Saturday, December 22, 2012

SOLAT WAJIB PATUT DITITIK BERATKAN

Dua banduan larikan diri dari penjara

TALI yang diperbuat daripada cadar katil digunakan oleh dua banduan lelaki untuk melarikan diri.


CHICAGO, Amerika Syarikat - Dua banduan berjaya melarikan diri dengan menggunakan cadar katil sebagai tali dari sebuah penjara di sini awal kelmarin.
Kedua-dua banduan tersebut yang disabitkan kesalahan merompak bank didapati hilang pada pukul 5 pagi waktu tempatan semasa para pengawal penjara membuat pengiraan bilangan penghuni.
Menurut polis, banduan-banduan tersebut didapati bertindak melarikan diri antara pukul 5 dan 8.45 pagi.
Seorang pegawai polis, Sarjan Mark Lazarro berkata, kedua-dua banduan tersebut, Joseph 'Jose' Banks, 37, dan Kenneth Conley, 38, memakai baju banduan berwarna oren semasa mereka melarikan diri.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua mereka mungkin memakai baju T berwarna putih, seluar panjang berwarna kelabu dan kasut sukan selepas melarikan diri.
Menurut Biro Penyiasatan Pusat (FBI), kali terakhir kelibat kedua-dua lelaki itu dilihat adalah di Taman Tinley, 40 kilometer ke barat daya bandar raya ini.
Sejumlah anggota pasukan tindakan khas dihantar ke taman tersebut untuk memburu mereka.
Namun, kedua-dua banduan tersebut gagal ditemui.
Kedua-dua lelaki berkenaan didapati turun dari sebuah tingkap yang kecil di sebuah bangunan penjara.
Sejumlah orang mengerumuni kawasan di luar penjara kerana mereka tidak percaya kedua-dua banduan berkenaan boleh melarikan diri.
Penjara itu menempatkan kira-kira 700 banduan dan setinggi 27 tingkat.
Ia merupakan bangunan penjara tertinggi di dunia.
Bangunan tersebut direka oleh seorang arkitek, Harry Weese pada tahun 1970-an.
Setiap bilik penjara mempunyai tingkap.
Pada tahun 2010, Matthew Nolan yang merupakan adik pengarah filem Hollywood, Christopher Nolan dihukum penjara 14 bulan kerana merancang untuk melarikan diri dari penjara tersebut dengan menyembunyikan tali yang diperbuat dari cadar katil. - Agensi

Bantahan ganas di New Delhi


SEORANg penunjuk perasaan tidak menghiraukan tembakan meriam air dari sebuah kenderaan polis di New Delhi semalam.


NEW DELHI – Polis rusuhan India melepaskan tembakan meriam air semalam bagi menyuraikan tunjuk perasaan di sini yang diadakan bagi membantah kejadian merogol secara berkumpulan ke atas seorang pelajar wanita berusia 23 tahun di dalam sebuah bas, kata beberapa saksi.
Pihak polis melepaskan tembakan air ke arah penunjuk perasaan ketika sebahagian daripada mereka cuba meruntuhkan penghadang besi di luar kediaman rasmi Ketua Menteri Delhi, Sheila Dikshit.
Para penunjuk perasaan turut bertempur dengan anggota polis.
Siri bantahan itu bermula sejak malam Ahad lalu.
Mangsa rogol yang dihumban keluar dari bas kini dilaporkan kritikal dan sedang menerima rawatan di hospital.
Teman lelaki wanita itu turut cedera parah selepas diserang kumpulan yang sama.
Empat orang suspek termasuk pemandu bas telah ditahan dan misi memburu dilancarkan bagi mencari dua lagi suspek.
Pelajar wanita yang dirogol itu belajar dalam jurusan perubatan di sebuah universiti.
Ribuan penunjuk perasaan memenuhi jalan raya di depan ibu pejabat polis dan dekat bangunan Parlimen bagi membantah perbuatan tersebut.
Sebahagian pelajar universiti yang marah membuat sekatan di beberapa batang jalan raya di sini menyebabkan kesesakan teruk berlaku. – Agensi

Tengkorak 'makhluk asing' ditemui di Mexico


GAMBAR yang dirakamkan di laman YouTube semalam menunjukkan tengkorak manusia berbentuk lonjong yang ditemui di Kampung Onavas, Mexico.


BANDAR RAYA MEXICO - Sekumpulan ahli arkeologi menemui sebuah tengkorak manusia yang berbentuk lonjong dekat Kampung Onavas di Mexico, menurut akhbar dalam talian, MailOnline kelmarin.
Tengkorak itu dipercayai berusia 1,000 tahun dan ia kelihatan seperti gambaran watak makhluk asing dalam filem-filem keluaran Hollywood.
Ia ditemui tertanam di sebuah kawasan yang mengandungi 25 rangka tulang manusia.
Tengkorak tersebut mempunyai bentuk lonjong disebabkan amalan tradisi penduduk yang tinggal di utara Mexico.
Penduduk tersebut mengamalkan tradisi menghasilkan pelbagai bentuk kepala dengan menggunakan pelbagai kaedah.
Antara kaedah itu ialah dengan menggunakan dua kepingan kayu yang diikat di bahagian kepala.
Ia dilakukan ketika tengkorak tersebut masih di peringkat kanak-kanak.
Seorang ahli arkeologi, Cristina Garcia Moreno berkata, tengkorak tersebut mempunyai bentuk sedemikian kerana untuk membezakan status sosial penduduk dan disebabkan upacara keagamaan.
Moreno mengetuai projek penyelidikan tersebut bagi pihak Universiti Negeri Arizona, Amerika Syarikat.
Projek itu mendapat kelulusan Institut Antropologi dan Sejarah Kebangsaan Mexico. - Agensi

10 warga Indonesia mati lemas


PENDUDUK kampung membantu mencari dan mengangkat mayat mangsa lemas di pantai Teluk C, Bandar Penawar, Kota Tinggi semalam.


KOTA TINGGI – Sepuluh warga Indonesia ditemui mati lemas apabila bot pancung yang dinaiki dipercayai karam di pantai Teluk C, Bandar Penawar dekat sini petang semalam.
Kesemua mangsa masing-masing terdiri daripada empat lelaki dan enam wanita itu ditemui terdampar di tepi pantai Teluk C dan di sebuah kolam udang berdekatan oleh penduduk kampung berhampiran.
Hanya dua mangsa yang ditemui dikenali iaitu Ahmad Marwin Ajmain Amrulla, 33, dan Norhasanah Nafi, 14, yang bertaraf penduduk tetap (PR), manakala lapan mangsa yang lain tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Difahamkan dua daripada mangsa dalam keadaan sarat mengandung dan sehingga malam tadi polis masih menjalankan gerakan mencari kerana ada lagi mangsa yang belum ditemui.
Bot yang membawa 15 penumpang warga Indonesia itu dikatakan berlepas Isnin lalu dari Bandar Penawar melalui laluan haram menuju ke Batam, Indonesia sebelum karam lima kilometer dari lokasi mereka berlepas.

Rompak: Polis cari 3 lelaki


KOMBINASI gambar CCTV menunjukkan imej tiga lelaki yang dicari bagi membantu siasatan kes rompakan premis KK Mart di Taman Sri Rampai, Setapak Isnin lalu.


KUALA LUMPUR - Polis semalam mengedarkan imej tiga lelaki yang dicari bagi membantu siasatan berhubung kes rompakan premis KK Mart di Taman, Sri Rampai, Setapak di sini Isnin lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, salah seorang lelaki itu merupakan orang yang dapat melarikan diri selepas rakannya yang berusia 19 tahun mati ditembak dalam kejadian pukul 4 pagi itu.
Katanya, imej ketiga-tiga lelaki berusia antara 19 hingga 25 tahun itu dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.
"Kita menerima 31 laporan mengenai rompakan melibatkan kedai itu sepanjang tahun ini yang dilakukan oleh dua kumpulan bersenjatakan parang yang telah dikenal pasti.
"Modus operandi mereka ialah akan menyamun antara pukul 3 hingga 6 pagi dan antara pukul 6 petang hingga 8 malam," katanya pada sidang akhbar di sini.

Ugut sebar gambar bogel di Facebook


TAN (kiri) menunjukkan gambar bekas teman lelakinya kepada Michael di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang guru kini dalam ketakutan selepas dipaksa membayar RM50,000 oleh bekas teman lelakinya bagi mengelakkan gambar bogel dan video seks miliknya tersebar di laman sosial Facebook.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 30, berkata, dia telah berpisah dengan lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Lai, 34, pada 3 Disember lalu.
Katanya, dia tidak menyangka lelaki itu sanggup bertindak demikian disebabkan perasaan tidak puas hati dengan keputusannya yang mahu berpisah.
“Saya mengenalinya menerusi seorang rakan, bagaimanapun saya tidak sangka dia telah berkahwin, malah mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun tidak lama selepas kami bersama,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.
Mengulas lanjut, kata Tan, lelaki yang bekerja sebagai jurujual itu sebelum ini beberapa kali mengugut mahu membunuh diri setiap kali dia meminta untuk berpisah menyebabkan dia membatalkan niatnya itu dalam tempoh tiga tahun bercinta.

Pekerja menjerit, penyamun mati


ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang lelaki yang mati ditembak ketika cuba menyerang polis selepas gagal menyamun sebuah pusat internet di Taman Len Seng, Cheras kelmarin.


KUALA LUMPUR – Malang berganda buat dua penyamun bersenjatakan parang apabila bukan sahaja gagal menyamun sebuah pusat internet, malah salah seorang mereka mati selepas ditembak polis dalam kejadian di Taman Len Seng, Cheras di sini kelmarin.
Kejadian pukul 10 malam itu berlaku ketika suspek berusia 33 tahun dan mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes curi kereta bersama rakannya terserempak dengan anggota polis yang sedang melakukan rondaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, selepas diarahkan berhenti, salah seorang penyamun cuba menyerang anggota polis berkenaan.
Katanya, anggota polis itu terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek untuk mempertahankan diri.
“Suspek mati selepas ditembak di dada manakala rakannya dapat melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.
“Siasatan mendapati mereka cuba menyamun premis itu namun gagal selepas pekerjanya menjerit. Suspek dari Desa Baiduri di sini itu pernah ditahan berhubung kes dadah,” katanya ketika ditemui.

Skim pelaburan beras haram

KUCHING - Syarikat yang menganjurkan skim pelaburan beras melibatkan penduduk Kampung Menjau, Batu 21 di sini yang kerugian RM2 juta sejak Mei lalu dipercayai menjalankan operasi berkenaan secara haram.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun syarikat tersebut berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), skim yang ditawarkan tidak pernah diluluskan Bank Negara Malaysia (BNM).
Katanya, mana-mana syarikat yang menganjurkan skim pelaburan melibatkan deposit perbankan perlu mendapat kelulusan BNM manakala skim berkepentingan melibatkan barangan seperti ikan keli atau jual beli beras perlu mendapat kelulusan SSM.
"Setiap hasil pelaburan tersebut kemudiannya hendaklah dimasukkan ke tabung amanah yang juga perlu mendapat kelulusan SSM.
"Oleh sebab itu, kita mengesyaki syarikat terbabit menjalankan operasi secara haram kerana siasatan awal mendapati kegiatannya selama ini tidak melalui kesemua proses tersebut," katanya ketika dihubungi semalam.

Produk wajib lawat di dunia


LANGKAWI SkyCab menjadi tumpuan pelancong kerana pemandangan sekitarnya yang menakjubkan.


LANGKAWI - Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) mahu menjadikan Langkawi SkyCab atau kereta kabel Langkawi sebagai antara kereta kabel terunggul di dunia dan 10 produk wajib dilawati masyarakat dunia menjelang 2015.
Dengan sasaran 1.3 juta pelawat, Lada mengunjurkan perolehan RM32.5 juta dengan keuntungan RM4.5 juta pada 2015, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Khalid Ramli .
"Hasil itu bukan hanya kutipan jualan tiket, tetapi juga hasil non-fare," katanya selepas melancarkan Pelan Perniagaan SkyCab Langkawi 2013-2015 di sini semalam.
Menurutnya, bagi tahun ini, Lada berusaha mencapai sejuta pengunjung selepas sasaran awal 850,000 orang berjaya dicapai.
Langkawi SkyCab kini menerima 950,000 pelawat setakat semalam.
Khalid berkata, kereta kabel Langkawi dianggap paling unik di dunia kerana kedudukannya dalam kawasan ekosistem hutan berbanding kereta kabel lain yang terletak di bandar.

No comments:

Post a Comment