HIBURAN
Lelaki bersolek kegilaan wanita
SEKADAR bergelar naib juara American Idol musim kelapan bukan bermakna dirinya tidak berjaya menyerlah dalam persada seni global sepertimana sang juara.
Dan mungkin buat pertama kalinya dalam sejarah program realiti TV popular itu, Adam Lambert menempa nama sebagai satu-satunya naib juara yang menyerlah, malah lebih menyerlah daripada juaranya, Kris Allen.
Buktinya kukuh. Adam, bukan Kris yang terlebih dahulu muncul dengan konsert jelajah dunianya yang dikenali sebagai Glam Nation Tour Live 2010.
Nampaknya laluan sudah terbuka buat Adam untuk meletakkan dirinya sebaris dengan bintang-bintang popular kelahiran American Idol yang lain terutama Kelly Clarkson, Carrie Underwood dan Chris Daughtry.
Ternyata persona aura yang dimiliki rocker yang diketahui umum cukup terbuka mengakui tentang pilihan seksualnya itu amat kuat - hanya dengan kemunculan album sulungnya, Four Your Entertainment yang mengandungi lima single hit, No Boundaries, Time for Miracles, For Your Entertainment, Whataya Want from Me dan If I Had You.
Disokong nama-nama tersohor dalam industri album itu sebenarnya menerima suntikan kreativiti pembikin lagu-lagu hit seperti Lady Gaga, Pink, Greg Wells, Max Martin, Linda Perry, RedOne, Ryan Tedder, Evan ‘Kidd’ Bogart, Sam Sparro, Rivers Cuamo dan Kara DioGuardi.
Ikuti sedutan temu bual Adam Lambert, 28, tentang aliran muziknya, peminat fanatik dirinya dan bagaimana dia menyinarkan aura ‘glam rock’ dirinya terhadap golongan wanita.
Anda pernah tulis dalam Twitter mengatakan lagu Lady Gaga, Bad Romance berjaya membuatkan otak anda cair, apakah maksudnya?
Adam: Oh, itu bermakna saya sangatkan gilakan lagu itu. Lagu itu sangat hebat. Lady Gaga sangat berani dalam melampiaskan kebebasan artistik dirinya, dia merupakan inspirasi saya.
Ceritakan bagaimana dia boleh menyumbang idea untuk lagu
Fever dalam album Four Your Entertainment.
Ya, saya sangat teringin bekerjasama dengan Lady Gaga, dia sememangnya salah satu ikon idola saya sekarang ini. Secara keseluruhannya, saya menikmati proses rakaman lagu itu bersamanya. Ketika rakaman di studio, dia berada di luar bilik kaca memerhatikan saya sedang memasukkan vokal. Dia secara konsistennya seperti menyuruh saya ‘menyanyi dengan (vokal) lebih tinggi, lebih kuat, lebih gila!’.
Anda nampaknya begitu ‘akrab’ dengan kemasyhuran. Bagaimana ia terjadi?
Saya fikir disebabkan saya tinggal di Los Angeles sejak sembilan tahun lalu - itu banyak membantu saya untuk meraih populariti. Dan sudah tentu disempurnakan dengan kemunculan dalam American Idol 8. Mungkin juga sebab keikhlasan saya untuk mengakui tentang pilihan seksualiti saya. Tidak seperti sesetengah selebriti terkenal yang menyembunyikan tentang fakta itu, saya sebaliknya terbuka mengakui saya ini seorang gay dan peminat saya dari kalangan wanita yang fanatik tetap membaling seluar dalam mereka ke arah saya setiap kali saya membuat persembahan pentas, jadi apakah maknanya itu?
Bagi saya, selagi kita menjadi, memiliki dan menguasai diri sendiri itu sudah cukup baik. Saya sukakan diri saya dan saya seorang insan yang baik, tidakkah itu sudah cukup?
Kenapa anda rasa wanita tertarik dengan anda?
Jujurnya, saya tak pasti kenapa. Saya seperti, betul ke mereka (wanita) tergila-gilakan saya? Saya memang tak pasti, mungkin kerana pilihan seks saya, mungkin sebab saya mudah mesra dan mungkin juga kerana kehadiran saya bukan sebagai sesuatu yang membuatkan mereka berasa terancam.
David Bowie turut menjadi inspirasi anda?
Betul. David Bowie, Mick Jagger, Boy George dan sudah tentu Michael Jackson. Mereka semua mengenakan solekan dan kelihatan glamor. Saya suka cara mereka menjadikan diri mereka muncul glamor dan bangga ramai golongan lelaki turut mengunakan solekan untuk kelihatan glamor. Itu sebahagian daripada persona diri saya dan ia begitu konsisten. Sebab itu saya berasa kelakar kalau mendapat tahu ada golongan yang terperanjat dengan foto yang penghias kulit album sulung saya itu. Maksud saya, tidakkah anda pernah tengok saya di pentas bersolek ala ahli kumpulan rock KISS menerusi American Idol 8?
Adakah anda berasa terperangkap dalam imej glamor anda ini?
Terperangkap? Tidak sama sekali! Saya yang membikin imej saya, ia milik saya. Saya yang suka berimej begini dan saya boleh mengubahnya bila-bila masa saya suka. Saya cuba tidak memerangkap diri dalam satu stail muzik atau visual. Itu yang pernah saya tonjolkan ketika muncul saban minggu dalam American Idol 8.
Sejauh mana anda obses dengan laman sosial Twitter anda?
Tidaklah sehingga ke tahap obses tetapi kalau sudah melayarinya, saya memang ‘melekat’ di situ. Tapi saya cuba tidak terlalu serius membaca mesej-mesej yang saya terima dalam Twitter saya itu. Apabila peminat-peminat memberi sokongan, mereka akan menyokong dengan gila-gila. Tapi sebaliknya, Twitter saya juga mendapat mesej-mesej negatif dan saya berasa sedih apabila mendapati golongan ini seperti tiada kerja lain selain daripada melampiaskan kebencian mereka kepada orang lain secara maya. Ia bukan sikap yang baik
No comments:
Post a Comment