Sunday, July 15, 2012

BILA ALLAH MENGHENDAKINYA....TIADA SAPE BOLE MEMBANTAH

Piranha Serang Selatan China

Posted on the July 14th, 2012 under Luar Negara by admin

Kes ini bermula di sebuah bandar di selatan China apabila mereka memberi amaran kepada penduduk supaya berhati-hati dengan ancaman piranha selepas ikan itu menyerang dua orang yang masuk ke dalam sungai.
Malah, pihak berkuasa bandar itu menawarkan hadiah wang tunai 1,000 yuan (RM500) setiap seekor ikan bagi sesiapa yang dapat menyerahkannya, hidup atau mati, lapor media di sini, semalam. Seorang penduduk, Zhang Kaibo, berkata tangannya terpaksa dijahit selepas tiga ikan itu menyerangnya ketika dia membasuh anjing peliharaannya di tepi sungai. Dia berjaya menangkap seekor ikan itu tetapi ia mati tidak lama kemudian.
“Ibu saya sudah memotongnya dan kami merancang untuk makan tetapi beberapa pegawai tempatan datang dan mengambilnya untuk tujuan kajian,” kata Zhang.





Penduduk diminta buru Piranha
Pihak berkuasa perbandaran Guangxi di Liuzhou meminta penduduk memburu dan menangkap ikan itu yang berasal dari Amerika Selatan. Ikan itu menggigit dua penduduk awal minggu ini ketika mangsa berada di Sungai Liujiang, lapor China Daily.
“Pihak berkuasa melarang penduduk menggunakan pukat untuk menangkap ikan di kawasan sungai yang lalu di bandar itu tetapi tidak di tempat lain kerana ada langkah keselamatan diambil.
“Selain itu, lima bot membawa nelayan berpengalaman sudah ditempatkan di sungai itu sejak Isnin lalu,” kata pegawai Liuzhou, Wei Yongwen.
“Selain itu, lebih 40 nelayan lain daripada sebuah persatuan memancing tempatan turut menyertai usaha ini. Mereka menggunakan cebisan kecil khinzir untuk mengumpan ikan itu,” katanya lagi.
Ada juga penduduk berkumpul di tepi tebing sungai membawa joran sendiri untuk membantu, katanya.
“Agak menakutkan ikan seperti itu berada di sungai ini. Saya tidak dapat berenang lagi di situ. Saya harap mereka dapat tangkap semua piranha dalam masa terdekat,” kata seorang penduduk, Liu Junjie.
Kebimbangan tidak berpanjangan
Bagaimanapun, kebimbangan pihak berkuasa dan penduduk tidak dijangka berpanjangan kerana ikan itu mati apabila suhu air turun di bawah 15 darjah Celcius di Guangxi terutama apabila tiba musim sejuk, kata China Daily.
Media China melaporkan, ikan itu mungkin dilepaskan oleh penduduk yang membelinya sebagai haiwan perhiasan dan pihak berkuasa kini melakukan pemeriksaan bagi menyekat jualannya.
China tawar ganjaran RM500 tangkap pirana
BEIJING – Pihak berkuasa, semalam menawarkan ganjaran 1,000 yuan (RM500) kepada manamana individu yang dapat menangkap ikan pirana di Sungai Luijiang susulan daripada kejadian dua lelaki di wilayah Guangxi diserang spesies akuatik pemakan daging itu, awal minggu ini.
Pegawai Majlis Perbandaran Liuzhou, Wei Yongwen berkata, penggunaan pukat tidak dibenarkan tetapi mereka membuat pengecualian terhadap lima bot nelayan yang telah ditempatkan di sekitar sungai tersebut.
“Lebih 40 nelayan turut menyertai usaha untuk memburu spesies ikan yang biasanya terdapat di sungai Amerika Selatan itu,” katanya.
P/S: Ikan Pirahna walaupun hanya bersaiz kecil tetapi ia merupakan haiwan pemangsa yang sangat bahaya sekali kerana biasanya ia suka menyerang dalam satu kumpulan. Jika serangan itu dilakukan secara berkumpulan, alamatnya macam dalam filem Pirahna pula. Habis mati dibaham dek ikan tersebut.
Sumber: Melayukini


China tawar AS$160 tangkap ikan piranha

Posted on the July 15th, 2012 under Luar Negara by admin

IKAN piranha memang terkenal dengan sifatnya yang ganas dan lahap.
BEIJING – Kerajaan tempatan Liuzhou di wilayah Guangxi, China kini menawarkan wang sebanyak AS$160 (RM509) untuk setiap ekor ikan piranha yang ditangkap sama ada sudah mati atau masih hidup.
Tawaran itu dibuat berikutan dua orang mengalami kecederaan serius setelah diserang oleh ikan pemakan daging tersebut di Sungai Liujiang. Mereka diserang ikan daripada spesies piranha Amerika Selatan ketika mengayuh sampan di sungai terbabit, lapor akhbar China Daily. – Reuters

Penari Gelek Melayu dibayar RM500 15 minit

Posted on the July 14th, 2012 under Tempatan by admin
KUALA LUMPUR: “Saya tidak malu melakukan aksi gelek kerana pendapatan yang saya terima cukup lumayan,” kata penari gelek berbangsa Melayu yang bekerja di sebuah restoran Arab di ibu kota.
Pekerjaan sebagai penari gelek yang sebelum ini asing bagi masyarakat Melayu dan hanya boleh ditonton di kaca televisyen dan di negara Asia Barat, kini menjadi punca pendapatan lumayan bagi segelintir penduduk di Malaysia.
Difahamkan kemunculan penari gelek Melayu berikutan peningkatan pelancong dari Timur Tengah yang mengunjungi Malaysia sama ada untuk melancong atau urusan perniagaan.





Putri (bukan nama sebenar) berkata, dia seronok melakukan pekerjaan sebagai penari gelek untuk menghiburkan pengunjung yang majoriti terdiri daripada masyarakat Timur Tengah.
Malah, dia tidak kisah tubuhnya dijamah mata lelaki yang asyik memandang lenggok pinggul dan dada separuh bogelnya.
Harian Metro

VIDEO: Kemalangan, Ferrari Terbelah Dua

Posted on the July 15th, 2012 under Luar Negara by admin

VIVAnews – Kelajuan supercar memang luar biasa. Dengan tenaga hebat, hanya orang yang memiliki kepakaran tertentu yang mampu mengendalikan kereta mahal ini.
Seorang pemilik supercar Ferrari 612 Scaglietti hilang kawalan di Moscow, Rusia, 7 July lalu. Ia menghentam sebuah tiang dengan cukup kuat.
Akibatnya, kereta ini terbelah dua. Bahagian enjin, bumper, casis, fender sebelah kiri serta kedua ban pada bagian depan semuanya terpisah dengan badan hingga ke belakang.





Yang menghairankan, meskipun terbelah dua, pemandu dan tiga penumpangnya selamat. Mereka hanya cedera luka ringan.
Memang, Ferrari ini berbeza dengan yang lain. Ferrari 612 Scaglietti dilengkapi empat tempat duduk, bukan dua, seperti model-model lain.
Keretal ini dibuat sejak 2004 hingga 2011. Scaglietti dilengkapi dengan enjin V12 dengan kapasiti 5,7 liter yang mampu menghasilkan tenaga hingga 533 hp pada 7250 rpm dan maksimum 434 lb-ft pada 5250 rpm. Dengan tenaga ini, Scaglietti mampu memecut 315 kilometer per jam.


Sasha Saidin Lebih Tenang Bila Dalami Agama

Posted on the July 14th, 2012 under Agama,Artis by admin
KUALA LUMPUR, 13 JULAI 2012: Meskipun belum berhijrah secara keseluruhan, namun bekas anggota kumpulan Ellite, Sasha Saidin, 36, akui dia kini sudah mula melakukan penghijarahan diri sedikit demi sedikit dengan mendalami ilmu agama.
Malah, sejak awal tahun ini, Sasha Saidin berkata dia mulai mengikuti kelas Usrah dan mendengar ceramah motivasi berteraskan agama untuk mendekatkan diri dengan Allah.
“Saya tidak berani nak sifatkan konsep hijrah Allah sebenar bagaimana tetapi saya sedar hati saya sudah mula terbuka sedikit demi sedikit untuk mendekati ilmu agama.





“Saya perasan Allah seperti telah membuka pintu hati saya untuk mendalami ilmu agama selepas saya didekati oleh rakan-rakan yang minat dan mengajak ke kelas agama dan Usrah.
“Bagi saya hanya Allah sahaja yang boleh menilai sama ada seseorang itu sudah berhijrah atau tidak.
“Tapi Alhamdulilah, hati saya lebih tenang kini apatah lagi saya baru sahaja khatam senaskah kitab al-Quran yang saya mulakan sejak 6 bulan,” katanya ketika dihubungi oleh murai.com.my
Walau bagaimana pun, Sasha memberitahu dia lebih mementingkan penghijrahan hati terlebih dahulu sebelum dilihat berhijrah dari segi luaran iaitu berhijab.
“Saya kini sedang membersihkan hati dan mula mempelajari lebih banyak ilmu agama.
“Namun, saya belum lagi berhijab sepenuhnya dan hanya mula berpakaian sopan apabila di luar. Saya rasa penghijrahan itu harus bermula daripada hati dan baru ia akan disertai dengan perlakuan.
“Tetapi setiap kali ke kelas Usrah setiap hari Jumaat dan juga beberapa kelas agama saya pasti akan mengenakan hijab penuh,” luahnya lagi.
Begitupun, Sasha Saidin yang baru sahaja disahkan bercerai dengan suaminya, Salyo Priyanto pada Selalu lalu memberitahu dia masih lagi menjalani kehidupannya seperti biasa dengan mengikuti beberapa aktiviti seni.
“Saya masih menjalani kehidupan seperti biasa walaupun kini sudah bergelar ibu tunggal.
“Malah, masih menjalani aktiviti seni seperti modeling dan juga menjalani penggambaran untuk rakaman raya bagi beberapa program televisyen,” tambahnya lagi.
Sasha dan Salyo telah berkahwin pada tahun 2007 dan dikurniakan seorang anak iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono, berusia 3 tahun.
Sebelum perkahwinan itu, Sasha pernah bernikah dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner, pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, namun mereka berpisah empat tahun kemudian.
Murai

Busung 60 bulan digeruni

Posted on the July 15th, 2012 under Tempatan by admin

JEETA menunjukkan bahagian dalam perut yang memainkan fungsinya yang tersendiri.
JIKA dilihat dari segi fizikalnya, pasti ramai yang beranggapan dia hamil tujuh bulan dan bakal melahirkan anak. Ternyata itulah pandangan masyarakat apabila pertama kali bertemu dengan Nur, 44.
Setiap kali ditanya, pasti dia akan mengiakan sahaja pandangan orang yang menganggap dirinya hamil kerana malas membuka cerita tentang apa sebenarnya yang berlaku.





Setiap pelanggan yang datang ke kedai runcitnya menyangka Nur hamil disebabkan keadaan perutnya itu.
Pada mulanya, dia ada juga menjelaskan punca dia jadi begitu tetapi lama-kelamaan dia malas bercerita kerana tidak semua orang faham akan situasi yang dialaminya.
Mengulas lanjut, Nur berkata, ada yang mengatakan dia terkena buatan orang yang menyebabkannya perutnya membesar seperti wanita hamil atau lebih dikenali sebagai busung.
“Saya tidak mahu menuduh sesiapa kerana tiada bukti untuk saya berbuat demikian.
“Penyakit saya mula serius sejak lima tahun lepas atau 60 bulan lalu. Ia menjadi parah setiap kali menjelangnya hari Khamis malam Jumaat.
“Sukar dibayangkan keadaan ketika itu kerana seluruh badan menjadi lemah, berpeluh serta kadangkala perut akan membuncit seakan-akan hendak pecah. Saya terpaksa merangkak untuk berjalan.
“Sudah bermacam cara saya cuba untuk mengubati penyakit ini baik menggunakan perubatan tradisional mahupun moden, tetapi tiada sebarang perubahan,” ujar ibu kepada empat orang anak ini.
Menurut Nur, memikirkan anak-anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian seorang ibu, dia berusaha melawan penyakit itu dengan sedaya upayanya.
Tambahnya, dia reda dengan ujian Tuhan. Setiap kali kesakitan itu menyerang, dia tidak dapat berbuat apa-apa selain berdoa supaya dipanjangkan umur.
Berubat
“Kebiasaannya, apabila sakit itu datang menyerang, muka saya akan kelihatan seolah-olah lebam.
“Pernah sekali pandangan mata saya menjadi gelap. Saya sangkakan saya sudah buta, tetapi berkat doa keadaan kembali pulih,” ujarnya.
Secara luaran, orang yang tidak mengenalinya akan melihat Nur sebagai seorang wanita periang, namun pahit yang terpaksa ditelan tidak terkira kerana dia dan suami terpaksa berbelanja hampir ratusan ribu ringgit semata-mata untuk berubat.
“Saat paling sedih ialah apabila setiap pengamal perubatan tradisional yang ditemui mengatakan saya disihir oleh orang yang cukup saya kenali.
“Pada mulanya susah untuk saya percaya, namun saya pasrah dengan keadaan ini.
“Sehingga ke hari ini, saya masih berusaha untuk berubat tetapi kesemuanya menemui jalan buntu. Cakap sahaja pusat perubatan terkenal mana yang saya tidak pernah pergi, kesemuanya sudah saya lakukan tetapi masih tidak menunjukkan perubahan,” jelasnya.
Tuturnya, selagi hayat dikandung badan, dia akan berusaha melawan penyakit yang dideritainya.
Perjuangannya itu membawa dia ke banyak tempat termasuk sehingga ke Indonesia yang dikatakan mempunyai bomoh handalan.
“Bukan sahaja bomoh, doktor yang diiktiraf turut gagal menemui penawar untuk penyakit busung saya.
“Pernah sekali saya pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan apabila mendapati keadaan perut yang semakin membuncit.
“Hasil pemeriksaan, doktor mengatakan saya menghidap komplikasi kencing kotor dan ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut.
“Namun, sebaliknya yang berlaku kemudian apabila saya disahkan tidak menghidap penyakit kencing kotor pula.
“Setelah itu, doktor menyarankan saya melakukan pemeriksaan imbasan seluruh badan, tetapi gagal juga menemui sebarang penyakit malah saya disahkan sihat,” katanya.
Tambahnya, doktor pernah menasihatinya supaya menjalani pembedahan tetapi dia menolak kerana baginya, apa gunanya pembedahan jika punca keadaannya itu tidak diketahui.
Sepanjang menemui pengamal perubatan tradisional, ada yang mengatakan dia terkena busung batu, busung air dan busung katak.
Nur memberitahu, dia pernah dibedah secara batin sebanyak dua kali ketika menjalani rawatan tradisional, tetapi penyakitnya tidak juga pulih.
“Sewaktu menjalani pembedahan batin, keadaan ketika itu amat menyeksakan. Orang selalu cakap pembedahan ini tidak sakit, tetapi Tuhan sahaja tahu kesakitan yang terpaksa saya tanggung.
“Selain itu, pelbagai peristiwa pelik berlaku ketika melakukan rawatan tradisional, antaranya insang ikan dan batu keluar daripada perut saya apabila dijampi dengan menggunakan potongan limau nipis.
“Sejadah yang digunakan untuk rawatan juga terbakar dengan sendirinya. Rambut serta darah keluar daripada belakang badan saya.
Perubatan Islam
“Saya sendiri musykil dengan penyakit ini, tetapi satu sahaja harapan saya supaya penyakit ini elok,” beritahu beliau yang tinggal di Klang, Selangor.
Ujar Nur, keadaan perutnya sekarang sedikit menyusut berbanding ketika mula-mula dia terkena penyakit itu.
Jika dahulu dia tidak boleh bergerak dan hanya terlantar selain perlu merangkak, tetapi kini dia sudah boleh memandu kereta.
“Saya tidak minta lebih cukuplah sekadar boleh bergerak dan melakukan kerja seharian,” tambahnya.
Menurut Pengasas Pusat Rawatan Islam Darul Ruqiyyah, Mohd. Suhaimi Rozali, busung boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu busung biasa dan busung keturunan.
Busung biasa ialah busung yang dikirim orang tertentu (sihir) manakala busung keturunan adalah disebabkan ia diwarisi turun-temurun.
“Busung mempunyai kaitan dengan saraf di dalam badan. Sekiranya busung dapat dikesan pada peringkat awal, perut pesakit boleh surut dengan kadar segera.
“Tetapi jika busung itu sudah di peringkat kritikal, ia akan mengambil masa sedikit untuk surut, bergantung kepada keadaan seseorang pesakit.
“Selalunya busung boleh terkena di bahagian anggota badan seperti tengkuk, perut, muka dan kaki.
“Jika terkena di bahagian perut, pesakit akan mendapati perut mereka seakan-akan membesar sedikit demi sedikit dan mengeras seperti batu,” katanya kepada Jurnal.
Jelasnya, setakat ini, kira-kira 10 kes pesakit busung berjaya diselesaikan olehnya. Kesemua pesakit itu beransur pulih selepas menjalani terapi yang menggunakan bahan asas seperti air penawar, mandian dan minyak.
Menurut Pakar Gastroenterologi dan Endosonologi Hospital Pakar DEMC Shah Alam, Dr. M. Jeeta, tidak semua penyakit busung disebabkan terkena buatan orang seperti yang menjadi kepercayaan masyarakat selama ini.
“Dalam bidang perubatan, terdapat enam kemungkinan yang menyebabkan perut seseorang itu kelihatan membesar iaitu najis, angin, bayi, kandungan cecair di dalam badan dan lemak yang terkumpul di bahagian perut atau usus dan ketumbuhan (tumor).
“Selalunya apabila berdepan dengan situasi begini, pesakit disaran menjalani ujian tertentu bagi menentukan tahap penyakit yang dialami mereka sama ada masih di peringkat awal mahupun kritikal,” ujarnya yang mempunyai pengalaman selama tujuh tahun dalam bidang itu.
Akta Sihir
Secara umum, kepercayaan bahawa busung disebabkan perbuatan sihir tidak boleh ditolak mentah-mentah.
Ini kerana, percaya atau tidak lima daripada 10 orang Melayu didakwa terbabit menggunakan khidmat bomoh untuk melakukan sihir disebabkan mereka tidak berpuas hati pada seseorang individu sama ada dikenali atau tidak.
Dakwaan itu dibuat oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan selepas mendapati terdapat peningkatan aduan kepada pihaknya daripada orang ramai mengenai perkara tersebut.
“Jika dahulu kurang daripada lima kes kita terima, tetapi sejak kebelakangan ini ia meningkat sekali ganda sehingga 10 kes aduan sebulan,” katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.
Dakwanya lagi, budaya tidak sihat itu kembali popular dalam kalangan orang Melayu dipercayai berkait rapat dengan pengaruh drama berunsur tahyul di kaca televisyen.
“Tengok sahaja slot-slot drama di kaca televisyen sejak kebelakangan ini yang kerap memaparkan cerita berunsur sihir,” ujarnya.
Katanya, budaya sihir ini bukan sahaja tidak sihat malah dilihat boleh meruntuhkan institusi sesebuah masyarakat jika tidak dibendung segera.
Beliau memberi contoh membabitkan perniagaan apabila ramai peniaga yang mendakwa sering menjadi mangsa sihir sehingga terpaksa gulung tikar.
“Ada juga kes yang menyebabkan keruntuhan rumah tangga,” jelasnya.
Katanya, sihir sudah terbukti wujud dan masyarakat sendiri sedar mengenai elemen tersebut sejak sekian lama tetapi sehingga kini belum ada satu medium berkesan yang boleh mengekangnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan satu panel khas dibentuk bagi meneliti perkara tersebut seterusnya mewujudkan satu akta khusus untuk menanganinya.
“Kita lihat ada keperluan bagi mewujudkan Akta Sihir sama seperti akta yang diguna pakai bagi menangani ajaran sesat,” katanya.
Ujarnya, akta itu akan bertindak sebagai alat untuk melindungi pengguna yang disihir dan membawa pengamal sihir ke muka pengadilan.
Kosmo

Remaja kumpul ahli, Pesta liar bawah umur

Posted on the July 15th, 2012 under Tempatan by admin

KUALA LUMPUR: Sekumpulan remaja, majoritinya masih di bawah umur, dikesan membentuk satu forum sosial lebih 3,500 ahli di facebook dan twitter semata-mata untuk bergabung menyertai beberapa siri pesta liar.
Kumpulan lelaki, perempuan, pondan dan lelaki lembut itu menggunakan laman sosial terbabit untuk berinteraksi bagi menetapkan tarikh dan lokasi pertemuan mereka.
Yang menakutkan, pertemuan dirancang rangkaian sosial itu bukan keraian biasa, sebaliknya pesta liar dinamakan ‘parti lolipop’ yang diadakan di beberapa pusat hiburan.





Difahamkan, ada pusat hiburan menganjurkan parti dengan nama lolipop sama seperti sambutan ‘ladies night’, dan lolipop didakwa merujuk kepada ahlinya yang sebahagian besar remaja bawah umur.
Lebih menyedihkan, parti berbaur maksiat dari satu lokasi ke satu lokasi itu turut menghidangkan arak selain pil khayal yang dikhuatiri boleh membawa kepada hubungan seks haram.
Harian Metro

Kanak-Kanak Buta Fasih 4 Bahasa

Posted on the July 14th, 2012 under Luar Negara by admin

Jika Allah berkehendakkan sesuatu kepada makhluk penciptaNya, Dia akan berikan. Satu kisah di mana seorang budak perempuan buta yang fasih dalam empat bahasa menjadi jurubahasa termuda yang bekerja di Parlimen Eropah. Apa yang luar biasanya kanak-kanak tersebut baru berusia 10 tahun. Alexia Sloane, dari Cambridge hilang penglihatannya semasa berusia dua tahun selepas didiagnoskan menghidapi barah otak ketika bercuti di Perancis.
Walaupun cacat, budak perempuan ini cemerlang dalam bahasa. Pada usia 10 tahun dia fasih dalam bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Mandarin. Kini Sloane sedang mempelajari bahasa Jerman.
Alexia memenuhi impiannya untuk bekerja sebagai jurubahasa selepas Ahli Parlimen Eropah Timur England, Robert Sturdy menjemputnya ke Parlimen Eropah di Brussels.
“Terdapat syarat umur minima untuk memasuki Parlimen Eropah iaitu 14 tahun. Jadi untuk Alexia menterjemah di sana pada usia 10 tahun adalah menakjubkan,” kata Isabelle, ibu kepada Alexia.





Alexia boleh bertutur dalam tiga bahasa sejak lahir kerana ibunya adalah separuh Perancis dan separuh Sepanyol manakala bapanya Richard ialah Inggeris.
“Dia sentiasa sangat bagus dalam bahasa-bahasa dan telah menunjukkan minat dari usia sangat muda,” Isabelle menambah. Ibu berkenaan juga mempunyai seorang anak perempuan berumur empat tahun, Melissa.
Alexia pernah mempunyai impian untuk menjadi seorang jurubahasa sejak berusia enam tahun dan telah dipilih untuk  ke Parlimen Eropah sebagai hadiah apabila dia memenangi Anugerah Komuniti Tahunan Pencapai Remaja.
Dia bertanya jika dia boleh mengikut jurubahasa. Ahli Parlimen Eropah Robert Sturdykemudiannya  bersetuju untuk membawanya sekali sebagai tetamu.
“Ia sangat hebat dan sekarang saya benar-benar berazam untuk menjadi seorang jurubahasa,” kata Alexia.
“Tiada apa-apa yang boleh menghentikan saya.”
P/S: Satu perkara yang luar biasa sebenarnya kerana dengan usia yang begitu muda, kanak-kanak ini mampu menguasai 4 bahasa. Tambahan lagi, kanak-kanak ini turut mengalami masalah penglihatan iaitu buta sejak berumur 2 tahun lagi. Dirinya boleh dianggap unik kerana mempunyai kelebihan seperti ini walaupun terdapat sedikit kekurangan.
Sumber: Melayukini

Sertai Pas, azam baru pelakon Adam Hamid

Posted on the July 15th, 2012 under Politik by admin

Adam Hamid menyerahkan borang keahlian menyertai Pas kepada Ketua Penerangan parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
KUALA LUMPUR – Pelakon Adam Hamid berazam untuk mengubah dunia seni tanah air ke arah yang lebih baik dan berpaksikan syariat lebih-lebih lagi apabila dirinya sudah secara rasminya menjadi ahli Pas seumur hidup bermula malam tadi.
Menurutnya, dunia seni kini semakin lalai dan ramai penggiat seni tidak menghiraukan perintah-Nya ketika berkecimpung dalam dunia seni.





“Ramai yang leka dengan perintah-Nya dan melakukan yang terlarang.
“Jadi saya berasa terpanggil untuk mengajak mereka ke arah yang lebih baik dan berkongsi ilmu yang saya ada walaupun sedikit,” ujarnya ketika ditemui selepas sesi ceramah pada majlis Siri Himpunan Hijau ke Putrajaya Peringkat Wilayah Persekutuan di sini, malam tadi.
Pada mulanya, beliau mahu bersara dalam bidang seni tetapi rakan-rakan artis melarang kerana khidmatnya sebagai pelakon dan pengarah masih lagi diperlukan.
“Saya akan bersara jika ada pihak-pihak tertentu yang menyenaraihitamkan nama saya untuk terlibat dalam mana-mana pihak produksi lakonan.
“Saya juga berharap agar dengan saya menyertai Pas ini tidak disalahertikan oleh mana-mana pihak,” tambah beliau.
Beliau menambah, hanya menyerahkan segalanya kepada takdir berhubung statusnya dalam bidang seni tetapi bagi dirinya sendiri, usaha dalam bidang lakonan tetap akan diteruskan kerana ia sudah sebati dalam jiwa.
Ditanya adakah hanya mengikut trend artis kini yang semakin ramai mula menyertai arena politik tanah air, beliau lantas menafikan.
“Tidak. Saya tidak pernah terikut-ikut dengan langkah artis lain menyertai politik. Saya mula bergiat aktif dalam arena politik sudah lama tetapi baru kali ini saya meyerahkan borang keahlian secara rasmi dan saya merupakan pengikut setia Pakatan Rakyat,” ujarnya.
Sinar

No comments:

Post a Comment