Tuesday, December 18, 2012

JANGAN BISING2LAH...KADANG2 ORANG SUKA KITA TAK BERTANDING LAGI...ATAU NAMA KITA TAK DICALONKAN LAGI...DIAM ITU LAGI MOLEK....PERANGAI 'TAMAK' MEMBUAT ORANG MUDAH DITIPU...SERTA ORANG TAMAK NI JUGA BANYAK KAKI TIPU

MAS belanja besar beli pesawat ATR

Model pesawat ATR


SUBANG JAYA - Malaysia Airlines (MAS) bakal memperoleh 36 pesawat baharu ATR 72-600 dengan nilai RM3 bilion daripada ATR iaitu syarikat pengeluar turboprop atau pesawat yang menggunakan kipas berpangkalan di Toulouse, Perancis.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, ATR telah pun komited untuk menghantar tiga pesawat turboprop pada tahun depan, lima lagi tahun berikutnya dan enam pada tahun 2015.
"Daripada sejumlah 36 pesawat, Firefly akan mendapat 20 buah sementara MasWings pula 16 buah," kata beliau pada sidang akhbar untuk memaklumkan mengenai peluasan rangkaian Firefly semalam.
Ahmad Jauhari berkata, kelebihan operasi turboprop ialah keupayaannya untuk mendarat dan berlepas dengan amat pantas, kurang daripada 30 minit, sekali gus menyaksikan peningkatan kekerapan penerbangan.
"Pada masa ini, orang ramai mengembara mengikut keselesaan masing-masing, jadi kekerapan ataupun frekuensi amat penting," kata beliau sambil menambah bahawa pemilikan pesawat baharu itu akan dibiayai dengan dana dalaman, dalam lingkungan kumpulan MAS.

Australia denda AirAsia RM600,000 kerana sorok caj penumpang


laman web syarikat AirAsia yang menawarkan pakej tambang murah tetapi dikenakan tindakan denda oleh Mahkamah Persekutuan Australia.


MELBOURNE (Australia) - Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia telah dikenakan denda kerana tidak memasukkan cukai dan lain-lain caj dalam laman sesawangnya.
Syarikat penerbangan itu didenda A$200,000 (kira-kira RM600,000) di Mahkamah Persekutuan Melbourne semalam kerana melanggar peruntukan peletakan harga tunggal Undang-Undang Pengguna Australia, kata Australian Associated Press (AAP).
Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) berkata, kes itu berkaitan dengan tempoh 10 bulan ketika laman sesawang www.airasia.com tidak menunjukkan beberapa harga tambang penerbangan.
Ia termasuk semua cukai, duti, yuran dan lain-lain caj mandatori dalam cara yang jelas dan sebagai angka tunggal.

Perogol bertayam dijel 27 tahun


MOHAMAD FADZLIE (kanan) yang mengaku dirinya perogol bertayam dihukum penjara 27 tahun dan sembilan sebatan atas kesalahan merogol dan merompak manakala Mohd. Khairiell dipenjara 30 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan seorang lelaki yang memasang bebola besi atau 'tayam' pada kemaluannya dikenakan hukuman penjara 27 tahun dan disebat sembilan kali atas kesalahan rogol dan samun di sebuah rumah urut di Setapak di sini pada 25 November lalu.
Mohamad Fadzlie M. Rosdi, 20, diperintah menjalani hukuman itu oleh Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid manakala rakannya yang turut mengaku salah menyamun premis itu, Mohd. Khairiell Idzham Hashimi, 21, pula diarah menjalani hukuman penjara selama 30 tahun dan 10 sebatan.
Hukuman dijatuhkan selepas Emelia Kaswati mengambil kira pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh sebelum ini.
Penganggur itu mengaku salah atas tiga tuduhan, iaitu merogol seorang pekerja wanita Vietnam di atas sofa di hadapan pekerja lain selain dua tuduhan samun terhadap penjaga premis, Jong Chiak Eng, 51, serta seorang pekerja, Teoh Cee Fah, 44.

Prosiding mahkamah berkaitan AES dibeku


JABATAN Peguam Negara memutuskan untuk meneliti perkara berkaitan saman yang dikeluarkan melalui AES.


KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk meneliti perkara berkaitan saman yang dikeluarkan melalui Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Langkah itu diambil berikutan kebimbangan yang dibangkitkan pihak tertentu berhubung undang-undang dan perkara teknikal, kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, semua prosiding mahkamah yang berkaitan juga dibekukan sehingga kebimbangan berkenaan selesai ditangani.
"Satu keputusan akan dibuat dalam tempoh beberapa hari lagi," katanya.
Mengenai empat kes saman yang dilepas tetapi tidak dibebaskan, Abdul Gani berkata, ia akan dikaji semula dan didaftarkan kembali jika pendakwaan perlu dilakukan.
Kenyataan itu berkata, saman AES yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan masih sah.

Mekanik dera anak tiri didakwa


RAJASEGARAN dibawa ke Mahkamah Majistret Klang semalam atas
tuduhan mendera anak tirinya yang berusia tiga tahun.


KLANG – Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mendera anak tirinya yang berusia tiga tahun menggunakan senduk nasi dan acuan maruku dalam kejadian di sebuah rumah di Kapar di sini pada September lalu.
Tertuduh, T. Rajasegaran, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tindakannya yang mendatangkan kecederaan terhadap kanak-kanak lelaki itu yang merupakan anak kepada isteri keduanya.
Majistret Suhaima Mohd. Noor menetapkan 15 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes. Bagaimanapun, tertuduh tidak dibenar ikat jamin dengan alasan demi keselamatan mangsa yang tinggal bersamanya.
Rajasegaran dari Kapar di sini diheret ke mahkamah rentetan aksi dera tertuduh terhadap seorang budak lelaki yang dirakam menggunakan telefon bimbit tersebar di laman soasial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada minggu lalu.

Petani tumbuk mata buaya selamatkan diri


INILAH lokasi jeti (dalam bulatan) Alimina diserang seekor buaya di Sungai Sibuti, Miri kelmarin.


MIRI - Seorang petani terselamat daripada maut setelah dia bertindak nekad menumbuk mata kiri seekor buaya yang menyerangnya di Sungai Sibuti di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 1 petang itu, Alimina Lamat, 44, dari Kampung Bulau Ulu, Sungai Sibuti sedang mencangkung di atas jeti untuk mandi sebelum tiba-tiba dilibas buaya berkenaan dipercayai sepanjang dua meter.
Menurutnya, sejurus diserang, Alimina terus menumbuk mata kiri Sang Bedal tersebut sebelum buaya berkenaan menggigit kaki kirinya.
"Mujur saya tidak tercampak ke dalam sungai dan sempat bergelut dengan buaya itu dari atas jeti.
"Saya juga sempat menendang tepat kepala buaya berkenaan sebelum ia hilang daripada pandangan saya," ceritanya di sini semalam.
Mencerita lanjut, dia yang telah berpuluh tahun mandi di jeti tersebut tidak menyangka perkara tersebut akan berlaku kepada dirinya.
Sementara itu, jurucakap Balai Polis Bekenu ketika dihubungi menasihati orang ramai agar berhati-hati semasa mandi kawasan sungai tersebut.

Tajol Rosli tidak pertahan kerusi


MOHAMAD TAJOL ROSLI (kiri) bersalaman dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir selepas menghadiri Persidangan DUN Perak di Ipoh semalam.


IPOH - Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Ghazali mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Hulu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.
Bekas Menteri Besar Perak kesembilan itu berkata, sudah tiba masanya beliau bersara setelah sekian lama menjadi wakil rakyat sejak memenangi DUN Kendering pada tahun 1977.
"Lagipun saya kini hanya ahli UMNO biasa selepas melepaskan jawatan Pengerusi BN Perak pada 29 Januari 2009 dan Ketua UMNO Bahagian Gerik pada 29 Mac tahun sama.
"Ini adalah sidang DUN terakhir buat saya," katanya selepas membahaskan Bajet 2013 Perak pada Sidang DUN Perak ke-12 di sini semalam.

Dua peluru tembusi kepala


MAZLAN (kanan) memerhatikan anggota polis mengusung mayat Md. Shah yang mati ditembak oleh dua lelaki bermotosikal di Kota Bharu kelmarin.


KOTA BHARU - Hajat seorang lelaki Bangladesh untuk membeli makanan berkecai apabila dia ditemui mati ditembak dalam kejadian yang menyaksikan polis menahan dua individu bagi membantu siasatan kes itu enam jam selepas pembunuhan tersebut berlaku kelmarin.
Kejadian pukul 7.40 malam di Lorong Tok Gading, Jalan Bayam di sini itu mengakibatkan seorang pembaik pendingin hawa, Md. Shah Jalal, 31, mati selepas terkena dua das tembakan di belakang kepala yang menembusi bahagian atas kening kirinya. Dia telah dua tahun bekerja di sini.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang sebuah motosikal jenis Honda Wave milik majikannya didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX5 sebelum mereka melarikan diri selepas melepaskan tembakan.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, polis yang menjalankan Ops Tutup kemudian dapat menahan seorang lelaki dan wanita berusia 40 dan 30 tahun di Padang Garong pada pukul 1.30 pagi bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek wanita merupakan isteri mangsa.
"Polis masih menyiasat motif kejadian dan sedang memeriksa telefon bimbit mangsa untuk mendapatkan petunjuk.

Poliklinik kecoh terima pesakit meninggal dunia


GUNARAJAN (kanan) bersama anggotanya memeriksa mayat lelaki di atas kerusi roda yang dihantar dua lelaki di sebuah poliklinik di Taman Debunga, Merlimau semalam.


JASIN - Suasana tenang sebuah poliklinik di Taman Debunga, Merlimau di sini semalam bertukar kecoh apabila seorang lelaki yang dihantar untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan di mulut dan kepala didapati meninggal dunia sebelum sempat dihantar ke Hospital Melaka.
Dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 25 tahun itu dikatakan masih hidup ketika dihantar dua lelaki ke premis tersebut.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Superintendan R. Gunarajan berkata, mangsa dihantar dua lelaki dengan kereta Perodua MyVi berwarna kelabu dan sebaik tiba, kakitangan klinik terus menghubungi ambulans untuk menghantar lelaki itu ke Hospital Melaka yang terletak sejauh 20 kilometer namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia di situ.
"Mengikut keterangan pekerja poliklinik terbabit, kedua-dua lelaki berkenaan mendakwa menemui mangsa di sebuah kawasan di Merlimau Dalam lalu membawanya ke situ.
"Mangsa pula tidak dapat dirawat di poliklinik tersebut kerana doktor mempunyai kes kecemasan di luar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sikap tamak punca mudah ditipu

KUALA LUMPUR - Sikap tamak pengguna yang ingin mendapat keuntungan dengan cara yang mudah dan cepat tanpa memeriksa kesahihan syarikat yang menawarkan pulangan lumayan adalah punca mereka mudah ditipu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengguna sepatutnya bijak membezakan tawaran yang diberikan oleh syarikat-syarikat tertentu sama ada ia satu penipuan atau sebaliknya.
Menurutnya, pelbagai peringatan telah dikeluarkan pihak kementerian berhubung kes-kes penipuan melibatkan pelaburan skim cepat kaya namun kejadian tersebut dilaporkan terus berleluasa.
"Kalau ada pulangan yang tidak berapa logik, jangan ambil. Saya mahu pengguna tolong fikir betul-betul sebelum buat keputusan bagi mengelakkan ditipu.
"Dalam kes di Sarawak, skim pelaburan beras itu menjanjikan keuntungan sehingga 90 peratus, secara kebiasaan mana ada peniagaan boleh beri keuntungan sebegitu sedangkan dia sendiri (syarikat tersebut) tiada untung.
"Pelabur yang dakwa ditipu boleh memfailkan saman ke atas syarikat tersebut sekiranya duit ada lagi tapi kalau duit itu sudah tiada, ia sudah terlambat. Sebab itu saya kata pengguna kena hati-hati," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tangan kanan Nor Arif yang bengkak terpaksa dipotong


NOR ARIF masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terennganu.


KUALA TERENGGANU - Tangan kanan Nor Arif Luzman Nor Azhadi, 4, yang kehitaman dan bengkak selepas dibawa berjumpa bomoh patah tidak boleh diselamatkan lagi dan terpaksa dipotong.
Tangan kanak-kanak yang patah ketika kanak-kanak itu bermain di rumahnya di Kampung Telaga, Kuala Berang, Hulu Terengganu minggu lalu dikatakan sudah 'mati' kerana lewat menerima rawatan doktor.
Bapa kanak-kanak itu, Nor Azhadi Nordin, 35, ketika dihubungi memberitahu, buat sementara waktu, dia tidak mahu pihak hospital memotong tangan itu kerana tidak mahu anaknya kelihatan tidak normal.
"Walaupun sudah tidak dapat berfungsi tetapi sekurang-kurangnya anak saya masih ada tangan.
"Tetapi doktor ada beritahu kemungkinan jangkitan kuman yang boleh merebak ke organ lain dan menjejaskan keselamatan anak saya," katanya ketika dihubungi semalam.

No comments:

Post a Comment