Duit RM2 juta lesap
|
KUCHING - Seramai 20 penduduk Kampung Menjau, Batu 21 dekat sini mendakwa kerugian wang tunai hampir RM2 juta selepas terperdaya dengan tawaran dividen lumayan sindiket skim pelaburan beras yang dianjurkan oleh seorang lelaki tempatan sejak dua bulan lalu.
Kesemua mangsa menyedari ditipu dalam skim berkenaan selepas mereka tidak menerima bayaran dividen dalam tempoh dua bulan sebagaimana dijanjikan oleh syarikat berkenaan.
Mangsa yang tidak berpuas hati tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Maong di sini semalam.
Sebelum ini, seorang lelaki dikenali sebagai Zeplin Uteh Jacob, 33, mendakwa menjalankan skim pelaburan beras menggunakan nama syarikat Dynamic Wira Marketing di Kota Padawan.
Menerusi skim itu, Zeplin menawarkan pulangan wang tunai atau dividen antara 50 hingga 90 peratus kepada mana-mana individu yang melabur dalam syarikat itu.
Lebih menarik mangsa tidak perlu membeli beras berkenaan iaitu beras jenama Lim Guan Seng seberat 10 kilogram (kg) sekampit.
Remaja cuba rompak ditembak
|
KUALA LUMPUR – Hajat dua penjenayah merompak sebuah kedai serbaneka KK Mart di Taman Sri Rampai di sini dengan mengacukan parang ke arah juruwang tidak kesampaian apabila sepasukan polis tiba-tiba muncul di premis itu dan menembak mati seorang suspek.
Dalam kejadian pada pukul 4 pagi, suspek yang maut ditembak merupakan remaja berusia 19 tahun. Remaja itu mati di depan kedai rangkaian 24 jam itu akibat cedera di dada.
Difahamkan, suspek dipercayai anak kepada seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar yang bertugas di Melaka.
Rakan suspek yang bersenjatakan parang sempat melarikan diri.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, rancangan dua suspek merompak kedai 24 jam itu disedari pasukan polis yang secara kebetulan membuat rondaan di kawasan tersebut.
“Salah seorang suspek yang sedang mengacukan parang ke arah juruwang panik apabila dia melihat kehadiran polis. Suspek terus mengacukan parang ke arah anggota polis sebelum melarikan diri,” kata beliau ketika dihubungi.
Datuk K jalani pembedahan enam jam
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K, suami kepada penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza Tarudin selamat menjalani pembedahan selama enam jam di Hospital Southland, Invercargill, New Zealand semalam.Difahamkan, Datuk K dibawa ke bilik pembedahan kira-kira pukul 9.30 pagi semalam waktu Malaysia (pukul 1.30 petang waktu New Zealand).
Beliau selesai menjalani pembedahan pada kira-kira pukul 4 petang waktu Malaysia (pukul 8 malam waktu New Zealand).
Pembedahan itu melibatkan bahagian belakang badannya, bagaimanapun tidak dinyatakan sama ada ia membabitkan tulang belakang atau sebaliknya.
Siti menerusi akaun laman sosial Twitter @CTNurhaliza11 memberitahu, pembedahan ke atas suaminya yang mengambil masa kira-kira enam jam itu berjalan lancar.
"Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar dan berjaya. Mohon doakan terus. Terima kasih semua, hanya Allah yang akan membalas jasa baik kalian," katanya.
Empat lagi penyamun cip mikro diberkas
GEORGE TOWN – Polis memberkas empat lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes rompakan cip mikro unit pemprosesan (CPU) bernilai RM22 juta daripada sebuah gudang penyimpanan di kawasan Perusahaan Perai Bukit Tengah dekat sini pada 7 Oktober lalu.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan secara berasingan di sekitar Seberang Perai Tengah pada 11 Disember lalu.
“Seorang daripada mereka didapati memilik rekod kesalahan dadah manakala seorang lagi memiliki dua rekod lampau kes samun dan merupakan bekas tahanan di bawah ordinan darurat.
“Kesemua suspek positif dadah dan ditahan reman sehingga 21 Disember ini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Kerajaan Selangor tidak layak memerintah
KUALA SELANGOR – Rakyat Selangor perlu membuka mata dan sedar bahawa kerajaan negeri Selangor yang mereka pilih pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lalu sememangnya tidak layak untuk diberi mandat memerintah lagi negeri itu.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, perkara itu terbukti apabila mereka dilihat mengamalkan sikap ‘pilih bulu’ dalam pentadbiran seperti pengagihan elaun bantuan RM100 kepada ibu-ibu tunggal.
Katanya, kerajaan negeri sekarang juga dianggap menentang prinsip demokrasi apabila Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataannya seperti yang dilaporkan sebelum ini mahu ibu tunggal membuktikan di mahkamah bahawa mereka mengundi calon Pas, PKR dan DAP pada pilihan raya umum lalu sedangkan prinsip demokrasi mengatakan undi adalah rahsia.
Pemuda UMNO bela individu muflis
KUALA LUMPUR – Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO semalam melancarkan jaringan laman sosial Facebook, Twitter dan blog kempen Muflis Anda Masih Ada Peluang Kedua bagi mendapatkan maklum balas dan menjadi platform membela individu yang muflis.
Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, melalui jaringan tersebut, orang ramai boleh menyalurkan idea dan pandangan mengenai isu berkenaan untuk dikumpul seterusnya dibawa ke Jabatan Insolvensi Malaysia serta para pegawai yang akan membuat kajian semula Akta Bankrap 1967.
Katanya, Pemuda UMNO mengambil langkah tersebut memandangkan ramai golongan muda yang muflis enggan tampil bagi mencari penyelesaian dan akhirnya menyusahkan diri sendiri.
“Kita tidak salahkan mereka kerana mungkin mereka yang muflis malu untuk memberi maklumat secara berhadapan, jadi kita wujudkan medium secara maya ini sebagai medan untuk mereka meluahkan segala masalah dan pendapat mereka.
“Kemudian kita akan mengumpul dan menapis segala input dan maklumat yang diterima untuk diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawab agar pindaan akta ini kelak turut mengambil kira pendapat mereka yang muflis,” katanya selepas majlis pelancaran kempen berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Pada majlis itu, pelakon terkenal, Fizo Omar dilantik sebagai ikon kempen berkenaan.
Sebelum ini, kajian semula Akta Bankrap diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini dalam usaha kerajaan membantu rakyat yang muflis akibat beban hutang.
Usul mengenai Akta Bankrap itu dibawa Pemuda UMNO pada perhimpunan itu.
Mengulas lanjut, Sohaimi memberitahu, satu forum mengenai isu muflis juga akan diadakan penghujung Januari tahun hadapan.
Jelasnya, forum tersebut akan memfokuskan isu mereka yang muflis disebabkan teraniaya, ditipu dan mereka yang menjadi mangsa keadaan seperti menjadi penjamin.
Derita ibu tunggal anak lapan
KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal terpaksa menerima hakikat apabila sebahagian besar daripada rumahnya runtuh dihempap sebatang pokok jati di Kampung Wakaf Mek Zainab di sini petang kelmarin.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 5.30 petang ketika hujan renyai-renyai yang menyebabkan pokok itu menghempap rumah berkenaan sehingga merosakkan keseluruhan dapur.
Lebih menyedihkan, ibu tunggal berkenaan, Nahatul Shima Seman, 43, hilang punca pendapatan apabila segala peralatan untuk membuat kuih yang terletak di dapur rumahnya itu turut tidak dapat diselamatkan.
Nahatul Shima berkata, semasa kejadian, dia tidak ada di rumah kerana keluar untuk membeli barang untuk membuat kuih di kedai runcit berhampiran rumahnya.
Menurutnya, kejadian tersebut diketahuinya selepas mendapat panggilan daripada anak keempatnya, Nur Izzatul Farisya Zaidi, 11, yang memaklumkan rumah mereka telah dihempap pokok.
"Terkejut dengan perkhabaran itu saya terus bergegas pulang untuk melihat sendiri apa yang telah berlaku. Sampai di rumah saya dapati seluruh dapur rumah telah musnah.
"Walaupun dapur rumah saya musnah namun saya tetap bersyukur kerana semua anak-anak saya selamat kerana semasa kejadian, mereka semua berada di rumah ibu saya yang terletak berhampiran," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Gaji naik tahun depan
SINGAPURA - Hampir setiap pekerja di Malaysia dijangka mendapat kenaikan gaji pada tahun depan, demikian menurut Laporan Workmonitor Randstad bagi suku keempat yang diumumkan semalam.
Perangkaan itu adalah antara yang tertinggi daripada tinjauan yang melibatkan 14,780 pekerja dari 32 negara.
Namun 82 peratus responden di rantau ini kurang keyakinan mengenai prospek kenaikan gaji di China, Singapura (76 peratus), Australia (75 peratus), New Zealand (69 peratus) dan Jepun (42 peratus).
Pengarah Randstad Malaysia, Jasmin Kaur berkata, sentimen itu adalah sejajar dengan prestasi kewangan perniagaan yang jitu di seluruh negara.
"Dijangka 82 peratus pekerja yang dikaji selidik membayangkan syarikat mereka mencatatkan prestasi yang baik tahun ini walaupun berhadapan dengan keadaan ekonomi global yang mencabar.
"Para pekerja memikul beban kerja yang lebih berat dan menjangka diberi ganjaran sebagai mengiktiraf usaha masing-masing pada tahun ini," katanya.
No comments:
Post a Comment