berpendapat persembahan pada malam itu adalah yang terburuk pernah mereka lihat.
Kebanyakan mereka enggan menunggu sehingga konsert tersebut berakhir atas alasan kualiti bunyinya yang rendah, cuaca buruk dan Madonna gagal menyanyikan lebih banyak lagu hit klasiknya.
Madonna turut menanggalkan seluarnya sekali gus mendedahkan seluar dalamnya di hadapan penonton.
Antara lagu yang dinyanyikan Madonna ialah Like A Virgin serta beberapa lagu hit dalam album terbaharunya, MDNA.
Pihak pengurusan Madonna sebelum ini mengaku bahawa buat kali pertamanya mereka gagal menjual semua tiket konsert tersebut.
Harga sekeping tiket ialah AS$120.4 (RM380) dan ia mungkin antara punca konsert tersebut kurang mendapat sambutan.
Komen-komen tentang konsert itu dibuat oleh beberapa peminat Modonna di Twitter. - Agensi

No comments:

Post a Comment