Friday, January 29, 2010

Jaim berkas pasangan kekasih tinggal serumah


MELAKA: Rahsia seorang lelaki sering bertandang ke rumah seorang wanita di Jalan Malim-Bachang, dekat sini, sejak beberapa bulan lalu yang disangkakan sepasang suami isteri akhirnya membongkar mereka sebenarnya bukan mahram.

Malah, pasangan itu didapati menjaga seorang anak tidak sah taraf dipercayai hasil hubungan wanita berkenaan dengan seorang warga emas. Perkara itu dihidu berdasarkan maklumat diperoleh Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) mengenai kehadiran lelaki terbabit yang agak mencurigakan sebelum serbuan dilakukan kira-kira jam 1.15 pagi semalam. Ketua Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata sepasukan anggota penguat kuasa pergi ke rumah sewa dua pintu di lokasi berkenaan dan sejurus tiba serta mengetuk pintu, seorang wanita berusia 35 tahun membukanya. Katanya, selepas memperkenalkan diri, pihak Jaim masuk untuk membuat pemeriksaan berdasarkan maklumat ada lelaki dipercayai bukan mahram berada di situ. “Pemeriksaan di bilik rumah berkenaan menemui seorang lelaki berusia 21 tahun serta seorang bayi berusia lapan bulan sedang tidur di atas katil. “Apabila lelaki terbabit menyedari kehadiran Jaim, dia bangun dan apabila ditanya apa hubungan dengan wanita terbabit, dia hanya menyatakan sebagai kekasih,” katanya. Rahimin berkata, ketika proses merekodkan keterangan wanita terbabit dijalankan, dia akhirnya mengakui anak yang dilahirkan itu anak luar nikah hasil hubungannya dengan seorang lelaki yang juga warga emas berasal dari negeri ini. “Siasatan lanjut dijalankan terhadap wanita terbabit mulanya menyatakan bayi berkenaan anaknya, bagaimanapun dia mendakwa sijil kelahiran tiada bersamanya ketika diminta berbuat demikian selain tidak memiliki kad pengenalan,” katanya kepada Harian Metro di sini. Rahimin berkata, ketika proses merekodkan keterangan wanita terbabit dijalankan, dia akhirnya mengakui anak yang dilahirkan itu anak luar nikah hasil hubungannya dengan seorang lelaki yang juga warga emas berasal dari negeri ini.

No comments:

Post a Comment