Saturday, January 30, 2010

BERGANDA2 HARAM DAN DITAMBAH SYIRIK LAGI




Syarat wajib ulit perut janda


Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my
2010/01/30
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEPANG: Di kalangan tahi judi, dia dikenali sebagai bomoh puja nombor ekor atas pusat janda kerana setiap kaki ekor yang mahu mendapatkan khidmatnya perlu ‘mempersembahkan’ janda sebagai syarat wajib untuk pemujaan nombor yang biasanya dilangsungkan pada malam Jumaat.

Janda yang dibawa ‘ditaja’ kaki judi sama ada yang datang secara berkumpulan atau berseorangan bagi menjalani upacara pemujaan dalam sebuah bilik khas di rumah bomoh terbabit di Kampung Kelanang, Kuala Langat, dekat sini, yang dikesan menjalankan kegiatan khurafat sejak lebih sembilan tahun lalu.


Upacara pemujaan dimulakan dengan meminta janda terbabit berbaring di atas sejadah. Bahagian perut hingga ari-arinya kemudian dibuka sebelum bomoh terbabit mengurut dan mengulitnya menggunakan abu kertas rokok yang dibakar.


Urutan itu dilakukan kononnya untuk ‘menarik’ nombor ekor enam digit yang pasti ‘naik’ dalam cabutan nombor pertaruhan dan kaki judi dipanggil masuk ke bilik khas itu untuk melihat sendiri nombor berkenaan. Bagaimanapun, keasyikan bomoh terbabit mengulit pusat seorang janda untuk menurun nombor ekor terganggu apabila sepasukan 22 pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bersama sembilan anggota polis dan tujuh pegawai Jabatan Imigresen Shah Alam, menyerbu pusat menurun nombor ekor terbabit, jam 11.30 malam kelmarin.


Wanita terbabit yang turut terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa segera bangkit dari sejadah lalu menutup perutnya dengan baju sambil menekup muka sebelum diarah keluar ke ruang tamu, manakala bomoh berusia 50-an yang mempunyai 12 anak berusia empat bulan hingga 30-an, disoal siasat penguat kuasa dalam bilik berkenaan.


Bomoh terbabit yang berstatus orang kurang upaya (OKU) ditahan mengikut seksyen 4, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 9/95 kerana didakwa terbabit dengan kegiatan pemujaan salah, tetapi dibebaskan dengan jaminan Jais.


Ketika disoal siasat, bomoh terbabit mendakwa tidak menyedari perbuatan memuja nombor ekor salah di sisi undang-undang selain memberi alasan melakukannya atas permintaan pelanggan.


Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik Jais, Shahrom Maarop, berkata operasi menahan bomoh dikenali sebagai ‘Wak’ itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam mengenai kegiatan pemujaan nombor ekor yang dilakukannya.


Apa yang menarik, katanya, mengikut amalan Wak, kaki nombor ekor hanya perlu membawa janda untuk dijadikan barang utama ketika proses pemujaan yang kononnya bagi mendapatkan hasil lumayan.


“Janda terbabit akan dibaringkan di atas sejadah sebelum pusat hingga pangkal ari-arinya diurut Wak, kononnya bagi menarik nombor enam digit.


“Urutan dilakukan dengan menggunakan abu kertas rokok yang dibakar yang dilumur pada pusat dan perut janda sambil mantera khas dibaca bomoh terbabit,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaaan di rumah bomoh urut pusat janda terbabit.


Operasi yang digerakkan jam 10 malam dan berakhir tiga jam kemudian, turut mengambil maklumat daripada beberapa lelaki dan wanita berusia 25 hingga 50 tahun yang sedang menunggu giliran bertemu bomoh terbabit di ruang tamu.


Mereka diberikan notis supaya hadir di pejabat Jais bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pemujaan dilakukan bomoh terbabit.


Shahrom berkata, dalam serbuan itu, Jais turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk tujuan pemujaan nombor ekor termasuk keris, pedang, puluhan minyak atar dan sejadah selain senarai nombor enam digit yang dipercayai diberikan kepada pelanggan yang menggunakan khidmatnya.


Menurutnya, tiga rakan janda terbabit termasuk dua lelaki berusia 44 dan 72 tahun yang sedang menunggu giliran di luar bilik khas turut ditahan kerana bersubahat dengan kegiatan pemujaan terbabit.


“Kami percaya janda berkenaan dibawa lelaki berusia 44 tahun itu bagi tujuan pemujaan nombor ekor, manakala seorang lagi wanita yang dipercayai juga janda berusia 40-an pula dibawa lelaki 72 tahun yang juga bekas kakitangan kerajaan untuk tujuan sama,” katanya.


Shahrom berkata, upacara membabitkan janda hanya dilakukan pada malam Jumaat, kononnya kerana ia lebih mujarab bagi mendapatkan nombor yang mampu memberikan hasil lumayan Tanpa berselindung, Shahrom berkata bomoh yang hidup mewah di tengah ladang sawit itu hanya meminta tahi ekor mengagihkan wang dimenangi jika nombor yang diberikannya itu ‘naik’ (menang).


“Agak pelik kerana bomoh terbabit tidak mengenakan bayaran tertentu, sebaliknya hanya mengharapkan upah jika nombor yang dipujanya memenangai hadiah lumayan,” katanya.


Shahrom berkata, Jais meningkatkan jumlah anggota dalam serbuan di rumah bomoh terbabit kerana menjangka ramai kaki judi hadir pada malam Jumaat dengan membawa janda untuk dipersembahkan kepada bomoh terbabit.


Malah, katanya, Jais turut meminta bantuan jabatan imigresen selepas dimaklumkan bomoh terbabit juga menjadi tumpuan kaki nombor di kalangan warga asing dan penganut agama lain.


“Bomoh terbabit akan dihadapkan ke mahkamah syariah sebaik siasatan terhadap kegiatannya selesai, manakala janda dan tiga rakannya yang dipercayai bersubahat juga akan dipanggil ke ibu pejabat Jais bagi membantu siasatan sebelum tindakan susulan dilakukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment